Nama Gula Cakery kian harum sebagai jenama F&B tempatan, seiring dengan perjalanan luar biasa pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal . Dari sekadar simpanan kecil dan oven di rumah keluarga, beliau kini berdiri megah mengemudi sebuah empayar pencuci mulut dengan jualan mencecah RM4 juta sebulan.
Baru-baru ini, usaha gigih itu turut mendapat perhatian dan pujian daripada bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin. Katanya, Gula Cakery adalah bukti nyata bagaimana impian, disulami kerja keras dan konsistensi, mampu mencipta keajaiban.
“Saya rasa sangat terharu apabila YB Khairy Jamaluddin puji usaha kami. Beliau memang seorang pemimpin yang saya hormati. Pada masa yang sama, pujian itu buat saya rasa saya perlu buat lebih baik lagi supaya Gula Cakery terus kekal kukuh dan berkembang,” kongsi Arieni, penuh rendah hati.
Dari Dapur Rumah Ke Empayar Jutaan Ringgit
Kisah Gula Cakery bermula dengan modal RM20,000, hasil simpanan sendiri. Setiap keuntungan disimpan semula untuk membuka cawangan baharu, malah Arieni berani menyertai pertandingan demi meraih modal tambahan dan peluang bimbingan.
Apa yang membuatnya kekal relevan hingga hari ini? Rahsianya terletak pada inovasi berterusan, keberanian mendengar maklum balas pelanggan, serta pasukan yang konsisten.
“Prinsip saya mudah, never stop learning. Saya belajar resipi baharu, operasi dan kepimpinan. Mindset ini buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri serta bisnes,” jelasnya.
Ads
Cabaran F&B: Bertahan Dengan Konsistensi
Mengemudi perniagaan F&B bukan jalan mudah. Industri yang kompetitif menuntut Gula Cakery sentiasa mencipta kelainan, menjaga kualiti, dan memperbaiki pengalaman pelanggan.
“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” katanya lagi.
Baginya, kejayaan bukan sekadar soal resipi sedap, tetapi misi yang jelas untuk membawa nama jenama tempatan berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.
Pesan Buat Anak Muda: Jangan Tunggu Sempurna
Arieni juga menitipkan nasihat buat anak muda yang masih ragu-ragu memulakan langkah dalam dunia bisnes.
“Jangan tunggu semua sempurna. Saya pun mula dengan modal kecil dan pengalaman terhad. Passion itu penting tetapi tak cukup, perlu ada konsistensi dan disiplin untuk bertahan. Mulakan langkah pertama dan belajar dari setiap cabaran, di situ letaknya kekuatan sebenar,” ujarnya penuh semangat.
Ads
Nilai Yang Kekal Sama: Kejujuran & Kualiti
Walau kini bergelar usahawan berjaya, prinsip yang dipegang Arieni tetap utuh. Jujur dan menjaga kualiti.
“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,” katanya.
Melihat ke hadapan, Arieni mahu menjadikan Gula Cakery sebagai jenama F&B tempatan terbaik dan pusat sehenti untuk kek, makanan serta pencuci mulut.
“Kami mahu membuka lebih banyak outlet di setiap negeri. Biar bila orang fikir tentang sambutan atau perayaan, nama Gula Cakery terus jadi pilihan pertama,” katanya penuh keyakinan.
Ads
Sokongan Keluarga, Rahsia Kekuatan Seorang Wanita
Tidak lengkap kejayaan seorang wanita tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga sebagai penguat semangat untuk berjaya. Bagi ibu kepada tiga cahayamata ini, keluarga adalah tunggak utama yang mendorong kejayaannya ini.
“Mereka kata, sokongan terbaik dalam hidup datang daripada keluarga. Dan itulah yang saya rasakan setiap hari. Sejak mula melangkah dalam dunia perniagaan, ibu adalah insan pertama yang menjadi tulang belakang.
Beliau sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan, malah pernah menjadi “washer” saya pada hari-hari awal ketika saya membakar tanpa henti. Hari-hari memasak, hari-hari juga ibu yang mencuci periuk dan kuali.
Ayah pula, meskipun bekerja jauh di luar negara dan terkenal dengan sikap tegasnya, tidak pernah sekali pun berkata “tidak”. Diam-diam beliau sentiasa menyokong, menjadi contoh teladan sebenar buat saya.
Dan tentunya, insan paling istimewa, suami yang paling menyokong dalam setiap langkah. Tidak perlu lagi diperkenalkan. Sikapnya yang berlawanan dengan saya menjadikan kami saling melengkapi. Sentiasa ada di sisi, memberi sorakan dan semangat dalam setiap pengembaraan baharu.
Sungguh, tanpa keluarga, tidak mungkin saya mampu berdiri seteguh hari ini. Kerana di sebalik setiap kejayaan seorang wanita, ada doa, kasih, dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus,”ujar Arieni mengakhiri bicara.
Isu status perkahwinan pasangan selebriti popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose, akhirnya terjawab apabila Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan bahawa pernikahan mereka sah di sisi syarak.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, JAIP memaklumkan bahawa pasangan tersebut telah dinikahkan pada 4 November 2021, jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, dengan wali mujbir pengantin perempuan yang juga bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.
“Berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Ahmad Kamal bin Ahmad Adli (Kamal Adli) telah sah bernikah dengan Nik Zaris Uqasha binti Nik Sen (Uqasha Senrose) melalui persetujuan dan kehadiran wali mujbir, Nik Sen bin Mat Ripin.
Bapa pengantin mewakilkan (secara wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah tersebut,” jelas kenyataan itu.
Majlis akad nikah pasangan selebriti berkenaan dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.
Penjelasan Tentang Wali Mujbir
Wali mujbir ialah wali yang mempunyai kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih dara tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu, dengan syarat perkahwinan itu mendapat kerelaan anak dan persetujuan bakal suami.
Terdahulu, nama pasangan ini kembali menjadi perhatian selepas Uqasha mempersoalkan tarikh pernikahan mereka dalam satu hantaran di media sosial, mendakwa tarikh dalam sijil perkahwinan berbeza daripada tarikh sebenar.
Pelakon drama Hati Tanpa Rasa itu mendakwa akad nikah berlangsung pada 5 November 2021, dan menuduh pihak suami serta keluarganya telah memanipulasi tarikh pernikahan.
Namun begitu, hantaran berkenaan kemudiannya dipadam, dan JAIP tampil menjelaskan kedudukan sebenar berdasarkan rekod rasmi.
Sebelum ini, Uqasha dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi tentang hubungan mereka.
Buat rakyat Malaysia, makan bukan sekadar mengisi perut. Ia adalah soal kepercayaan, budaya dan kasih sayang keluarga. Itulah yang diraikan apabila IKEA Malaysia mengumumkan bahawa semua Restoran, Kafe dan Bistro IKEA di seluruh negara kini rasmi disahkan halal oleh JAKIM.
Pensijilan ini bukan sekadar sebuah pengiktirafan, tetapi menjadi jaminan ketenangan fikiran buat pelanggan yang ingin menikmati hidangan kegemaran mereka di IKEA tanpa rasa ragu.
Halal, Sejak Tiga Dekad Lalu
Selama hampir 30 tahun beroperasi di Malaysia, prinsip halal sebenarnya sudah lama menjadi panduan IKEA. Daripada pemilihan bahan mentah yang diperakui halal, cara penyediaan yang teliti hinggalah larangan tegas terhadap sebarang bahan tidak dibenarkan. Kini, dengan pengiktirafan rasmi JAKIM, segala amalan itu diperkukuh sekali lagi.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, menegaskan:
“Di Malaysia, halal bukan sekadar pematuhan. Ia adalah soal kepercayaan, penghormatan budaya, dan tuntutan keagamaan. Pensijilan ini membuktikan kami menghargai apa yang paling penting buat rakyat Malaysia.”
Lebih Tenang, Lebih Mesra Keluarga
Dengan sijil halal ini, pelanggan boleh terus menikmati menu ikonik IKEA dari bebola daging, kek keju Swedish, hinggalah kopi panas bersama keluarga tersayang dengan hati yang lebih tenang.
Malah, proses pemeriksaan JAKIM turut merangkumi sumber bahan, operasi dapur dan latihan kakitangan, menjadikan setiap langkah penyediaan makanan lebih telus dan diyakini.
Sajian Untuk Semua
Bagi IKEA Malaysia, makanan adalah tentang komuniti. Tambah Malcolm lagi, IKEA mahu pengalaman menikmati hidangan disini dengan lebih inklusif, mudah diakses dan berpatutan termasuk memperkenalkan pilihan lestari, mengurangkan pembaziran serta menyajikan hidangan yang bukan sahaja enak tetapi juga lebih baik untuk manusia dan bumi.
Lebih Daripada Sekadar Perabot
Bukan lagi hanya dikenali dengan perabot dan dekorasi rumah, IKEA kini semakin dekat di hati rakyat Malaysia sebagai ruang menjamu selera yang selesa, mesra keluarga, dan kini diiktiraf halal sepenuhnya.
Satu langkah kecil di atas kertas, tetapi membawa erti besar dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Dalam dunia fesyen moden yang sentiasa berubah, pereka tersohor Anuar Faizal membuktikan bahawa batik bukan sekadar warisan, tetapi juga medium seni yang boleh terus berkembang dengan jiwa dan gaya masa kini.
Menerusi acara Batik Lestari 2025, anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang kini memasuki tahun kedua, Anuar tampil berani mengangkat cabaran memodenkan batik tradisional melalui koleksi eksklusif berjudul “The Renaissance of Batik Malaysia” 14 rekaan yang menggambarkan keanggunan, evolusi dan semangat baharu fesyen tempatan.
Namun di sebalik kemilau fabrik dan potongan moden itu, ada kisah perjuangan dan keberanian yang jarang diceritakan.
“Terus terang, saya bukan pengusaha batik. Jadi bila pertama kali menerima cabaran ini, agak tertekan juga. Tambahan pula saya bekerjasama dengan pembuat batik yang hebat dan berpengalaman, jadi ada beberapa perkara yang perlu saya patuhi,” ujar Anuar, yang hanya diberi 10 hari untuk menyiapkan semua rekaan.
Dalam keterbatasan masa, beliau bijak bereksperimen dengan pelbagai teknik seperti batik lukis, batik cop dan cetakan digital, menyatukan tradisi dan teknologi dalam satu naskhah seni.
Menariknya, projek ini turut menjalin kolaborasi bersama Penjara Marang, Penjara Kajang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Galeri Diraja Tunku Ja’afar, yang bersama-sama menghasilkan batik bermotifkan bunga Lado, simbol kekuatan dan keanggunan wanita Melayu klasik.
“Saya mahu sampaikan mesej bahawa batik ini untuk semua. Ia boleh digayakan dalam pelbagai bentuk — dari sari moden, trench coat, baju kasual hingga ke busana formal. Asalkan kita faham karakter coraknya, batik akan sentiasa nampak cantik.”
Baginya, memodenkan batik bukan bermaksud meninggalkan tradisi. Sebaliknya, ia adalah langkah berani untuk memperluas tafsiran terhadap keindahan warisan agar lebih relevan kepada generasi baharu.
“Saya sangat menghormati pengusaha batik tradisional. Sebab itu, saya tak keluar daripada motif dan warna asal. Saya hanya menyesuaikan pendekatan supaya batik lebih mudah diterima oleh generasi muda.”
Bagi Anuar, batik bukan sekadar corak di atas kain. Ia adalah titik pertemuan budaya serantau yang menyatukan negara-negara ASEAN sebuah bahasa seni yang difahami tanpa perlu diterjemah.
“Batik ini ‘connecting point’ antara budaya di rantau ini. Sebab itu saya aktif menyertai acara fesyen di luar negara, bukan untuk melompat ke sana-sini, tapi kerana saya mahu dunia kenal batik Malaysia. Saya tak mahu jadi jaguh kampung. Saya mahu bawa identiti kita ke pentas dunia.”
Langkah itu kini menjadi nyata apabila koleksi The Renaissance of Batik Malaysia bakal diperagakan di Manila, memperkenalkan batik Malaysia sebagai simbol elegan, lestari dan berinovasi di mata dunia.
Dengan semangat dan visi yang tidak pernah padam, Anuar Faizal bukan sekadar menjenamakan semula batik, tetapi menyuntik nafas baharu kepada seni warisan, agar terus hidup dan disanjung generasi mendatang dari tangan tradisional ke pentas global.