Sayunya lihat keadaan lima beradik ini. Mereka tak pernah tahu masalah kewangan yang dihadapi ayah ibu. Namun mereka faham akan susahnya ayah mencari wang untuk keluarga. Lebih menyayat hati, mereka tak sedar pun yang selepas Ramadhan ini mereka perlu melangkah keluar dari rumah sewa yang mereka diami.
Ayah anak-anak ini cumalah seorang pengawal keselamatan yang sudah pun berusia 60-an. Dengan kudrat yang telah memasuki usia emas, apalah lagi pekerjaan sampingan yang dapat dilakukan. Semata-mata mengharap gaji bulanan dari pekerjaan dalam pondok pengawal.
Lima beradik ini ada yang sudah bersekolah dan ada yang masih kecil. Dan si kecil itu, baru-baru ini telah dimasukkan ke wad kerana dimasukkan antibiotik. Dugaan ini berat untuk ibu, menghalang ibu dari meninggalkan anak-anak untuk keluar mencari pekerjaan. Dia perlu berada di hospital menjaga anaknya. Tinggallah anak yang besar memastikan keselamatan adik-adik di rumah.
Biarpun usia ibu sekitar 30-an dia tetap sukar mencari pekerjaan dengan ujian demi ujian yang perlu dihadapi setiap hari. Peritnya mahu menanggung 5 kepala yang masih kecil ini. Namun, hidup tetap perlu diteruskan.
Episod Duka Pun Bermula
Pasangan ini terpaksa berjuang untuk hidup di tengah kotaraya Kuala Lumpur. Berapa sangatlah gaji seorang pengawal keselamatan. Sebelum ini mereka menyewa di sebuah rumah namun kerana gagal menjelaskan sewa, mereka diarah keluar dari rumah itu.
Kini mereka sudah menyewa di rumah baru dengan kadar RM400 sebulan. Memandangkan kejadian ini berlaku ketika Ramadhan, atas ihsan tuan rumah, keluarga ini diberi kelonggaran untuk duduk di rumah sewa itu tanpa menjelaskan deposit selama dua bulan.
Selepas dua bulan, mereka mesti menyediakan deposit. Jika ayahnya gagal menyediakan, sekali lagi mereka akan menerima nasib yang sama seperti sebelumnya. Diarah mengosongkan rumah ini.
“Memandangkan keadaan usia dan tiada kelulusan. Hanya pekerjaan itu yang mampu dilakukan oleh si suami. Isterinya pula tidak mampu untuk membantu menambah pendapatan kerana anak-anak yang masih kecil.” Catatan Natipah Abu dalam facebooknya. Beliau merupakan sukarelawan yang membantu keluarga ini.
Ads
Puan Natipah Abu, Sukarelawan . Kredit foto : Harian Metro
Sedekah Keperluan Dapur
Kali ini jariah beliau mahu membantu keluarga 5 anak ini untuk meneruskan kehidupan. “Atas dasar kasihan pada anak-anak yang selalu saja ponteng sekolah bila terputus wang belanja. Maka jariah kita hari ini ditujukan untuk keluarga ini.”
Ujar Natipah lagi, “Menurut yang menjalankan amanah menghantar keperluan dapur yang bernilai RM250 ini, hatinya sayu sangat bila melihat betapa gembiranya anak-anak menyambut pemberian yang dibawa.”
Salah seorang anak-anak itu spontan menuturkan, “Lama dah kita tak minum Milo kan?” Wajah gembira terluah para riak anak-anak.
“Masing-masing sibuk membuka biskut yang juga kita selitkan bersama untuk mereka dengan gembiranya tanpa mengetahui gelora di hati ayah dan ibu.”
Ads
“Semoga jariah kita ini akan meringankan keluarga ini yang mana ternyata telah mengembalikan semula senyuman di wajah anak-anak yang belum mengenal erti hidup.”
Update Terkini
Dalam catatapan itu, Natipah memohon netizen membantunya mendapatkan deposit sewa rumah dan membantu memudahkan urusan kewangan keluarga ini menjaga anak yang sakit. Sasarannya adalah sebanyak RM2000.
“Alhamdulillah.. tabung ini telah ditutup dengan mencapai sasaran. Bayaran kepada tuan rumah yang terletak di Klang, Selangor juga telah dijelaskan seperti berikut :
Deposit rumah : RM800
Deposit air : RM200
Deposit letrik : RM200
Sewa bulan Mei: RM 400
= RM 1600
“Baki RM800 akan diserahkan kepada keluarga ini . Mewakili keluarga ini, dipanjangkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu. Segala budi dan jasa hanya Allah sebagai saksi.”
Ads
Anda Yang Mahu Menghulurkan Bantuan
Biarpun dana keperluan rumah sewa dan anak sakit untuk keluarga ini sudah dipenuhi, pembaca dialu-alukan membantu keluarga ini dengan sumbangan untuk kelangsungan hidup mereka seterusnya.
Walau cuma seringgit, sumbangan anda tetap memberi makna kepada 5 beradik ini agar mereka dapat meneruskan persekolahan dengan selesa tanpa perlu ponteng sekolah apabila mak ayah tak mampu memberikan duit belanja.
Buat pembaca yang budiman mahu meneruskan hajat menderma boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun ayah anak-anak ini :
No. akaun : 03250414869 (Hong Leong Bank)
Atas nama : Abdul Aziz Bin Tajuddin
Di alamat : 23A Jalan Dato Dagang 23, Taman Sentosa, 41200 Klang Selangor.
Kehidupan berpoligami tidak mudah diterima oleh setiap wanita yang bergelar isteri. Apabila suami membuat keputusan untuk berpoligami, terasa bagaikan diri dikhianati dan tidak lagi disayangi.Kisah perkongsian wanita ini mengenai bagaimana dia tangani suaminya yang mahu berpoligami wajar dijadikan panduan buat wanita lain. Kematangan ilmu rumahtangganya dan tindakan bijak wanita ini, berjaya membatalkan hasrat suaminya untuk terus berpoligami, bukan hanya sekali tetapi dua kali.
Salam admin. Minta hide profile saya yer. Sekadar ingin berkongsi pengalaman saya mengendalikan seorang lelaki bernama suami yang ingin berpoligami.
Saya seorang perempuan, saya tahu naluri orang perempuan (saya berumur 40 tahun) dan suami berumur 46 tahun. Saya selalu cuba memahami dan mendalami perasaan suami saya. Alhamdulilah, saya telah berumahtangga lebih dari 22 tahun (saya kahwin ketika umur saya 18 tahun seusai saja tamat SPM) dan telah dikurniakan 10 orang cahayamata.
Untuk pengetahuan puan, semenjak kahwin saya tak pernah bergaduh dengan suami saya, petuanya ringkas, ikut kehendak suami dan jangan bantah selagi tidak bertentangan dengan perintah agama sekalipun ia mungkin bertentangan dengan kehendak kita.
Lepas tu baru kita beri pendapat kita dan kehendak kita pulak, tentu suami akan sejuk hati dan juga akan mengikut kehendak kita. (of course pilihan awal pun kena lah tepat, nak pilih suami pun janganlah main sapu jer, mentang mentang tengok dia kereta besar terus setuju. Kalau dah cari suami hidung belang, kena lah tanggung sendiri akibatnya).
Orang lelaki juga kadang-kadang seperti budak budak perangai dia. Lagi kita resist, selagi tu dia akan insist. Sama dengan newton’s law of motion i.e action equals to reaction. So kalau kita ikut kehendak dia, dia akan lebih tenang dalam membuat keputusan dan segala urusan akan lebih mudah.
Suami Seorang Jutawan
Untuk makluman, suami saya ni dah jadi jutawan pada umur 40 tahun walaupun pada asalnya ketika kami mula mula bernikah dia cuma memandu Proton Saga. Beliau seorang yang berjimat dalam segala hal. Memang duit cash simpanan dia dah melebihi jutaan ringgit dan dia ada beberapa buah rumah sewa dan sebagai isteri saya tak pernah meminta apa-apa pun dari dia, semuanya atas ihsan pemberian dia.
Saya bersyukur kerana Allah temukan saya dengan sorang suami yang baik bila saya compare dengan orang lain yang mendapat suami yang tak bertimbangrasa. Alhamdulillah, sejak kami kahwin dan dikurniakan ramai anak, hidup kami tak pernah kesempitan kerana saya percaya berkatnya rezeki kami dan saya qanaah dengan apa yang ada.
Walaupun saya tak bekerja sejak kahwin, rezeki kami sentiasa bertambah especially selepas kami menunaikan haji. Semasa pergi ke Mekah menunaikan haji 10 tahun lalu, yang saya minta cuma hidup aman yang berpanjangan bersama kasih sayang anak dan suami. Dan Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya.Tapi kita kena faham, orang laki ni bila banyak duit, banyak pula cabarannya.
Memang ada kawan kawan dia yang menawarkan perempuan lawa dan janda muda untuk di jadikan isteri kedua. Tetapi seperti yang saya cakap, kalau kita berterus terang dengan suami kita, dia juga akan berterus terang dengan kita.Dia pernah mengajukan pada saya hasrat nak kahwin lagi atas alasan nak menolong seorang janda muda anak tiga. Saya dengan tenang cakap pada dia, kalau itulah yang lebih membahagiakan hidup dia, saya izinkan dan saya redha.
Seperti yang saya cakap, kita jangan lawan. Hati perempuan mana yang ingin berkongsi suami. Samalah seperti saya. Tapi kita kena simpan perasaan kita tu dulu, kita kena setuju dulu dengan kehendak dia. Kemudian kita kena tunjuk pada dia kasih sayang kita yg tak berbelah bahagi walaupun dia telah menyatakan hasrat dia untuk kahwin lagi. Kita pelu cuma memenangi hati dia kembali. Mungkin ada kekurangan pada kita menyebabkan dia cuba mengalih arah.
Berikan Layanan Yang Lebih Baik
Nak tahu apa yang saya lakukan selepas dia menyatakan hasratnya untuk tambah cawangan? Tak ada piring terbang.Tak saya suruh dia tidur di luar….. Tak saya tidur membelakangi dia…tapi..Saya cuba untuk memberikan dia layanan yang lebih baik.Kalau biasa bangun pagi-pagi kita take for granted..makan-minum pagi suruh dia ambil sendiri atas meja, kali ni saya hidangkan..buat yang terbaik untuknya. Utamakan dia dari anak-anak. Buat seketika tu jer….
Sebelah malam pulak, pakai pakaian cantik cantik dan berwangi wangian …Semasa tidur peluk dia jangan lepas lepas sampai pagi …biar dia tercungap cungap pun tak apa….kalau dia tanya, cakap kata yang kita sayang sangat kat dia. So selagi dia masih ada kita seorang dalam hidup dia cakaplah kita nak ambil peluang sebanyak mungkin untuk bersama dia, sebab bila dia kawin lagi satu, kita akan berkongsi suami. Jadi masa tu nanti kita cuma ada separuh masa dengan dia (Lupa nak cakap…sebenarnya sebelum itu saya telah meminang calon isteri untuk suami saya atas permintaannya).
Sambung cerita tadi…. Buat macam tu berterusan selama 2 minggu, dan jangan lupa bangun sembahyang malam, minta doa pada Allah. InsyaAllah, selepas 2 minggu dia akan berubah hati dan membatalkan niatnya. Saya telah buktikan. Selepas 2 minggu perempuan itu minta diputuskan tunang.Itu cerita masa saya ada anak 5. (Masih lawa lagi aih…pun suami dah menggatal).
Hasrat Poligami Kali Kedua
6 tahun kemudian, suami berkenalan pulak dengan seorang anak dara umur 25 tahun. Masa tu saya dah umur 35 tahun. Saya di uji lagi. Dengan zaman internet yang canggih, dia diperkenalkan dengan anak dara yang 15 tahun lebih muda darinya oleh seseorang dan mereka berhubung melalui FB.
Kali ini saya tidak mengetahui kerana dia sudah berjanji dengan saya kalau dia nak tambah cawangan dia tak akan beritahu saya lagi kerana dia kesiankan saya. Dia kata kalau dia beritahu saya, mesti tak jadi punya. So, dalam senyap senyap dia berhubung melalui applikasi FB messenger sampai ke peringkat dia telah menetapkan tarikh pernikahan dengan gadis itu. Mereka bercadang untuk melangsungkan perkahwinan di Selatan Thailand.
Tetapi Allah Maha Kaya. Sehari sebelum hari yang mereka rancangkan ditakdirkan saya jatuh sakit dan terpaksa di admit ke hospital Kuantan. Maka suami pun memberitahu si gadis minta menunda rancangan perkahwinan mereka (tanpa pengetahuan saya).
Si gadis tak bersetuju dan menekan suami saya supaya meneruskan juga rancangan. Bila suami berkeras mengatakan dia perlu menjaga saya di hospital, si gadis mula menggunakan kata-kata kesat terhadap suami yang tak sepatutnya keluar dari mulut seorang anak dara.Dari situ barulah suami mulai sedar siapa si gadis itu. Suami terus memutuskan hubungan dengan gadis tersebut dan barulah diceritakan semuanya pada saya. Saya cuma ucapkan kata-kata syukur pada Allah, walaupun saya dimasukkan ke hospital, rupanya ada hikmatnya dan sekali lagi Allah telah menyelamatkan saya dari menjadi madu.
Kalau sekarang pun suami saya kata nak kahwin lagi, saya tak akan larang, tapi of course saya tak akan menggalakkan. Kalau kita benar benar sayangkan suami kita, kita kena berkorban. Dan inilah sebesar besar pengorbanan sebagai seorang isteri.Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan. Ia juga mempunyai hikmat dan manfaat yang besar kepada umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Sama ada cintakan suami orang tu boleh membawa kebahagiaan atau tidak bergantung kepada sistem pengurusan keluarga kita.
Kita Kena Hapuskan Anggapan-Anggapan Ini:-
(i) Bahawa seseorang mencintai “suami orang” itu suatu tindakan “merampas”; Allah jadikan suami itu unutk dikongsi.So apa yang nak dirampas?
(ii) Bahawa berpoligami itu sebenarnya akan membawa kepada ketidak-adilan. Bini satu pun kalau jenis suami tak adil, memang tak adil punya.
(iii) Bahawa bagaimana hendak “membahagikan” kasih-sayang. Sebenarnya “kasih-sayang” ibarat hujan. Ia tidak dibahagikan tetapi semua orang akan basah jika ditimpa hujan walaupun berada di tempat yang berlainan. Bukan bererti dua orang yang berada di suatu padang akan basah separuh sahaja apabila ditimpa hujan;
(iv) Berpoligami itu akan menimbulkan masalah. Apakah perkahwinan monogami tidak menimbulkan masalah?
Walau apapun, adalah lebih elok jika perkahwinan berkenaan bermula dengan kerelaan semua pihak. Isteri pertama jangan menganggap bahawa dia lemah, tak pandai jaga laki dan sebagainya apabila ada “kawan” baru. Dan paling penting, suami yang mempunyai lebih daripada satu keluarga mestilah berlaku adil.
Walaupun tidak mudah untuk berlaku adil tetapi tidak mustahil, jika dimulakan dengan niat atas dasar iman. Adil bukan maksudnya semuanya sama (equal) tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan (equitable).
Akhir sekali, perlu ada kesepakatan tentang “conflict resolution mechanism” kerana setiap kehidupan akan terdedah kepada konflik. Banyak konflik besar bermula daripada konflik kecil yang tidak terkendali. Apatah lagi jika emosi menjadi perkasa semasa konflik.Mohon komen yang murni murni saja yer. Yang elok jadikan teladan, yang buruk kadikan sempadan.
Akhir kata, jadilah menjadi wanita yang penuh bermaruah,berfikiran matang tak perlu semakkan kepala dengan pinjaman cinta dunia yang hanya sementara. Meskipun kelihatan kalah pada awalnya, namun sebenarnya kemenangan tetap milik kita.
“Ya Allah, ampunilah Dr Naim Zafri Che Yusoff ini, naikkanlah darjatnya diantara orang-orang yang mendapat Syuhadah, dan lindungilah keluarga dan keturunannya yang masih hidup. Ampunilah dia dan kami, wahai Tuhan sekelian alam, luaskanlah kubur baginya dan berikanlah cahaya didalamnya. Allah juga pinjamkan sekejap untuk ibu ayah, anak yang baik dan soleh sangat disayangi Allah SWT. Syurga firdausi buatmu doktor muda Naim Zafri.” begitulah antara doa yang dikirimkan oleh rakan-rakan arwah di laman sosial FB.
Anak bongsu dari enam beradik Naim Zafri, 26 telah meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandu terbabit dalam kemalangan maut pada 9 April lalu di Kilometer 21 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Ulu Bendul. Menurut Mohd Fahmi Che Yusoff, 33 meskipun berasa amat sedih atas kehilangan adiknya itu namun mereka sekeluarga reda.
“Jasa arwah adik menjaga ibu, Hasnah Ishak akan kami kenang selamanya dan kami reda atas pemergiannya, Allah SWT lebih sayangkan adik ,” kata Mohd Fahmi.
Mereka sekeluarga yang tinggal di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang akui arwah merupakan seorang anak yang memiliki keperibadiaan yang cukup baik. Malah Naim Zafri yang juga seorang Doktor Pelatih di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) kerap berulang-alik dari Kuala Pilah ke Kajang.
“Berkenaan dengan mak tinggal sendirian dan berulang alik setiap hari. Sebenarnya mak tinggal bersama saya sejak arwah ayah sakit lagi dan arwah Naim balik setiap kali ada kesempatan, iaitu hampir dua atau tiga kali dalam seminggu. Arwah menyewa bersama rakan-rakannya di Kuala Pilah tetapi tidak dinafikan arwah memang suka pulang ke rumah untuk menemani mak dan ayah saya di rumah sejak dari dulu lagi.
“Arwah adalah adik kami yang bongsu. Seorang yang ceria, tidak mudah marah, murah dengan senyuman, mudah mesra dan sangat mengambil berat tentang orang lain. Naim juga tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mempunyai ramai kawan yang baik. Seorang yang aktif bersukan, gemar bermain bola sepak dan futsal,” cerita Mohd Fahmi kepada dihubungi.
Tidak Tunjuk Tanda Pelik
Ditanya adakah arwah Naim ada menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik, terang Mohd Fahmi;
“Arwah Naim tidak menunjukkan tanda-tanda yang pelik malah melakukan rutin seperti biasa. Pada hari ahad 8 April 2018 sebelum berlakunya kejadian tersebut, arwah bercuti. Saya, isteri, ibu dan arwah sempat keluar makan dan membeli belah bersama. Dia kelihatan ceria seperti biasa. Pada 9 April 2018 lebih kurang 4.45pagi hari kejadian ibu saya menghantarnya ke muka pintu seperti biasa sebelum bertolak ke tempat kerja.
“Semestinya perkhabaran ini memberi impak yang sangat besar terhadap emosi ibu saya apatah lagi baru sahaja kehilangan ayah saya pada tahun lalu. Kami semua masih sangat terkejut dengan pemergian adik memandangkan kami sekeluarga sangat rapat. Ibu sangat terasa kehilangannya kerana jika Naim pulang ke rumah, dia yang akan tidur bersama ibu.
“Arwah sememangnya anak yang sangat baik dan taat pada ibu dan ayah. Sememangnya arwah sanggup berulang alik menjenguk kedua orang tua kami sejak dari dulu lagi iaitu ketika belajar di UiTM Puncak Alam. Alhamdulillah emak kami masih sihat seperti dulu cuma emak masih berduka sejak ayah kami meninggal akibat sakit jantung pada Julai 2017.”
Arwah Naim Zafri Mahu Jadi Doktor Pakar Tulang
Kehilangan arwah dalam keluarga sangat memberi impak. Mohd Fahmi turut menyatakan mereka sekeluarga memberi galakan sepenuhnya kepada arwah yang bercita-cita mahu menjadi doktor Pakar Tulang .
“Adik beradik kami semuanya berkerjaya tetap. Malah seorang kakaknya adalah Pakar Psikiatri di Hospital Muar dan seorang abangnya pula adalah Pegawai Perubatan Jabatan Bius di Hospital Kuala Lipis. Arwah adik memang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar tulang. Memandangkan dia anak bongsu, kami memang memberi sokongan penuh kepada beliau.
“Arwah adik memang memilih untuk menjadi doktor pelatih di HTAN. Bercadang untuk memohon penempatan lebih dekat setelah habis housemenship. Arwah tidak pernah merungut tentang perjalanan ke tempat kerja kerana saya yakin arwah seronok dan ikhlas dengan kerjanya.
“Arwah juga selalu bercerita tentang kerjanya sebagai doktor pelatih yang sibuk. Tapi sangat seronok jika dapat menyempurnakan kerjanya dengan baik. Naim juga selalu memuji doktor-doktor dan staf hospital yang banyak mengajar dan membantunya di hospital,” sambung Mohd Fahmi.
Tidak Suka Membazir
Menyentuh tentang Ramadan dan Syawal yang akan tiba nanti, Mohd Fahmi sekeluarga akui akab berasa kehilangan.
“Arwah seorang adik dan anak yang baik, selalu mengutamakan ibu dan ahli keluarga. Kehilangannya pasti amat dirasai tambahan pula tidak lama lagi hendak sambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Pada bulan puasa, kami biasanya bersahur dan berbuka bersama. Naim akan menghabiskan makanan yang ada kerana dia tidak suka membazir. Manakala cuti hari raya adalah peluang untuk kami bercuti bersama keluarga. Contohnya pada tahun 2016, selepas berziarah ke rumah saudara mara, kami sekeluarga bercuti di Melaka A Famosa resort,” imbas Mohd Fahmi.
Kereta Kelisa Remuk
Seperti mana yang dilaporkan di Sinar Harian pada hari kejadian, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera serta EMRS bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan jam 5.57 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa (Naim Zafri) tersepit di antara bahagian tempat duduk pemandu dan stereng kereta sehinggakan kami terpaksa memotong pintu pemandu dan ‘dashboard’ kereta menggunakan peralatan khas dan bomba mengambil masa 20 minit untuk keluarkan mangsa. Pegawai perubatan sahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya ,” katanya.
Eva Saifun berkata, mangsa lain turut terlibat yang menaiki kereta Exora dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke HTAN.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu Naim Zafri dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki Muhammad Azim Kamaru-zaman, 26.
“Mangsa (Naim Zafri) dipercayai memandu dari arah Seremban menghala Kuala Pilah sebelum bertembung kereta dipandu Muham-mad Azim beralamat Taman Jemapoh Murni Kuala Pilah.
“Pertembungan itu mengakibatkan Naim Zafri maut di lokasi kejadian dipercayai parah di kepala dan patah kedua-dua tangan serta kaki manakala Muhammad Azim yang luka di dahi dan anggota badan dibawa ke HTAN untuk menerima rawatan selanjutnya,” jelasnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ujian demi ujian menimpa adakala mendewasakan diri untuk merubah menjadi lebih baik. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya, menjadikan diri insan terpilih agar lebih cekal, reda serta membina kekuatan dalam diri. Sebagai seorang wanita, curahan kasih dan sayang sememangnya khas buat suami dan anak-anak. Apatah lagi apabila suami sudah tidak berupaya untuk keluar bekerja. Segala tanggungjawab terpaksa dipikul.
Begitulah juga dengan kisah kecekalan seorang wanita yang tabah, Nor Hamizah Mohd Yusof, 27, menjaga suami yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir meruntun hati. Tanggungjawab suami, Mohammad Romzi Ab Rahman, 36, terhadap keluarga kini bertukar kepadanya. Penyakit yang dihidapi oleh suami benar-benar menguji mereka sekeluarga. Usia perkahwinan yang sudah mencecah tujuh tahun, cukup membuktikan betapa utuh ikatan yang dibina apatah lagi dengan kehadiran cahaya mata.
“Saya telah mendirikan rumahtangga tujuh tahun lalu dan mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya lelaki. Anak yang sulung, Mohammad Amir Farhan, 6, Mohammad Anas Fikri, 5 dan yan kecil Mohammad Ammar Firdaus, 11 bulan.
“Saya mengetahui penyakit yang dihidapi oleh suami selepas dua tahun mendirikan rumah tangga. Sebelum ini, buah pinggang suami hanya mengalami masalah kebocoran sejak berusia 18 tahun. Doktor memberikannya ubat dan rawatan susulan. Namun pada tahun 2016, suami mengalami masalah tidak selera makan dan muntah darah. Tubuhnya kurus kerana tidak makan,” ungkap wanita yang sangat cekal ini.
Sedaya Upaya Jaga Suami & Anak-Anak
Kalau dikira kudrat seorang wanita, manakan terdaya untuk mencari rezeki seorang diri dan dalam masa yang sama kena jaga suami dan tiga orang anak.
Namun, demi kasih dan cinta, Nor Hamizah buang jauh-jauh perasaan itu. Baginya, selagi hayat dikandung badan, dia akan berusaha sedaya-upaya menjaga suami dan anak-anak. Nor Hamizah juga turut mengimbau kembali tatkala doktor memberitahu tahap kesihatan suaminya.
“Satu hari suami pergi kerja seperti biasa dan ketika waktu rehat suami kata dia muntah darah. Saya sangat terkejut dan terus bawa anak-anak naik motor menuju ke Hospital Besar Kota Bharu.
“Ketika doktor memaklumkan kepada saya bahawa kedua-dua buah pinggang suami saya rosak dan tahap akhir, saya terus menangis. Hanya Allah sahaja tahu betapa sedihnya saya ketika itu apatah lagi doktor bagi tahu tiada ubat selain dialisis cuci darah sahaja.
“Paha suami saya terpaksa ditebuk untuk dimasukkan wayar. Sekali lagi saya menangis. Ketika itu pelbagai perkara berlegar dalam fikiran saya. Bayangkan, sudahlah suami sakit, anak-anak pula masih kecil yang perlu diberi perhatian. Sejak kahwin, kami tidak pernah berpisah kecuali dia pergi kerja,” ungkap Nor Hamizah.
Suami Dialisis Tiga Kali Seminggu
Mereka sekeluarga yang menetap di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan akui kerana masalah kesihatan, suaminya yang berkerja di kilang tidak dapat lagi bekerja dan mencari rezeki untuk mereka sekeluarga. Kini tanggungjawab tersebut digalas Nor Hamizah dengan penuh reda.
“Suami terpaksa buat dialisis tiga kali seminggu. Saya sangat simpati dengannya kerana pesakit buah pinggang tidak boleh minum air lebih daripada 500 milileter sehari.
“Memang mula-mula saya susah nak menjaga suami dengan keadaan tubuhnya yang lemah. Makan minum kena suapkan ditambah pula dengan anak-anak yang masih kecil.
“Namun saya tidak putus asa. Saya lakukan yang terbaik demi suami dan anak-anak. Saya kena kuat walaupun penat,” terangnya lagi.
Sekeluarga Pakai Baju Raya Tahun Lepas
Bagi menampung perbelanjaan keluarga Nor Hamizah juga mengambil upah menjual biskut dan kerepek. Hasil daripada semua itu, dapatlah dia gunakan untuk membeli makan minum, lampin pakai buang, susu, sewa rumah dan yuran sekolah anak.
“Saya yang bekerja dan menangung keluarga. Saya mengambil upah menjual biskut dan kerepek. Adakala saya jual menerusi online dan dari rumah ke rumah,” sambung Nor Hamizah.
Memandangkan kini umat Islam sedang berpuasa dan tidak lama lagi akan menyambut Syawal, Nor Hamizah menerangkan mereka sekeluarga masih belum buat apa-apa persediaan untuk hari raya.
“Kami sekeluarga teruskan kehidupan seperti biasa. Bagi bulan puasa, saya cuba untuk sediakan makanan sahur dan berbuka. Untuk hari raya pula, memandangkan banyak ujian yang kami lalui jadi belum sediakan apa-apa. Pakaian raya, kami sekeluarga hanya pkai pakaian tahun-tahun lepas dan semejak suami sakit, Syawal kami sekeluarga tak seceria seperti tahun sebelumnya. Saya berharap biskut dan kerepek yang saya jual dapat dihabiskan jadi bolehlah saya belikan baju raya baru untuk anak-anak,” ungkap Nor Hamizah.
Hulurkan Sumbangan
Keperitan hidupnya sedikit terubat apabila menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.00, duit pencen suaminya sebanyak RM500.00 sebulan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) setahun sekali serta sumbangan daripada rakan-rakan.
“Saya dapat bantuan dari JKM, MAIK dan wang pencen suami namun bantuan yang diterima hanya mencukupi untuk bayar sewa rumah dan makan minum kami sekeluarga,” luah Nor Hamizah.
Sekiranya anda berminat untuk menghulurkan bantuan, salurkan sumbangan anda ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03010-41-000419146 atas nama Nor Hamizah Mohd Yusof atau boleh hubungi 0179452198.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!