Kaya belum tentu bahagia. Selalu bila kita tengok orang kaya, mulalah berkata-kata ‘kalau aku kaya macam dia’. Sedangkan kita tak tahu kehidupan mereka itu.
Kita fikir, bila kaya tentu bahagia dan orang miskin, hidupnya penuh dengan onak durinya. Janganlah mudah nak bandingkan semua itu.
Ingat, kaya belum tentu bahagia dan miskin belum tentu sengsara. Masing-masing ada cara tersendiri untuk bahagia.
Dalam perkongsian oleh Zul Ariff ini turut mengingatkan kita untuk tidak bandingkan dan bersyukurlah dengan apa yang ada.
Ads
Sekali saja dalam hidup cuba kau jangan bandingkan kebahagiaan kau kecapi dengan kebahagiaan orang lain. Bahagia ni sangat subjektif. Setiap orang punya keinginan bahagia yang berbeza.
Boleh bahagia ke kalau nampak kaya? Orang yang kaya pon belum tentu nak tunjukkan kekayaan mereka. Cuba lah dalam hidup ni ” sekali saja ” cari bahagia untuk diri sendiri, bila diri kau dah bahagia baru la kau boleh bahagiakan orang lain.
Hidup kita ni biar bahagia ikut cara kita bukan cara orang. Lagi pun bila kita ni hidup cara kita tak adalah semak otak kau nak ambil tahu itu ini, nak bandingkan sana sini, nak kritik atas bawah semua.
Nak Hidup Tenang, Jangan Buat Perbandingan
Nak hidup tenang cuba tips ni:
Ads
Sekali Saja korang tolong cuba tengok cermin, dan tanya diri korang apa yang kita ingin kan dalam hidup. Bila dah tahu keinginan korang tu, cuba korang belajar untuk capai impian tu, tanpa perlu buat apa apa perbandingan.
Sekali saja tolong lah jangan ikut perasaan atau keinginan disebabkan kau nak nampak hebat. Percayalah bila kau ikut perasaan ni bukan hebat yang kau dapat tapi malapetaka. Sebab apa, bila kau nak nampak hebat kau mula buat benda tanpa gunakan akal fikiran yang logik.
Sekali saja aku ingatkan korang bersyukur la atas apa nikmat yang korang ada, tak perlu nak compare, nak jelous dengan hidup orang lain, mesti one day nanti korang akan rasa nikmat kehidupan yang tenang.
Cuba sekali saja korang hargai segala di sekeliling korang, sebab itu semua adalah kebahagiaan tapi biasa lah manusia seperti pepatah melayu semut seberang sungai kau boleh nampak tapi gajah depan mata kau tak nampak.
Ads
Mingguan Wanita : Tak perlu nak bandingkan diri kita dengan orang lain. Bahagilah cara kita.
Pasangan Sehidup Semati, Isteri Meninggal Hanya 34 Minit Selepas Suami Dijemput Ilahi. Sungguh ajal maut dan jodoh itu ketentuanNya. Menjadi impian bagi setiap suami isteri untuk hidup bersama hingga hari tua, jodoh hingga ke akhir hayat dan dipertemukan di syurga kelak.
Siapa sangka berkongsi suka duka dalam melayari bahtera perkahwinan selama 56 tahun dan mahu bersama hingga ke ‘negeri abadi’, menjadi impian wanita ini. Malah direzekikan pasangan ini meninggal hampir serentak, pada hari Jumaat yang mulia.
Hasrat terakhir seorang wanita warga emas ini menjadi kenyataan apabila dia turut dijemput Ilahi selepas 34 minit suaminya menghembuskan nafas terakhir akibat kanser tekak.
Norhani Sice, 71, meninggal dunia pada jam 10.54 pagi manakala suaminya, Zahari Mat Tahir, 77, pergi menghadap Ilahi pada jam 10.20 pagi, 12 Mei lalu.
Lebih memilukan arwah Norhani rebah di riba Zahari sejurus suaminya itu menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Kampung Tualang Sekah di sini, dengan disaksikan anak bongsu mereka, Ellyawati, 41.
Ellyawati turut berkongsi kisah itu di TikTok, baru-baru ini dan mendapat perhatian warganet yang turut bersimpati dengannya susulan kehilangan dua insan tersayang.
Ketika dihubungi, Ellyawati berkata, kehilangan dua ‘syurga’ dalam masa tempoh selang 34 minit nyata menyentap hatinya dan empat beradik lain berikutan ibu bapa mereka meninggal dunia secara hampir serentak.
Menurutnya, bapanya yang juga pesara tentera menderita kanser tekak tahap empat sejak Oktober tahun lalu dan kerap sesak nafas kebelakangan ini kerana saluran pernafasannya semakin sempit manakala ibunya menghidap penyakit darah tinggi.
“Pada pagi hari kejadian, abah sesak nafas dan saya yang tinggal di hadapan rumahnya membantu menggosokkan dada abah. Sejak sakit, abah memang kerap meludah dengan air ludahnya turut berdarah.
“Tetapi pada hari kejadian, dia meludah banyak penuh dua mangkuk. Abah kemudian dilihat semakin baik dan pergi membasuh mukanya sebelum duduk di sofa di ruang tamu.
“Mak pula ketika itu seperti biasa sahaja, malah sempat menyapu halaman sambil sekejap-sekejap masuk ke rumah melihat abah sebelum mak panggil saya untuk tengok abah sementara dia ke tandas,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, sebaik dia sampai di rumah ibu bapanya, dia melihat bapa kembali sesak nafas dan dadanya juga dilihat berombak selain warga emas itu turut meminta membawanya ke hospital.
“Mak duduk di sebelah abah pada ketika itu dan tidak lama kemudian, abah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kami dan tiba-tiba mak jatuh di riba abah serta tidak sedarkan diri.
“Ketika itu saya memang tidak keruan, tetapi saya sempat hubungi keluarga di kumpulan WhatsApp kami dan meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans, mak pula dijemput Ilahi,” katanya.
Pasangan sehidup semati itu kemudian dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang Sekah di sini.
Ellyawati berkata, ibu bapanya mempunyai hubungan erat dan selalu menghabiskan masa bersama terutama ketika usia tua mereka, malah mengakui ibunya yang sebelum ini kurang sihat menjadi kuat demi memberi semangat kepada bapa yang disahkan menghidap kanser tekak.
“Arwah mak dan abah selalu bersama, ke mana sahaja mereka selalu pergi berdua. Kalau pergi berjalan dengan anak, mereka tidak mahu berpisah kereta dan mahu naik kereta yang sama.
“Sepanjang abah diuji dengan kanser, mak sentiasa bersama abah. Dia menguatkan dirinya untuk beri semangat kepada abah,” katanya yang memberitahu ibu bapanya mempunyai lima anak berusia 41 hingga 52 tahun, 15 cucu dan seorang cicit.
Menurutnya, ibunya pernah memberitahu sepupunya yang dia mahu meninggal dunia bersama bapa pada Aidilfitri lalu dan mengakui dua insan tersayang itu juga ada memberi tanda sehari sebelum kejadian namun ia hanya disedari mereka selepas itu.
“Anak saya memang rapat dengan abah dan setiap hari akan pergi ke kedai bersama. Sehari sebelum kejadian, abah minta anak peluknya dan cakap selepas ini atuk sudah tak bawa ke kedai.
“Mak pula cakap dia mahu kemas rumah sebab esok ramai orang nak datang. Saya ingatkan itu biasa sahaja kalau ada tetamu atau orang kampung yang datang, namun saya dan empat beradik lain reda.
“Mak dan abah pergi pada penghulu hari, Jumaat dan abah sudah tidak menanggung sakit lagi.
“Mungkin kalau mak ada, dia akan menanggung rindu pada abah, tetapi sudah takdir mereka pergi bersama,” katanya.
Mingguan Wanita: 56 tahun hidup bersama, sehidup dan semati pasangan suami isteri ini hingga ke akhir hayat. Semoga pasangan ini ditempatkan di syurga dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah
Memang cukup membimbangkan apabila kanak-kanak yang masih kecil cukup berani memandu kenderaan sendiri. Namun terkini, polis menolak sebarang unsur mistik dikaitkan dengan kes kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu sebuah kereta lebih kurang 2.5 kilometer (km) sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menolak dakwaan wujud isu mistik seperti ditularkan, sebaliknya siasatan mendapati kanak-kanak itu mengetahui fungsi pedal minyak dan gear.
Shariman berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, didapati kanak-kanak tersebut juga tahu dan menunjukkan bagaimana cara menurunkan brek kenderaan itu.
“Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat menghidupkan enjin apabila diminta.
“Antara lain, kanak-kanak lelaki itu mampu menerangkan penggunaan gear kepada pegawai penyiasat trafik, selain tahu mengundur kereta,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Tambah beliau, melalui pemeriksaan dashcam, pihaknya mendapati pemanduan kanak-kanak itu tidak begitu stabil ketika kejadian pada malam Selasa.
“Kadangkala, sedikit memasuki lorong bertentangan dan kadang ke kiri dan ke kanan,” katanya.
Ketika diminta mengulas sama ada kanak-kanak itu turut diambil keterangan, beliau menyatakan kanak-kanak tersebut ada dibawa ke balai polis trafik Langkawi oleh ibu bapa semasa keterangan ibu bapa diambil.
Menurut beliau, pihak polis telah menemubual awal kanak-kanak tersebut sebelum ini.
Terdahulu dilaporkan kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu sebuah kereta dikaitkan pula dengan unsur mistik.
Meskipun tidak dapat dipastikan kesahihan kisah berkenaan, namun rakaman audio perbualan suara kanak-kanak itu menceritakan kejadian tersebut kini tular di media sosial sejak malam Rabu.
Sebelum ini, seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu kereta lebih kurang 2.5 kilometer (km) dengan membawa adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai di Langkawi sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mingguan Wanita: Walau apa pun yang berlaku, orang ramai diharap jangan membuat spekulasi sendiri, serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut. Paling penting sebagai mak ayah, pantau perlakuan anak-anak selalu.
Perjuangan anak syurga terbela di dunia, peguam ulas kes Bella & ucap terima kasih kerana satukan ramai insan hebat.
Semalam ramai mengucapkan syukur di atas kemenangan yang berpihak kepada remaja down sindrom, Bella yang didera dan dianiaya. Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun dan dirinya sudah dihantar ke Penjara Kajang mulai semalam.
Kes ini mendapat liputan meluas kerana ramai yang ternanti-nantikan apa pengakhirannya kerana bukan saja rakyat biasa tetapi juga Tengku Mahkota Johor dan isteri turut memberikan perhatian ke atas kes ini hingga menghantar peguam pemerhati.
Peguam terkenal, Nor Zabetha turut mengulas kes ini dari sudut perundangan dan mengucapkan terima kasih kepada adik Bella kerana menyatukan banyak pihak untuk melihat dirinya terbela di dunia. Ya, perjuangan anak syurga ini sudah meraih kemenangan di dunia dan pastinya di syurga, dirinya kembali bersenang lenang.
Ikuti perkongsian dari Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna @ Co.
Pagi tadi saya ke mahkamah untuk menghadiri keputusan kes Bella, sebagai tanda sokongan kepada Bella dan kesemua orang yang memperjuangkan keadilan bagi Bella.
Setelah beberapa lama kita semua menunggu keputusan Bella.
Dari pagi lagi, di antara kami berlegar-legar di kepala, jika disabitkan kesalahan. Berapa lama agaknya keputusan yang akan dijatuhkan? Atau berapa denda? Atau berapa lama khidmat masyarakat?
Maksimum penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak adalah 20 tahun. Masing-masing menanti.
Keputusan dibacakan oleh Tuan Hakim terang dan jelas dalam mahkamah terbuka. Alasan penghakiman yang dibaca turut merujuk kepada Seksyen dan Akta, rujukan kepada kes undang-undang terdahulu dan prinsip undang-undang.
Saya ringkaskan dan rumuskan berdasarkan apa yang dibaca oleh Tuan Hakim di mahkamah terbuka tadi.
Dalam kes Bainun ini, terdapat dua pertuduhan. Bermakna ada 2 perbuatan jenayah yang dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) oleh Bainun terhadap Bella.
Pertama dia dituduh mengabaikan Bella sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal.
Perlu faham maksud abai iaitu cuai atau tidak ambil tahu atau tidak peduli sehinggakan Bella cedera dan mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Isunya bukan siapa yang pukul atau bagaimana cedera tetapi pengabaian sehingga Bella cedera.
Pertuduhan kedua, menganiaya sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Maksud aniaya adalah menyakiti atau menyeksa atau menindas atau menzalimi.
Bagi dua pertuduhan abaikan dan menganiaya Bella, mahkamah perlu menilai keterangan saksi-saksi dari kes pendakwaan dan pembelaan serta meneliti hujahan team pendakwaraya dan pembelaan Bainun.
Mahkamah mengupas satu demi satu isu.
Isu bahawa sama ada Bella mengalami kecederaan emosi?
Mahkamah mempertimbangkan saksi pembelaan Bainun dan juga pendakwaraya iaitu saksi pakar yang hadir bagi menerangkan berkenaan dengan kecederaan emosi.
Mahkamah berpendapat bahawa pembuktian pendakwaan bahawa Bella mengalami emosi adalah kukuh dan tidak disangkal oleh pembelaan Bainun. Maka, telah dibuktikan bahawa Bella mengalami kecederaan emosi.
Seterusnya, isu sama ada Bella mengalami kecederaan fizikal?
Dalam pembelaan Bainun, dia menafikan mendatangkan kecederaan kepada Bella. Malahan mengikut pembelaannya, kecederaan berlaku sewaktu dia di tempat kerja.
Namun demikian, isu berkaitan bahawa kononnya Bella terkena air panas disebabkan bergaduh dengan Balqis , hanya dibangkitkan kepada saksi pembelaan dan tidak pernah ditanyakan kepada saksi pendakwaan dari peringkat awal. Oleh yang demikian, ianya hanya satu pemikiran terkemudian.
Maksud pemikiran terkemudian bermakna sebelum ini tidak ada pun tapi baru direka-reka dan dibangkitkan. Maksudnya, kalau benar, kenapa soalan-soalan mencadangkan kejadian air panas oleh Balqis ini tidak ditanya pada peringkat awal oleh team pembelaan Bainun.
Malahan pendakwaraya ada tawarkan saksi Aida dan Balqis kepada team pembelaan untuk dipanggil. Namun demikian, tidak dipangil.
Isu alasan bahawa kecederaan akibat termos juga tidak boleh diterima kerana luka yang dialami adalah menyeluruh di tubuh badan Bella dan bukanlah kerana air tertumpah dari termos yang sepatutnya pada bahagian tertentu sahaja.
Mahkamah juga mengambil kira keterangan dari pakar-pakar perubatan berkaitan luka-luka yang dialami Bella.
Berdasarkan keterangan dari SP2 iaitu doktor di bahagian Kecemasan dan Trauma HKL bahawa terdapat banyak kecederaan dan parut lama di badan Bella sewaktu diperiksa. Keterangan ini disokong juga oleh saksi doktor lain bahawa terdapat banyak parut dan kecederaan terdahulu yang dialami Bella. Bermakna jelas bahawa Bella sering mengalami kecederaan sebelum kejadian air panas ini.
Mahkamah juga turut menyentuh bahawa Bainun memperolehi penjagaan Bella melalui perintah mahkamah. Hak penjagaan diperolehi oleh Bainun.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat sebarang kecederaan kepada Bella, Bainun perlu memaklumkan kepada SP12 iaitu Encik Imran, pegawai pelindung Bella.
Kejadian air panas itu berlaku pada 6 hingga 9 Mei 2021. Namun Encik Imran hanya dimaklumkan melalui whatsapp pada 24 Jun 2021 (hampir sebulan setengah) iaitu ketika Bella dibawa ke hospital.
Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan Bainun tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan kepada dakwaan.
Mahkamah menjatuhkan Bainun bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan selama 10 tahun dan 12 tahun bagi menganiaya. Hukuman dijalankan secara serentak.
Bainun juga dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 200 jam selepas 6 bulan dari pemenjaraan dan bon kelakuan baik sebanyak RM5,000 bagi tempoh 5 tahun. Permohonan bagi menangguhkan pemenjaraan Bainun juga ditolak oleh Mahkamah.
Tahniah team pendakwaan. Puan-puan pendakwaraya yang hebat, merangka strategi, menyoal saksi, melakukan penyelidikan undang-undang, membuat hujahan dan berhujah.
Terima kasih dan tahniah kepada saksi-saksi yang tabah memberikan keterangan-keterangan demi keadilan untuk Bella. Terima kasih dan tahniah mereka yang memperjuangkan Bella seperti Mommy Zurianty Sudin , Mona Din , Alif Ahmad, Peguam Mahmud Jumaat , Peguam Megat Syazlee, team peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, kesemua NGO yang terlibat dan kesemua yang sentiasa di belakang Bella. Kesemua warga net dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong.
Buat Bella, terima kasih kerana menyatukan kami semua.
Saat sebelum isterinya dijemput Illahi, arwah yang berusia 27 tahun sering memuat naik video kenangan bersama anak syurga mereka termasuk menyatakan kerinduan terhadap Wan Hayder sebelum mengikut jejak anaknya itu asbab masalah sakit yang sama.