kaum ibu

Kadang-kadang demi menjaga hati anak, kaum ibu sanggup berbohong. Tapi ibu bukan mengajar anaknya berbohong. Di sekolah, guru juga mengajar kita jangan berbohong. Apalagi dalam ajaran agama. Kerana bohong perbuatan tidak terpuji.

Tapi dalam kehidupan seorang ibu, berbohong menjadi perbuatan baik dan perlu dilakukan. Sudah tentulah ibu berbohong demi kebaikan. Pembohongan yang dilakukan ibu, tanpa kita sedari tujuannya, didorong oleh perasaan kasih sayang yang paling indah dalam dunia ini.

Bila masa ibu berbohong. Apa sebab ibu berbohong?

Kehidupan kita dulu-dulu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibu dan ayah berhempas pulas mencari rezeki buat anak-anak. Apa-apa yang ada tidak pernah berlebih malah selalu tidak cukup. Ketika makan, ibu akan mengagih-agihkan makanan untuk anak-anak. Sambil menyendukkan nasi ke pinggan anak-anak, ibu berkata:

1. “Makanlah nak, ibu tidak lapar…” Itulah kebohongan ibu yang pertama!

Apabila kita semakin dewasa, perbelanjaan keluarga bertambah. Ibu menggunakan segala kemahiran yang dimiliki untuk menambah pendapatan. Ada masa ibu memancing di sungai dekat rumah. Sepulang dari memancing, ibu masak sup ikan yang segar dan membangkit selera. Sambil melayan anak-anak makan, ibu duduk dan mengutip sisa ikan yang masih menempel di tulang. Ibu mencicip isi ikan yang tersisa. Kita melihat ibu seperti itu, hati tersentuh. Apabila kita mempelawa ibu makan, ibu cepat-cepat menolak. Dia berkata:

IKLAN

2. “Makanlah nak, ibu tidak suka makan ikan…” Itulah kebohongan ibu yang kedua!

Demi membiayai persekolahan anak-anak, ibu mengambil upah menjahit atau membuat jualan kuih. Hasil upah menjahit dan jualan kuih muih, dapat menampung serba sedikit keperluan persekolahan anak-anak. Kala anak-anak sibuk menelaah buku untuk menghadapi peperiksaan, ibu juga tidak lelap mata menemani anak-anak belajar sambil menyiapkan tempahan. Apabila disuruh ibu tidur, dia berkata:

3. “Ibu belum mengantuk, cepat belajar kemudian masuk tidur…” Itulah kebohongan ibu yang ketiga!

Ketika peperiksaan tiba, ibu tidak putus-putus berdoa agar anak-anak dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan beroleh kejayaan. Malah ibu sanggup menghantar makanan ke sekolah agar anak tidak perlu pulang dan masa yang ada boleh digunakan mengulang kaji pelajaran. Ibu sabar menunggu hingga loceng berbunyi untuk menghulurkan bekas berisi makanan dan minuman. Ketika kita mempelawa ibu minum, apabila melihat ibu berpeluh, dia menolak.

4. “Minumlah nak, ibu tidak haus…” Itulah kebohongan ibu yang keempat!

Setelah kematian ayah kerana sakit, ibu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dialah ibu, dialah ayah. Ibu sendirian memenuhi tanggungjawab. Dengan kudratnya, ibu meneruskan usaha membiayai keperluan hidup keluarga. Saudara mara melihat kehidupan yang begitu sengsara, menasihatkan ibu untuk kahwin lagi. Tetapi ibu yang keras kepala tidak mengendahkan nasihat mereka.

IKLAN

5. Ibu berkata: “Saya tidak perlu cinta…” Itulah kebohongan ibu yang kelima!

Setelah anak-anak semuanya tamat sekolah dan bekerja, ibu yang sudah tua sepatutnya bersara daripada pekerjaan. Tetapi ibu tetap rela bekerja setidak-tidaknya berkebun dan menjual hasil tanamannya di pasar. Kita yang sudah bekerja, mengirimkan sedikit wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu tetapi ibu tidak mahu menerima wang itu. Malahan mengirim balik wang tersebut.

6. Kata ibu, “Tak apa nak, ibu ada duit…” Itulah kebohongan ibu yang keenam!

Apabila kehidupan anak-anak sudah berjaya, kita pun berhasrat mengajak ibu tinggal bersama. Kita mahu membalas jasa ibu dengan kesenangan kerana ibu memang layak menerimanya. Tetapi ibu yang baik hati bermaksud tidak mahu menyusahkan anak-anak, dia berkata:

IKLAN

7. “Tak ada siapa nak jaga ayam itik dan kebun kita…” Itulah kebohongan ibu yang ketujuh!

Semakin lanjut usia, kesihatan ibu semakin menurun. Anak-anak susah hati melihat ibu terbaring lemah di katil. Ibu yang kelihatan sangat tua. Nyata betapa penyakit itu menjamah tubuh ibu sehingga dia lemah dan kurus kering. Kita menatap wajah ibu dengan linangan air mata. Hati perih, sakit melihat ibu dalam keadaan seperti itu. Tetapi ibu dengan tegarnya berkata:

8. “Jangan menangis anakku, ibu tak apa-apa…” Itulah kebohongan ibu yang kelapan!

Setelah mengucapkan kebohongannya yang kelapan, ibu tercinta menutup mata untuk terakhir kalinya.

Adakah itu cerita kita atau cerita orang lain yang pernah kita dengari?

Apabila kita sendiri sudah bergelar ibu ayah, kita lebih tahu apa perasaan ibu ayah kita terhadap anak-anaknya. Cubalah kita renungkan kembali, adakah kita masih mempunyai kesempatan untuk membalas budi orang tua kita. Jika ada, lakukanlah yang terbaik. Jangan sampai ada kata menyesal di kemudian hari.