Cacat penglihatan bukti mampu jadi peguam profesional. Anak muda berusia 32 tahun ini merupakan seorang OKU yang cacat penglihatan. Walaupun tidak seperti insan normal yang lain namun, Mohammad Faizal Che Yusof kini sudah memiliki firma guamannya sendiri, malah dia juga membuktikan bahawa dia mampu menjadi seorang peguam yang profesional dan setaraf dan selayak seperti yang lain.

Cacat Penglihatan Bukti Mampu Jadi Peguam Profesional

Menyandang jawatan sebagai Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie, Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan OKU Malaysia dan Yang Dipertua, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia ini merupakan anak kelahiran Jengka 3, Pahang dan juga graduan Fakulti Undang-umdang, Universiti Malaya.

Amanah Allah 

Penulis cukup kagum dengan kejayaan yang digapai oleh Mohammad Faizal Che Yusof malah insan terpilih ini juga menjelaskan kedudukan sebagai peguam adalah amanah Allah kepadanya. Menurut anak muda ini lagi, kerjayanya sebagai peguan juga bukan untuk mengaut segala kemewahan hidup tetapi kerjaya ini merupakan landasan baginya untuk membela golongan senasib dengannya.

“Angan-angan saya adalah untuk mencetuskan suatu kehidupan yang lebih baik kepada rakyat bawahan. Sebagai peguam banyak aduan-aduan yang saya terima dan ianya tidak hanya boleh diselesaikan di mahkamah semata-mata. Ia memerlukan intervensi-intervensi pelbagai pihak atau jalinan kerjasama pelbagai pihak dalam menangani sesuatu masalah. Itu yang saya perolehi selama jadi peguam.

“Hasrat saya pada masa hadapan untuk cuba memastikan suasana yang lebih baik kepada masyarakat umum. Sebagai orang biasa bila kita hadapai sesuatu masalah tanpa ada saluran yang baik untuk salurkan masalah, kita tidak akan tahu bagaimana hendak selesaikan masalah tersebut. Sedangkan pada saya seorang peguam, apabila kita lihat sesuatu masalah yang berlaku, dengan ilmu yang dibekalkan kepada kita, kita tahu macam mana nak bantu mereka yang berada dalam masalah tersebut dan untuk selesaikan masalah mereka. Kita tak boleh selesaikan tetapi membantu. Saya faham ini bukanlah satu perkara yang mudah.

IKLAN

“Hasrat saya yang kedua, pada masa hadapan adalah untuk membantu negara dan kerjaan dalam membentuk suasana masyarakat yang lebih baik dan kondusif. Hasrat saya ini agak susah tetapi saya berharap Allah SWT mendengar suara hati dan melihat apa yang saya lakukan. Sekurang-kurangnya rahmat yang melimpah ruah akan melimpah kepada saya. Apatah lagi dengan pembabitan saya dengan badan-badan bukan kerajaan. Ia membuka pandangan saya, masih ramai diluar sana terutamanya golongan OKU yang perlu didekati dan diberi bantuan supaya dapat mengharungi kehidupan yang lebih baik. Itulah dua hasrat saya untuk membantu kehidupan yang lebih baik kepada OKU dan kehidupan yang kondusif untuk kehidupan rakyat yang ramai,” terang Mohammad Faizal Che Yusof.

Cacat Penglihatan Bukti Mampu Jadi Peguam Profesional

Golongan OKU Perlu Didampingi Orang Normal

Menurut pengamal perundangan ini, pengalaman yang dilalui sebagai OKU mengajar dirinya supaya tidak mudah mendabik dada.

“Apa yang saya lalui, sebagai seorang OKU apabila datang kepada klien-klien yang berpotensi, bila kita bersendirian, pandangan mereka tidak serupa apabila berteman atau ada partner lain. Bila seorang OKU kita tak boleh mendabik dada, kita perlu didampingi oleh orang normal. Supaya kekuatan kita lebih terserlah.

IKLAN

“Kehidupan sebagai seorang peguam OKU, pada pengamatan saya, sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk meletakkan sasaran saya untuk masa hadapan. Bebalik kepada hasrat saya yang awal sebenarnya sebelum isi borang UPU pada tahun 1996, saya berbelah bahagi samaada mahu meneruskan pengajian dalam bidang Kesusasteraan Melayu, Ekonomi atau Perundangan.

“Akhirnya selepas merenungi suasana sekeliling dengan keperitan-keperitan seorang OKU saya mengambil keputusan meneruskan pembelajaran dalam undang-undang. Untuk memastikan saya mempunyai bekalan yang cukup untuk membawa pembaharuan kepada OKU di Malaysia. Hasrat saya ambil jurusan undang-undang bukannya sebab bila jadi peguam akan jadi kaya, saya lebih berfikir ambil kursus undang-undang untuk bawa satu pembaharuan kepada OKU seperti saya.

“Pada masa hadapan sasaran saya adalah untuk menggunakan pengalaman yang ada pada saya, iaitu berhasrat untuk membawa satu era yang baik kepada OKU. Sebagai OKU, saya sendiri berasa keperitan yang dialami dan cabaran-cabaran golongan seperti saya. Dan langkah-langkah yang perlu dilakukan dalam mengharungi era negara maju di Malaysia.

IKLAN

“InsyaAllah saya akan gunakan sedikit ilmu yang saya ada untuk membawa pembaharuan-pembaharuan agar wujudnya suatu kaedah yang baik di dalam kelangsungan hidup OKU di Malaysia. Dengan peluang yang ada saya, sebagai peguam saya berhasrat mahu memastikan agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta membentuk suasana lebih baik untuk OKU. Pada pandangan saya, tanpa OKU itu sendiri membantu kerajaan mahupun bukan kerajaan, tidak akan dapat membangunkan masyarakat OKU itu secara sempurna. Mahu tidak mahu golongan ini perlu menyerlahkan diri mereka,” ujar Mohammad Faizal Che Yusof yang berhasrat untuk melihat OKU menjadi entiti yang penting dalam negara dan beroleh kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.

Mak-Mak Kena Ambil Serius, Polio Boleh Undang Maut Dan Cacat Kekal

Bad Indigo Bakal Kudung, Cacat Kekal, “Hanya Mampu Berdoa Suami Terus Diberikan Kesembuhan”

Mohamad Sharifuddin Jutera Telekomunikasi Tidak Pernah Putus Asa Biarpun Kini Cacat Kekal

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI