
Kes sumbang mahram bekas anggota Polis dengan adik ipar, hukuman penjara 15 tahun, sebat kekal. Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta tiga sebatan terhadap seorang bekas anggota polis berusia 32 tahun kerana kesalahan sumbang mahram dengan adik iparnya.
Kes Sumbang Mahram Bekas Anggota Polis Dengan Adik Ipar, Hukuman Penjara 15 Tahun, Sebat Kekal
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama dua lagi hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.
Menyampaikan keputusan, Azman menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi undang-undang atau fakta ketika mensabitkan kes berkenaan.
“Perlu diingatkan bahawa SP1 (saksi pendakwaan pertama iaitu mangsa) ialah seorang gadis yang tinggal di rumah perayu dan kakaknya dan perayu adalah abang ipar mangsa,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa hukuman tersebut tidak dianggap keterlaluan kerana perbuatan tertuduh telah merosakkan masa depan mangsa.
“Tambahan pula, ketika kejadian, perayu berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Tertuduh sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 28 Ogos 2023 dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta tiga sebatan. Rayuannya kemudian ditolak Mahkamah Tinggi pada 26 November tahun lalu sebelum dia membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah apartmen di Selangor pada 23 Mac 2020 terhadap mangsa berusia 19 tahun, mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Menurut penghakiman Mahkamah Tinggi, mangsa ketika itu seorang pelajar kolej. Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, dia diarahkan keluar dari asrama. Tidak dapat pulang ke kampung, mangsa akhirnya menumpang di kediaman kakaknya yang baru berkahwin dengan tertuduh.
Dalam prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Shaharuddin Mohamed manakala Timbalan Pendakwa Raya Shamala Jaganathan hadir mewakili pihak pendakwaan.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel terkini yang lain: Engku Emran Bangga Aleesya Cemerlang IGCSE -Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan
RM2 Juta Tak Boleh Beli Tiket Ke Syurga Wanita Pesakit Barah Tolak Tawaran Jadi Duta Produk
Kepala Bayi Terputus, Badan Tertinggal Dalam Perut Ibu Waktu Dilahirkan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Backpacking Naik Sleeper Train Balik Kampung, Pengalaman Mahal ‘Insafkan’ Keluarga Ini

Tidak semua berpeluang menaiki Sleeper Train untuk balik kampung. Begitu juga buat sebuah keluarga yang menetap di Johor Bahru, Johor. Ini adalah pengalaman pertama bagi Wan Nur Surya Binti Wan Rahin sekeluarga menaiki kereta api lama yang mempunyai katil (berth).
Dari Johor menuju Kelantan. Ini cerita perjalanan sebuah keluarga dalam mencari pengalaman berharga selagi nyawa dikandung badan. Ikuti perkongsian yang ditulis wanita ini di dalam Facebook.

CATATAN KEMBARA EKSPRES RAKYAT TIMURAN (ERT).
Johor Bahru (JB Sentral) ke Tanah Merah, Kelantan.
Ini adalah pengalaman pertama bagi kami sekeluarga ‘backpacking’ menaiki kereta api lama yang mempunyai katil (berth). Perjalanan yang memakan masa 16 jam tidaklah membosankan malah sangat menyeronokkan bagi kami terutama anak – anak. Setiap waktu mereka menghitung hari untuk menaiki kereta api.

19 Ogos 2020 –
Kami memesan perkhidmatan Grab dari rumah kami ke JB Sentral. Boleh sahaja kami naik di stesen Kempas atau Kulai. Oleh kerana ini pengalaman pertama kami dan kami tidak mahu bersesak, jadi kami mulakan perjalanan kami di JB Sentral.
Tambang Grab dari rumah kami ke JB Sentral – RM37 (termasuk tol).

Perjalanan kami bermula pada pukul 7.15 malam. Anak – anak sangat teruja apabila melihat katil di dalam kereta api. Masing – masing berebut mahu tidur di katil atas. Dari JB Sentral, hanya keluarga kami dan seorang wanita sahaja di dalam koc kami. Seronok la anak – anak berlari ke sana ke sini.

Sementara keretapi belum bergerak, kami cari tandas dulu untuk melihat keadaannya. Terdapat 2 tandas di dalam setiap koc. Satu tandas duduk dan satu tandas cangkung. Jadi, tiada masalah ‘pembuangan’ sepanjang perjalan yang jauh. Hihi… Walaupun tandas agak sempit, tiada masalah bagi kami untuk ambil wudhuk. Untuk ‘membuang’ apatah lagi. Selesa je.
Katil Double Decker Ada Langsir
Berbalik kepada katil, tambang adalah berdasarkan katil yang kita pilih. Tambang dari JB Sentral ke Tanah Merah;
Dewasa (Katil bawah) – RM53
Dewasa (Katil atas) – RM47
Kanak – Kanak (Katil bawah) – RM 37
Kanak – Kanak (Katil atas) – RM31
Kanak – Kanak (Tanpa katil) – RM17

Katil sangat selesa. Sama sahaja seperti zaman kita di universiti, tidur di katil double decker. Untuk Ammar dan Areeq, kami tidak ambil katil untuk mereka. Jadi, mereka perlu berhimpit tidur dengan abang dan ayah. Tiada masalah ‘privacy’ kerana setiap katil mempunyai langsir yang dapat menutup katil sepenuhnya.

Seperti Tidur Dalam Buai
Semasa saya belajar di Sarawak dahulu, oleh kerana saya berada di katil bawah, pernah saya tutup katil saya menggunakan selimut untuk lebih privacy dan gelap ala – ala ‘nook bed’.
Agaknya orang introvert seperti saya memang sukakan tempat begitu. Tambahan lagi, tidur di atas katil dalam kereta api terasa seperti tidur di dalam buai. Bagaimana seronoknya bayi tidur di dalam buai, begitulah kami, agak lena tidur di dalam kereta api yang berbuai – buai.

Oleh kerana kami bawa highland trail, mudah untuk kami letakkan beg di hujung kaki katil. Jadi, tidak mengganggu laluan penumpang lain untuk ke tandas atau ke cafe. Di waktu semua penumpang sudah menutup langsir masing – masing, suasana mula sunyi dan sepi.
Hanya bunyi geseran roda kereta api di landasan, ibarat ‘lullaby’ yang mendodoikan kami semua tidur. Saya tidak lena tidur, menggigil kesejukan. Aircond sangat sejuk walaupun sudah berselimut dan memakai ‘sweater’.
Artikel berkaitan:
Jeju, Musim Sejuk Umpama Kat Narnia, Best Sangat Percutian Wanita Ini
Seronok Sungguh Wanita Ini Snorkelling & Hiking Di Pulau Coron. Kat Mana Tu?
Solat Atas Katil
Ini juga pengalaman pertama kami bersolat di atas katil di dalam kereta api. Saya pernah juga solat di atas katil semasa sedang menunggu giliran bersalin di hospital. Tetapi solat dalam keretapi agak mencabar. Kita perlu seimbangkan badan kita terutama sewaktu sujud. Gegaran kereta api boleh menyebabkan kita hampir tergolek semasa sujud.

Jika lapar, kita boleh ke cafe. Oleh kerana kami berada di koc T8, kami perlu melalui dua gerabak untuk ke cafe. Ada juga pekerja cafe yang akan membawa troli menjual makanan dan air kotak di setiap gerabak tetapi kami lebih suka ke cafe walaupun hanya untuk minum kerana tingkap di cafe bersih dan luas jadi kami dapat menikmati pemandangan dengan lebih jelas.

Kami akan ke cafe sesudah solat Subuh kerana waktu itu masih ramai yang belum mahu meninggalkan katil. Sambil menikmati minuman panas sambil menunggu matahari terbit untuk melihat keadaan di luar. Kalau nak ikutkan, kami akan duduk di situ agak lama juga kerana tingkap di katil agak kusam. Jadi, tidak seronok untuk kami menikmati pemandangan di luar.

Seronok Menikmati Pemandangan
Walaupun kereta api melalui kawasan hutan, tetapi kami tetap seronok menikmati pemandangan hutan di luar jendela. Rasa sangat bersyukur kerana negara kita masih mempunyai hutan yang dapat membekalkan oksigen kepada kita.

Kami tiba di Stesen Kereta Api Gua Musang hampir pukul 8.00 pagi. Agak lama juga kereta api singgah di situ. Kami dapat menyaksikan dua buah gua batu kapur yang sangat indah yang terletak berhadapan stesen tersebut. Apalagi, saya terus membuka pintu gerabak untuk merakam pemandangan yang sangat indah. Rugi jika hanya duduk di katil tanpa berbuat apa – apa.
Baru saya tahu, rupanya staff KTM akan berjalan sepanjang gerabak untuk memberitahu stesen seterusnya. Jika ada yang masih tidur, staff tersebut akan mengejutkan mereka dari tidur dengan memanggil nombor katil mereka. Pengetahuan baru.

Kami tiba di Stesen Kereta Api Tanah Merah tepat pukul 11.30 pagi (20 Ogos 2020)seperti yang tertera di tiket.
Pengalaman Hidup Tidak Dapat Dijual Beli
24 Ogos 2020 –
Kami pulang semula ke JB dari Stesen Keretapi Wakaf Bharu pada waktu yang sama kami bertolak dari JB Sentral. Harga tambang hanya berbeza RM2.00 bagi dewasa dan RM1.00 bagi kanak – kanak dari harga yang tertera di atas.

Kali ini, saya pula yang tidur di katil atas kerana anak – anak tidak lagi mahu naik. Katil atas sempit sedikit dari katil bawah tapi masih selesa untuk tidur. Bagi saya, katil atas lebih terasa gegarannya berbeza dengan katil bawah.
Kami tiba di Stesen Kulai pada pukul 11.15 pagi (25 Ogos 2020) dan kami mengambil perkhidmatan Grab ke rumah kami dengan tambang RM17.

Perjalanan yang lama membuatkan kita dapat banyak berfikir, bersyukur dengan apa yang kita miliki di sekeliling kita. Perjalanan ini walaupun perjalanan pulang ke kampung, tetapi bagi kami, perjalanan pulang ke kampung pada kali ini sangat istimewa kerana dapat menunaikan hasrat kami untuk menaiki sleeper train. Ia juga satu pengalaman hidup yang tidak dapat dijual beli terutama bagi anak – anak.
Untuk pengetahuan, perkhidmatan ‘sleeper train’ akan ditamatkan dan digantikan dengan ETS. Dahulu, banyak perkhidmatan ‘sleeper train’ di Malaysia. Kini, hanya tinggal laluan Johor Bahru ke Tumpat sahaja. Laluan lain telah digantikan dengan ETS yang lebih canggih dan laju. Tiada lagi katil untuk kita baring dengan selesa. Kerana itulah kami mengambil keputusan untuk menaiki kereta api pulang ke Kelantan.
Nilai Klasik Lebih Mahal Harganya

Agak sedih juga bila melihat teknologi baru yang sentiasa menggantikan apa yang kita ada sekarang. Bagi saya, jika dikekalkan kereta api ini untuk tujuan pelancongan, mungkin lebih baik dari ditamatkan perkhidmatannya dan warisan itu lenyap begitu sahaja. Ibarat kata pepatah, tiada yang lama, tiadalah yang baru kerana nilai klasik itu lebih mahal harganya.
Sumber dan Foto: Wan Nur Surya Binti Wan Rahin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Puteri Sarah Mahu Bebas “Tak Ada Gaduh-Gaduh Lagi. Semoga Semuanya Selesai Dengan Baik, Dipermudahkan”

Puteri Sarah Mahu Bebas. Selepas melalui pelbagai episod kontroversi mengenai kisah rumah tangga, pagi ini Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof berada di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk menghadiri prosiding lafaz cerai, hadhanah dan sulh.
Puteri Sarah yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu sewaktu bertemu para media memberitahu dia mahu bebas. Seperti mana luahannya, “Merpati putih yang ingin terbang bebas!”
Puteri Sarah Mahu Bebas
Hadir mengenakan pakaian serba putih, Puteri Sarah menjelaskan warna putih melambangkan kehidupan baru dalam hidupnya.
“Putih lambang untuk memulakan hidup baharu.
“Saya harap, hari ini Syamsul akan lafaz (cerai).
“Saya umpama menghadiri pertunjukan fesyen.
“Ini bukan baju nikah, tapi memang baju baharu..
“Saya rasa kalau asyik berpakaian hitam apabila ke mahkamah, rasa macam sangat murung. Saya tak sedih. Saya gembira nak mulakan hidup baharu.
“Saya rasa, kalau hari ini dia lepaskan, kehidupan saya bermula. Doakan saya sebab saya rasa tak sabar untuk terukan kehidupan,” ungkapnya seperti mana dilaporkan Harian Metro.
Harapan Semuanya Selesai Dengan Mudah
Sarah juga berharap pada hari ini semuanya akan berjalan lancar.
“Harapan saya, semoga semuanya selesai dengan baik dan dipermudahkan. Tak ada gaduh-gaduh lagi sebab banyak kerja tertangguh. Lagipun, bulan depan saya akan ke Jakarta untuk penggambaran. Jadi, kalau boleh saya nak selesaikan cepat.
“Sepanjang seminggu ini, alhamdulillah semuanya tenang. Saya harap, manis itu sampai ke hari ini. Jangan tiba-tiba dia tukar fikiran pula.
“Saya nak kebebasan. Kalau tak dilepaskan, saya akan beritahu sebabnya. Nantikan,” luahnya.
Baca Disini : Puteri Sarah Tak Halang Syamsul Jumpa Syaikul & Sumayyah “Biarpun Bermasalah, Bersikap Profesional Mengenai Anak”
Sumber : Berita Harian & Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Pengorbanan Ibu Yang Paling Diingati
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu & Suami Jadi Pendorong 2 Wanita Ini Berjaya. Kongsi Rahsia Kejayaan Di Malam Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA

Keberanian, ketabahan, dan dedikasi adalah antara sifat-sifat utama yang dimiliki oleh wanita-wanita hebat seperti Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan. Kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing bukan sahaja hasil daripada usaha dan kerja keras mereka sendiri, tetapi juga berkat sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan figura ibu dalam kehidupan mereka.

Datin Dr. Nor Fadilah Alias telah diberi penghormatan menerima Anugerah Ibu Inspirasi oleh Mingguan Wanita & NONA baru-baru ini. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang telah menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi sumbangan yang signifikan kepada masyarakat.
Dunia Pendidikan Sebati Dalam Jiwa
Datin Dr. Nor Fadilah Alias, yang juga merupakan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids telah berjaya mengimbangi antara kerjaya yang cemerlang dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada empat orang cahayamata. Beliau dikenali ramai bukan sahaja kerana sumbangannya dalam bidang Pendidikan kanak-kanak tetapi juga kerana peranannya sebagai seorang ibu yang penuh inspirasi dan berdedikasi.

Sebagai ibu kepada empat orang anak, Datin Dr. Nor Fadilah sentiasa memastikan bahawa anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik dan membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang dan disiplin. Beliau percaya bahawa pendidikan yang baik dan sokongan moral yang kukuh adalah kunci kepada kejayaan anak-anaknya. Ketika ditemui usai Majlis Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA baru-baru ini, beliau mendedikasikan kejayaan tersebut hasil dorongan ibu tersayang.
“Perasaan saya Alhamdulillah Syukur dan bangga kerana terpilih menerima penghargaan Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA ini. Ramai ibu-ibu hebat menerima anugerah ini pada majlis ini. Mereka patut diraikan supaya mereka terus bersemangat dan memberi inspirasi kepada wanita lain,” ujarnya Ketika ditemui media selepas selesai majlis.
Dalam berkongsi kisah kegembiraan, Datin Dr Nor Fadilah tidak pernah lupa mengenang kembali kehidupannya yang lalu yang disifatkan sebagai salah satu pendorong kejayaan dirinya pada hari ini.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Pengorbanan ibu adalah antara faktor pendorong kejayaan saya. Sejak kecil saya diberi pendedahan tentang kehidupan apabila ibu membawa keluar berniaga di pasar secara kecil-kecilan. Alhamdulillah dari kecil saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan dan sebagainya.
Itu antara sebab mengapa saya berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Saya melihat banyak penorbanan yang ibu lakukan untuk saya. Meskipun dia hanya berpendidikan sekolah rendah dan anak yatim piatu, dia amat mementingkan pendidikan untuk anak-anak.
“Apabila saya melihat sendiri betapa sukarnya nak mencari rezeki, ada kalanya hasil jualan tidak laku dan sebagainya, saya belajar sesuatu yang berharga dalam kehidupan.”-Datin Dr Nor Fadilah Alias
Saya bersyukur kerana sebagai anak bongsu, saya dapat membalas jasa kedua orang tua dan berkongsi kejayaan ini dengan mereka,” ujar Datin Dr Nor Fadilah sebak ketika bercerita mengenai sumber inspirasinya untuk berjaya dalam kerjaya dan keluarga.
“Saya tidak akan berada di sini hari ini tanpa sokongan suami saya dan anak-anak saya. Mereka adalah sumber kekuatan dan inspirasi saya,” katanya dengan penuh emosi.

Beliau juga menekankan pentingnya peranan ibu dalam membentuk masa depan anak-anak. “Sebagai seorang ibu, tanggungjawab kita bukan sahaja membesarkan anak-anak tetapi juga membimbing mereka untuk menjadi individu yang berguna kepada masyarakat,” tambahnya.
Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids baru-baru ini.
Raihana Rosdan, seorang usahawan berjaya yang telah membangunkan rangkaian tadika dan taska, juga mendapat dorongan besar daripada suami dan ibunya. Suami Raihana, Mohammad Faazil Bin Fakharazi, bukan sahaja menjadi penyokong utama dalam perniagaan mereka tetapi juga memberikan sokongan emosi dan moral yang sangat diperlukan. Kerjasama mereka dalam membina perniagaan dan menguruskan keluarga telah membolehkan Raihana mencapai kejayaan yang luar biasa.

Kuasa Wanita Luar Biasa
Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi impak positif kepada masyarakat.
“Alhamdulillah dengan izin Allah atas kejayaan menjadi salah seorang penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA dan Al Kauthar Eduqids ini. Saya dedikasikan anugerah ini untuk ibu, yang banyak memberi motivasi untuk diri saya,” ujar Raihana.
Menurut Raihana yang merupakan anak sulung dari tiga bersaudara, ibunya menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Dari kecil, Raihana melihat bagaimana ibunya mengharungi pelbagai cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi. Nilai-nilai inilah yang diterapkan oleh Raihana dalam kehidupan dan kerjayanya, menjadikannya seorang wanita yang kuat dan bersemangat.
“Antara perkara yang paling memberi kesan mendalam dalam hidup saya adalah motivasi dari ibu. Sejak kecil, ibu tidak putus-putus memberi motivasi untuk saya. Ia menjadi dorongan dan rangsangan untuk saya berjaya dalam kehidupan,” ujarnya.
Kisah kejayaan Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan adalah bukti bahawa sokongan daripada orang-orang tersayang, terutama suami dan ibu, adalah kunci penting dalam mencapai kejayaan. Dorongan moral, bantuan praktikal, dan inspirasi yang diberikan oleh suami dan ibu mereka telah membentuk asas yang kukuh untuk mereka mengejar impian dan mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing.
Anugerah Ibu Inspirasi yang diterima oleh kedua-dua wanita hebat ini adalah pengiktirafan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka, serta sokongan yang tidak ternilai daripada suami dan ibu mereka. Majlis yang ditaja oleh Al Kauthar Eduqids dan kerjasama Mingguan Wanita dan Majalah NONA ini telah dihadiri ramai tokoh wanita terkemuka, termasuk ahli perniagaan, selebriti, dan aktivis.
Anugerah Ibu Inspirasi ini bertujuan untuk mengiktiraf jasa ibu-ibu yang telah memberi impak besar dalam kehidupan anak-anak dan masyarakat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

