Melihatkan suasana di luar rumah, penulis dan jurugambar seakan teruja untuk meneroka ruang dalam kediaman yang pastinya lebih menawan. Telahan kami ternyata benar, sebaik kaki melangkah masuk ke teres dua tingkat milik Puan Zahirah dan keluarga, dekorasi yang dipertontonkan cantik dan kemas.
Memilih konsep moden dan mewah, terdapat dua ruang tamu yang akan menyambut kedatangan tetamu yang hadir. Warna hitam dan keemasan menjadi pilihan pemilik menghiasi kedua ruangan tersebut.
Menurut pemilik, dia memang inginkan dua ruang tamu pada kediamannya kerana suka menerima kehadiran tetamu yang ramai, malah dengan adanya dua ruang tersebut dapat diasingkan antara tetamu lelaki dan wanita.
Kongsi Minat Sama
“Saya dan suami berkongsi minat yang sama iaitu suka menghias rumah. Sejak tinggal di sini 15 tahun lalu, ini adalah kali kedua kami buat perubahan pada rumah. Dahulu sebelum masuk rumah memang kami sudah buat sedikit perubahan pada bahagian belakang rumah, selepas berbelas tahun kami besarkan pula bahagian hadapan. Sebelum buat renovasi, hampir sebulan saya dan suami duduk berbincang sehinggalah kami dapat kata sepakat untuk design ruangan yang perlu kami ubah.
“Untuk renovasi kali kedua ini mengambil masa lebih dari sebulan. Dengan perubahan baru ini rumah saya tampil dengan konsep lebih moden dengan elemen mewah rona putih dan keemasan,” ujar pemilik.
Ruang tamu kedua yang ada di kediaman ini
Menjadikan laman perkongsian gambar seperti Pinterest dan majalah-majalah dekorasi sebagai rujukan, pemilik dan suami sering berbincang dalam segala hal bagi merealisasikan cita rasa bersama untuk hiasan dalaman rumah.
Ads
“Laman-laman perkongsian gambar seperti Pinterest menjadi rujukan kami, selain majalah dekorasi untuk berikan idea menghias rumah dan jenis perabot yang sesuai dengan konsep yang kami pilih. Pemilihan perabot, biasanya saya dan suami akan pilih bersama sesuai dengan konsep dan ruangan yang ada, untuk dekorasi dalam rumah pula saya yang akan pilih dan biasanya suami akan setuju dengan pilihan yang saya buat,” terangnya lagi.
Menurut pemilik lagi, perabot-perabot dan hiasan yang ada di kediaman mereka dibeli sama ada di kedai-kedai perabot dan menerusi atas talian.
“Ada juga yang saya beli secara online. Harganya agak murah berbanding yang dijual di kedai dan Alhamdullilah saya tak pernah lagi ada pengalaman dapat barang yang tidak elok dan tidak seperti dalam gambar yang dijual. Bagi saya memang banyak barang deko yang boleh dibeli dan didapati secara online. Cuma kena pandai pilih dan sesuai dengan ruang yang ada dalam kediaman,” tambahnya lagi.
Suka Raikan Tetamu
Sejak dahulu lagi pemilik mendambakan dua ruang tamu di kediaman mereka. Kesempatan membuat renovasi pada rumah memberikan peluang untuk dirinya merealisasikan impian.
Ads
“Saya memang suka buat makan-makan di rumah, jadi kalau ada tetamu yang ramai, ruang jadi terhad. Kali ini dah buat ubah suai rumah dan besarkan sedikit ruang depan, dapatlah saya buat dua ruang tamu. Bila ada dua ruang tamu boleh saya asingkan tetamu lelaki dan perempuan. Maklum sahaja bila dah berborak dengan tetamu yang hadir, pastinya tetamu lelaki dan perempuan tak akan bercampur kerana topik perbincangan yang dibualkan pastinya berlainan.
Ruang dapur dan ruang makan yang cukup indah
“Saya memang inginkan rumah yang ada dua ruang tamu, tak kisah kecil pun. Meja makan pun saya pilih yang besar kerana memang suka menjamu tetamu yang datang dan disebabkan itu juga saya suka hias rumah. Bila tetamu datang rumah dalam keadaan kemas, mereka pun tentu selesa untuk duduk lama,” katanya yang suka raikan tetamu.
Selain ruang makan yang menempatkan meja makan lapan kerusi, terdapat satu ruang santai untuk menonton televisyen bersama keluarga sebelum melangkah ke ruangan dapur. Dekorasi pada bahagian santai dan dapur masih dikekalkan dengan konsep yang lama. Ruang dapur cukup indah tempat pemilik berkarya dengan masakan bersama set pinggan mangkuk Portmeirian koleksi peribadi.
“Saya tak suka tengok televisyen di ruang tamu, jadi saya memberi idea kepada suami untuk membuat ruang khas menonton. Bagi saya itu penting untuk jaga ruang tamu supaya kekal tersusun dan teratur setiap kali menerima kunjungan tetamu,” katanya yang memilih warna kuning untuk melatari ruangan tamu tersebut.
Ads
Ruang santai yang kekalkan konsep lama juga rapi dan kemas
Kediaman ini mempunyai empat bilik, satu bilik di bawah dan tiga di atas. Bilik-bilik di lantai atas turut dihias indah untuk beradu pada waktu malam. Bilik kedua anak perempuan dihias cukup sederhana dengan perabot asas rona putih dan merah jambu sesuai buat sang puteri yang sedang meningkat dewasa. Begitu juga dengan bilik anak teruna yang masih kecil, hijau Army jadi pilihan dan lebih istimewa dekorasi bilik sang putera adalah hasil sentuhan suami pemilik itu sendiri.
Cantik & Tersusun
Mempunyai perabot dan dekorasi yang banyak di rumah tentunya bukan mudah untuk dijaga. Tambahan pula bagi yang mempunyai anak yang masih kecil. Tapi menurut pemilik, sejak dari kecil dia sudah menerapkan anak-anaknya untuk mengemas sendiri barang permainan mereka dan tidak mengusik barangan yang tidak sepatutnya.
“Saya memang suka menghias rumah kerana ia sudah diterapkan sejak kecil oleh ibu yang suka menghias rumah. Saya memang suka tengok rumah dalam keadaan cantik dan tersusun. Bila dah ada anak, saya didik pula mereka dengan cara yang sama. Anak-anak juga tak usik barang-barang di rumah. Saya juga ajar dari awal untuk mereka kemas barang permainan mereka.”
Bilik anak-anak yang mendapat sentuhan pemilik sendiri
Menyentuh soal menguruskan rumah, bagi pemilik meskipun kini sudah tiada pembantu, dia dan keluarga akan bersama-sama membersihkan kediaman terutamanya pada hujung minggu.
“Dulu saya ada pembantu, jadi ada yang akan tolong uruskan hal-hal membersihkan rumah. Tapi sekarang dah tak ada pembantu, saya dan suami serta anak-anak sama-sama bersihkan rumah kami pada hujung minggu. Bila dah dedahkan pada anak-anak sejak kecil tentang menghias rumah ni, mereka pun secara sendiri suka dengan rumah yang cantik dan berhias. Kadang-kadang anak-anaklah yang bagi pendapat apa yang cantik untuk saya hiaskan di kediaman kami, mungkin sejak dari kecil lagi mereka dah tengok saya suka menghias, jadi sedikit sebanyak mereka juga turut suka menghias,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rumah yang cantik, bersih dan kemas mampu memberi ketenangan jiwa apabila kita berada di dalamnya. Biarpun rumah sewa, kuarters mahupun bukan rumah sendiri, tetaplah nak hias cantik-cantik dan sedap mata memandang. Apatah lagi di ruangan dapur, tempat yang selalu kita gunakan untuk memasak.
Siapa sangka dengan kos bajet, dapur ini dapat hias cantik. Berubah rupa sungguh dengan keadaannya yang asal. Menurut perkongsian Puan Siti Aishah, anggaran keseluruhan dalam RM500 tak termasuk perkakasan elektrik.Masa yang diperuntukan pula hanya 15 hari untuk kemas dan deko ruangan dapur hasil bantuan suami tersayang.
Lebih menarik, barang-barang dan keperluan hiasan untuk deko dapur tersebut hanya didapatkan di tempat yang biasa kita beli, seperti di Shopee, IKEA dan MR .DIY sahaja.
“Walaupun kuarters je tetap nak hias cantik-cantik. Masa mula-mula dapat rumah ni memang tak boleh kata apa dengan condition dia. Slow-slow kami buat bagi cantik, even penat balik kerja tetap buat kerja rumah.”
“Balang-balang, tempat sidai kain lap, rak pinggan, botol-botol garam, tepung, herbs semua saya beli dekat MR. DIY @ IKEA.
SEBELUM:
Berikut disertakan wallpaper table top, dinding & kabinet beli kat shopee link :
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan rujukan dan panduan buat mak-mak yang nak make over dapur, hias ruangan dapur dengan bajet yang terhad.
Letak pokok-pokok hidup dalam rumah selain memberi oksigen, ia juga merupakan dekorasi menenangkan jiwa dan mata yang memandang. Bagi rumah yang keadaannya agak gelap dan kurang pencahayaan masih boleh letak pokok hidup dalam rumah. Ada 6 jenis-jenis pokok hidup yang sesuai dalam keadaan ini.
Baca perkongsian yang dikongsikan oleh Puan Huda Zainal ini sebagai panduan;
Ada pokok hidup dalam rumah ni memang sangat mendamaikan. Kadang-kadang boleh jadi kawan bersembang. Namun keadaan rumah yang kurang pencahayaan matahari menjadi masalah kepada pokok hidup.
Baru ni dapat message:
“Sis, I teringin sangat nak letak pokok hidup dalam rumah. Masalahnya, rumah I ni jenis tak masuk cahaya matahari. Ada tak pokok yang sesuai dengan masalah I?”
Dalam buku “Grow In The Dark” yang dikarang oleh Lisa Eldred terdapat beberapa jenis pokok hidup yang mampu bertahan dengan keadaan yang gelap atau kurang pencahayaan. Antaranya:
1. Aglaonema (Chinese Evergreen)
Terdapat 6 spesies Aglaonema. Mampu hidup dengan cahaya yang amat sedikit namun apabila terlalu lama tidak mendapat cahaya, warna pink dan merah pada daun akan semakin pucat.
Usah risau, bawa keluar. Letakkan di tempat teduh selama 7 hari. Warna pink, merah, kuning atau hijau pada daun akan kembali pada warna asal.
Aglaonema (Chinese Evergreen)
2. Dracaena Fragrance (Corn Plant)
Antara pokok yang tidak memerlukan pemerhatian yang tinggi. (Low maintenance houseplant).
Sesuai diletakkan di kawasan kurang pencahayaan, namun perlu mengurangkan siraman air. Mudah mati jika terlebih sekiranya berada di ruang yang gelap.
Dracaena Fragrance (Corn Plant)
3. Epipremnum Aureum (Pothos / Devil’s Ivy)
Pokok yang paling versatile. Sangat sesuai dalam pelbagai keadaan termasuk ruang yang hanya bergantung pada pencahayaan lampu sahaja.Mampu hidup dalam air, dalam tanah ataupun digantung.
Epipremnum Aureum (Pothos / Devil’s Ivy)
4. Malanta Leuconuera (Prayer Plant)
Nak warna merah dan hijau kekal berseri, jauhkan daripada cahaya matahari. Dalam keadaan gelap, daun ‘prayer plant’ akan menegak keatas.
Malanta Leuconuera (Prayer Plant)
5. Sanseviera (Snake Plant)
Jika diletakkan pada kawasan kurang pencahayaan, warna hijaunya akan bertukar kepada hijau yang agak cerah berbanding jika mendapat cahaya.
Tidak suka pada tanah yang terlampau basah. Siram sekali sahaja dalam tempoh 2 minggu sekiranya berada dalam rumah dan jauh daripada pencahayaan matahari.
Sanseviera (Snake Plant)
6. Zamioculcas Zamiifolia (ZZ plant)
Dikategorikan sebagai ‘slow growing plant’. Namun mampu membiak melalui batang ataupun daunnya.
Juga sangat sesuai pada ruang kurang pencahayaan.
Zamioculcas Zamiifolia (ZZ plant)
6 ini antara pokok yang sesuai dengan pencahayaan yang sangat sedikit dan paling penting turut tersenarai dalam “Hard To Kills Plant”. Jadi untuk rumah yang ada masalah pencahayaan, boleh cuba dengan 6 jenis pokok ni dulu.
Huda Zainal
4 daripada 6 ni pokok yang Huda berjaya bela dalam keadaan kurang pencahayaan.
Baca Lagi Di Sini:
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak-mak yang berhasrat nak letak pokok hidup dalam rumah, boleh pertimbangkan jenis-jenis pokok yang dikongsikan ini. Sebab pokok-pokok jenis ni mampu bertahan dengan keadaan yang gelap atau kurang pencahayaan.
Bila rumah cantik ibarat anda bercuti di bilik hotel setiap hari. Untungnya memiliki kediaman yang cantik.
Bagaikan impian menjadi kenyataan, begitulah yang diluahkan oleh pemilik kediaman Noor Reymy Salikin, 30 yang baru saja menduduki kediaman miliknya sendiri sejak setahun yang lalu. Ketua Jabatan Jualan dan Pemasaran Khidmat Hiasan Dalaman di Shah Alam, Wallmaster Global Sdn Bhd, ini cukup berbesar hati apabila MW menyatakan hasrat untuk merakamkan kediamannya untuk tatapan pembaca.
Seperti yang dijanjikan penulis ke Sungai Buloh bagi menuju ke kediaman Reymy. Melangkah saja masuk ke dalam kediaman jenis teres dua tingkat, kami saling berpandangan, rumah yang berkonsepkan moden ala Inggeris ini cukup cantik dan kemas sekali. Kami dipelawa masuk dengan penuh senyuman oleh tuan rumah.
Dekorasi yang diterapkan dengan konsep moden ala Inggeris ini ternyata menghasilkan sentuhan yang tampak mewah, romantis dan minimal. Aksesori seperti candelier ternyata memberi kesan yang cukup dramatik. Ditambah dengan cermin yang dihias pada dinding ruang tamu, kediaman ini tampak lebih besar.
“Saya rasa sangat bersyukur akhirnya impian untuk memiliki kediaman sendiri dimakbulkan Allah. Saya membeli rumah ini pada tahun 2016 dan berpindah masuk pada Disember 2017. Sememangnya sejak dari kecil lagi saya sudah tanamkan azam untuk gapai cita-cita salah satunya ialah dengan memiliki sebuah rumah teres dua tingkat yang diubah suai sepenuhnya mengikut citarasa saya. Alhamdulillah sebelum usia 30 tahun saya berjaya memiliki kediaman ini.
“Dulu saya duduk rumah setinggan, selalu berfikiran bagaimana orang tinggal di rumah yang cantik. Saya tanam azam nak adakan rumah sendiri yang selesa. Alhamdulillah saya bersyukur kerana berjaya dan pencapaian ini sangat membanggakan. Malah saya juga utamakan mak dan ayah untuk lihat semua ini,” terang Reymy penuh keterujaan.
Konsep Dekorasi Moden Ala Inggeris
Bagaikan sejuk mata memandang tatkala berada di rumah yang tampak mewah dan elegan ini. Walaupun kediaman ini tidaklah begitu besar namun hiasan dalaman yang berkonsepkan dekorasi moden ala Inggeris membuatkan penulis bagaikan berasa seperti di rumah sendiri.
“Saya tinggal bujang tapi bila hujung minggu ibu dan keluarga akan datang bertandang ke rumah saya. Secara menyeluruh konsep yang saya terapkan di dalam rumah ini moden ala Inggeris. Bukan saja dari segi hiasan malah perabot-perabot yang dipilih. Dari rung tamu, tangga, ruang dapur dan balik tidur saya terapkan dengan konsep dekorasi impian saya.
“Ramai yang bertanya mengapa saya pilih moden ala Inggeris, sebabnya saya ni sejenis yang suka menonton tv terutamanya cerita Hollywood dan melihat kepada dekorasi rumah mereka. Dari dulu saya cukup terpegun dengan keindahan hiasan dalaman rumah-rumah Inggeris.
“Lagipun jika selalu bertandang ke hotel memang saya suka lihat terutamanya yang berkonsepkan moden ala Inggeris. Nampak mewah, beri saya ketenangan, ringkas namun nampak mahal. Jadi saya buat apa yang saya mampu dengan merealisasikan kediaman berkonsepkan seperti bilik hotel.
“Saya juga buat banyak kajian sebelum ambil keputusan untuk pengubahsuaian rumah. Saya rujuk di Internet dan ke hotel-hotel yang berkonsepkan moden Inggeris. Jadi bila rumah dah ada dekorasi seperti di hotel jadi saya tak payahlah sebulan sekali bercuti di hotel. Sebabnya bila saya melangkah masuk ke dalam rumah perasaany seperti setiap hari bercuti di hotel,” ungkap Reymy sambil tersenyum.
Rona Pastel Jadi Pilihan
Reymy juga menjelaskan bagi reka letak dan perabot pilihan dia telah merancang setahun lebih awal. Malah dia juga membeli barangan yang mampu dibeli mengikut kesesuaian konsep.
“Saya bersyukur kerana diberi kesempatan bertemu dengan kontraktor yang baik. Dan dapat merealisasikan dekorasi idaman. Bagi rumah ini saya telah memilih tiga rona pastel yang utama iaitu gold, biru dan putih. Warna-warna ini sangat serasi dengan saya dan nampak lebih premium.
“Selain itu saya juga dapat menerapkan penggunaan wainscoting idaman saya pada dinding ruang tamu. Ternyata wainscoting ini memberikan impak yang cukup menarik pada ruang tamu saya. Selain itu konsep yang saya pilih ini juga tidak memerlukan perabot yang banyak namun tampak mewah. Kos keseluruhan pengubahsuain rumah saya menghampiri RM80,000.
Tak Suka Tangguh Kerja
Rumah yang tampak begitu kemas ini, ditanya bagaiman dia menjadualkan diri hingga kediaman ini begitu bersih sekali. Reymy terus tertawa;
“Kak saya ni jenis yang suka sepahkan barang juga tapi alhamdulillah sejak kecil mak dah didik jika sepah terus kena kemaskan. Jadi saya terapkan pendidikan ini dalam diri bila dah buat sepah kena cepat-cepat kemas dan tak suka tangguhkan kerja. Memamg sejak kecil dalam keluarga saya ni jenis yang suka kemas rumah.
“Memandangkan cuma saya tinggal seorang diri, jadi saya akan mengmop rumah dua kali seminggu dan untuk habuk-habuk setiap hari saya bersihkan. Jika nak rumah tampak kemas memang kena rajin.”
Reymy juga menyatakan dia berasa sangat bertuah dan bersyukur dengan segala yang dimiliki tatkala ini. Ditanya tentang targetnya dalam dalam hidup selepas ini, ulasnya mengkahiri perbualan, “Target nsaya selepas ini nak duduk di rumah banglo. Namun saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepada saya hari ini. Selama ini saya menyewa dan faham dengan perasaan orang yang menyewa rumah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita koma lepas lahirkan anak meninggal dunia selepas tujuh tahun terlantar. Kisah benar Mohd Saiful yang setia menjaga isterinya, Nor Fadila, hingga ke hujung nyawa.