Tak sangka bila alergi dengan ubat-ubatan boleh mengakibatkan keadaan serius pada diri.Pesanan buat mak ayah, bila anak jatuh sakit, segeralah membawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.Beritahulah pada doktor jika anak mempunyai alahan tertentu.Jangan sesuka hati bagi sebarang ubat pada anak-anak.
Sindrom Steven Johnson (SJS) adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi boleh menjadi serius hingga menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Ia adalah kelainan serius pada kulit, membran mukosa, sekitar alat kelamin dan mata yang disebabkan oleh reaksi tubuh terhadap pengambilan ubat atau jangkitan.
Pesakit boleh menderita gatal-gatal dan kulit mengelupas disebabkan oleh tindak balas berlebihan atau alergi terhadap ubat dan infeksi tertentu. Tempoh pemulihan mengambil masa yang lama sehingga berminggu-minggu.
Jadikan perkongsian oleh Puan Nur Fazella sebagai pengajaran buat mak ayah agar lebih berhati-hati memberi ubat pada anak. Anaknya, Khairi Iskandar,11 menghidap Sindrom Steven Johnson (SJS) baru-baru ini.
Ads
Berikut perkongsian yang dikongsikan:
Genap 3 minggu terlantar di hospital kerana antibiotik. Alhamdulilah discharge sudah handsomeku. Rupanya ubat bukan sahaja penawar tetapi racun yang boleh membunuh. Walaupun discharge tapi masih sambung rawatan mata dan mulut di rumah lagi. Mata masih rabun dan mulut masih sakit.
Sekadar ingatan untuk semua, berhati-hati makan atau bagi anak-anak ubat, jangan jadi seperti aku.
Ads
Keluar Bintik Merah
Pada mulanya Khairi demam dan batuk-batuk.Doktor bagi antibiotik, ubat batuk dan PCM..Selepas makan 1 biji antibiotik keluar bintik-bintik merah di mulut dan tapak tangan.
Dalam fikiran aku. Khairi kena jangkitan HFMD, teruskan makan. Selepas pil ke-3, dia mengadu sesak nafas dan kami bawa ke unit kecemasan Hospital Likas. Pada mulanya di sangka campak. Doktor pakar siasat-siasat, rupanya STEVEN JOHNSON.. Ini lah nama penyakit 1st time aku dengar. Lepas ini, kalau telan 1 biji ubat nmpk ada tanda-tanda merah di badan, buatlah sesuatu!
TERIMA KASIH pada semua sahabat dan family yang telah mendoakan Khairi.
Ads
TERIMA KASIH pada semua jururawat dan doktor di Hospital Likas, layanan memang 1st class.
Hanya Allah sahaja yg dapat membalasnya dan mudahan-mudahan kalian sentiasa dalam rahmat Allah swt.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah semoga berhati-hati ketika memberikan ubat buat anak-anak. Bertindaklah segera sekiranya mendapati anak mengalami simptom-simptom meragukan selepas memakan ubat.
Hidayah Allah itu hadir kepada insan yang terpilih. Dan Allah telah memilih Nur Ain Bahuang Abdullah untuk menjadi salah seorang umat-Nya Sebaik sahaja Nur Ain mengucap dua kalimah syahadah pada tahun 1990, sukar untuk saudara ini menggambarkan perasaannya pada ketika itu.
Sebelum ini dia tidak pernah merasa begitu tenang sebagaimana tenangnya hati sebaik sahaja sah menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya dia rasa begitu bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk masuk agama Islam.
Wanita yang berasal dari Ranau, Sabah ini tertarik dengan agama Islam kerana ajarannya yang begitu mudah difahami. Apabila dirinya dikelilingi oleh orang-orang yang beragama Islam, jiwanya semakin dekat dengan agama suci ini. Itu yang membuatnya hatinya terbuka untuk mengenali sekaligus bergelar seorang muslim.
“ Saya masuk Islam ketika masih bujang. Tidak ada paksaan daripada sesiapa. Sebaik sahaja saya bergelar saudara baru saya melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan larangannya. Malah saya mula belajar untuk beramal ibadah dan mendalami ajaran-ajaran Islam.
” Walau begitu keputusan saya untuk memeluk agama Islam itu tidak begitu menyenangkan keluarga kandung. Mereka tidak boleh menerima keputusan saya itu. Malah mereka juga tidak boleh menerima kerana saya masuk Islam tanpa pengetahuan mereka. Saya tidak memberitahu mereka dan keluarga kandung mendapat tahu dengan sendiri.
” Sebaik mengetahui bahawa saya telah bergelar saudara baru, hubungan saya dan keluarga kandung tidak begitu baik. Akibatnya mereka ingin memutuskan pertalian darah dengan saya.
” Saya fikir cabaran yang saya hadapi setelah bergelar seorang saudara baru dan seorang muslim ialah apabila saya terpaksa terima dan hadapi apa jua berkaitan hubungan kekeluargaan saya dan keluarga kandung yang tidak begitu baik.
” Untuk menghadapi cabaran tersebut, saya ambil pendekatan lebih banyak berdiam diri dan tidak putus-putus berdoa semoga Yang Maha Esa menunjukkan jalan yang benar dan membantu saya menghadapi apa jua dugaan yang datang kepada saya.
” Jika ditanya apakah kesukaran yang saya hadapi sebagai saudara baru? Apa yang boleh saya katakan tidak ada kesukaran kerana Islam mengajar saya erti kesabaran jika diuji. Allah SWT menjanjikan kepada hamba-hamba-Nya, lambat atau cepat tetap akan ada kebahagiaan selepas kesukaran,” ujarnya panjang lebar.
Dalam memastikan dirinya mampu menjadi seorang umat Islam yang beramal soleh, Nur Ain banyak menghabiskan masa mencari ilmu agama yang masih kurang dalam jiwanya. Jika hati sudah tekad semuanya mudah untuk dicari. Walau perlu belajar sendiri, dia tidak akan berputus asa mencari ilmu.
“ Dalam mencari ilmu, saya kedai buku berdekatan adalah tempat saya pilihan saya. Di sana saya banyak membeli buku rujukan mengenai agama Islam. Selain itu saya juga cuba belajar kalimah-kalimah Islam yang dapat menyenangkan hati dan perasaan saya.”
Nur Ain amat bertuah dan bersyukur kerana ketika dirinya masih mencari-cari, ramai yang mahu membantunya mendalami agama Islam. Dalam kata lain, Allah memudahkan dirinya mencari ilmu.
“ Saya tidak pernah bersendirian dalam mencari ilmu dan belajar mengenai ajaran Islam. Sebelum saya berkahwin, rakan-rakanlah yang banyak membantu saya. Mereka mengajar saya cara untuk mendirikan solat dengan betul dan membaca Al-Quran. Tetapi selepas saya bernikah, suami dan kakak ipar pula lagi banyak membantu saya dan menegur jika ada kesilapan yang saya lakukan tanpa saya sedari. Saya berterima kasih kepada mereka.”
Bergelar umat Islam juga sedikit-sebanyak telah mengubah cara hidup Nur Ain. Paling ketara adalah dari segi penampilannya.
“ Perubahan yang paling ketara saya hadapi ialah saya cuba untuk menutup aurat sebagaimana yang disarankan dalam agama Islam. Selain itu saya sentiasa berusaha untuk menjaga solat dan menunaikannya dengan sempurna dan cukup setiap hari.
” Masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan saya tidak akan berhenti belajar. Harapan saya kini adalah ingin melihat anak-anak yang saya lahirkan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Saya berdoa agar mereka berjaya dalam hidup dan dapat membimbing keluarga mereka sendiri pada suatu hari nanti.
” Bukan itu sahaja. Saya selalu juga berdoa agar mereka semua berjaya di akhirat juga. Dunia hanya sementara. Akhirat selamanya,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Indahnya sebuah kisah cinta agung, antara pasangan suami isteri bernama Muhammad Saiful Azam Azmi, 25 dan allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24. Isterinya meninggal dunia sehari selepas nikah.
Azam dan allahyarham isterinya diijabkabulkan pada Jumaat, 3 Ogos 2018 di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Azam cuma dapat bergelar suami selama sehari apabila isterinya menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan kanser tisu tahap tiga yang dihadapinya.
Catatan abang-abang allahyarham Fatin Nur Syahirah, Yusri Yusof dan Shukur Yusuf ini benar-benar meruntun hati. Dikongsikan dengan penuh tulus, tentang adiknya yang sentiasa bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinannya. Malah tidak merungut tentang sakit kanser yang dialaminya.
Hari ini, adik perempuan, Fatin Nur Syahirah telah pulang menyahut panggilan Ilahi yang ternyata lebih sayang kepada arwah Syahirah atau dalam keluarga kami lebih mesra dipanggil kakak. Dia anak perempuan pertama dan adik beradik keempat dari lima beradik.
For most, people will say she lost her battle with cancer. Tapi ini bukan sebarang kanser, ini mesenchymal chondrosarcoma. Sejenis kanser yang rare, menyerang soft tissue dan cartilage. Tumor yang sangat agresif dan tiada belas kasihan untuk tubuh seorang gadis yang baru berumur awal 20-an.
Tapi bagi kami kakak won her battle with this cancer. Sejauh mana pun agresif kanser ini tapi dia tak pernah give up. Tak pernah menyerah kalah. Kakak sangat kuat dan tak pernah merungut. Dua major surgery Sep 2017 dan Feb 2018 dengan bukaan lebih panjang dari C-section. Kakak terus berjuang melawan mesenchymal chondrosarcoma, dan pada masa yang sama tetap positif dan jarang sekali mengalirkan air mata.
Kakak kuat sebab dia cinta Allah dan Rasul, kakak kuat sebab kami sekeluarga cintakan kakak. Tapi kakak lebih kuat sebab ada cinta dari anak muda bernama Azam. Azam yang sanggup menerima keadaan kakak dan ingin menjadikan Syahirah sebagai isterinya. June 2018, lepas Aidilfitri mereka bertunang dengan niat untuk bernikah pada 18 August ni sebelum Aidiladha.
Tapi apa kan daya kesihatan kakak merosot secara mendadak dalam tempoh seminggu ketika aku ada kat Korea. Lumpuh apabila kanser menyerang tulang belakang, pernafasan kakak pun amat terganggu. Tapi perancangan Allah Maha Hebat dan Dia izinkan majlis pernikahan mereka berdua. Akhirnya Azam dan Syahirah pun sah bergelar sebagai suami isteri setelah bernikah di rumah pada 3 Ogos 2018.
Dan hari ini kakak meninggalkan kami semua, selama-lamanya. Aku sembang-sembang dengan adik ipar baru, Azam dan dia dengan air mata bergenang ucap terima kasih kerana benarkan dia keluar dengan Syahirah sebelum-sebelum ni. Sambil air mata kami mengalir di pipi, aku cakap kat Azam “Takde apa lah benda kecik ja tu. Walaupun Syahirah dah takde, kita tetap adik beradik. Kalau nak datang rumah bila-bila mai ja Azam.”
Siapa sangka, aku dan adik ipar turun dalam liang lahad untuk sambut jenazah adik dan isteri yang diturunkan oleh ahli keluarga yang lain. Allahuakbar.
Al Fatihah buat kakak, Fatin Nur Syahirah
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
Selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir di situ, tetapi tidak.
Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi.
Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak.
Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan.
Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…
Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Di negara Jepun ada sebuah hutan yang dinamakan ‘Hutan Bunuh Diri’. Sebab apa, disinilah penderita depresi rakyat Jepun mengakhiri hidup mereka secara paksa, ‘Bunuh Diri’.
Ketika kembara ke bumi Jepun pada 4hb hingga 14 Ogos lalu, Fatimah Naamat (Tim)berpeluang menjejak sendiri betapa seram dan sunyinya keadaan Hutan Aokigahara yang mendapat jolokan nama ‘Hutan Bunuh Diri’.
Seusai kami turun dari menakluk Gunung Fuji, kami ada beberapa jam sebelum menaiki bas ke Tokyo.
Tiba-tiba terpacul keluar idea nak ke Hutan Aokigahara atau dengan nama popularnya Hutan Bunuh Diri. Aokigahara terletak 25 minit sahaja dari Kawaguchiko.
Aokigahara merupakan tempat pilihan terakhir untuk hampir 100 rakyat Jepun (setahun) menghabiskan sisa hidup mereka. Statistik ini tinggi kalian. Sebulan dalam 8-10 orang yang bunuh diri di hutan ini.
Ada yang bunuh diri dengan menggantung diri, minum racun dan menghiris nadi di tangan.
Bila kami jejak kaki di sana, terus meremang bulu roma di lengan. Hati kumat kamit berdoa janganlah terserempak dengan mangsa bunuh diri.
Tak mampu Tim nak hadapi mimpi ngeri berbulan-bulan kalau ternampak satu insiden menyayat hati secara live.
Hutan ni sangat sunyi kawan-kawan. Rupanya geografi hutan yang berasal dari lava gunung berapi berupaya menyerap segala bunyi yang ada.
Memang menyeramkan bila kita masuk hutan namun tiada kedengaran bunyi hutan. Ianya sepi sunyi seolah hutan itu sendiri dalam keadaan depressi.
Malah hutan Aokigahara sangat tebal sehingga angin pun tak boleh masuk ke dalam. Eh nampaknya kena pasang Penapis Udara Cuckoo di sini. Ok tak kelakar tiba-tiba cerita pasal Cuckoo pula kan. Kah.
Tambahan lava gunung berapi bersifat tinggi galian besi. Menyebabkan line telefon tidak berfungsi di sini.
Bila jejak kaki di sini, baru Tim faham kenapa Aokigahara dipilih sebagai tempat pilihan bunuh diri no 1 rakyat Jepun.
Suasananya yang sunyi dan menyeramkan, kawasannya yang luas dan hutan yang tebal memang sesuai sekali bagi mereka yang tengah alami depresi.
Kerajaan Jepun banyak tampal peringatan untuk mereka yang depresi ingat pada keluarga dan cari bantuan lain untuk keluar dari depresi.
Malah ada juga psikiatrist yang sukarela berkemah di kawasan Aokigahara dan memberikan nasihat percuma pada mereka yang dirasakan hilang semangat untuk hidup.
Ya kawan-kawan sekalian. Salah satu punca rakyat Jepun mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi adalah kerana mereka hadapi depresi dengan hidup mereka dan mereka tidak tahu macamana nak hadapi depresi mereka.
Kita patut bersyukur sebab di Malaysia ada banyak ruang dan peluang untuk pejuang depressi teruskan hidup dan ubati depressi mereka.
Luahkan pada teman-teman sekiranya anda alami depresi dan cari lah bantuan sewajarnya.
Semua orang layak untuk hidup dengan penuh rasa syukur dan bahagia.
Kisah sedih nahas kemalangan di Lenggong menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan oleh pasangan hidup guru wanita yang maut dalam tragedi di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu.