Bagaikan impian menjadi kenyataan, begitulah yang diluahkan oleh pemilik kediaman Noor Reymy Salikin, 30 yang baru saja menduduki kediaman miliknya sendiri sejak setahun yang lalu. Ketua Jabatan Jualan dan Pemasaran Khidmat Hiasan Dalaman di Shah Alam, Wallmaster Global Sdn Bhd, ini cukup berbesar hati apabila MW menyatakan hasrat untuk merakamkan kediamannya untuk tatapan pembaca.

Seperti yang dijanjikan penulis ke Sungai Buloh bagi menuju ke kediaman Reymy. Melangkah saja masuk ke dalam kediaman jenis teres dua tingkat, kami saling berpandangan, rumah yang berkonsepkan moden ala Inggeris ini cukup cantik dan kemas sekali. Kami dipelawa masuk dengan penuh senyuman oleh tuan rumah.

 

Dekorasi yang diterapkan dengan konsep moden ala Inggeris ini ternyata menghasilkan sentuhan yang tampak mewah, romantis dan minimal. Aksesori seperti candelier ternyata memberi kesan yang cukup dramatik. Ditambah dengan cermin yang dihias pada dinding ruang tamu, kediaman ini tampak lebih besar.

“Saya rasa sangat bersyukur akhirnya impian untuk memiliki kediaman sendiri dimakbulkan Allah. Saya membeli rumah ini pada tahun 2016 dan berpindah masuk pada Disember 2017. Sememangnya sejak dari kecil lagi saya sudah tanamkan azam untuk gapai cita-cita salah satunya ialah dengan memiliki sebuah rumah teres dua tingkat yang diubah suai sepenuhnya mengikut citarasa saya. Alhamdulillah sebelum usia 30 tahun saya berjaya memiliki kediaman ini.

“Dulu saya duduk rumah setinggan, selalu berfikiran bagaimana orang tinggal di rumah yang cantik. Saya tanam azam nak adakan rumah sendiri yang selesa. Alhamdulillah saya bersyukur kerana berjaya dan pencapaian ini sangat membanggakan. Malah saya juga utamakan mak dan ayah untuk lihat semua ini,” terang Reymy penuh keterujaan.

Konsep Dekorasi Moden Ala Inggeris

Bagaikan sejuk mata memandang tatkala berada di rumah yang tampak mewah dan elegan ini. Walaupun kediaman ini tidaklah begitu besar namun hiasan dalaman yang berkonsepkan dekorasi moden ala Inggeris membuatkan penulis bagaikan berasa seperti di rumah sendiri.

“Saya tinggal bujang tapi bila hujung minggu ibu dan keluarga akan datang bertandang ke rumah saya. Secara menyeluruh konsep yang saya terapkan di dalam rumah ini moden ala Inggeris. Bukan saja dari segi hiasan malah perabot-perabot yang dipilih. Dari rung tamu, tangga, ruang dapur dan balik tidur saya terapkan dengan konsep dekorasi impian saya.

“Ramai yang bertanya mengapa saya pilih moden ala Inggeris, sebabnya saya ni sejenis yang suka menonton tv terutamanya cerita Hollywood dan melihat kepada dekorasi rumah mereka. Dari dulu saya cukup terpegun dengan keindahan hiasan dalaman rumah-rumah Inggeris.

“Lagipun jika selalu bertandang ke hotel memang saya suka lihat terutamanya yang berkonsepkan moden ala Inggeris. Nampak mewah, beri saya ketenangan, ringkas namun nampak mahal. Jadi saya buat apa yang saya mampu dengan merealisasikan kediaman berkonsepkan seperti bilik hotel.

“Saya juga buat banyak kajian sebelum ambil keputusan untuk pengubahsuaian rumah. Saya rujuk di Internet dan ke hotel-hotel yang berkonsepkan moden Inggeris. Jadi bila rumah dah ada dekorasi seperti di hotel jadi saya tak payahlah sebulan sekali bercuti di hotel. Sebabnya bila saya melangkah masuk ke dalam rumah perasaany seperti setiap hari bercuti di hotel,” ungkap Reymy sambil tersenyum.

Rona Pastel Jadi Pilihan

Reymy juga menjelaskan bagi reka letak dan perabot pilihan dia telah merancang setahun lebih awal. Malah dia juga membeli barangan yang mampu dibeli mengikut kesesuaian konsep.

“Saya bersyukur kerana diberi kesempatan bertemu dengan kontraktor yang baik. Dan dapat merealisasikan dekorasi idaman. Bagi rumah ini saya telah memilih tiga rona pastel yang utama iaitu gold, biru dan putih. Warna-warna ini sangat serasi dengan saya dan nampak lebih premium.

“Selain itu saya juga dapat menerapkan penggunaan wainscoting idaman saya pada dinding ruang tamu. Ternyata wainscoting ini memberikan impak yang cukup menarik pada ruang tamu saya. Selain itu konsep yang saya pilih ini juga tidak memerlukan perabot yang banyak namun tampak mewah. Kos keseluruhan pengubahsuain rumah saya menghampiri RM80,000.

Tak Suka Tangguh Kerja

Rumah yang tampak begitu kemas ini, ditanya bagaiman dia menjadualkan diri hingga kediaman ini begitu bersih sekali. Reymy terus tertawa;

“Kak saya ni jenis yang suka sepahkan barang juga tapi alhamdulillah sejak kecil mak dah didik jika sepah terus kena kemaskan. Jadi saya terapkan pendidikan ini dalam diri bila dah buat sepah kena cepat-cepat kemas dan tak suka tangguhkan kerja. Memamg sejak kecil dalam keluarga saya ni jenis yang suka kemas rumah.

“Memandangkan cuma saya tinggal seorang diri, jadi saya akan mengmop rumah dua kali seminggu dan untuk habuk-habuk setiap hari saya bersihkan. Jika nak rumah tampak kemas memang kena rajin.”

Reymy juga menyatakan dia berasa sangat bertuah dan bersyukur dengan segala yang dimiliki tatkala ini. Ditanya tentang targetnya dalam dalam hidup selepas ini, ulasnya mengkahiri perbualan, “Target nsaya selepas ini nak duduk di rumah banglo. Namun saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepada saya hari ini. Selama ini saya menyewa dan faham dengan perasaan orang yang menyewa rumah.”