
Isi Kandungan
ToggleMak ayah biasakanlah bagi anak makan kismis setiap hari sebagai snek makanan ringan untuk kudapan harian. Dengan kismis, anak-anak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan. Berbanding berikan anak-anak seperti jajan, keropok atau gula-gula yang tidak berkhasiat sekaligus mampu menjadikan otak lembap.
Kismis adalah makanan yang diperbuat daripada buah anggur yang telah dikeringkan.Kismis mengandungi karbohidrat, lemak, protein, vitamin B1, B2, B3, B5, B6, dan B9, kolin, vitamin C, vitamin E, vitamin K, kalsium, zat besi, magnesium, fosfor, potassium, sodium, dan sebagainya.
Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Akibat proses penyahidratan tersebut saiz kismis menjadi lebih kecil dari saiz anggur yang sebenar.
Berikut antara Khasiat Kismis:
1.Meningkatkan Daya Pemikiran Otak
Gula ringkas dalam kismis telah dikenalpasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.
Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.
2.Kaya Antioksida
Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit supaya cantik berseri.
3.Gigi Sihat Dan Kuat
Selalunya bahan manis akan menyebabkan gigi rosak,tetapi tidak pada kismis. Ia langsung tidak menyebabkan berlakunya kaviti dan penyakit gusi, bahkan akan menyebabkan gigi menjadi sihat dan kuat kerana mengandungi ia mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.
Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.
4.Mengurangkan Sembelit
Serat yang tinggi dalam kismis adalah sangat bermanfaat untuk pencernaan berjalan dengan lancar. Satu cawan kismis mengandungi kira-kira 10g serat yang boleh membantu anda mengeluarkan bahan-bahan toksik yang berbahaya dengan membersihkan usus dan melawaskan pembuangan air.
5.Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi
Kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.
6.Menguatkan Tulang
Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.

Punyalah banyak khasiat kismis ni, jadi mak ayah perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.Sebaliknya jadikan kismis ini sebagai makanan ringan, snek yang sihat untuk anak-anak.
Mak ayah boleh bekalkan kismis ketika ke sekolah atau boleh jadi lebih kreatif dengan mencampurkan ia dalam pelbagai hidangan lain bubur, sup,yogurt atau sayur-sayuran yang biasa dimakan oleh anak-anak.Namun jika anak-anak, sangat tidak suka dengan rasa kismis yang manis ini, sekurang-kurangnya ‘Wajibkan’ diambil secara sedikit, dalam bilangan nombor ganjil 3,5 atau 7 biji setiap hari.
Semoga bermanfaat!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pertama Kali Anak Diserang Sawan Demam, Mata Naik Ke Atas, Tubuh Kejang Bergetar

Isi Kandungan
ToggleSawan demam atau fibrile seizure yang terjadi di kalangan anak-anak kecil akan mengundang panik pada mak ayah. Bila mana anak alami anak mata naik ke atas, tiba-tiba tubuh menggigil mengetap gigi, mak ayah kena cepat-cepat bantu anak dan bawa ke hospital berdekatan.
Inilah yang ibu ini, Cik Puan Ammy alami bila pertama kali anak kecilnya, Mahsuri diserang sawan demam. Beliau kongsikan panduan bagaimana hadapi situasi cemas yang pertama kali berlaku dalam hidup anak bongsunya itu.
Macam Mana Mahsuri Boleh Terkena Sawan Demam
Sejak semalam ramai rakan dan ahli keluarga mesej bertanyakan tentang keadaan Mahsuri. Bila, bagaimana dan kenapa Mahsuri boleh terkena sawan demam… Bukan niat nak menyepi tapi masih dalam keadaan terkejut.
Hari ini bila perasaan dah tenang, saya cuba menceritakan apa yang berlaku dan puncanya. Di kesempatan ini juga saya kongsikan sedikit sebanyak panduan yang diberi oleh doktor jika menghadapi anak yang menghidap sawan demam.
1-2 Ogos adalah satu malam yang amat panjang untuk saya sekeluarga.. Malam yang tidak sanggup kami lalui lagi kerana setiap saat hanya berhujan dengan deraian air mata.. Mengharap doa dimakbulkan kerana sedar diri ini tidak terlalu sempurna disisiNya.. Allahu Akbar.
Mulanya Cuma Demam Biasa
Ia bermula pada petang Rabu. Mahsuri tiba-tiba demam tetapi tidak terlalu panas. Dia aktif seperti biasa. Saya hanya memberi ubat demam kepadanya dan seperti selalu membawa dia berniaga. Di tempat niaga, dia juga aktif. Makan apa yang ingin dia makan dan main apa yang dia ingin main. Saya tidak terlalu risau memandangkan setiap kali Mahsuri demam ianya tidak akan lama, sehari dua ia akan ‘kebah’.
Habis niaga, jam 11 malam kami sampai di rumah. Mahsuri masih demam. Rutin harian saya, setelah sampai di rumah saya pasti akan mandikan Mahsuri apatah lagi jika dia tidak sihat. Saya pasti akan mandikannya berkali-kali dalam satu malam. Tetapi tidak pada hari ini, mungkin kerana pada waktu itu saya terlalu penat tambahan pula dia nyenyak tidur, maka saya tangguhkan untuk esok pagi.
Entah kenapa, malam tu saya rasa tidak sedap hati untuk tidur di dalam bilik. Saya bawa Mahsuri tidur di ruang tamu. Dia sedar dan minta makan. Kebetulan abangnya juga sedang makan. Setelah beberapa suap Mahsuri makan, dia minta untuk menonton ABC Song (youtube). Dia juga aktif seperti biasa.
Jam 2 pagi.. Semuanya bermula di sini.
Mulut Anak Biru, Mata Sudah Tertutup..
Saya terbangun dari tidur kerana rasa seperti digigit (Mahsuri breast feeding). Selalunya dia tidak pernah menggigit. Saya alihkan mukanya dan betapa terkejutnya saya bila dapati matanya telah ke atas dan seluruh badannya kejang.
Saya menjerit sekuat hati memanggil suami yang tidur di bilik. Nasib baik menyebelahi saya kerana memilih tidur di ruang tamu kerana terang. Jika saya tidur di bilik pasti tidak nampak keadaan Mahsuri kerana gelap. Suami bergegas bangun dan mendakap Mahsuri.
Alhamdulillah badannya kembali lembut dan matanya kembali normal. Tetapi ianya bertahan selama beberapa minit sahaja, badannya yang lemah tadi tiba-tiba menggigil dan dia mengetap giginya. Tanpa berlengah lagi, kami terus membawanya ke hospital.
Sewaktu di dalam kereta, saya lihat bibirnya biru dan matanya sudah tertutup, badannya juga sudah terkulai. Ya Allah.. Pada waktu itu hanya tuhan sahaja tahu perasaan kami. Tanpa berlengah lagi, saya mencengkam mulutnya yang terkatup rapat dengan kuat dan memasukkan jari terlunjuk saya bagi membantu Mahsuri bernafas.
Terbukanya mulut Mahsuri, banyak air liur yang berbuih keluar mengalir. Mahsuri kembali kejang. Walaupun begitu kami lega kerana Mahsuri masih bersama kami. Dalam perjalanan kami tempuhi satu sekatan jalan anggota PDRM. Suami sedaya upaya bunyikan ‘hon’ banyak kali sambil kami menjerit.
“Tolong tuan… Anak saya sawan…”
Berkali-kali supaya kereta di hadapan ke tepi untuk memberi laluan kepada kami. Alhamdulillah PDRM telah memberi kerjasama yang baik dan amat kami hargainya. Sepanjang jalan, pada tiap kali Mahsuri berhenti menggigit dan terkulai, saya akan menggoncang tubuhnya sekuat hati sambil memanggil namanya berharap dia ‘respon’.
“Sayang.. gigit mama sayang.. Jangan berhenti.. Gigit kuat-kuat.”
Setiap kali Mahsuri sedar dia akan kembali kejang dan bergetar. Surah Al Fatihah tidak berhenti berkumandang dari mulut suami. Kalimah syahadah juga tidak berhenti saya bisikkan ke telinganya. Pagi itu terasa perjalanan kami ke hospital sangatlah jauh walaupun jalan raya lengang. Saya tidak tahu berapa lajunya suami saya memandu namun saya masih berasa kereta itu bergerak amat perlahan sehingga saya memaksa suami memandu dengan lebih laju.
Anak Diletakkan Di Zon Merah
Setibanya di hospital (HTJ Seremban), Mahsuri disambut oleh beberapa orang pegawai perubatan dan terus ke zon merah. Letak sahaja Mahsuri di katil, jari saya segera dilepaskan oleh doktor dari mulut Mahsuri. Luluhnya hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan begitu.
Saya tidak pernah melihat suami saya menggigil seteruk itu. Kasihnya seorang bapa. Melihat keadaan kami yang tidak tenang. Doktor meminta kami bertenang dan menunggu di luar sementara mereka memberi rawatan kepada Mahsuri. Kami akur.
Sepanjang masa kami berdoa mohon kepada Allah SWT agar diberi kesempatan kepada kami menjaga Mahsuri lagi. Berapa minit kemudian, kami dipanggil untuk menceritakan pada awal Mahsuri demam sehinggalah Mahsuri mendapat sawan demam atau dikenali sebagai Febrile Seizure.
Saya merenung Mahsuri yang tidak sedarkan diri. Tubuh kecil itu bergetar dan matanya pejam kemas. Saya mengusap lembut kepalanya.
“Auciii.. Auciii sakit ya.. Mama baba ada Sayang..”

Saya bisikkan ke telinganya dengan lembut.
1 jam lebih di ’emergency room’, Mahsuri kembali tenang. Tubuhnya tidak lagi bergetar. Doktor mengatakan dia sedang berehat. Mahsuri ditolak ke bilik wad untuk rawatan selanjutnya.
Semasa menunggu Mahsuri sedar saya didedahkan oleh pegawai perubatan mengenai sawan demam. Apa itu sawan demam. Apabila suami ‘up status’ di FB mohon kawan-kawan bantu mendoakan Mahsuri, rupanya ramai para kenalan mengalami nasib yang sama dengan kami.
Ada juga yang tidak berpengalaman bertanya bagaimana ia menyerang, tanda-tanda sebelum ia menyerang dan bagaimana cara untuk merawatnya sementara ke hospital. Di sini saya kongsikan sedikit sebanyak keterangan doktor kepada saya.
Ini Yang Doktor Terang Tentang Sawan Demam
Sawan demam atai febrile seizure ni disebabkan oleh demam panas di kalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Berbeza dengan sawan babi (Epilepsi) ianya adalah sawan yang berulang-ulang tanpa disebabkan oleh demam.
2.5% daripada kanak-kanak normal boleh menghidap sawan demam. Tanda-tandanya,
- Badan terasa panas.
- Badan dan kaki tegang.
- Kaki dan tangan tersentak2 tanpa ransangan.
- Mulut berbuih.
- Terberak atau terkencing.
- Tertidur dan tdk sedarkan diri seketika. Apabila sedar kelihatan bingung dan kembali aktif.
- Kebanyakan berlaku melebihi suhu badan 38.5°c dan pada hari pertama demam.
Apa Harus Mak ayah Dilakukan
1. Ibu dan ayah perlu bertenang.
2. Iringkan anak ke sisi badan (mengiring ke kiri).
3. Rendahkan kepalanya agar cecair yang ada dalam mulut mengalir keluar.
4. Jika anak mengetap gigi, jangan masukkan sesuatu objek atau jari ke dalam mulut anak bimbang akan tercekik atau tercucuk.
5. Lap seluruh badan menggunakan air paip bukan air sejuk bagi mengawal panas badan.
6. Jika sawan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi dan segeralah bawa ke hospital.
7. Jika demam berpanjangan. Berikan ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam. Mandi atau lap badan dengan air paip bukan air sejuk sekerap yang boleh. Bagi anak minum air sejuk, ini dapat membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.
Alhamdulillah.. 2 Ogos, jam 9 pagi Mahsuri sedar dari tidur, ayat pertama keluar dari mulutnya adalah, “Hai… Hello mama…”
Sambil melambai tangannya. “Ya Allah.. Leganya hati saya. Terima kasih Allah kerana meminjamkan Mahsuri kepada kami dan memberi kesempatan kami menjaganya lagi.”
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Sangka Kanak-Kanak Lelaki Viral Hisap Rokok Umur 2 Tahun, Tinggalkan Tabiat Buruk Ini Selepas Diberikan..

Tabiat merokok memang membahayakan kesihatan diri bukan sahaja buat golongan dewasa apatah lagi peringkat umur kanak-kanak. Masih ingat kanak-kanak lelaki umur 2 tahun yang gambarnya pernah viral kerana asyik menghisap rokok dulu.
Dilaporkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berasal dari Suka Bumi, Indonesia yang viral kerana tabiat merokok, dilaporkan sudah mula meninggalkan tabiat buruk itu.
Media antarabangsa melaporkan, Rapi Ananda Pamungkas, yang sebelum ini merokok sehingga dua kotak sehari, kini sudah tidak meminta rokok selepas diberi susu dan biskut.Ibu Rapi, Maryati, memberitahu anaknya itu diberi rokok untuk menenangkannya, dan akan mengamuk jika kehendaknya tidak dipenuhi.
Selepas kisahnya viral, beberapa pihak, antaranya pihak jabatan kesihatan dan doktor, melawat Rapi dan keluarganya di kediamannya mereka di Sukabumi.
Diberikan Susu, Biskut & Mainan
Selain bekalan makanan susu dan biskut serta alat mainan selama setahun, mereka juga memberikan Maryati nasihat bagaimana mahu mengelakkan Rapi merokok.
“Antara cara yang boleh digunakan adalah menunjukkan gambar-gambar mengerikan tentang kesan merokok. Kami juga akan terus memantau keadaan Rapi selepas ini,” kata Maman Surahman, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Cibadak.
Maryati memaklumkan, Rapi sudah tidak merokok sejak Isnin lalu.
“Sudah beberapa hari dia tidak minta rokok. Malah apabila nampak rokok, dia hanya tengok sahaja,” kata Maryati.
Menerusi laporan berita sebelum ini, beberapa keping foto yang memaparkan budak lelaki berusia dua tahun sedang menghisap rokok tular di laman sosial dan mencetuskan kebimbangan orang ramai.Kanak-kanak itu,kelihatan selamba memegang rokok sambil menghembus asap seperti seorang lelaki dewasa.
Dia dirakam melakukan aksi itu di gerai milik ibunya di Sukabumi, Indonesia.Aksi itu turut menarik perhatian orang ramai yang berjalan melintasi gerai tersebut.Dia didakawa mengalami ketagihan rokok dan berupaya menghisap sehingga satu kotak dalam sehari.
“Pada mulanya, dia kutip puntung rokok di lantai, sekarang dia dah pandai hisap pula.Saya beri sahaja sebab tak mahu dia meragam dan mengamuk”
“Dia tak akan tidur dan mengamuk serta menangis sehinggalah saya beli rokok untuknya setiap hari,” ujar ibunya, Maryati yang berusia 35 tahun.

Setiap kali cuba menghalang perbuatan itu, Maryati dan suaminya, Mishabudin terpaksa berhadapan dengan amukan anak kecilnya itu. Sementara itu, bapanya yang juga seorang perokok mengakui kagum dengan kebolehan anaknya.
“Saya pun tak merokok sebanyak itu. Saya merokok di tempat kerja sahaja,” ujarnya.
Pasangan suami isteri itu kini memohon bantuan orang ramai termasuk pakar kesihatan untuk menghentikan ketagihan anaknya.
Sungguh tak faham macam mana mak ayah boleh tergamak beri anak yang masih kecil dengan rokok, walau apa pun alasannya. Mingguan Wanita mengharapkan semoga anak kecil ini, menghentikan terus tabiat merokok yang sungguh tak bermanfaat dan membahayakan kesihatan ini.
Sumber: Astro Awani , The Sun Best & Daily Star
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Tak Pandai Membaca Seawal 7 Tahun? Wanita Ini Kongsi Pentingnya Biarkan ‘Si Dia’ Seronok Bermain

Isi Kandungan
ToggleDalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
- Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
- Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
- Adakan kelas tambahan membaca
- Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.

Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.

Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
- Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
- Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
- Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
- Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
- Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
- Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
- Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
- Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
- Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
- Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
- Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
- Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.

Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI