Biasa kalau anak mengadu sakit kaki, mak ayah buat biasa-biasa sahaj. Paling tidak ambil ubat dan sa[pukan sahaja pada tempat yang sakit itu. Ada pula mak ayah fikir anak mengada-ada sebabnya siang hari bukan main ligat lagi dia bermain.
Sebenarnya, mak ayah kena ambil serius bila anak mengadu sakit. Memang zahirnya, kita nampak dia sihat, tidak demam tapi keadaan ini boleh beri kesan. Cepat-cepat bawa jumpa doktor.
Ikuti perkongsian daripada Dr Redza Zainol tentang perkara ini.
Tidak Nampak Kesan
Panik betul bila anak saya mengadu dia tak boleh berjalan. Waktu malam punyalah sihat.
Bila bangun pagi, dia kata sakit sangat pada sendi pinggul siap menangis-nangis.
Saya tengok kaki kanan sampai ke atas semua nampak elok.
Tak ada bengkak, tak ada kesan gigitan serangga. Kulit pun tak ada merah.
Saya cuba papah dia lagi sekali, tapi kaki dia rapatkan ke perut. Dia takut sangat nak jejak kaki ke lantai. Sakit sangat. Sedih tu Allah saja yang tahu.
IKLAN
Terus saya angkat dia, letak dalam kereta, pandu terus sampai ke hospital.
Lepas selesai semua ujian, doktor pakar datang dan kata ini kes penyakit Transient Sinovitis. Jujur cakap, pada mulanya saya pun tak pasti tu penyakit apa.
Ujian darah normal, ultrasound pada sendi pinggul anak pun normal.
• Ia boleh berlaku secara tiba-tiba pada kanak-kanak umur 3-10 tahun.
• Apabila rasa sakit ini berlaku secara tiba-tiba disebabkan radang pada lapisan dalam sendi pinggul (Hip joint).
• Boleh terjadi selepas anak dijangkiti apa-apa virus pada tekak atau telinga.
• Paling selalu terjadi pada sendi pinggul kanak-kanak dan 2 kali ganda lebih kerap terjadi pada anak lelaki.
Kalau terkena Transient Sinovitis ni, boleh jadi anak tu mengadu sakit yang sedikit, atau sekadar berjalan tempang.
Tapi 60% kes boleh jadi teruk sampai tak boleh berjalan. Aduh, tak sangka anak sakit tekak pun boleh jadi sampai tak boleh berjalan.
Menurut doktor pakar, masalah ini boleh sembuh dengan sendiri dalam masa 2-7 hari. Kalau masih tak boleh berjalan lebih 7 hari, wajib datang semula untuk pemeriksaan lanjutan.
Sayu hati melihat anak mengengsot sambil pegang lego kesayangan dia. Nak pergi mana-mana, dia minta kita tolong angkatkan.
IKLAN
Pagi tadi, anak saya dah boleh berjalan semula. Syukur sangat. Alhamdulillah!
Terus saya niatkan nak kongsi dengan mak ayah semua ini.
Tanda-tanda Transient Sinovitis
1) Tiba-tiba menangis yang kerap atau nampak sangat resah.
2) Baru saja sembuh dari selesema, batuk, sakit tekak atau jangkitan dalam telinga.
3) Sakit pada sendi lutut atau sendi pinggul sampai berjalan tempang atau tak nak berjalan langsung.
4) Hanya 30% kanak-kanak akan ada demam.
Radang pada lapisan sendi (warna merah) tu yang buat anak takut nak jejak lantai. Nak gerakkan sendi pun dia jadi takut. Sebab sakit.
Kes yang serius dipanggil Septic Arthritis at Hip Joint. – demam, 38.5C ke atas – tak boleh berjalan – buat ultrasound nampak nanah berkumpul dalam sendi pinggul. Ada nanah ni yang bahaya.
Kalau ada tanda-tanda ni, mak ayah terus saja bawa ke hospital. Ultrasound pada sendi yang sakit sangat membantu untuk pastikan punca sakit tu.
MW: Mak ayah jangan cakna dan fikir anak sakit mengada-ada. Masalah ini walaupun boleh sembuh tetapi kalau tidak dikesan lebih awal bimbang akan timbul masalah lain pula. Hati-hati
Hari ini anak sulung personaliti TV, Irma Hasmie Binti Ibrahim dan suaminya, Redza Syah Azmeer Radzuan genap 5 tahun. Rupanya sejak usia 2 bulan, Irma Hasmie dah bisikkan doa yang baik-baik, yang manis-manis untuk anak lelakinya itu, Redza Syah Irfhan.
Dalam perkongsiannya ini, Irma maklumkan yang dia dah simpan lama video doa anaknya itu. “Waktu ini Irfhan usianya baru 2 bulan. Moga Allah mendengar dan makbulkan doa buat anak-anakku.”
Dan video itu sudah disampan lama dekat lima tahun, Irma kongsi semula. “Subhanalllah… Hari ini usia Redza Syah Irfhan genap 5 tahun. Syulkur Alhamdulillah, terima kasih atas anugerah ini Ya Allah.”
Akui Irma lagi memang sejak dari awal dia mahu anak kecilnya itu belajar surah Al-Ikhlas. “Surah Al-Ikhlas pula antara surah terawal yang Irfhan belajar.
“Surah ini banyak fadhilat dan khasiatnya. Saya memang minta Irfhan amalkan selalu.” Terang Irma yang juga mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Irma Nur Naylie, 4 tahun.
Ini Fadhilat Surah Al-Ikhlas
SurahAl-Ikhlaṣ (الإخلاص) bererti Keikhlasan atau ‘Yang Ikhlas’ adalah surah at-Tauḥīd (التوحيد) (Monoteisme) yang merupakan Penyataan Ringkas Tauhid, Perisytiharan Kesempurnaan Allah SWT serta Ketulusan Agama.
Malah surah Ikhlas meringkaskan dalam empat ayat tentang ketuhanan dan keesaan Allah SWT. .
Surah Al-Ikhlaṣ terdiri daripada 4 ayat adalah surah ke-112 dalam Al-Quran. Al-Ikhlas bererti ‘Kesucian’ atau ‘Penulenan’ yang bermaksud untuk kekal suci dan setia atau keadaan membersihkan jiwa seseorang dari kepercayaan bukan-Islam, seperti paganisme, animisme dan kemusyrikan.
Ini adalah satu-satunya surah dalam Al-Quran yang namanya tidak terdapat atau tidak mempunyai hubungan linguistik terhadap surah itu sendiri. .
Ia juga dikenali sebagai Surah Pelindung. Surah ini adalah sebuah surah Makkiyah yang mengesahkan mengenai Bilal yang ketika diseksa oleh tuannya yang kejam, dia berulang kali mengatakan “Ahad! Ahad!” (Tunggal, merujuk kepada Allah SWT).
Mak-mak dah fahamkan kebaikan surah Al-Ikhlas ini, marilah kita dekatkan anak-anak dengan bacaan dan penghayatannya. Moga keluarga kita akan sentiasa dalam lindungan rahmat Allah.
MW ucapkan selamat hari lahir buat Redza Syah Irfhan menjadi anak yang soleh dan menjaga ibu dan ayahnya.
Dengar Doa Yang Irma Hasmie Bisikkan Di Telinga Anak
Banyaknya kisah menakutkan tentang gajet, iPad, tablet, smartphone di media sosial. Seram bila tahu kesannya sampai ada yang kata jadi buta, masalah saraf, kurang eye contact, kurang tumpuan, tantrum, autisme dan macam-macam lagi. Tapi betul ke gajet ini boleh jadi penyebab autisme?
Ok, nak tahu lebih mari baca perkongsian kali kedua daripada seorang ayah yang ada anak autisme, Abdul Malek MB…
Sebenarnya agak sukar di jawab kerana ianya jatuh dalam ‘possibilities’ bukanlah sebab yang ‘certain’. Ini kerana hasil pembacaan saya..ia masih jatuh dalam “possibbilities”.
Saya tak mahu terjun dalam perdebatan ini. Biar lah pakar yang buat kajian dan berikan sebab kukuh mereka bersandarkan pada klinikal study mereka.
Cuma, pada anak saya, Ibrahim. Saya sangat yakin, gajet tidak menyebabkan dia jadi autisme. Kenapa ?
Ini 3 sebab utamanya…
1. Tak Mahir Sangat Bab Phone
Hingga ke hari ini, umur Ibrahim 4 tahun plus masih tidak tahu slide phone. Jika video yang saya buka dia tertekan keluar atau keluar iklan (youtube) dia masih tak tahu untuk padamkan iklan dan tak tahu untuk kembali mencari video tersebut.
2. Tengok Tapi Ada Limit
Saya dan isteri tidak terlalu mendedahkan ibrahim kepada gajet seperti phone atau tablet sejak dari bayi walaupun saya seorang internet marketer (pengusaha bisnes online). Saya dan isteri (isteri lebih tegas) hanya menetapkan dalam masa sehari hanya boleh lihat video di gajet hanya 30 minit-1 jam sahaja. Itupun sebahagian besar masa melihat video gajetnya akan di pegang oleh saya atau isteri dan tidak membenarkan Ibrahim pegang.
3. Tidur Tak Hadap Gajet
Apabila memegang Ibrahim di riba dan ketika hendak tidur saya dan isteri tidak akan mengadap gajet. Ini bagi mengelakkan dia tahu butang function gajet yang kami guna terutamanya password. Bukan kah kanak-kanak seorang pengingat yang baik ?
Dahulu, saya fikir dengan tidak terlalu mendedahkan gajet kepada ibrahim pasti tidak akan timbul masalah kepada Ibrahim kelak terutamanya mata. Saya dan isteri juga ingin melihat Ibrahim bermain macam kanak2 dahulu hidup tanpa gajet dan mengenal dunia sekitarnya serta miliki interaksi sosial yang baik.
Tapi Allah maha besar. Allah maha bijak merancang. PerancanganNya yang terbaik. Allah anugerahkan autisme kepada Ibrahim walaupun Ibrahim tidak terlalu terdedah dengan gajet dan tiada keturunan austisme.
Saya redha dan bersyukur atas anugerah Allah. Rahmat besar Allah kepada Famili saya. Alhamdulillah.
Allah sayang kita. Allah sayang kita.
Nota:
Post ni bukan bermaksud penggunaan gajet di bolehkan semahunya. Penggunaannya tetap perlu di kawal supaya pendedahan anak kepada dunia sekitarnya dapat di terokai dengan lebih baik dan interaksi dalam pergaulan dapat di pertingkatkan. Bukan bermaksud penggunaan gajet tak bagus 100% sebenarnya banyak manfaatnya jika tahu kegunaan jenis apps, video dan website.
Macam Mana Nak Hentikan Anak Main Gajet
1. Sorok di pejabat. Jangan bawa balik rumah.
2. Tutup saja Astro. Semua ahli keluarga kena berkorban dalam bab ni.
3. Gantikan dengan mainan. Ajar anak kemas mainan juga.
4. Boleh bawa anak pergi main outdoor. Main bubbles ke, main layang-layang ke, pergi playground ke….
5. Hantar ke tadika bagi yang belum hantar.
6. Ajak anak jiran yang hampir sebaya datang teman anak bermain di rumah. 2,3 orang cukuplah.
7. Buang persepsi dalam minda anda sendiri bahawa iPad ni kononnya bagus untuk IQ, bagus untuk bahasa inggeris, semata untuk bagi anak behave… sila buang persepsi tu masuk tong sampah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Ain Edruce hamil luar rahim. Salam takziah diucapkan buat pelakon Ain Edruce yang baru saja keguguran.Hasrat Ain untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian...