
Memang seronok miliki anak kembar, lebih-lebih lagi bila dapat sepasang baik lelaki mahupun perempuan.Setiap mak ayah pastinya mahupun kelahiran bayi kembar ini sempurna dan sihat sempurna keadaannya.
Seorang wanita berusia 32 tahun bagaimanapun ‘terpilih’ melahirkan bayi kembar unik satu dalam sejuta apabila salah seorang bayinya dilahirkan secara normal, manakala seorang lagi menghidap penyakit Sindrom Down.

Pasangan suami isteri dari Sheffield,Britain, Nicola dan Todd Bailey berkata, mereka tidak mengetahui salah seorang anak perempuan kembarnya, Harper mengalami masalah kecacatan genetik itu sehingga dia dilahirkan 38 minit sebelum adiknya, Quinn.
Nicola melahirkan anak kembarnya itu secara normal di Hospital Rotherham pada 15 Februari lalu.Harper Jade dilahirkan dengan berat 2.3kg pada pukul 8.02 pagi, manakala Quinn Mae dilahirkan dengan berat 2kg pada pukul 8.40 pagi dan mereka kini telah berusia 5 bulan.

Doktor Mohon Maaf
Mengimbas kembali berita mengejutkan itu, pasangan itu mendakwa bahawa pasukan doktor hanya mampu memohon maaf ketika memaklumkan mengenai kecacatan salah seorang bayi mereka.
“Seingat saya ketika itu, doktor hanya mampu berkata, saya meminta maaf tetapi perasaan sedih saya berubah dalam sekelip mata apabila menatap wajah kedua-dua mereka. Mereka sangat cantik, comel dan ‘sempurna’ walaupun salah seorangnya mengalami sindrom Down,” kata Nicola.
Nicola berkata lagi, Harper adalah Harper, Quin adalah Quin, mereka tidak sama dan saya tidak sesekali membandingkan mereka mahupun dengan anak-anak yang lain.
Terdahulu, pasangan Nicola dan Todd ini telah mempunyai seorang anak lelaki, Lucas,4 tahun.

Kira-kira 40,000 bayi di United Kingdom mengalami masalah sindrom Down tetapi pakar perubatan menyifatkan peluang salah seorang kembar menghidap kecacatan itu hanya berlaku satu dalam sejuta kelahiran unik bayi di dunia.
Memang unik kelahiran bayi kembar ini. Apa-apa pun, tahniah buat mak ayah bayi kembar ini kerana dapat menerima kelahiran mereka dengan keadaan hati terbuka,tidak membanding-bandingkan dan berlapang dada. Memang terbaik!

Sumber: metro news
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!
Kadang Terasa Nak Lari Sekejap Untuk ‘Me’ Time, Terjun Sungai Dan Rendam Kepala Yang Dah Hampir Beku Ini

Semangat luar biasa itu amat-amat perlu ketika menjaga suami sakit. Sabar dan tabah pun kena tinggi melangit. Sebabnya emosi orang sakit tak sama macam orang normal. Bila-bila dia rasa mahu meronta, dia terus meluahkan tanpa memikir hati dan perasaan orang di sekelilingnya.
Tapi, itulah emosi mereka yang penjaga tak boleh nak pertikaikan. Sebabnya mereka dah tak boleh nak kawal minda dan setiap inci gerakan tubuh pada diri sendiri. Sehari dua meladeni pesakit, sabarnya masih boleh ditapis. Jika setiap hari, apa lagi kekuatan yang boleh dipesan pada penjaga melainkan SABAR DAN REDHA!.
Itulah yang dialami Puan Azura Abdullah, ibu anak 4. Apabila suami diserang strok kali ke-5, dia perlu mengambil alih tugas-tugas ketua keluarga. Syukur kerana anak-anak, Muhammad Irfan, Nur Irdina, Muhammad Irsyad dan Muhammad Isyraf telah dididik berdikari. Baik anak lelaki, masing-masing boleh ke dapur dan memasak sendiri. Tanpa menyusahkan ibunya. Menjaga ayah juga mereka tak kekok.
Menurutnya sebelum ini Melas Syndrome yang suami dialami tidak aktif. Jadinya sebelum ini dikira strok biasa. Masuk kali ke- 5 doktor rasa curious sebab suami masih muda, umur 44 tahun. Ujian jantung, tekanan darah, gula dalam darah dan mata hasilnya ok saja. latest bila MRI dijalankan barulah doktor temui Melas Syndrom dalam tubuh suami.
Setiap momen bersama suami dikongsi di laman facebooknya. Catatan itu mengundang simpati, ada juga kata-kata semangat daripada rakan-rakan. Kerana catatan itu fahamlah kita apabila tuhan mahu menguji, ada pahala besar mengiringi mereka yang redha dan ikhlas melalui ujianNya.

Catatan Hari Ke-24
Menjaga pesakit strok yang terlantar penatnya hanya Allah swt yang tahu. Tambahan pula jika ada elemen dimensia. Memori yang tidak menentu, pertuturan yang sukar difahami dan motorik skil yang lemah menambah lagi efek cabaran kepada caregiver pesakit kategori ini. Emosi mereka yang tidak stabil, sensitif, mahu ditemani setiap masa, bercakap tanpa henti dengan konten yang tidak relevan sangat menduga. Tiada pilihan lain, kuncinya sabar.
Makan tidak mahu, ubat tidak mahu, susu tidak mahu. Sabar. Perlu dipujuk. Itulah sahaja kuncinya, tiada yang lain.
Kadang-kadang terasa juga nak lari sekejap untuk ‘me’ time. Terjun sungai dan rendam kepala yang dah hampir beku ini, tetapi sungai di Kampung Surau ni setakat betis saja ?.
Walaubagaimanapun semua itu terubat apabila setiap hari saya dapat melihat progres kecil suami yang amat positif.
Day 24 – alhamdulillah, syukur ya Rabb. Suami saya sudah boleh duduk dengan kemas (dengan bantuan), sebelum ini tiada balancing – duduk sekejap terbalik. Sudah boleh memegang cawan dan minum sendiri menggunakan tangan kiri. Sudah boleh memegang makanan saiz kecil seperti kuih dan menyuapnya sendiri. Sudah mula ada sedikit fokus dan minat pada siaran tv. Memori sedikit demi sedikit datang kembali. Siang tadi Tuan Sharuzi dari KL datang menziarah dan suami masih ingat beliau serta rancak bercerita tentang pengajian beliau di bawah arwah Tuan Lukman.
Terima kasih tidak terhingga di atas kiriman doa dan sokongan kalian para sahabat budiman. Inilah kunci besar progres suami saya. Doa ikhlas kalian yang tiada pertalian darah dengan saya dan suami ?.
Buat rakan caregiver kepada suami masing-masing..penatkan? Ya, hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Makin mencabar apabila semua kepenatan itu melibatkan kos yang tinggi. Saya percaya Allah swt pilih kita kerana kita mampu mengharunginya. Kita diberi peluang dan tiket mudah untuk ke sana dikala orang lain bersusah payah cuba menjana pahala. Allah swt sediakan di depan mata, di dalam rumah kita sendiri. Ketika di wad HUSM seorang jururawat yang baru kehilangan anaknya datang memberi semangat kepada saya. Seorang kakak yang punya suami pengidap kanser tahap 4 juga sempat titipkan kata semangat dan terbaru seorang isteri yang kematian suami secara mengejut meninggalkan nota betapa bertuahnya saya dapat menjaga suami manakala beliau ditinggalkan secara tiba-tiba.
Ini kali kelima saya mengharungi saat sukar suami sakit. Kali ini lebih mencabar kerana efek dimensia. Waktu ini jugalah emosi kita sebagai caregiver berada pada tahap paling rapuh kerana seluruh fokus keluarga terdekat hanya pada tubuh yang sakit. Tidak dapat tidak kita perlu tanganinya dengan baik. Isu-isu yang tidak membawa faedah seperti terasa hati dengan rakan-rakan, ipar duai yang tidak cakna delete terus. Usah dibiar ianya singgah diminda. Kita ada banyak lagi prioriti untuk digenggam seperti anak-anak dan mencari rezeki. Simpan ruang dihati dan minda kita untuk perkara berfaedah dan mereka yang ada masa untuk kita. Semua ini jika dilayan hanya membazirkan ‘bateri’ kita sendiri dan ruang menjana dosa serta perbalahan. Jalan terus, usah jemu berdoa dan berserahlah bersungguh-sungguh kepada Yang Maha Memberi.
Terima kasih sekali lagi buat semua rakan pembaca yang tidak jemu memberi semangat kepada saya. Kalian antara sumber kekuatan saya.
Abe Mohd Hadzrami, you are a real fighter. Waiting for you to walk again Abe.
Amin ya rabbal alamin.

Catatan Hari Ke-22
Semalam lebih kurang jam 9.30 malam ada sepasang suami isteri datang ke rumah menaiki motosikal.
Jarang saya menerima tetamu bermotosikal di waktu malam kerana rumah saya jauh di hujung jalan tidak berturap dan tiada lampu jalan.
Rupanya Kak Ha dan Abe Mat yang datang. Suami isteri yang pernah NGO Wargakilang bantu dengan mesin uli, oven, deep fryer dan sealer dalam menambah baik bisnes kecil (mini popia goreng, mini karipap, buat feozen juga) mereka. Siap bawa buah tangan. Terima kasih Kak Ha & Abe Mat ?.
Tidak lupa menyelitkan kata-kata semangat buat saya. Kerdilnya saya rasakan menerima kata-kata peransang dari Kak Ha yang mempunyai masalah buah pinggang dan Abe Mat yang pernah patah kedua kakinya ketika bekerja di kilang kayu serta mempunyai penyakit batu karang. Abe Mat yang ceria orangnya tidak henti berpesan, “Redho kuncinya Zura. Baru kita happy dan tak rasa penat.”
InsyaAllah Kak Ha & Abe Mat.

Catatan Hari Ke-15
“Abe, hari ni Zura nak shave Abe. Lama dah tak buat,” sapa saya kepada suami di suatu pagi lebih kurang sebulan yang lalu.
“Takpalah. Abe buat sendiri. Abe buat sat saja. Kan kita nak keluaq satgi,” jawab suami dengan pelat Kedah campur Kelantannya.
Saya hanya membalas dengan mimik mulut muncung tanda kurang puas hati.
Dalam masa yang sama terdetik di hati saya apakah ini petandanya saya tidak berpeluang lagi selepas ini. Suami saya jarang sekali menolak untuk dimanjakan. Beliau juga suka sekali sambil beliau menonton tv saya ‘facialkan’ wajahnya.
‘Ah! Gangguan syaiton saja ni.’ Saya cuba menenangkan hati.
Dan hari ini merupakan hari ke 15 suami tidak lagi peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Gerak hati seorang isteri benar lagi buat sekelian kalinya. Saya amat takut setiap kali terdetik sesuatu di hati kerana jarang sekali ianya salah ?.
Penglihatan suami kabur teruk, hanya bersandarkan suara yang biasa didengar. Tubuh lemah dari pinggang ke bawah, perlu memakai lampin pakai buang. Memori dan percakapan keliru, sekejap ok dan sekejap tidak ok.
Ya, hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi. Saya dapat shave janggut dan misai beliau tanpa sebarang bantahan dan reaksi serta usik-mengusik.
Appreciate life as it happens.
Moments will soon pass and we will wish we had treasured them more.
Sumber/Foto: FB Azura Abdullah via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!
“Dulu Saya Hidup Solo, Tak Sangka Akan Kahwin Dengan Lelaki 18 Tahun Lebih Muda”.Dr Zahida Kongsi Detik Cinta Tak Disangka

“Saya tak cari pasangan kerana rupa atau harta. Tapi kerana hatinya… dan keperibadiannya yang memeluk tenang hidup saya.” — Mohd Shahril Tuah (Aril)
Di sebalik tawa mesra dan gurau manja yang tular di TikTok Mingguan Wanita, siapa sangka cinta mereka pernah dipandang serong. Kata orang, Aril “gilakan harta” kerana memilih untuk bernikah dengan wanita 18 tahun lebih berusia, bergelar doktor dan anak orang berada.

Namun bagi Aril, 38, seorang usahawan tudung dan bekas wadar penjara, cinta yang dipilihnya bukan berasaskan kekayaan atau fizikal semata.
Sebaliknya, keperibadian Dr Zahida Datuk Mohamad Zahudi, 56, menjadi magnet yang melembutkan hatinya.

Permulaan Yang Sederhana, Tapi Sarat Makna
Takdir mempertemukan mereka di sebuah klinik, bukan sebagai dua kekasih, tetapi sebagai anak yang membawa ibunya mendapatkan rawatan. Itulah detik pertama Aril melihat sisi sebenar wanita bernama Zahida, saat beliau memberi nasihat penuh lembut kepada ibunya.
“Waktu itu, saya nampak cara dia bercakap dengan emak. Sopan, jelas, dan menyentuh hati. Dari situlah, saya tahu… saya ingin mengenalinya lebih dekat,” ujar Aril tenang.
Ketika itu, Zahida baru sahaja kehilangan suami, manakala Aril pula baru putus tunang. Dalam kesedihan masing-masing, mereka mula berkawan, saling mengenali hati budi. Tiga tahun kemudian, mereka disatukan dengan restu penuh daripada kedua-dua belah keluarga.
“Dia Lebih Muda, Tapi Saya Yang Kebudak-budakan”
Mendengar kisah dari sisi Dr Zahida pula, nyata wanita ini tidak melihat beza usia sebagai kekangan. Malah, dia sendiri tidak menyangka akan berkahwin semula selepas tiga tahun hidup solo.
“Waktu kahwin, saya 45, dia 27. Tapi cara dia bercakap… matang. Tak ada cakap kosong. Saya pula yang lebih kebudak-budakan,” selorohnya sambil ketawa kecil.
Dalam rumah tangga, Zahida tetap meletakkan hormat terhadap suami walau beza usia ketara.

“Walaupun dia muda, dia tetap imam saya. Saya tak fikir nak menang bila berbincang. Saya terima tegurannya. Dan dia pula banyak bimbing saya, terutama dalam soal agama.”
Cinta Yang Mendamaikan Jiwa
Kini selepas 11 tahun melayari bahtera rumah tangga, Aril bersyukur atas ketenangan yang diraihnya bersama wanita yang menjadi sandaran jiwanya itu.
“Dia hadir waktu saya jatuh, waktu orang luar tak terima saya, waktu saya mula bertatih sebagai pencipta kandungan. Dia tak pernah tinggalkan saya.”
Video-video mesra mereka yang tular bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi inspirasi ramai — bahawa cinta sebenar tidak memandang usia, rupa atau status. Cinta sejati, katanya, berasaskan kejujuran, restu keluarga dan penerimaan tanpa syarat.

Dari Dua Dunia, Menjadi Satu
Aril dan Zahida, dua jiwa dari latar berbeza, usia berbeza, tetapi dipertemukan oleh Tuhan untuk saling melengkapi. Kisah mereka mengajar kita bahawa dalam dunia penuh penghakiman, masih wujud cinta yang murni, tulus dan suci.
“Apa orang kata, saya maafkan. Saya doakan semoga mereka belajar melihat dengan hati, bukan dengan syak wasangka,” kata Aril, sambil menggenggam tangan isterinya.
Semoga cinta pasangan ini terus mekar hingga ke syurga, menjadi inspirasi buat wanita-wanita yang sedang mencari harapan dalam cinta kedua atau mungkin, cinta yang benar.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!
Childfree Marriage, Doktor Kemuka Bukti Sains Wanita Lahirkan Anak Lebih Bahagia Di Hari Tua

Childfree marriage, doktor kemuka bukti sains wanita lahirkan anak lebih bahagia di hari tua. Childfree marriage. Inilah isu yang sedang hangat diperbicarakan di media sosial kala ini. Ia berkaitan pasangan yang berkahwin namun memilih tidak mahukan anak dalam masa terdekat atau pun tidak mahu terus.
Kata mereka lebih selesa hendak ke mana-mana berdua.
Childfree Marriage
Bercakap isu childfree marriage ini, Dr. Siti Nurhayati Adznan yang juga seorang pengamal perubatan di Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menzahirkan rasa sedih dengan pendirian mereka ini.
Jelasnya, ada pelbagai cabaran membesarkan anak pasca moden hari ini. Tak dinafikan perjuangan mereka yang diuji dengan masalah kesihatan namun bagi mereka yang tiada alasan mendesak, tidak sewenang-wenangnya mengambil pendirian “childfree marriage” ini.
Menurut AJK Biro Komunikasi Wanita ISMA ini, secara prinsip dalam Islam, perancangan keluarga tanpa sebab yang syarii adalah HARAM.
Merujuk laman sesawang mufti wilayah persekutuan, perancangan keluarga jenis Tahdid al-Nasal (تحديد النسل) bererti mengehadkan atau menamatkan terus kemampuan pasangan untuk mendapat anak. Ramai tokoh sarjana Islam dan badan berautoriti berfatwa bahawa haram melakukan perancangan keluarga jenis ini. Ini kerana Syarak sendiri meggalakkan agar kita mendapat anak.
Daripada Abu Sa`id bin Hilal, bawa Rasulullah SAW bersabda:
تَنَاكَحُوا، تَكْثُرُوا، فَإِنِّي أُبَاهِي بِكُمُ الْأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَ
Maksudnya: Bernikahlah kalian, dan peramaikan bilangan kalian, kerana aku akan berbangga dengan kalian atas ramainya umatku nanti di Hari Kiamat. Riwayat Abdurrazzaq (10391) dalam Musannaf”.
Doktor Kemuka Bukti Sains Wanita Lahirkan Anak Lebih Bahagia Di Hari Tua
Tambah doktor perubatan ini lagi, terdapat banyak pembuktian dari sudut sains akan kebaikan mempunyai anak.
“Kebaikan malah merentas peringkat. Dari mula pada peringkat persenyawaan, sepanjang proses kehamilan, kelahiran, penyusuan anak, dan penjagaan semasa kecil sehingga dewasa.
Antara kebaikannya ialah perlindungan sepanjang hidup dari pelbagai jenis kanser wanita seperti kanser ovari, kanser payudara dan kanser rahim.
“Dari sudut kanser payudara. Pelbagai kajian menunjukkan terdapat pengurangan risiko kanser payudara sebanyak 4.3% bagi setiap 12 bulan penyusuan, keatas wanita yang menyusukan anak berbanding wanita yang tidak menyusukan.
“Lebih lama proses penyusuan, dan lebih ramai anak yang disusukan, lebih rendah risiko. Proses mengandungkan dan melahirkan anak pula menurunkan lagi risiko sebanyak 7% bagi setiap anak. Risiko yang rendah ini malah kekal dan tetap, sebelum dan selepas menopos, apabila wanita itu tidak lagi boleh menyusukan.
Tambahnya lagi, kebaikan melahirkan anak ialah mencegah kanser rahim dan ovari.
“Antara faktor risiko kanser ovari dan kanser rahim yang dikenalpasti adalah panjangnya tempoh organ seksual tersebut terdedah kepada tahap hormon estrogen yang tinggi tanpa lawan (unopposed raised levels of estrogen).
“Tahap estrogen dilawan hormon lain hanya berlaku sepanjang kehamilan hingga kelahiran, dan sepanjang penyusuan. Keadaan ini memberi kerehatan kepada ovari dan endometrium daripada rangsangan hormon estrogen.

2) Mengurangkan risiko penyakit Alzheimers (nyanyuk)
Antara punca yang dikenalpasti membawa kepada penyakit Alzheimer termasuk masalah keradangan yang kronik akibat sistem imunoregulasi yang tidak cekap. Kehamilan pula membawa kepada peningkatan sistem imunoregulasi. Ini menambahbaik keradangan dan sekaligus mengurangkan risiko penyakit Alzheimers. Perlindungan ini berterusan sehingga ke fasa umur tua.
3) Hari tua yang lebih gembira
Pelbagai kajian merangkumi pelbagai sudut kehidupan menunjukkan bahwa mereka yang memunyai anak, termasuk anak angkat, melaporkan kehidupan hari tua yang lebih gembira dan terisi. Malah akhir-akhir ini terdapat usaha pihak tertentu yang cuba untuk menidakkan kajian bertahun-tahun ini, dan menyatakan sebaliknya, namun ramai pakar yang menyatakan ia bersifat tidak konklusif.
4) Hidup lebih lama
Faktor di atas juga membawa kepada jangka hayat yang lebih lama di kalangan mereka yang mempunyai anak. Penjagaan orang tua oleh anak-anak juga menyumbang kepada jangka hayat dan kesihatan yang lebih baik.
5) Otak yang lebih besar
Kini malah terdapat bukti sains yang menunjukkan bahawa sifat-sifat keibuan bukan sekadar fitrah perasaan, malah ia juga disebabkan oleh proses perubahan terhadap struktur otak seorang wanita. Otak didapati menjadi lebih besar dan luas untuk beradaptasi dengan perubahan status tersebut.
Selain kajian sains perubatan, dalam sains sosial misalnya, juga terdapat banyak pembuktian kebaikan hidup berkeluarga dengan kehadiran anak-anak. Memiliki anak memperkayakan kehidupan, mendorong pertumbuhan, dan memberikan kepuasan tersendiri apabila meninggalkan warisan kasih sayang dan nilai. Manfaat mempunyai anak meluas melebihi unit keluarga, mempengaruhi individu, masyarakat, dan masyarakat secara umum.
Sebaliknya, hujah-hujah kebaikan perkahwinan-tanpa-anak pula bersifat andaian(hypothetical) dan jangka pendek belaka. Ukuran kebahagiaan pula berkisar kepuasan dalam kerjaya, kegembiraan hidup berpasangan, wang dan masa lapang yang lebih banyak hanyalah perkara yang kebanyakan masa dinikmati pada waktu muda sahaja. Seiring agenda material dan kebebasan hak individu semata-mata.
Tidak dinafikan, dewasa ini, pelbagai cabaran menanti ibubapa dalam membesarkan anak-anak. Antara cabaran terbesar termasuk cabaran ekonomi, ancaman jenayah, meningkatnya penyakit berisiko dan sebagainya.
Tidak dinafikan juga, dapatan kajian diatas banyak perkaitan dengan kebahagiaan sebuah unit keluarga itu sendiri. Jika bahagia sukar untuk diperolehi mana mungkin kebaikan dapat diperoleh. Walaubagaimanapun, dengan segala manfaat yang disebut diatas, kita tidak boleh berputus asa dengan jalan kebaikan.
Teknologi dan ilmu zaman moden boleh digunakan untuk memudahkan jalan. Kaunseling, perhubungan sosial dan sebagainya boleh mengubati trauma lama. Mengurangkan keterikatan material boleh menjimatkan wang dan masa. Masa dan wang yang diperolehi dilaburkan semula kepada keluarga.
Apa jua cabaran, kita perlu percaya rahmat tuhan adalah jauh lebih besar dari tulang empat kerat kita. Sengaja memilih jalan sebaliknya umpama memilih kerosakan dan kegelapan. Mungkin tidak nampak di mata kasar sekarang, tapi pastinya di masa akan datang. Lihat sahaja rekod negara-negara warga tua seperti Jepun dan China, dan parahnya tamadun Barat dengan kecelaruan konsep keluarga. Semuanya kerana mementingkan agenda sekelompok kecil dan ideologi jangka pendek.
Rasulullah bersabda:
تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ
Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.(Riwayat Abu Daud)
Semoga Allah sentiasa membimbing kita dengan tauhid.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :–Remaja 17 Tahun Meninggal Makan Bihun Telur Mata, Bapa Kongsi Anak Makan 3 Biji Telur
Duit KWSP Lebih Setengah Juta Habis Licin, Pesara Ubah Suai Rumah, Buat Kenduri Kahwin Anak
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
 download sekarang!
download sekarang!

 

