Program Kongsi Rezeki: #SAMASAMAKENYANG mencatat kejayaan luar biasa dengan penganjuran pertama Majlis Tahfiz Berselawat berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM33,687 dalam sehari!
Program yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kongsi Rezeki bagi membantu golongan asnaf, anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, warga emas, serta gelandangan.
Kerjasama Banyak Pihak
Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Softrein, OIC Today, Warung Pagi Pagi, Bigo Live Malaysia, Bateriku.com dan Saloma Kuala Lumpur serta banyak lagi penaja dari pelbagai organisasi membantu melancarkan program Tahfiz Berselawat dan menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat.
Hasil daripada kutipan ini disalurkan kepada Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat bagi menyokong pendidikan tahfiz dan Adina Charity Circle untuk membantu rawatan perubatan anak-anak pejuang kanser. Kejayaan program ini turut diperkukuhkan dengan sumbangan tambahan sebanyak RM30,000 daripada seorang individu dermawan.
Peneraju utama Kongsi Rezeki, Putra Amaris, menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap inisiatif ini.
Ads
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program bantuan, tetapi satu gerakan yang mengajak masyarakat untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, membuktikan bahawa masih ramai yang prihatin terhadap kerja-kerja kebajikan,” katanya.
Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting, termasuk Mohd Khairi Mohamed (Rakan Kongsi Saloma), Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah (Pengerusi The Muslim World Women’s Summit), dan Aman Rasyidi Mohd Noor (COO SoftRein), yang menyatakan komitmen mereka dalam menyokong usaha kebajikan ini. Turut hadir adalah kumpulan nasyid tersohor Raihan, yang memeriahkan acara dengan persembahan istimewa mereka.
Selain kutipan dana, program ini turut menyaksikan kejayaan penjualan 30 meja berbuka puasa, dengan hasilnya disalurkan terus kepada penerima manfaat.
Inisiatif Infaq Surau yang dilaksanakan dengan kerjasama SoftRein juga mendapat sambutan luar biasa, dengan 1,000 sejadah serta 1,000 botol sabun PowerRein dan SoftRein berjaya dikumpulkan untuk disumbangkan kepada surau-surau di kawasan asnaf.
Ads
Menurut Putra Amaris, kejayaan program ini membuktikan bahawa masyarakat semakin ingin terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, terutamanya di bulan Ramadan.
“Kami melihat keikhlasan orang ramai dalam menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga sukarelawan. Ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Manfaat 1,000 Keluarga Asnaf
Selain itu, Kongsi Rezeki 2025 juga meneruskan pengagihan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Abee Hae dan Jejak Jalanan, serta menyediakan pakaian sekolah, baju raya, dan keperluan harian untuk anak-anak pesakit kanser di seluruh Malaysia. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan lain yang memerlukan.
Ads
Pengasas NGO Pertubuhan Jejak Jalanan, Abe Hae (Azhan Adnan), yang telah membantu golongan miskin bandar di Chow Kit sejak 2022, turut memainkan peranan penting dalam memastikan pengagihan bantuan ini berjalan lancar.
Penganjur juga memberi jaminan bahawa 100 peratus daripada dana yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada penerima manfaat tanpa sebarang pemotongan.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program amal, tetapi platform untuk menyemai nilai kasih sayang dan empati dalam kalangan masyarakat. Kami berharap usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga membawa keberkatan kepada para penyumbang,” ujar Putra Amaris.
Dengan kejayaan ini, Kongsi Rezeki terus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat mampu memberikan impak besar dalam membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya di bulan Ramadan.
Lafaz cerai dalam kereta, Nubhan & Dr Afifah ke Mahkamah Syariah esok. Tidak lagi sebumbung dengan isteri selepas melafazkan talak sekitar Ogos lalu. Tiada angin, tiada ribut, media dikejutkan dengan berita penyanyi Nubhan didakwa bakal ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, esok.
10 tahun mendirikan rumah tangga, sumber terdekat pasangan ini memaklumkan permohonan pengesahan lafaz talak itu difailkan Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, pada awal bulan lalu.
“Setakat yang saya dimaklumkan, esok merupakan prosiding bagi pengesahan lafaz talak yang difailkan Nubhan di mahkamah syariah,”ujar sumber tersebut.
Lafaz Cerai Dalam Kereta
Sementara itu, peguam yang mewakili isterinya, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan Afifah Hidayah selaku plantif akan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang seperti dijadualkan bagi prosiding sebutan pertama.
“Saya difahamkan suami kepada anak guam saya melafazkan talak ketika mereka berdua berada di dalam kereta sekitar akhir Ogos tahun ini.
“Cuma saya tak pasti sama ada hakim akan beri keputusan atau mengesahkan perceraian mereka esok kerana biasanya perlu ada siasatan dulu.
“Punca diceraikan, kita tunggu sahaja esok. Sebarang maklum balas membabitkan anak guam saya boleh dijawab selepas prosiding selesai,” katanya.
Menurut sumber, pasangan ini sudah tidak sebumbung sejak Ogos lalu manakala tiga anak mereka yang masih kecil berada bawah jagaan Dr Afifah.
Terdahulu, Nubhan dan Afifah Hidayah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.
Minggu Keunggulan Taiwan tahunan kembali lagi! Tahun ini, ia menampilkan tema “Taiwan Excellence Wanderland Pop-Up Store,” di mana maskot Fu Bear akan membawa anda menjelajahi keindahan produk Keunggulan Taiwan!
“Taiwan Excellence Wanderland Pop-Up Store 2024” akan diadakan dari 12 hingga 17 Jun selama enam hari berturut-turut di tingkat bawah, Centre Court Concourse, One Utama Shopping Mall.
Acara ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran interaktif dan menghiburkan kepada orang ramai, membolehkan mereka mengalami dan memahami produk inovatif dan berkualiti tinggi buatan Taiwan dengan lebih dekat.
Terdapat 32 jenama Taiwan yang mengambil bahagian mempamerkan 60 produk premium merentasi empat kategori: elektronik dan komunikasi, sukan dan rekreasi, gaya hidup dan kesihatan, serta kehidupan di rumah. Jenama-jenama terkenal kepada pengguna tempatan seperti BenQ, Transcend, Acer, dan VICTOR akan hadir, mempamerkan produk elektronik dan sukan yang dipercayai.
Produk Bermutu Tinggi Taiwan
Selain itu, akan ada produk Taiwan yang sangat disyorkan seperti e+ Autoff dari Yztek, penapis air mudah alih sekecil ibu jari dari Mbranfiltra, Pemacu Keras Luar Mesra Alam PCR dari ADATA, dan pemampat mikro vakum terkecil di dunia VAGO dari Big Good Design. Produk-produk ini melambangkan keunggulan pembuatan Taiwan dalam inovasi, reka bentuk, dan kualiti.
Untuk menepati tema “Wanderland,” tempat acara akan dihiasi dengan suasana yang berwarna-warni dan ceria dengan maskot “Fu Bear” membawa anda ke setiap sudut, menjadikannya taman permainan yang sempurna untuk kanak-kanak dan tempat yang ideal untuk ibu bapa mencipta kenangan keluarga yang berharga.
Semasa acara, akan ada pelbagai segmen interaktif di mana orang ramai boleh mengambil bahagian dalam permainan dan aktiviti yang menyeronokkan, dengan peluang untuk memenangi hadiah yang menarik. Selebriti dan pempengaruh juga akan memeriahkan acara, berkongsi produk Taiwan Excellence kegemaran mereka dan berinteraksi dengan orang ramai sambil memberikan hadiah.
Maskot Fu Bear Jadi Tarikan
Acara kemuncak sudah pasti adalah maskot “Fu Bear.” Sebagai duta kebajikan dan duta kegembiraan, Fu Bear akan memainkan pelbagai peranan. Sebagai duta kebajikan, Fu Bear akan dibuka untuk diadopsi, dengan semua hasil disumbangkan kepada badan kebajikan kanak-kanak. Sebagai duta kegembiraan, Fu Bear akan membuat tarian kilat yang comel di tempat acara, berinteraksi dengan orang ramai dan menyebarkan kegembiraan.
“Taiwan Excellence Wanderland Pop-Up Store 2024“ bukan sahaja merupakan pentas untuk mempamerkan produk premium Taiwan tetapi juga acara besar untuk menyebarkan kasih sayang dan kebahagiaan. Semua orang dialu-alukan untuk turut serta, menerokai daya tarikan Taiwan Excellence, dan menikmati masa yang menyenangkan dan bermakna bersama Fu Bear.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan sekadar sambutan Hari Raya biasa, tetapi sebuah perayaan penuh makna dan semangat apabila lebih 300 wanita berkumpul dalam satu majlis eksklusif anjuran Komuniti Wanita DIG (KWDIG) yang berlangsung meriah di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bertemakan “Raya Meletop”, majlis ini diraikan dengan penuh gaya – menggambarkan keyakinan, ekspresi diri dan keanggunan wanita moden hari ini.
Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di UTM Hotel & Residence Kuala Lumpur ini menghimpunkan lebih 300 wanita daripada pelbagai latar belakang — termasuk pemimpin NGO, usahawan dan ahli korporat— dalam suasana eksklusif bertemakan “Raya Meletop”, simbol ekspresi diri, keyakinan dan keanggunan wanita masa kini.
Lebih istimewa, turut diadakan penyampaian Anugerah Wanita Cemerlang Madani 2025 – KWDIG disampaikan kepada dua figura hebat — Puan Rosdziah Mohd Zainudin dari D.Alam Academy dan Puan Zawani Mohd Yusoff dari Wanis Shielout — atas kejayaan luar biasa mereka dalam memperkasa ekonomi komuniti wanita serta usaha membina empayar perniagaan masing-masing dengan penuh dedikasi dan iltizam.
Inspirasi Wanita
Menurut Pengasas KWDIG, Datin Ira Ghani, majlis ini bukan sahaja menyatukan komuniti, malah berperanan sebagai pemangkin inspirasi kepada lebih ramai wanita agar berani tampil ke hadapan.
“Tujuan utama majlis ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti serta memberi pengiktirafan kepada wanita inspirasi yang berani melangkah jauh ke hadapan. Kami percaya kejayaan mereka akan menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain untuk turut bangkit dan bersinar,” ujar beliau.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Dr Hajah Zurainah Musa selaku tetamu kehormat. Beliau juga merupakan Penasihat Komuniti Wanita DIG serta rakan strategik HAWA Malaysia dalam kluster keusahawanan dan ekonomi.
Anugerah Khas
Menariknya, ini merupakan kali ke-7 perjumpaan rasmi KWDIG sejak penubuhannya, namun buat julung kalinya, majlis ini menampilkan penganugerahan khas bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam kalangan ahli.
Acara turut mendapat sokongan strategik daripada pelbagai pihak termasuk DIG Holding Sdn Bhd, MZ Empire Resources, Mega Lux Auto, Oxwise, Aayana, DIG Medichome, dan Aura Seri.
Dalam usaha berterusan memperkasakan wanita, pelancaran projek khas DIG MediChome turut diumumkan. Inisiatif ini akan membantu wanita di seluruh negara dalam aspek kesihatan, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan, disertai bimbingan secara percuma daripada mentor keusahawanan berpengalaman lebih 27 tahun yang telah berjaya melahirkan ramai usahawan wanita.
Komuniti Wanita DIG terkenal dengan pendekatan berimpak tinggi melalui pelbagai tema perjumpaan seperti Love Yourself, I Am Power, dan Wanita Aspirasi — membuktikan bahawa sokongan moral dan ruang motivasi mampu melahirkan wanita yang berdikari, dihormati dan disegani dalam masyarakat.
Majlis juga turut disokong oleh 12 penaja strategik DIG Holding, DIG MediChome, MegaLux Auto, NRC Cosmetic, MZ Empire, Aura Seri, Oxwise , Ayaana, Impact Media Communication dan DITAC Academy.