Kongsi hal jodoh, penyanyi dan pelakon, Farahdhiya mencuri perhatian apabila mengakui dirinya masih selesa dengan cara lama iaitu biarlah lelaki yang memulakan langkah pertama dalam sebuah hubungan. Baginya, adab dan kemanisan perkenalan itu lebih indah apabila dimulakan dari pihak lelaki.
Farahdhiya juga tidak menolak bahawa zaman kini ramai wanita memilih untuk ‘mengiklankan’ diri di media sosial sebagai usaha mencari jodoh. Malah, katanya, langkah itu sebenarnya sesuatu yang baik.
Namun, jauh di sudut hatinya, ia tetap terasa sedikit janggal kerana bukan itu cara yang paling dekat dengan dirinya.
“Saya tidak mengikuti sesiapa dalam Threads tetapi menerima mesej daripada individu.
“Hari ini nampak ramai pula yang mencari jodoh untuk diri sendiri. Sebenarnya idea yang bagus walaupun macam pelik jugalah.
Ads
“Mungkin sebab saya adalah individu yang masih terikat cara lama. Saya mahu lelaki memulakan langkah pertama terhadap saya dahulu walaupun ramai kata zaman sekarang sudah lain,” tulisnya menerusi akaun Threads.
Selesa Cara Lama
Bukan itu saja malah dirinya juga selesa mengikut cara lama.
Ads
“Tetapi tidak mengapa, saya masih selesa dengan ikut cara lama.
“Bercakap tentang itu, saya rindu pula zaman bercinta dulu-dulu, lain betul dengan sekarang.
Ads
“Orang sekarang pelik. Perkara yang mereka bicara dan lakukan buat saya takut,” kongsinya.
Dalam setiap kejayaan seorang anak, pasti ada doa seorang ibu yang tidak pernah putus. Begitulah juga bagi penyanyi kesayangan ramai, Hafiz Suip, 35, yang tidak menyangka akan menerima kejutan paling bermakna ketika Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip di Megastar Arena, baru-baru ini.
Air mata hampir tumpah apabila ibu dan bapanya, Halizawati Salleh serta Mohd. Suip Mohamad, muncul di pentas satu momen yang mengundang sebak bukan sahaja buat Hafiz, malah seluruh dewan yang dipenuhi kira-kira 3,500 peminat setia.
Dalam nada penuh kasih, Hafiz menitipkan ucapan menyentuh hati buat ibu tersayang yang kini berdepan masalah kesihatan.
“Ma, saya nak awak tahu walaupun awak tiada kaki, saya akan jadi kaki mama. Insya-Allah. Pa, terima kasih sebab jagakan mama,” katanya sambil menahan sebak di hadapan ribuan penonton.
Momen tersebut menjadi detik paling berharga buat Hafiz, yang menganggap kehadiran ibu bapa di konsert solonya itu sebagai lambang restu dan kekuatan untuk terus berjuang dalam dunia seni.
“Saya bawa mak dari Kuching ke Kuala Lumpur tanpa tahu mereka akan naik ke pentas. Rasa sebak dan terharu sangat, ini memang momen paling bermakna buat saya,” ujarnya ketika ditemui media selepas konsert.
Konsert anjuran SAH Entertainment itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dua artis undangan, Adira dan Umai, yang menambah seri malam penuh emosi tersebut.
Bagi Hafiz, kasih seorang ibu menjadi sumber inspirasi terbesar untuk terus berkarya dan berdiri teguh dalam industri muzik. Dalam setiap langkah seninya, doa dan kasih ibu kekal menjadi azimat yang tidak ternilai. Kredit gambar :- Instagram Norman Goh.
Seorang suami buntu apabila sudah seminggu terputus hubungan dengan isteri dan anak-anaknya, berikutan banjir Hatyai yang melanda kawasan itu sejak beberapa hari lalu. Suasana yang sepatutnya menjadi percutian keluarga bertukar menjadi detik mencemaskan apabila cuaca buruk menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dengan pantas, termasuk tempat penginapan mereka.
Shahrizal Kamarudin, 43, dari Ampang, Selangor berkata, kali terakhir mendengar khabar daripada isterinya Maimuna Asnan, 37, ialah pada 22 November, dan dimaklumkan isterinya selamat berlindung di sebuah inap desa Pani House. Menurutnya, saat-saat sebelum banjir Hatyai mula menunjukkan tanda serius masih jelas dalam ingatannya.
“Kami sepatutnya bercuti pada 21 hingga 24 November. Pada Jumaat (21 November) kami sampai 4 petang, sempat ke Central Hatyai dan sebelum balik inap desa, singgah makan.
“Sampai di inap desa 10 malam (waktu Thai), air kawasan jalan depan rumah memang dah naik sikit. Tanya tuan rumah selamat tak kawasan ni, dia cakap esok pagi kalau hujan lagi dia pulangkan duit, dan cari hotel lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Shahrizal berkata, sekitar 3.30 pagi, pemilik inap desa meminta dia mengalihkan kereta ke tempat lebih tinggi iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mereka menginap. Ketika itu, hujan masih belum berhenti dan keadaan jalan semakin merisaukan. Walaupun mereka tidak menyangka banjir Hatyai akan naik seteruk itu, tindakan berjaga-jaga diperlukan.
Bagaimanapun, Shahrizal gagal berpatah balik ke penginapan mereka kerana air naik terlalu cepat. Dalam situasi yang serba gelap dan kelam-kabut itu, beliau dimaklumkan bahawa isteri serta empat anak mereka berusia lima hingga 15 tahun berada dalam keadaan selamat.
“Saya tak dapat hubungi mereka kerana bekalan elektrik telah dimatikan di kawasan inap desa itu. Pada petang Khamis (27 November), saya dapat maklumat mereka selamat tapi masih tak dapat masuk ke kawasan inap desa itu kerana hanya boleh dilalui dengan bot,” jelasnya lagi. Situasi itu menjadikan usaha mencari keluarga semakin mencabar kerana liputan rangkaian dan pergerakan sangat terhad akibat banjir Hatyai.
Menurut Shahrizal, dia kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Hatyairatprachasun School. Di sana, ramai penduduk tempatan dan pelancong turut ditempatkan sementara menunggu keadaan reda. Suasana di PPS itu penuh dengan pelbagai kisah dan emosi, terutama mereka yang terpisah daripada ahli keluarga masing-masing.
“Saya tumpang kereta orang tempatan untuk keluar mencari isteri dan anak-anak. Saya turut dibantu anggota bomba di sini dan mereka akan cuba ke kawasan inap desa, tempat anak dan isteri berlindung selepas air sedikit surut,” katanya.
Menurutnya, para penyelamat di Hatyai bekerja tanpa henti dan sentiasa cuba memastikan semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat. Perkembangan banjir Hatyai yang semakin stabil memberi sedikit kelegaan, namun Shahrizal masih menanti saat dapat melihat keluarganya sendiri.
Walaupun berdepan ujian besar, beliau tetap meyakini bahawa keluarganya dilindungi dan berharap bantuan yang diberikan pihak berkuasa Thailand akan membolehkannya bertemu semula dengan mereka dalam masa terdekat.
Misteri bau busuk yang menyelubungi kawasan perindustrian Kampung Muslim, Labuan akhirnya terjawab apabila seorang pomen menjumpai tubuh budak dalam kereta ditinggalkan pagi Sabtu. Kejadian menyayat hati itu mengejutkan penduduk setempat dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai bagaimana mangsa boleh berada di dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 9.10 pagi daripada seorang mekanik yang menghidu bau busuk kira-kira 8.45 pagi sebelum menemui mayat berkenaan di dalam sebuah kereta Proton Gen-2.
Beliau menjelaskan, kanak-kanak itu dikenali sebagai Budin Jimsalim, berusia lapan tahun, daripada suku Bajau dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Kenderaan tersebut difahamkan telah ditinggalkan berhampiran bengkel sejak Jun 2025.
“Mekanik itu menghidu bau busuk semasa mahu mengalihkan kereta yang sudah lama diletakkan berhampiran bengkel. Setelah diperiksa, dia mendapati ada tubuh budak di dalam kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Sabtu.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dilakukan oleh pegawai penyiasat Balai Polis Rancha-Rancha.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan. Menurut Mohd Hamizi, siasatan dijalankan dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes budak ditemui dalam kereta ditinggalkan ini.
“Kami juga meminta kerjasama orang awam yang mungkin ternampak kelibat mangsa atau mempunyai maklumat berhubung pergerakannya sebelum kejadian supaya tampil segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar lebih peka terhadap pergerakan anak-anak, terutama mereka yang mempunyai keperluan khas atau suka bermain sendirian. Kawasan perindustrian bukan tempat selamat untuk kanak-kanak tanpa pengawasan.
Tragedi pomen jumpa tubuh budak dalam kereta ditinggalkan ini menjadi peringatan pahit tentang pentingnya memantau keselamatan anak-anak dan tidak mengambil ringan tanda-tanda luar biasa seperti bau busuk atau kenderaan yang lama tidak digunakan di sekitar kawasan tempat tinggal.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Balai Polis Rancha-Rancha bagi membantu siasatan.