meja makan

Tidak dinafikan dalam bahagian ruang rumah, meja makan memainkan peranan penting dalam membentuk sesebuah keluarga yang harmoni dan berjaya. Jangan pandang remeh, ia hanya sekadar tempat menikmati makanan & minuman, malahan fungsinya sebenarnya lebih daripada itu. Ada sebabnya meja makan ini layak dijadikan ‘pusat pentadbiran’ dalam setiap rumah.

Jemput baca perkongsian ilmu yang bermanfaat daripada Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan ini, semoga menjadi panduan buat mak ayah dalam membina keluarga.

Berikut antara perkongsiannya;

MEJA MAKAN

Ni meja makan di rumah saya. Anda lihat susun atur atas meja tu. Pinggan plastik dan cawan plastik itu anak saya yang berumur 2 tahun yang susun.

Kena Tahu Pentingnya Peranan Meja Makan, Ada Sebab Jadi Pusat Pentadbiran Dalam Setiap Rumah!

Dulu, Ibubapa saya latih kami adik-beradik beberapa perkara.

1. Tempat Wajib Berkumpul

Bila tiba masa makan, tak kiralah kami lapar atau tidak, dah makan atau belum, kami kena berkumpul di meja makan di dapur. Pada hari minggu, minum petang dan makan malam adalah waktu wajib berkumpul. Pada hujung minggu, semua waktu makan adalah waktu wajib berkumpul.

2. Laporan Harian

Masa makan, adalah masa beri laporan harian. Belajar apa di sekolah, makan apa di sekolah, tonton kartun apa petang tadi, keputusan peperiksaan, dan sebagainya. Masa itu jugalah nak sampaikan pesan apa-apa. Cikgu suruh bawa kertas warna, tarikh mesyuarat PIBG, dan lain-lain.

3. Makan Apa Yang Dihidangkan

Apa sahaja yang dihidangkan, kami kena makan. Tak ada istilah, kalau lauk tu saya tak suka, saya akan dapat lauk gantian (contoh:telur goreng). Jangan berangan. Kalau kami keluar makan pula, kami selalunya akan order makan hidang, jarang ala-carte. Jika order ala carte, kami order makanan lain-lain, tapi pasti kami kongsi supaya semua orang dapat rasa.

IKLAN

Nampak macam ibubapa saya rigid, tapi sebenarnya ada banyak kebaikan dalam amalan yang mereka budayakan ini.

Kebaikan Amalan Ini;

[0] Adik beradik saya, semuanya jadi doktor(seorang masih pelajar perubatan).

[1] Jimat masa dan tenaga. Semua orang makan serentak, jadi perlu makanan hidang sekali dan cuci pinggan mangkuk juga sekali harung.

Di samping itu, waktu makan juga jadi teratur. Ini baik untuk kesihatan tubuh badan.

[2] Ada masa bersosial yang tetap. Aktiviti dan peristiwa harian dilaporkan kepada ibubapa setiap hari. Kerana laporan-laporan ini, ibubapa saya kenal hampir semua kawan-kawan saya dan adik-adik saya. Kami juga sentiasa sepakat dalam membuat keputusan.

IKLAN

[3] Adik-beradik saya tiada yang cerewet bab makan. Kami makan semua aneka lauk-pauk, kuih-muih, buah-buahan, sayur-sayuran, asalkan halal. Ketika anak saya berumur 6 bulan, ibubapa saya dah ajar anak saya rasa(bukan makan) makanan harian yang kami makan. Hasilnya, kini anak saya tak cerewet sangat bab makan. Peria pun dia makan.

Selain itu,

[4] Anak saya membesar lihat atok nenek dia, pakcik makcik dia, ibubapa dia makan pakai tangan dan pakai sudu garfu, jadi pada umur dia 1 tahun, dia dah mula belajar gunakan peralatan. Kawalan motor halus mula dilatih pada usia itu.

Umur dia 2 tahun, dia dah pandai pegang pensel dengan cara yang betul(macam orang dewasa pegang). Saya tak ajar bagaimana nak pegang, saya cuma perlihat macam mana saya pegang pensel.

[5] Pada umur 2 tahun setengah, anak saya dah tahu meja makan adalah tempat untuk berkumpul. Dia tahu bagaimana nak susun atur pinggan dan cawan di atas meja. Setiap hari, jam 10 pm, bila saya balik dari pada kerja. Anak saya akan teman aku makan malam. Tak kiralah dia dah makan ke belum, dia akan makan bersama, atau teman saya makan.

IKLAN

[6] Saya ada pembantu rumah. Selepas makan, pembantu rumah akan kemas meja. Jadi, selepas makan, anak saya akan ambil tisu dan lap meja. Kalau makan di luar pun, selepas makan, dia nak lap meja. Dia lap tak bersih pun. Yang penting dia faham konsepnya.

Pada saya, dalam setiap rumah, meja makan adalah pusat pentadbirannya. Di situlah, rezeki dinikmati. Disitulah diskusi dan perbincangan di lakukan. Disitu jugalah, budaya, disiplin dan sahsiah dibentuk.

Oleh itu, pastikan meja makan di rumah anda sentiasa kemas, bersih dan teratur. Semoga kita semua sukses!

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Aktivis Meja Makan

Nota: Jika tiada meja makan, gantikan dengan tikar. Sama sahaja mujarabnya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan mak ayah dapat jadikan ia satu amalan serta mempraktikkan perkara yang sama didalam rumah.

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI