Kasihannya melihat keadaan fizikal dan ujian yang dialami oleh lelaki ini.Pada usia 23 tahun boleh dianggap sebagai usia bagi lelaki dewasa namun dia ‘terperangkap’ dalam jasad seorang bayi apabila pembesarannya terhenti.
Manpreet Singh, 23, dilahirkan di Punjabi pada 1995, namun kini beratnya hanya cuma 4 kg sahaja. Satu punca misteri yang masih belum dapat dirungkaikan membuatkan Manpreet dilihat seolah-olah terperangkap dalam jasad bayi berusia 1 tahun. Malah dia yang tidak mampu berjalan, perlu dibawa kemana-mana bagaikan anak kecil yang perlu didukung ibunya.
Walaupun Manpreet dilahirkan sebagai seorang bayi yang sihat tubuh badan, namun dia berhenti membesar setahun kemudian sebelum sempat belajar untuk berjalan dan bercakap. Keadaan itu menyebabkan ia perlu diuruskan seperti seorang bayi walaupun hakikatnya sudah pun dewasa.
Keluarga Manpreet sendiri bingung dengan keadaan yang menimpa anak mereka. Malah, doktor yang merawat hanya sekadar memberi pendapat bahawa ia mungkin mempunyai kaitan dengan ketidak seimbangan hormon.
Ads
Sindrom Laron
Saintis bagaimanapun berpendapat Manpreet mungkin menghidap penyakit Sindrom Laron, satu kejanggalan genetik yang sangat-sangat jarang berlaku. Namun kenyataan tersebut tidak dapat dibuktikan memandangkan ibu bapanya tidak mampu untuk menyediakan wang lebih daripada RM 27 ribu yang diperlukan untuk membuat pemeriksaan.
Mereka yang menghidapi Sindrom Laron mempunyai masalah dengan hormon Insulin-Like Growth Factor 1 atau IGF1. Penghidap ketiga yang berjaya ditemui di dunia kini hidup di Ecuador.
Ibu bapa Manpreet yang tidak mampu menjaganya memandangkan mempunyai dua lagi anak yang lain, kemudian bertindak menyerahkannya kepada bapa dan ibu saudaranya untuk dibela.
Ads
Dianggap Jelmaan Tuhan
Kehadiran Manpreet di kejiranan baru di Hisar lantas mendapat perhatian penduduk setempat sehingga ada yang menganggap Manpreet adalah jelmaan Tuhan. Walaupun mempunyai badan seperti bayi, tetapi fizikal Manpreet seperti kulitnya menunjukkan tanda-tanda penuaan.
Malah, Manpreet hanya mampu menyebut beberapa perkataan sahaja menyebabkan penjaganya terpaksa memahami kehendak Manpreet melalui pergerakkan badannya.
Ads
”Manpreet menggeletar seperti bayi dan mudah takut. Apabila dia mendengar bunyi anjing menyalak, dia merasa takut dan menangis. Manpreet juga kadang-kadang seorang yang mesra dengan jiran yang berkunjung, dia menghulur tangan seolah-olah ingin berkawan dengan mereka,” kata bapa saudaranya, Karanvir Singh, 45.
”Manpreet sukakan susu dan roti. Dia gemar untuk menikmatinya di waktu pagi dan tidak pernah terlepas. Walaupun dia cuma mampu menuturkan perkataan seperta ‘ma’ dan ‘mama’, dia belajar berkomunikasi melalui pergerakkan anggota badannya,” kata ibu sandaranya pula, Lakhwinder Kaur.
Kasihannya keadaan dan ujian yang menimpa lelaki ini. Sebagai mak ayah, banyakkanlah berdoa semoga diberikan kesihatan yang baik buat anak-anak kita dan agar pembesaran mereka seiring dengan usia.
Cacat penglihatan bukti mampu jadi peguam profesional. Anak muda berusia 32 tahun ini merupakan seorang OKU yang cacat penglihatan. Walaupun tidak seperti insan normal yang lain namun, Mohammad Faizal Che Yusof kini sudah memiliki firma guamannya sendiri, malah dia juga membuktikan bahawa dia mampu menjadi seorang peguam yang profesional dan setaraf dan selayak seperti yang lain.
Menyandang jawatan sebagai Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie, Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan OKU Malaysia dan Yang Dipertua, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia ini merupakan anak kelahiran Jengka 3, Pahang dan juga graduan Fakulti Undang-umdang, Universiti Malaya.
Penulis cukup kagum dengan kejayaan yang digapai oleh Mohammad Faizal Che Yusof malah insan terpilih ini juga menjelaskan kedudukan sebagai peguam adalah amanah Allah kepadanya. Menurut anak muda ini lagi, kerjayanya sebagai peguan juga bukan untuk mengaut segala kemewahan hidup tetapi kerjaya ini merupakan landasan baginya untuk membela golongan senasib dengannya.
“Angan-angan saya adalah untuk mencetuskan suatu kehidupan yang lebih baik kepada rakyat bawahan. Sebagai peguam banyak aduan-aduan yang saya terima dan ianya tidak hanya boleh diselesaikan di mahkamah semata-mata. Ia memerlukan intervensi-intervensi pelbagai pihak atau jalinan kerjasama pelbagai pihak dalam menangani sesuatu masalah. Itu yang saya perolehi selama jadi peguam.
“Hasrat saya pada masa hadapan untuk cuba memastikan suasana yang lebih baik kepada masyarakat umum. Sebagai orang biasa bila kita hadapai sesuatu masalah tanpa ada saluran yang baik untuk salurkan masalah, kita tidak akan tahu bagaimana hendak selesaikan masalah tersebut. Sedangkan pada saya seorang peguam, apabila kita lihat sesuatu masalah yang berlaku, dengan ilmu yang dibekalkan kepada kita, kita tahu macam mana nak bantu mereka yang berada dalam masalah tersebut dan untuk selesaikan masalah mereka. Kita tak boleh selesaikan tetapi membantu. Saya faham ini bukanlah satu perkara yang mudah.
“Hasrat saya yang kedua, pada masa hadapan adalah untuk membantu negara dan kerjaan dalam membentuk suasana masyarakat yang lebih baik dan kondusif. Hasrat saya ini agak susah tetapi saya berharap Allah SWT mendengar suara hati dan melihat apa yang saya lakukan. Sekurang-kurangnya rahmat yang melimpah ruah akan melimpah kepada saya. Apatah lagi dengan pembabitan saya dengan badan-badan bukan kerajaan. Ia membuka pandangan saya, masih ramai diluar sana terutamanya golongan OKU yang perlu didekati dan diberi bantuan supaya dapat mengharungi kehidupan yang lebih baik. Itulah dua hasrat saya untuk membantu kehidupan yang lebih baik kepada OKU dan kehidupan yang kondusif untuk kehidupan rakyat yang ramai,” terang Mohammad Faizal Che Yusof.
Menurut pengamal perundangan ini, pengalaman yang dilalui sebagai OKU mengajar dirinya supaya tidak mudah mendabik dada.
“Apa yang saya lalui, sebagai seorang OKU apabila datang kepada klien-klien yang berpotensi, bila kita bersendirian, pandangan mereka tidak serupa apabila berteman atau ada partner lain. Bila seorang OKU kita tak boleh mendabik dada, kita perlu didampingi oleh orang normal. Supaya kekuatan kita lebih terserlah.
“Kehidupan sebagai seorang peguam OKU, pada pengamatan saya, sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk meletakkan sasaran saya untuk masa hadapan. Bebalik kepada hasrat saya yang awal sebenarnya sebelum isi borang UPU pada tahun 1996, saya berbelah bahagi samaada mahu meneruskan pengajian dalam bidang Kesusasteraan Melayu, Ekonomi atau Perundangan.
“Akhirnya selepas merenungi suasana sekeliling dengan keperitan-keperitan seorang OKU saya mengambil keputusan meneruskan pembelajaran dalam undang-undang. Untuk memastikan saya mempunyai bekalan yang cukup untuk membawa pembaharuan kepada OKU di Malaysia. Hasrat saya ambil jurusan undang-undang bukannya sebab bila jadi peguam akan jadi kaya, saya lebih berfikir ambil kursus undang-undang untuk bawa satu pembaharuan kepada OKU seperti saya.
“Pada masa hadapan sasaran saya adalah untuk menggunakan pengalaman yang ada pada saya, iaitu berhasrat untuk membawa satu era yang baik kepada OKU. Sebagai OKU, saya sendiri berasa keperitan yang dialami dan cabaran-cabaran golongan seperti saya. Dan langkah-langkah yang perlu dilakukan dalam mengharungi era negara maju di Malaysia.
“InsyaAllah saya akan gunakan sedikit ilmu yang saya ada untuk membawa pembaharuan-pembaharuan agar wujudnya suatu kaedah yang baik di dalam kelangsungan hidup OKU di Malaysia. Dengan peluang yang ada saya, sebagai peguam saya berhasrat mahu memastikan agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta membentuk suasana lebih baik untuk OKU. Pada pandangan saya, tanpa OKU itu sendiri membantu kerajaan mahupun bukan kerajaan, tidak akan dapat membangunkan masyarakat OKU itu secara sempurna. Mahu tidak mahu golongan ini perlu menyerlahkan diri mereka,” ujar Mohammad Faizal Che Yusof yang berhasrat untuk melihat OKU menjadi entiti yang penting dalam negara dan beroleh kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
Catatan pilu ini ditulis oleh Nadia Hazmi iaitu 8 bulan selepas anak keduanya, Putera Ryfael Shah meninggal dunia. Sejak lahir Ryfael ada penyakit jantung ’tetralogy of fallot’. Ketika umurnya 2 tahun 10 bulan, Ryfael menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat kesilapan waktu pembedahan.
Sesungguhnya, ibu yang pernah merasai sebuah kehilangan akan mengalami emosi yang sama. Biarpun jauh dibatasi bumi, cinta kasih ini takkan pernah mati. Ingatan terus subur biar bertahun lamanya. Wajah si kecil tetap bersemadi di ruang hati ibu yang paling dalam.
(Tulisan bertarikh 27 Mei 2014)
Lama dah mama tak mencoret kat sini kan. Rindu pula rasanya. Kali ni ‘curi’ peluang sekejap lunch hour ni untuk mengisi ‘kekosongan’ hati yang dirasai hujung minggu kali ini.
Hari ini.. genap 8 bulan dah mama tak mendengar suara kecil itu. Tak melihat lagi wajah comel itu. Tak mampu mendakap lagi tubuh montel yang kali terakhir mama dakap sepuasnya sebelum ‘menghantarnya’ ke liang lahad pada 10.10.2013. Itulah perpisahan yang abadi antara ibu dan anak kecil ini.
Hujung minggu kali ini berbeza dari biasa sebab mama telah cuba ‘merehatkan diri’ untuk menjalani hidup seperti dulu walau tanpa Adek dengan kembalinya mama dan abang Rayyan ke rumah kami sendiri. Tempat Adek & abang membesar dalam tempoh yang agak lama kali ini.
5 hari.. selepas Adek pergi, hanya papa sahaja yang tinggal di sini sebab abang Rayyan bersekolah di Kuching & mama juga bekerja di Kuching. 20km dari ‘rumah Adek’ di Kota Samarahan.
Sungguh lain keadaannya. Terngiang-ngiang suara halusnya memanggil-manggil mama di balik langsir.. di pintu dapur.. di hujung tikar sejadah.. saat hayatnya pantang sekalipun Adek berenggang dari mama hatta ke toilet sekalipun.
Aaktu memasak pun Adek dalam dukungan mama. Mama rasa kalau Adek ‘sempat membesar’. Adek mesti dah pandai masak. Adek kan baby chef.
Bilik mainan Adek & abang yang Adek panggil ‘bilik acap’ = bilik asyraf nama Pak Ngahnya., satu ketika dulu semakin sepi. Apa yang pernah Adek tinggalkan dulu kali terakhir adek bermain di sini masih begitu.
Sedikit pun mama tidak ubah. Mama tak sentuh kerana tiap kali melihat uncang-uncang kecil yang Adek suka isikan dengan mainan kegemaran Adek dan Adek bawa merata, pasti bergenang air mata ini.
Tapi harus kuat menahannya demi abang Rayyan yang pasti tak mahu lagi melihat mama menangis. Sejak balik ni, ayat-ayat abang tak ada yang lain.
“Kalau Adek ada mesti best kan ma…”
“Maa.. Ayen nak sayang Adek.. “
“Adek dulu suka main yang ni maa dengan abang..”
“Ciaan Adek dah meninggal tak dapat nak main mainan ni lagi..”
Hati mama mana yang tak runtun mendengar keluhan-keluhan kecil itu. Mama hanya mampu jelaskan, “Adek ada semua mainan ni kat syurga sayang, Adek seronok kat sana. Adek ada.. tapi abang je tak nampak dia. Macam Upin Ipin yang kecil tu…”
Abang dah semakin matang, dia mula faham erti kematian. Mula mengerti harus melepaskan Adek kesayangan bagaikan kembarnya yang tak akan pernah kembali lagi.
Sebenarnya post ini mama dedikasikan khas pada ibu-ibu kepada ‘malaikat kecil’ yang telah berada di syurga. Nak balas puluhan inbox satu persatu memang mama tak mampu tapi mama harap coretan ini mampu memberi semangat pada ibu yang Allah uji ini.
Sebenarnya, kita diuji dengan KESABARAN YANG MAHA AGUNG. Allah kurniakan kita satu NALURI KEIBUAN yang kasih sayangnya tiada tandingan. Namun kenapa Allah ambil ‘buah hati’ kita itu setelah diberi Nya peluang sebentar untuk benar-benar menyayanginya?
Dikala dia sudah petah berkata-kata.. berlari-lari riang.. bermain gembira.. celotehnya yang comel dan keletah yang menghiburkan hati kita semua. Disaat dia sudah pandai meluahkan “cayangg mama!” sambil merangkul leher dan mencium pipi kita.
Apa sebenarnya yang Allah ingin tunjukkan pada kita dikala “ibu-ibu bertopengkan syaitan” membuang zuriatnya di longkang, tangki najis dan sungai, dicurah dgn air panas tanpa ada perasaan seperti apa yang kita rasa.
Kita ‘dipilih’ untuk menjadi ibu yang kehilangan ‘separuh dari nyawa’ nya di dunia ini dengan meletakkan ia di alam yang kekal abadi menanti kita di sana. Tak semua ibu berpeluang merasainya. Tapi Allah pilih kita.
Allah uji kita dengan kesabaran teragung ini menanti detik dan saat pertemuan semula antara syurga dan neraka itu dengan satu jaminan yang hebat bagi ibu yang mithali, beramal soleh, dan bersabar dengan penantian yang kita sendiri tidak dapat bayangkan bila, bagaimana dan di mana.
Ia adalah seperti satu ‘hadiah/surprise’ dari si anak kecil yang kita sayangi itu namun terpisah di dunia yang sementara ini. Memang tak mudah, memang sakit pilu dan pedih rasanya. Bagaikan tercabut nyawa saat dilepaskan dari dakapan kita. Tapi itulah nilai sebuah SYURGA.
Yang tersangat mahal harganya. Kesabaran teragung seorang ibu itulah galang gantinya. Jadilah ibu yang redha.. tenang..dan sabar. Tak salah menangisi pemergian si kecil kerana air mata itu adalah rahmat kurniaan Allah namun bukanlah dengan meratapinya.
Sentiasa dalam ingatan mama, ayat-ayat cinta terakhir yang mama perdengarkan pada telinga putera mama sebelum kalimah syahadah yang ‘melepaskan’ dia pergi dengan tenang setelah 12 hari bertarung antara hidup dan mati untuk kembali pada mama atau pada PenciptaNya.
“Adek.. mama sayang dedek.. mama tau dedek kuat.. dedek nak balik pada mama.. tapi kalau Allah nak jaga Adek… mama izinkan Adek pergi sayang.. mama halalkan segalanya untuk Adek. Halalkan air susu mama yang mengalir dalam darah Adek.
“Adek anak soleh tak pernah susahkan mama. Allah sayang Adek. Kalau Adek kuat lagi, balik pada mama sayang.. tapi kalau Allah nak ambil Adek.. mama redha sayang. Tunggu mama kat sana..”
Suatu ayat yang membuatkan Malaikat Izrail tenang dan bersedia menarik roh keluar dari jasad si kecil itu dengan cara yang paling lembut. Setelah 12 hari ia menanti, beberapa detik setelah kucupan terakhir abg Rayyan pada dahinya, dia pergi dengan begitu tenang. Bibir merahnya mengukir senyuman terindah hadiah buat ibunya… buat kali terakhir..
Percayalah.. dia sentiasa ada di sisi bersama dengan kita. Mungkin kita ‘tak nampak’.. tapi percayalah.. sentiasa redha, sentiasa mencuba menjadi ibu mithali, isteri solehah dan ibu yang layak untuk ‘malaikat kecil’ itu nantikan di sana.
Kerana pemergian dia, sebenarnya anugerah terindah hadiah dari Allah. Dan mama yakin semua ibu yang telah merasai perpisahan ini, kematian itu adalah sesuatu yang tidak lagi menakutkan dengan melengkapkan diri dengan amal-amal soleh, insyaAllah.
“Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang pada waktu ditimpa musiabah mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada Allah jua kami kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi petunjuk”
(Surah Al Baqarah, ayat 156-157)
Gambar Nadia berbaju kuning : Kenangan selfie bersama arwah Adek Ryfael, Aidilfitri 2013. Beginilah mama bayangkan Adek sentiasa ada di sisi mama sampai saat ini.
Dan selepas 9 bulan anak keduanya itu pergi, Allah hantarkan pengganti, Putera Rayhan Ryfael. Kata Nadia, anak bongsunya ini sebiji macam abang Ryfaelnya.
Sakit gastrik di bulan puasa ini normal terjadi. Sebab permulaan bulan Ramadhan inilah kita sedang melatih perut, berlapar di siang hari. Nak tahu lebih lanjut kenapalah mudah bebenor gastrik tu terjadi, baca info daripada Jururawat Terlatih, KKM, Nur Nabiila Masfuzah (Bel Nawhen).
Sebenarnya, pesakit gastrik pun boleh berpuasa dengan aman dan tenang. Ada cara untuk membolehkan anda melaluinya. Panduannya diberikan di bawah ini.
Berpuasa dan gastrik tidak dapat dipisahkan. Malahan kebanyakan kes yang dijumpai sepanjang saya menjadi seorang Jururawat adalah gastrik di bulan puasa.
Gastrik merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan pedih ulu hati. Walau bagaimanapun, dari istilah perubatan ia dikenali sebagai radang yang berlaku di lapisan permukaan perut.
Ia biasanya disebabkan samada oleh jangkitan kuman Helibactor Pylori, alahan, pengambilan ubatan seperti ubat tahan sakit ataupun habit merokok.
Tanda-tanda penyakit gastrik adalah seperti rasa sakit di ulu hati, kembut perut, rasa loya dan diikuti muntah-muntah.
Bagi mendiagnos seseorang mempunyai penyakit gastrik, pengesahan dari doktor adalah perlu supaya mereka dapat mengenalpasti faktor penyebab berlakunya penyakit itu.
Selain itu beberapa pemeriksaan details akan dilakukan seperti endoscopy iaitu memasukkan tube berkamera melalui mulut terus ke lapisan duodenum dan perut pesakit (OGDS). Tujuan dilakukan pemeriksaan ini adalah untuk melihat radang di dalam perut atau tujuan pengambilan sample ujian.
Perkara yang boleh diamalkan oleh pesakit gastrik ketika berpuasa adalah dengan ;
1. Berbuka puasa dalam kuantiti yang sederhana, dan jarakkan pengambilan pemakanan.
Contohnya berbuka dengan buah kurma dan segelas air seterusnya solat maghrib dahulu.
2. Makan nasi separuh pinggan, dan ambil lauk seperti ikan stim beserta sayuran dan buah-buahan. Selesai terawikh, makan buah-buahan, biskut, oat atau roti.
3. Seeloknya segerakan berbuka dan melewatkan waktu bersahur.
4. Bagi mereka dengan gastrik, seeloknya elakkan :
√ Makanan bergoreng
√ Makanan di dalam tin – kerana kandungan asid yang tinggi
√ Minuman bergas
√ Makanan yang mempunyai asid tinggi – contohnya limau, oren, tomato
√ Merokok
√ Minuman yang tinggi kandungan kafein seperti teh, kopi
√ Tidur sebaik sahaja selesai sahur atau berbuka
√ Berbuka dengan kuantiti yang banyak
5. Bagi pesakit yang di dalam regime ubatan, pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat yang diberikan sewaktu sahur untuk ambilan sekali sehari. Sewaktu berbuka dan sahur untuk ambilan dua kali sehari.
6. Anda perlu tahu bahawa makan makanan yang dipanggang lebih baik daripada yang digoreng.
7. Dan anda perlu minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter sepanjang malam di waktu Ramadhan.
8. Anda dinasihatkan untuk minum air susu atau air buahan yang tidak berasid contohnya pisang sewaktu sahur.
Mengalami gastrik, tidak menghalang anda dari berpuasa.
Dua beradik pelajar vokasional maut langgar MPV rosak di Lebuhraya PLUS Sungai Petani menghala ke Bertam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi, kira-kira jam 3 petang hari ini.