Nama Lisdawati bukanlah sosok yang asing dalam dunia seni lakonan tanah air. Mula aktif sejak 18 tahun yang lalu, Lisdawati tidak pernah menyepikan diri dalam dunia lakonan walaupun sudah berumah tangga dengan aktor dan pengarah yang berbakat besar, Fauzi Nawawi pada 2007.
Hasil perkongsian hidup pasangan selebriti ini dikurniakan empat orang cahaya mata. Lisdawati yang baru sahaja melahirkan anak keempat mereka baru-baru ini telah dijemput untuk menghiasi muka depan MW.
Berlakon Ketika Dalam Pantang
Memasuki usia 40-an pada tahun ini, Lisdawati tampil cukup menawan meskipun sudah beranak empat dan juga baru melepasi tempoh berpantang. Menurut aktres ini, walaupun sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, tawaran berlakon tidak pernah putus untuk dirinya. Tapi dengan statusnya itu, fokus utama adalah keluarga tapi tidak menolak jika ada tawaran watak yang sesuai dengan dirinya.
“Alhamdulillah saya baru sahaja lepas berpantang anak yang keempat. Sekarang bayi lelaki saya sudah berumur dua bulan setengah. Saya masih lagi aktif berlakon dan baru-baru ini saya telah muncul dalam drama bersiri Bahagia Bukan Bidaan bersama suami saya, Fauzi Nawawi dan beberapa pelakon lain seperti Nora Danish dan juga Dato’ Adi Putra.
“ Ketika penggambaran drama tersebut, usia bayi saya baru sahaja 20 hari. Saya dah terima tawaran berlakon ni sebelum bersalin lagi. kalau nak ikutkan saya bersalin awal 10 hari dari tarikh jangkaan. Jadi kerana komitmen tersebut saya perlu lakukan juga penggambaran tersebut.
“Nasib baik saya berlakon bersama suami dan adegan yang melibatkan saya semuanya di rumah. Jadi saya tidak terlalu terdedah dengan angin luar. Bayi saya juga saya perlu bawa bersama kerana dia masih menyusu badan. Saya bawa pembantu untuk uruskan bayi ketika saya berlakon. Syukur semuanya dipermudahkan. Ada ketikanya saya perlu bawa makanan pantang saya sendiri, jadi walaupun perlu berlakon, rutin pantang saya tetap diteruskan,”ceritanya tentang pengalaman berlakon ketika masih dalam pantang.
Menurut Lisdawati lagi, sungguhpun dirinya bergelar isteri dan juga ibu, bahkan penampilan juga sudah agak berubah, itu semua sedikit pun tidak memudarkan minatnya dalam bidang lakonan. Malah sehingga kini dia masih lagi aktif dan rezekinya sentiasa ada. Jiwa seni dalam dirinya sentiasa menebal namun fokusnya kini lebih kepada keluarga tercinta.
Tambahnya lagi, ada juga tawaran lakonan lain yang datang selepas drama Bahagia Bukan Bidaan tapi memandangkan bayinya yang masih kecil dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga, hanya tawaran berlakon yang bermula pada tahun hadapan yang diterima Lisdawati.
Rahsia Kekal Ramping
Turut berkongsi pengalaman hamil di usia yang agak lewat, jelas Lisdawati memang ada perbezaan ketara daripada kehamilannya yang terdahulu.
Ads
“Kali ini saya hamil pada usia 40 tahun, memang berbeza dengan yang terdahulu. Dari segi tenaga terutamanya dan juga nak dapat balik bentuk badan yang asal seperti dahulu. Hamil pada usia dah menjangkau 40-an ini banyak yang perlu dijaga. Saya banyak jaga pemakanan dan melakukan senaman untuk kembalikan bentuk badan yang asal. Bagi saya mudah sahaja, apa yang kita lakukan sekarang adalah bekalan untuk hari tua, jadi penting untuk saya menjaga pemakanan saya dan yang sentiasa menjadi amalan adalah minum air kosong yang banyak.
“Saya memang tak boleh kalau tak minum air manis tapi apa yang saya lakukan adalah pastikan diri sentiasa berdisiplin untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari,” ujarnya lagi.
Walaupun sudah memasuki usia 40-an dan mempunyai empat orang anak, ibu kepada Nor Aini Farhana, Nor Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh ini tetap kelihatan muda dan jelita. Turut berkongsi rutin pemakanan yang diamalkan menurut Lisdawati, dia jarang makan ayam dan daging.
“Saya memang seorang yang jaga pemakanan. Saya memang jarang makan ayam dan daging. Dalam hidangan untuk saya sendiri atau keluarga, memang saya banyakkan sayuran terutamanya lobak merah. Anak-anak dan suami memang dah sedia maklum, kalau saya yang masak, lobak merah pasti ada dalam menu kami.
“Untuk makan malam pula, saya lebihkan sayuran dalam hidangan. Kalau ambil nasi dan lauk, separuh pinggan saya adalah sayuran. Saya pernah buat eksperimen dengan badan saya. Dua minggu saya tak jaga makan dan makan ayam setiap hari, hasilnya badan saya naik 4kg. Nak turunkan balik punyalah lama ambil masa. Sejak itu saya kurang makan ayam dan daging. Kalau nak makan protein, saya lebih memilih ikan dan juga makanan laut yang lain sebagai ganti.
“Bagi saya, paling penting adalah jaga pemakanan dan lakukan senaman. Kita sendiri tahu apa yang badan kita perlukan. Kalau nak diet pun boleh tapi jangan sampai paksa diri tidak makan dan sebagainya. amalkan pemakanan yang sihat dan jangan lupa bersenam itu yang paling penting,” ulasnya lagi.
Ads
11 Tahun Mematangkan Hubungan Suami Isteri
Mengulas lanjut mengenai suaminya, Fauzi Nawawi yang pernah dijemput ke program Talkshow MW untuk perbincangan tentang isu panas baran, Lisdawati akui suaminya itu pernah suatu ketika dahulu panas baran. Namun itu semua cerita lama, semakin matang usia dan perkahwinan mereka, sikap itu sedikit demi sedikit berkurangan.
“Saya akui suami saya dahulu panas baran. Sebelum berkahwin juga saya pernah dimaklumkan oleh ibunya tentang hal ini. Bila dah kahwin dan hidup bersama, baru saya alami sendiri. Tapi suami saya tidak pernah berbuat apa-apa yang memudaratkan fizikal dan juga emosi saya selama kami bersama. Biasanya kalau dia marah, mukanya bertukar merah dan dia akan keluar dari rumah untuk tenangkan diri.
“Sepanjang 11 tahun kami bersama, apa yang saya ingat sepanjang tempoh tersebut hanya dua kali kami berselisih pendapat yang agak serius. Apa yang kami berdua buat berbincang menerusi mesej atau whatsapp. Kami memang tak bergaduh depan-depan atau dalam telefon. Tujuannya kami tak mahu bila berdepan, lagi tambah mengeruhkan keadaan dengan nada suara yang tinggi dan sebagainya. Alhamdulillah, cara itu berkesan untuk kami berdua,” kongsi artis cantik ini.
Jelas Lisdawati lagi, ketika meniti usia bersama dengan beberapa ujian dalam kehidupan yang melanda, membuatkan suaminya lebih muhasabah diri. Setelah lapan tahun berkahwin, Fauzi mula menunjukkan perubahan positif dan sikap panas baran juga sudah berkurangan. Malah hubungan mereka berdua juga bertambah baik ditambah dengan kehadiran empat orang cahaya mata yang melengkapkan kehidupan mereka di samping empat orang anak Fauzi yang lain menerusi perkahwinan terdahulu.
Baik Dengan Anak Tiri
Mempunyai empat orang anak tiri yang sedang meningkat remaja, Lisdawati ternyata cukup disenangi. Malah keempat-empat mereka kini juga sudah tinggal bersama kerana melanjutkan pelajaran di ibu negara.
Ads
“Alhamdulillah, hubungan saya dengan anak-anak suami memang baik. Ada yang belajar di universiti dan kolej di Lembah Klang. Jadi setiap hari minggu, jika tiada kelas, mereka akan balik ke rumah kami.
“Nak jaga hubungan dengan anak-anak yang meningkat dewasa ini bagi saya bergantung kepada diri kita sendiri. Buatkan mereka rasa selesa bila berada dengan kita, jadikan kawan dan dengar apa sahaja cerita mereka. Dengan cara itu mereka akan sedar bahawa saya dan suami sentiasa ada untuk mereka. Lagi pula anak-anak abang Fauzi memang semuanya baik-baik, hormat saya dan sentiasa senangkan hati kami berdua.
“Saya layan mereka sama sahaja dengan anak-anak saya, tak ada bezanya. Kalau beli baju raya, kami semua sedondon. Kalau pergi bercuti, lapan-lapan orang kami bawa. Kalau kena marah pun sama, tiada diskriminasi antara anak kandung dengan anak suami. Apa yang saya ajar anak-anak saya, saya berikan yang sama untuk anak-anak tiri saya, begitu juga soal kasih sayang,” jelas Lisdawati.
Tambah Lisdawati, dia sebenarnya kagum dengan anak-anak tirinya. Walaupun bersekolah di sekolah yang terletak di luar bandar, mereka dapat membuktikan bahawa mereka boleh berjaya walaupun tidak bersekolah di sekolah elit atau sekolah swasta seperti di bandar. Kesedaran itu membuatkan Lisdawati juga sedar bahawa yang paling penting adalah ajaran dan didikan di rumah berserta usaha dan kesedaran anak-anak itu sendiri adalah perkara paling utama untuk berjaya dalam pelajaran.
Kini anak sulung Fauzi sedang belajar di Universiti Malaya, manakala anak ketiganya baru sahaja menamatkan pengajian di INTEC sebelum menyambung lagi pengajian dalam bidang yang lebih tinggi.
******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pelakon cantik Lisdawati. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, Volume 2 ini.
Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penulis & Penyelaras: Shahrina Azlin Abdullah
Konsep: Mustaizah & Musnida
Foto: TM Azman
Solekan & Dandanan: Atie Jengka
Busana: Zara
Tudung: Sofea Rose
Lokasi: The Villas, Sunway Resort & Hotel SPA
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sedikit rahsia didik anak, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, 33, dan isteri Rahayu Abbas, 38, cukup bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang cukup bijak dan comel.
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak, mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka, Arrianshah Akid atau mesra dipanggil Arrian, 5, dan Andrashah Iman atau mesra dipanggil Andra, 2, mempunyai karektor yang berbeza.
Cara Didik Anak, Bukan Niat Nak Menunjuk
“Tujuan utama saya bukanlah nak menunjuk-nunjuk kisah kehidupan kami sebagai selebriti. Siapalah saya, bahkan saya dan keluarga bukanlah selebriti yang punya nama besar. Di sini, saya cuma mahu berkongsi dengan orang luar mengenai idea mendidik anak-anak. Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa tapi ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza. Sebenarnya saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok lagi.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia juga sama seperti ibu bapa yang lain.
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak belajar tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet, bagaimana untuk membentuk anak-anak kita. Dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya ‘trial and error’. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka,” ungkap Ayu yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya dan teringin untuk memiliki anak perempuan pula.
1. Berbual-bual
Apabila sering berbual-bual dengan anak walau pun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti dan faham, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Mereka sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2. Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usiasetahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
3. Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun mereka masih belum mengerti/faham? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4. Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya. Ini yang Ayu lakukan kepada Arrian.
5. Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
6. Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7. Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira
Hargai Isteri
Itu sedikit perkongsian dalam bab mendidik anak, tetapi Tomok juga dedah cara terbaik menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Haaa… kalau Tomok sediri, dia kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti bila berkesempatan.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.” Ujarnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sepanjang Ramadan ini, pelakon popular Rita Rudaini isi masa mengaji Al-Quran. Secara online dengan anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna. Selama setengah jam setiap hari.
Bagus sungguh cara didikan Rita ini, walaupun berada dalam tempoh kawalan pergerakan. Rita masih ada cara alternatif yang baik untuk diisi oleh anak-anaknya.
Tapi, mengaji Al-Quran ini pun perlu ada guru yang membimbing, agar bacaannya betul tajwidnya. Sekarang ini lebih mudah, kerana ada guru online yang boleh memberi bimbingan walaupun tidak perlu bersemuka.
Bak kata Rita, “Setiap hari 1/2 jam ngaji online dengan ustaz @hjzalie ….bila ada masa terluang, tambah-tambah bulan puasa ni kul 5 petang baru sibuk di dapur kan…. apa kata kita perbetulkan bacaan dengan orang yang lebih bertauliah….lepas ni bila baca surah apa pon dah confident.
Nasihat ulama terkenal, Allahyarham Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz yang menyarankan umat Islam supaya mengambil inisiatif mempelajari tajwid bukan sahaja menjaga kemuliaan al-Quran, tapi mengelakkan daripada dosa kerana sengaja mengabai, melanggar dan meninggalkan kaedah membaca dengan betul.
Zaman sekarang ni senang, tak yah kayuh gerek pi umah tok guru… bole ngaji online dengan tok guru…sapa teringin nak blajaq bole watsap ustaz @hjzalie ….ajak satu family, suami, anak-anak perbetul bacaan kita… seronok mengaji beramai-ramai… sambil mengeratkan lagi ikatan family.”
Anak Jadi Imam Solat Tarawih – Rita Rudaini
Dalam pada itu, Rita yang membesarkan anak-anak sendirian ini juga mengambil inisiatif melakukan solat sunat tarawih di rumah. Yang mana, anak-anaklah menjadi imam untuk keluarga kecil mereka.
“Imam terawikh kami malam ni ajak selfie. Alhamdulillah.. malam Ramadhan pertama untuk kita semua moga diberi keberkatan… di setiap kejadian ada hikmah… selamat berpuasa semua… jangan lupa baca niat posa.” kongsinya pada awal Ramadan lalu.
Sofia Jane kekal jelita dalam usia 50-an sampai diberi julukan ‘vampire,’ ada makanan jangan makan. Sofia Jane sering diberi julukan ‘vampire’ daripada sebilangan peminat kerana wajahnya yang tidak berubah walaupun menjangkau usia 50-an.
Sofia Jane Kekal Jelita Dalam Usia 50-an Sampai Diberi Julukan ‘Vampire’
Masih kelihatan jelita dan bertenaga pada usia melangkaui angka jubli emas, antara tip dikongsikan pelakon Datin Sofia Jane termasuklah berhenti ‘menyentuh’ makanan berproses.
Kata Sofia atau nama sebenarnya Sofia Jane Hisham, 52, sesiapa sahaja boleh kekal awet muda asalkan terus menjaga pengambilan hidangan harian serta menjalani gaya hidup sihat dengan bersenam.
“Setiap hari bila saya bangun, saya akan pergi ke gimnasium untuk bersenam dan mengangkat beban.
Ada Makanan Jangan Makan
“Saya juga amalkan makanan yang sesihat mungkin. Sudah lama saya tidak ambil makanan berproses dan makanan segera.
“Pada saya untuk mencapai semua ini hanyalah asas dan sangat mudah tapi ramai yang tidak percaya,” katanya.
Ujar Sofea lagi, dia menggalas tanggungjawab untuk menjaga kesihatan bagi membolehkannya kuat bekerja.
“Ketika ini, seperti menjadi satu obsesi orang ramai bila kita bercakap soal pengekalan kecantikan.
“Saya merasakan pada usia saya sekarang apa yang membuatkan saya terus melangkah adalah tahap kesihatan saya sendiri.
“Kalau saya ingin bekerja lebih lama lagi, saya mesti sihat secara mental dan fizikal. Pada ketika ini, itulah yang menjadi keutamaan saya,” ujarnya.
Ini antara nasihat Sofia terutamanya kepada pelakon wanita untuk sentiasa menjaga kesihatan. Hal ini kerana sebagai pelakon, perlu menggunakan tenaga tanpa mengira waktu.
“Buat wanita seusia saya terutamanya yang berkecimpung dalam dunia seni, tahap kesihatan kita kena sentiasa berada di tahap terbaik.
“Waktu kerja kita bukan dari 9 pagi hingga 5 petang. Kita kerja siang dan malam serta waktu yang tidak menentu.
“Malah, kesedaran terhadap kesihatan mental juga penting. Kerja kita memerlukan belajar, membaca dan memahami skrip, ada banyak perkara yang perlu diproses,” jelasnya.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...