Linda Jasmine lalui kehidupan dengan baik sebagai ibu tunggal. Selepas berpisah dengan bekas suaminya, Que Haidar kini kehidupan Linda Jasmine Hashim baik-baik saja.
Akui Linda Jasmine walau sudah berpisah namun dirinya dan Que Haidar masih menjalinkan hubungan yang baik demi anak-anak dan kini masing-masing membawa haluan sendiri.
Linda Jasmine Lalui Kehidupan Dengan Baik
“Sebelum saya kahwin dengan Que, saya sudah biasa seorang dan menguruskan anak saya buat sendiri. Jadi, sebenarnya tak ada beza, sama saja selepas bercerai.
“Hubungan saya dengan Que pun okay, tiada masalah. Kami berpisah secara baik, Alhamdulillah. Tiada masalah. Tak ada gementar ke apa. Tak ada,” ungkap Linda Jasmine ketika ditemubual Malam Anugerah Nona Superwoman Awards 2024.
Ads
Sepakat Tidak Kongsi Hal Peribadi
Malah Linda juga sudah sepakat dengan bekas suaminya agar tidak perlu berkongsi hal berkaitan peribadi.
“Memang saya cuba elak ‘as much as possible’ daripada apa-apa khabar di media sosial. Sebab bagi saya, ini isu peribadi iaitu rumah tangga dan buat apa saya nak kongsi dengan semua orang.
Ads
“Jadi, saya rasa tak perlu kot. Tak perlu buat sebarang perkongsian hal rumahtangga. Saya juga tak nak macam kecoh-kecoh yang tak sepatutnya, tak diperlukan pun,” sambung Linda.
Tambah Linda lagi kini dirinya melalui kehidupan dengan baik sebagai ibu tunggal. Untuk rekod, pada 26 Oktober tahun lalu, Que mendedahkan dia dan Linda sudah sah bercerai pada 2 Julai tahun lalu selepas 15 tahun hidup bersama. Mereka mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, 16, dan Tengku Cleopatra Haidar, 13. Linda juga memiliki seorang anak lelaki, Qalif Khan, 24, hasil perkahwinan terdahulu.
Isteri tabah jaga suami lumpuh, meski derita sakit saraf tunjang kronik. Ketabahan dan pengorbanan seorang isteri, Norzalina Zakaria, 43 menjaga suaminya lumpuh separuh badan sangat menyentuh perasaan.
Biarpun dirinya sendiri tidak sihat kerana mengidap saraf tunjang kronik selepas terlibat kemalangan jalan raya pada tahun 2007, dengan rasa cinta sepenuhnya, dia setia menjaga suami, Mohd Nazri Mohd Zain, 40 yang lumpuh separuh badan selepas terjatuh dari bangunan pada ketinggian lima meter ketika melakukan kerja memasang penghawa dingin 10 tahun lalu.
Berkongsi kisahnya bersama Mingguan Wanita, mesra disapa Lin, meski diuji saraf tunjang kronik hingga perlu minum susu menggunakan tiub, dia akui pertolongan Allah sentiasa bersamanya dalam menguruskan semua keperluan suami.
“Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan tenaga untuk mengangkat suami setiap hari baik ketika mahu memandikannya atau ketika suami perlu ke hospital untuk rawatan kesihatannya. Alhamdulillah, saya mampu menguruskan keperluan suami setiap hari.
“Tubuh suami sudah agak melengkung sebenarnya. Jadi saya memang kena angkat dirinya sekitar berat hampir 50kg kerana suami tak mampu berdiri lagi, tidak seperti pesakit lumpuh lain.
Kisah cintanya dan suami umpama fairy tales. Dia jatuh cinta ketika pandang pertama dan nekad melamar suami sebagai teman hidup biar pun ketika itu sudah ada lelaki yang mengajaknya berkahwin.
Bagai takdir yang tertulis buat mereka berdua, Lin melamar Nazri yang ketika itu sudah pun lumpuh separuh badan dan hanya mengharapkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ketika bekerja sebagai Pengerusi Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh, saya bertemu Nazri. Saya lamar dirinya asbab mahu menghalalkan ketika menguruskan dirinya yang terlantar. Dia sendiri terkejut.
“Asbab perkahwinan kami ini juga, lelaki yang ajak saya berkahwin banyak membantu menguruskan perkahwinan kami termasuk tolong belikan cincin, urusan nikah dan sebagainya. Dan dengan izin Allah juga, kami suami isteri jadi kawan baik kepada sahabat ini tadi.
Mengimbas kisah lalu itu, kata Lin, selepas terlibat kemalangan jalan raya pada 2007, dirinya disahkan separa lumpuh selama tujuh tahun.
“Keluarga sukar menerima keadaan saya selepas kemalangan hingga ada kisah sedih di dalamnya. Ini termasuklah tidak dizinkan membuat pembedahan tulang belakang kerana takut cacat selama-lamanya. Tapi kesakitan yang saya lalui akibat tulang asyik tercucuk buat saya nekad. Alhamdulillah pertolongan Allah itu mampu pulih semula dan mampu berjalan seperti hari ini.
Selepas pulih dari titik gelap kehidupannya itulah, dirinya memberi khidmat fisioterapi dan motivasi di hospital kepada pesakit senasib yang diuji, tempat dia bertemu cinta hatinya.
“Asbab perkahwinan kami, hubungan saya dan keluarga yang sebelum ini tidak rapat kembali baik semula di mana emak amat menyayangi Nazri.
Tidak hanya diuji suami lumpuh tetapi di Rumah Harapan Nur Aafiyah yang ditubuhkan mereka untuk pesakit lumpuh, Norzalina turut menjaga neneknya yang berusia 92 tahun dan perlu dibantu sepenuhnya.
“Tinggal bersama kami makcik berusia 63 tahun yang disahkan autism. Tidak mudah melalui semua itu dengan masalah saraf tunjang kronik yang saya hidapinya tapi selagi ada nafas, selagi di bumi Allah hidup perlu diteruskan juga.
“Ada masa saya akan menangis sendiri. Melepaskan lelah dan kepenatan menguruskan semua ini tapi saya percaya ganjaran di akhirat adalah segala-galanya.
Norazlina akui dirinya sendiri tak terlepas dari ujian termasuk soal kesihatan mentalnya. Ini termasuklah anxiety tapi dia berjaya keluar darinya kerana masih ada iman di dada.
Bersuamikan Nazri, ia tidaklah sesusah menguruskan keperluan lelaki dicintainya itu kecuali keterbatasan kewangan sahaja tidak boleh bergerak keluar bekerja seperti orang lain di luar. Bahkan kata Norzalina, suaminya bukan terbaring sepenuhnya tapi juga bekerja.
“Hasil fisioterapi setiap hari, suami yang dahulunya tak mampu pegang sebiji cawan kini sudah mampu mengasingkan cooper timah dari barangan rosak diberikan orang kepada kami.
“Alhamdulillah, itulah rezeki kami sehari-hari hasil jualan barang terpakai. Kesihatan suami juga ada kala merosot dan bukan setiap hari sihat. Tapi jika dulu tiada sebarang rasa akibat lumpuh tapi kini Allah hadirkan rasa sakit itu kepadanya ketika kulitnya tersiat saat dia mengasingkan cooper timah.
“Suami juga amat memahami dan sentiasa memudahkan saya. Katanya tak perlu masak untuknya dan kami hanya membeli untuk makan minum nenek dan ibu saudara. Biasanya beli sedikit dan kemudian disejuk bekukan.
Bahkan saat ini, suaminya yang pernah membuang ketumbuhan di saraf tunjangnya pada 2023, kembali menderitai masalah sama kerana tumor kembali tumbuh dan menghimpit saraf di bahagian C4, C5 dan C6nya.
Doakanlah saya kuat untuk kami bersama-sama mengharungi ujian ini,”katanya yang dihubungi.
Saksikan vodcast Mingguan Wanita bersama Norzalina dan suami dalam masa terdekat nanti. Ada banyak yang dikongsikan wanita hebat ini sebagai panduan wanita di luar sana.
Tahanan Palestin bersyukur dibebaskan, “saya baru keluar dari neraka & kini seolah di syurga. Azab dilalui tahanan Palestin dalam tahanan zionis ternyata amat buruk untuk dikenang. Ia umpama baru keluar dari neraka dan kebebasan di depan mata umpama syurga indah. Kebanyakan tahanan Palestin yang dibebaskan awal pagi ini mendakwa mereka ditahan dalam keadaan mengerikan di penjara Israel di Tebing Barat yang diduduki.
“Saya keluar dari ‘neraka’ dan sekarang saya di ‘syurga’, kami keluar dari ‘neraka’,” kata tahanan yang dibebaskan, Abdelaziz Atawneh Atawneh, kepada Reuters.
“Mereka selalu pukul kami, tembak gas pemedih mata ke arah kami. Mereka mengira kami dengan kepala kami tersembam di lantai.
“Tiba-tiba mereka masuk ke dalam sel dan menembak gas ke arah kami. Mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami. Tiada makanan, tiada manisan, tiada garam. Tiada apa-apa,” kata Abdelaziz.
Dalam pada itu, pada fasa pertama pembebasan, antara yang dibebaskan adalah tahanan Palestin paling terkenal iaitu pemimpin Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) di Tebing Barat, Khalida Jarrar.
Jarrar pernah menjadi ahli Parlimen Palestin dan sangat mengejutkan melihat penampilannya selepas dibebaskan. Wajahnya kelihatan cengkung dan seolah tidak bermaya sejak ditahan dalam penjara Israel.
Dirinya ditahan pada awal Julai 2017, di mana Jarrar berusia 54 tahun ketika itu dan dianggap Israel sebagai pertubuhan pengganas selepas dibebaskan dari penjara setahun sebelum itu.
Beliau ditahan enam bulan tanpa bicara oleh pihak berkuasa Israel.
Israel dijangka membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dalam tempoh enam minggu akan datang semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Kebanyakan yang dibebaskan pada Ahad merupakan wanita dan remaja.
“Kebebasan, kebebasan, kami biasa melihat langit melalui petak kecil. Saya biasa berkata saya berharap saya akan melihat langit tanpa petak-petak ini,” kata tahanan yang dibebaskan berusia 18 tahun, Rose Khwais, kepada Reuters.
Rose berkata pengawal penjara Israel melayan tahanan Palestin “seperti haiwan.”
“Kami keluar dari sel seperti ayam dan kemudian kami dikembalikan ke sel kami. Mereka tidak melayan kami dengan baik, tiada makanan yang baik, tiada rawatan perubatan.
“Saya mengalami simptom strok, cecair di sekitar jantung, dan juga masalah tekanan darah. Saya tidak takut dengan penyakit itu, saya risau keluarga saya akan tahu bahawa saya jatuh sakit,” kata Rose Khwais. – Awani/ Agensi
Sandwich ham & cheese dijual di kedai serbaneka UM disahkan tiada sijil halal. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich” yang diragui status halal.
Memetik laporan Harian Metro, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
“Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah suatu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang sudah diambil oleh KPDN,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Beliau berkata, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal.
Terdahulu media melaporkan Universiti Malaya (UM) menutup serta-merta dua premis jualan runcit 24-jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
Dalam kenyataan media, UM menyatakan arahan penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Isu ini turut mendapat perhatian dari Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang tampil mengecam penjualan ‘sandwic ham’ di kedai KK Mart di Universiti Malaya.
Dalam video yang disiarkan di Tik toknya, Adun Merlimau itu berkata ‘ham’ dikaitkan dengan daging babi.
“…Okaylah, mungkin dijual untuk orang bukan Islam, ini masih boleh diterima. Tapi tengok balik bungkusan tu, ada logo halal.