Bergelar ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi buat wanita yang mempunyai enam orang cahaya mata. Selepas berpisah dengan suami sememangnya hidup wanita ini cukup menderita. Besar jiwanya menadah setiap ujian yang tiba. Namun dia tidak mahu terus dibuai perasaan dan melepaskan jiwa yang gundah itu sejauh yang mungkin. Demi anak-anak dia bangkit dan mengharungi kehidupan yang sememangnya sukar untuk dilalui.

“Alhamdulillah Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Namun sekarang Allah pilih saya untuk menjadi seorang peniaga. Dengan usaha yang dijalankan saya nekad untuk berniaga dan semuanya dilakukan demi masa depan anak-anak. Melalui perniagaan saya juga punya masa yang lebih dalam menguruskan anak-anak,” ungkap Nor Hafizah Abdul Aziz, 50 yang juga kini sudah bergelar nenek kepada dua orang cucu.

Nor Hafizah yang cukup peramah ini juga menerangkan dalam mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal dia melakukan pelbagai perniagaan seperti berniaga nasi lemak, menguruskan majlis artis, menjual baju dan sebagainya untuk mencari sesuai nasi demi membesarkan anak-anak.

“Saya cukup beruntung kerana anak-anak merupakan sumber kekuatan saya. Semua saya lakukan untuk mereka. Anak pertama Mohammad Azwan, 27, diikuti kedua Emiza Ezyln, 25, Alfian Akimi, 22, Mohmmad Amirul, 19, Asril Zhuri, 16 dan yang bongsu Ammar Yasin.

“Bagi membesarkan anak-anak saya berusaha sendiri. Jika terkenang masa dulu saya kerap menangis kerana sering melihat nasib yang tidak seberapa baik seperti orang lain. Malah ada kala saya cemburu dengan kebahagiaan yang dikecapi insan lain. Cuma pada masa yang sama saya kumpulkan kekuatan dan semangat untuk saya berjaya dan hidup senang seperti orang lain.

“Saya melihat satu persatu wajah anak ketika itu, timbul rasa semangat dan dari situlah munculnya kekuatan yang luar biasa. Pada masa itu anak-anak semua masih kecil dan perlukan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan persekolahan,” terang Nor Hafizah yang cukup tenang tatkala berbicara.

Anak-Anak Kekuatan Saya – Nor Hafizah Anak-Anak Kekuatan Saya – Nor Hafizah

IKLAN

Pendam Masalah  

Walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah dalam meneruskan kehidupan namun itu semua sedikit pun tidak mencarikkan semangat Nor Hafizah. Malah dia bersyukur kerana Allah sentiasa membuka luas pintu rezekinya terutamanya dalam bidang perniagaan.

“Walaupun hidup susah namun saya tidak suka susahkan sesiapa terutama keluarga. Ini kerana mereka punya tanggungjawab masing-masing. Tapi saya sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang sangat baik dan sentiasa memberi sokongan yang padu kepada saya untuk saya bangkit. Malah mereka juga antara tulang belakang yang penting dalam mendorong saya berniaga.

“Kini saya sudah mempunyai kios menjual Kuih Keria Gula Merah dan minuman di Shah Alam. Syukur alhamdulillah, dengan ilmu yang saya ada dalam bidang masakan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menjana pendapatan. Malah anak-anak juga akan membantu saya berniaga di kios,” ungkap Nor Hafizah sambil tersenyum.

IKLAN

Anak-Anak Kekuatan Saya – Nor Hafizah

Sokongan Padu Dari Mentor  

Nor Hafizah juga turut menerangkan dia bersyukur kerana mendapat sokongan padu dari rakan baiknya yang juga mentor buat dirinya iaitu Puan Rodiah. Malah kini Nor Hafizah juga sudah terlibat dalam bidang urutan dan bergelar Penasihat Kecantikan di RIAS Kosmetik.

IKLAN

“Saya beruntung dapat berkenalan dengan Puan Rodiah. Dialah orang yang selalu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya senang kata dia saya anggap sebagai seorang mentor. Dia juga bertanggungjawab menjaga rupa bentuk badan saya, supaya tak nampak gemuk dan lesu.

“Puan Rodiah merupakan seorang pengusaha bisnes kecantikan yang memiliki produk jenamanya sendiri di samping mempunyai jumlah pengedar produknya yang ramai. Rakan saya ini juga merupakan Pengarah Urusan merangkap pengasas produk jenama sendiri, RIAS KOSMETIK, yang mesra dipanggil sebagai Kak Rodi juga mempunyai salun kecantikan sendiri.

“Di salun ini lah saya akan membuat urutan jika punya masa luang. Malah Kak Rodi juga mengajar saya sehingga saya pandai mengurut dan terlibat dalam bidang kecantikan. Pada saya bukan senang nak senang dan bukan sesah hendak susah. Pucuk pangkal terpulang kepada hati,” terang Norhafizah yang tidak pernah patah semangat dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya.

Bijak Kendalikan Masalah

Ditanya apakah nasihat yang akan diberikan kepada wanita yang bergelar ibu tunggal di luar sana, Nor Hafizah menerangkan mereka perlu bijak dalam mengendalikan masalah yang mendatang.

“Dalam perkara ini, wanita yang bergelar ibu tunggal perlu bijak mengendalikan maslalah yang dihadapi. Dalam masa yang sama terus berusaha serta berdoa agar segala urusan dipermudah oleh Yang Maha Esa. Jangan malu dengan status diri dan jangan sesekali putus asa dalam hidup dan fikirkan semuanya demi kebaikan diri dan anak-anak,” akhiri Nor Hafizah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI