Hati mana yang tak luluh, melihat kondisi wanita yang mengandung dan melahirkan terbaring menanggung kesakitan. Hilang sudah bebelan dan nasihat dari bibirnya, tiada lagi senda gurau menjadi penawar. Yang ada kini hanya sekujur tubuh bonda, terbaring lemah menahan sakit akibat kanser.
Menurut Nurul Shafina yang mesra disapa Fina, tiada lagi rawatan kemoterapi ataupun radioterapi yang boleh dilakukan memandangkan sel kanser tersebut amat agresif. Doktor juga menasihatkan agar ibunya dibawa pulang dan berada di sisi keluarga. Gadis dari Penaga, Pulau Pinang ini memaklumkan lagi, kanser lidah telah mengubah personaliti ibunya secara total.
“Sebaik ibu didiagnos kanser lidah, sejujurnya bukan sahaja saya, malah empat lagi adik-beradik yang lain amat merindui ibu kami yang dahulu. Adik bongsu juga terkesan dengan keadaan kesihatan ibu dan sering bertanya kenapa ibu yang diuji dengan penyakit kanser. Ayah juga sedih melihat keadaan isterinya. Dia juga tak menyangka wanita yang berkongsi hidup hampir 30 tahun dengannya kini diuji begini.
“Ibu kami orangnya peramah, cekap memasak, gemar bercucuk tanam dan juga gemar menjahit. Sebelum ibu diserang kanser lidah, sama seperti ibu lain, pasti ada sahaja cerita, teguran dan juga nasihat daripada dia kepada kami. Kanser lidah ini membuatkan kami seolah-olah telah kehilangan ibu, walaupun hakikatnya dia masih di sisi.
“Sejak kondisi ibu semakin serius, dia juga telah hilang keupayaan untuk bercakap seperti dahulu. Hanya buku nota menjadi medium untuk dia menulis apa yang terbuku kepada kami,” kongsi Fina mengenai perubahan besar yang sedang dilalui dia dan keluarganya.
Gambar kenangan bersama ibu sewaktu Aidilfitri tahun lalu (gambar kiri), dan gambar terkini ibu Fina (gambar kanan)
Ulser Berulang Di Lidah Petanda Kanser
Semuanya berlaku begitu pantas. Seperti baru lagi dia mendengar ibunya mengadu lidahnya seolah-olah menipis, sensitif kepada makanan pedas dan kerap mengalami ulser rupanya petanda awal kanser lidah yang tidak disedari.
Ads
“Pada mulanya ibu ada mengadu kepada kami perubahan lidahnya yang cukup sensitif dengan makanan pedas. Dia juga sering memaklumkan lidahnya seakan menipis dan juga mengalami ulser yang berulang di lidah.
“Ulser itu tidak sembuh walaupun disapu ubat. Tanpa kami tahu ulser yang tidak sembuh dan berulang itu adalah antara simptom awal kanser lidah.
“Pada April tahun lalu, ibu kemudian dirujuk ke Hospital Seberang Prai dan doktor melakukan ujian biopsi. Biopsi adalah prosedur di mana sedikit sampel pada bahagian mulut yang disyaki sebagai kanser diambil untuk di buat ujian ke atasnya. Hasil daripada biopsi itu doktor memaklumkan ibu sebenarnya mengalami kanser lidah.
“Ketika itu status kanser ibu di tahap satu nak ke tahap dua. Di bulan yang sama, doktor kemudian menjalankan pembedahan dan membuang separuh daripada lidah ibu.
“Selepas pembedahan itu, ibu nampaknya boleh menyesuaikan diri dan masih boleh bertutur dengan baik, tanpa pelat walaupun lidahnya separuh telah pun dibuang,” jelas Fina mengenai perkembangan kanser lidah ibunya sebelum ini.
Ads
Setelah melalui dua kitaran kemoterapi dan radioterapi doktor memaklumkan sel kanser ibu Fina begitu agresif. Doktor juga memaklumkan kanser yang dialaminya kini sudah pun berada di peringkat empat.
“Sepatutnya ibu perlu melalui satu lagi sesi rawatan kemoterapi dan radioterapi, tetapi ibu sendiri menolak kerana tidak mampu lagi melalui rawatan tersebut.
“Doktor juga menghormati permintaan ibu dan memanggil kami sekeluarga untuk dimaklumkan status kesihatan terkini ibu. Menurut doktor lagi, jika itu permintaan ibu, pihaknya menghormati. Walau bagaimana pun doktor minta kami bawa pulang ibu dan biarkan dia berada di samping keluarga.
“Ibu kini lebih banyak terbaring dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Tahun lalu selepas melalui pembedahan, ibu masih lagi bertenaga dan mampu menguruskan rumah tangga.
Ads
“Ketika majlis pertunangan saya, ibu masih lagi mampu memasak beberapa juadah untuk meraikan tetamu. Tetapi kini ibu sudah tidak berdaya lagi. Status terkini, sel kanser ibu telah mula merebak ke bahagian leher,” ujar Fina kepada Mingguan Wanita.
Hanya Doa Jadi Harapan
Melihat sendiri keadaan ibunya dan seperti yang dimaklumkan doktor, tiada lagi rawatan khusus yang boleh dilakukan ke atas ibunya. Fina akui keluarganya kini pasrah dan menyerahkan segalanya pada Yang Maha Esa. Kanser lidah juga membuatkan ramai yang terkejut dengan transformasi yang berlaku ke atas wajah ibunya.
“Ramai yang cakap lainnya muka ibu sekarang. Ya betul, muka ibu jadi membengkak sehingga mata dan juga bibirnya membengkak. Ibu kini sudah tidak boleh makan seperti normal dan bergantung pada susu sebagai pemberi tenaga. Melihat ibu yang menanggung kesakitan, meluluhkan hati kami sekeluarga.
“Impak daripada ujian ini, kami sekeluarga sentiasa mendahulukan keperluan ibu dan saling bergilir menjaganya. Kami juga sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya ibu kuat mengharungi keadaan ini.
“Hanya doa daripada orang ramai diharapkan sedikit sebanyak dapat meredakan kesakitan yang sedang dilaluinya. Kami juga telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai anak saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ibu,” cerita Fina menutup bicara.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Fina bagi meringankan dan membeli keperluan ibunya. Anda boleh sumbangkan ke akaun Maybank milik Nurul Shafina Mazani di nombor 161284049814.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hubungan dalam rumahtangga sangat penting. Jadi tidak salah jika kita kembalikan semula rasa cinta dengan pasangan. Pelbagai cara boleh dilakukan. Antaranya Diet Sentuhan Cinta!
Malah Pakar Hubungan & Keintiman, Diyana Tahir punya beberapa langah yang betul untuk kembalikan rasa cinta dengan pasangan anda. Ikuti apa kata Diyana tentang isu ini.
“Ramai orang juga bila ada masalah. mereka pilih untuk selesaikan hanya pada permukaan sahaja. Ibarat anda hanya memotong dahan dan membuang daun-daun pada sebatang pokok dan kemudian ianya akan tumbuh semula. Begitu juga pada masalah anda, ianya akan berterusan ada jika tidak di selesaikan dari akarnya.
Rasai Kehangatan Asmara
Jadi perlu beberapa langkah yang betul untuk anda kembalikan semula rasa cinta dengan pasangan dan untuk anda merasai semula kehangatan asmara dengan pasangan.
1. Langah pertama adalah ‘reboot’ hati.
Sebelum nak buat apa-apa penting untuk pikat dari hati dulu. Kenali keegoan pasangan ni seperti apa. Ambil hati pasangan dengan ketahui apa kehendak hatinya. Berhenti untuk berteka-teka apa kemahuan suami.
Sebab itu penting ada ilmu. Setiap orang adalah berbeza-beza. Tidak semestinya kita akan faham dia dan dia akan faham kita 100 peratus. Sebab itu penting untuk mengenali keegoan pasangan anda ini seperti apa. Sebab sebenarnya keegoan manusia ini ada tiga iaitu keegoaan ingin disukai, keegoaan ingin selamat dan keegoan ingin berkuasa.
2. Langkah kedua adalah ‘reboot’ fikiran.
Ketahui pasangan maskulin atau feminin. Kembalikan polarisasi feminin maskulin itu dalam hubungan. Sebenarnya untuk menjadikan hubungan itu menjadi lebih tertarik anda dan pasangan perlu ada polariti feminin dan maskulin.
Dalam perhubungan perlu ada keseimbangan, kedua-duanya tidak boleh jadi feminin sahaja atau sebaliknya. Penting juga untuk mengenali samada pasangan anda itu feminin atau maskulin. Kenali ciri-ciri feminin dan maskulin itu bagaimana. Lelaki alaminya bersifat maskulin. Salah satu ciri maskulin adalah kekosongan. Dan untuk menarik perhatian maskulin perlu ada polariti (berlawanan) pada kekosongan iaitu keberlimpahan kehidupan (feminin),” ungkap Diyana Tahir.
3.Langkah ketiga adalah reboot tubuh.
Suburkan hormon cinta dengan diet sentuhan cintai. Punca hubungan dengan suami yang dah semakin hambar dan hilang rasa ghairah atau suami dah tak bernafsu adalah disebabkan kurangnya oxytocin dalam badan. Oxytocin ini ialah HORMON LOVE yang semakin berkurang kerana aktiviti seksual dan faktor cara hidup yang tak seimbang.
Kalau dulu masa masih anak dara atau bujang, hormon ini melambak dalam badan kita sebab tu masa mula-mula kahwin jeling-jeling pun dah terasa kat hati, mesranya bukan main lagi kan?
Tapi sekarang ni sentuh-sentuh atau pegang pasangan pun tak rasa apa dah malah ada yang rasa rimas. Jadi dengan mengamalkan Diet Sentuhan Cinta yang lebih efektif akan dapat membantu menguatkan semula hormon cinta dengan pasangan. Bukan sekadar merawat tetapi menjadi BOOSTER untuk hubungan cinta yang lebih hangat.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Sitz Bath’ atau rendaman vagina merupakan antara amalan warisan lama bagi merawat vagina serta membantu memulihkan masalah buasir. Ia sangat elok diamalkan seminggu sekali lebih-lebih lagi bagi wanita selepas bersalin dan dalam tempoh berpantang, selain bertungku, bertangas dan sebagainya. Ramuan ‘Sitz Bath’ ini terdiri daripada bahan-bahan alami dan boleh diperolehi di dapur rumah sendiri.
Berikut merupakan antara kelebihan amalan Sitz Bath dan ramuan penyediaannya yang dikongsikan oleh Sarifa Redzuan II sebagai rujukan.
Pernah dengar pasal Sitz Bath?
Istilah “Sitz Bath” berasal dari perkataan Jerman untuk “tempat duduk.”
Orang dulu dulu panggil “RENDAMAN FARAJ”. Mereka amalkan ini untuk merawat pelbagai masalah berkaitan vagina dan dubur.
Di luar negara, Sitz Bath ni sangat popular dan selalu di rekemen oleh doktor.
Jadi, tak salah lah selama ini nenek moyang kita ajar kita buat rendaman faraj. Banyak manfaatnya kan. Apa kata kita sambung amalan warisan lama ni untuk capai tahap kesihatan yang lebih baik.
Kenapa perlu buat Sitz Bath ni ?
Sitz Bath boleh membantu meringankan kesakitan, keradangan, bengkak atau kerengsaan di perineum, ruang antara rektum dan vulva atau skrotum.
Sitz Bath adalah cara mandi alat kelamin yang boleh membantu melegakan kesakitan dan keradangan serta membantu menyembuhkan luka dibahagian itu seperti melecet dan sebagainya.
Sitz Bath boleh juga di lakukan untuk orang yang mempunyai masalah di kawasan dubur seperti buasir, atau jangkitan di kawasan anogenital.
Sitz Bath boleh digunakan untuk membersihkan kawasan sekitar dubur dan alat kelamin.
Sitz Bath boleh memberi kelegaan dan meningkatkan penyembuhan pada wanita selepas bersalin.
Sitz Bath boleh memberi kelegaan kepada ketidak selesaan perut seperti kembong perut, angin dan sebagainya.
Sitz Bath boleh mengharumkan vagina.
Memandangkan harini kelas miss V, jadi cikgu nak kongsi ramuan WARISAN ORANG LAMA Sitz Bath ni dengan awak semua supaya kita sama sama dapat memanfaatkannya.
RAMUAN SITZ BATH UNTUK WANITA
Bahan-Bahan:
5 Kuntum bunga Mawar
7 Helai daun sirih
Seketul gambir
1 biji manjakani
Sedikit Pinang muda
Segenggam daun inai
1 ruas jari kunyit hidup
Cara Membuat:
Rebus semua bahan sehingga didih. Biarkan suam suam, kemudian tapis air dan masukkan dalam besen. Tambah 1 Sudu Besar garam bukit jika ada. Kalau tiada guna saja garam biasa kat dapur tu.
RAMUAN SITZ BATH UNTUK LELAKI DAN YANG BERMASALAH BUASIR
Bahan-Bahan:
5 Kuntum bunga Mawar
7 Helai daun sirih
Seketul gambir
1 ruas jari halia di ketuk
1 batang serai di ketuk
1 cawan sudu besar gel aloevera fresh
1 ruas jari kunyit hidup
Cara Membuat:
Rebus semua bahan sehingga didih. Biarkan suam suam , kemudian tapis air dan masukkan dalam besen. Tambah 1 Sudu Besar garam bukit jika ada. Kalau tiada guna saja garam biasa kat dapur tu.
Dalam keadaan suam suam tu. Duduklah selama 15 minit dan rehatlah sambil niat nak merawat diri kerana ALLAH.
Boleh amalkan seminggu sekali.
In Sha Allah, niat baik baik datang pun baik baik. Kita ikhtiar Allah Maha penyembuh.
Suami adalah lelaki yang paling disayangi, dipercayai dan diharapkan dapat melindungi diri seorang wanita selepas berkahwin. Tugas itu dahulunya dipikul oleh ayah, akhirnya diserahkan pada insan yang bergelar suami untuk menjaga anak gadisnya.
Suami Sepatutnya Pembimbing
Tiap wanita tentunya mengimpikan hidup yang bahagia, punya suami yang menyayanginya sepenuh hati dan dapat membimbingnya ke jalan yang Allah. Namun, bukan semua mampu memiliki apa yang diimpikan.
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang menggemarkan dirinya sebagai Ana. Berusia lewat 30-an dan memiliki empat orang anak. Mungkin kisah rumah tangga yang ingin dikongsikan ini sukar dipercayai. Namun itu adalah kisah yang benar-benar terjadi dalam hidupnya.
Foto hiasan.
Dikahwini Suami Sebagai Isteri Kedua
Aku berkenalan dengan suami ketika kami menghadiri satu kursus di antara jabatan kerajaan. Aku waktu itu sudah berusia lewat 20-an. Imejnya yang islamik membuatkan aku tertarik padanya walau pun aku tidak bertudung. Sepanjang kursus itu, dia yang sering menjadi imam solat dan mengetuai bacaan doa.
Sejak itu kami mula rapat dan bertukar-tukar telefon. Dari awal dia memberitahu bahawa dia duda anak tiga. Waktu itu aku dapat terima kerana dia jujur. Bahkan dia tak paksa untuk aku terima dia.
Dah jodoh, akhirnya kami diijabkabulkan sebagai suami isteri. Terus terang, dia memang suami yang baik. Rajin membantu kerja rumah. Cuma ada rahsia yang ku simpan kemas dan tak pernah ku ceritakan pada sesiapa pun.
Di sebalik imej islamiknya itu, dia memiliki hobi pelik iaitu suka menonton filem ‘dewasa’. Aku juga diminta untuk bermekap dan memakai pakaian tidur seksi setiap kali sebelum bersamanya di ranjang. Di awal perkahwinan, ku sangka mungkin mood pengantin baru. Rupanya itu adalah kemahuannya jika kami ingin bersama.
Pernah teruk aku dimarahi kerana enggan bermekap bila dia ingin bersamaku. Akhirnya nak tak nak, sebagai isteri aku akur. Selain itu, selepas kahwin, aku teringin nak pakai tudung tapi suami tak izinkan.
Katanya tunggu hingga aku lebih berusia. Hairan juga aku kerana sepatutnya dia bimbing aku untuk lebih baik. Tapi ini pula sebaliknya. Bahkan dia akan minta aku inaikan rambutku dengan warna perang. Tentu orang ingat aku yang tak berubah walau pun sudah berkahwin dengan lelaki yang baik, beriman. Hanya aku saja yang tahu kebenarannya.
Bertahun Pendam Rasa
Terus terang, aku tertekan dengan sikap suamiku itu. Apatah lagi aku rasakan bila bersamanya, dia akan membayangkan aku seperti wanita-wanita yang ditontonnya dalam filem dewasa itu. Tapi, apa dayaku sebagai isteri?
Kadangkala terlintas untuk aku berkongsi dengan ahli keluargaku, tapi aku rasa malu. Apatah lagi tentu ramai tak percaya bila melihatkan imej luarannya itu.
10 Tahun Bertahan
Selama 10 tahun aku menjalani kehidupan yang sebegitu. Aku sering berdoa agar suami akan berubah atau ditunjukkan jalan yang terbaik untukku.
Sehingga satu hari, suami meminta izinku untuk berkahwin lagi seorang. Yang memeranjatkan aku, wanita itu masih muda dan seksi orangnya. Rupanya suami berkenalan dengan wanita itu yang bekerja di sebuah hotel. Kalau dilihat, umpama mustahil suami memilih wanita begitu sebagai isteri.Tapi tidak bagiku kerana aku tahu selera pelik suamiku.
Saat itu, aku umpama dibukakan jalan untuk aku keluar dari rumah tangga yang tak membahagiakan itu. Aku tekad tuntut cerai kalau dia ingin mengahwini wanita itu. Dia yang sedang mabuk kepayang hanya bersetuju.
Dipendekkan cerita, suami melafazkan talak satu padaku dan aku mendapat hak penjagaan anak-anak. Aku lega dan reda walau pun bergelar janda. Aku rela hidup susah daripada terus hidup dalam tekanan.
Dihubungi Isteri Pertama
Tak tahu daripada mana dia mendapat nombor telefonku, aku dihubungi oleh bekas isteri pertama bekas suamiku. Rupanya dia bercerai dulu adalah disebabkan hal yang sama. Dia tak sanggup lagi berdepan dengan selera pelik suami. Aku juga diberitahu, rupanya isteri baru bekas suami itu bekas GRO. Aku hanya mampu terdiam.
Seorang wanita ditemukan maut tergantung di kipas siling di rumahnya di Kulim selepas dipercayai membunuh anak perempuannya berusia empat tahun akibat tekanan emosi. Kes tragis ini disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.