
Isteri masih hubungi “love scammer”, kecewa hutang RM260,000 dipercayai punca tragedi maut empat sekeluarga di Desa ParkCity.
Love scam dipercayai menjadi punca tragedi maut empat sekeluarga di Desa ParkCity selepas kerugian dan hutang sehingga RM260,000 ditanggung susulan penipuan cinta yang membabitkan isteri lelaki berusia 48 tahun berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 48 tahun yang juga bapa kepada dua kanak-kanak terbabit meninggalkan sekeping nota di atas meja makan sebelum dipercayai membunuh diri.
Menurutnya, nota itu menyatakan rasa kesal lelaki berkenaan terhadap isterinya yang mempunyai hubungan dengan seorang scammer menerusi penipuan cinta sehingga menyebabkan dia menanggung kerugian dan hutang berjumlah RM260,000.
Love Scam Cetus Kerugian Dan Hutang RM260,000

Lebih mengejutkan, berdasarkan kandungan nota berkenaan, isterinya dikatakan masih cuba menghubungi scammer terbabit.
“Dalam nota itu, isterinya dikatakan masih cuba menghubungi ‘scammer’ berkenaan.
“Suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau selain berasa malu kepada anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isteri Suri Rumah, Suami Pengarah Syarikat
Memetik sumber Berita Harian, Fadil, isteri suspek yang berusia 47 tahun merupakan seorang suri rumah, manakala lelaki berkenaan bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat milik bapanya.
Terdahulu, lelaki berusia 48 tahun itu ditemukan maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium berkenaan.
Polis yang menerima laporan pada jam 3.32 petang kemudian memasuki unit kediaman keluarga itu dengan bantuan bomba sebelum menemukan isterinya serta dua anak mereka meninggal dunia di dalam bilik berasingan.
Dua kanak-kanak terbabit masing-masing merupakan seorang perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia tujuh tahun.
Ketiga-tiga mangsa ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.

Pisau Dan Sarung Tangan Ditemukan
Dalam perkembangan terbaharu, proses bedah siasat terhadap anak perempuan pasangan berkenaan selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tengah hari tadi.
Fadil berkata, bedah siasat yang bermula jam 9 pagi itu menemukan satu luka tikaman berukuran lima sentimeter pada bahagian leher kanak-kanak berkenaan.
Anda mungkin berminat dengan
“Bedah siasat kedua ke atas mayat isteri suspek akan dijalankan selepas solat Jumaat dan dijangka tiga bedah siasat akan dilakukan hari ini.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek pula dijangka dilakukan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada pagi esok,” katanya.

Mengulas mengenai senjata dipercayai digunakan dalam kejadian, Fadil berkata, polis menemukan sebilah pisau bersama sepasang sarung tangan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama.
“Kedua-dua barangan itu dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

