Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, disyaki terlibat dalam kes kematian seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun, dalam kejadian di Kampung Rampangi, Santubong, di sini, Selasa lepas.
Kanak-kanak Perempuan Maut Didera
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata laporan berhubung kejadian itu diterima semalam (Rabu), daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun.
“Pengadu menyatakan beliau telah dimaklumkan oleh kawannya bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia pada Selasa kira-kira 9.45 malam. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah didera sehingga mati.
Lelaki Positif Dadah Ditahan
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menahan suspek di kawasan Kampung Krian, Jalan Padawan pada 11 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ads
Alexson berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Ads
Alexson turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching menerusi talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Chris Olsen Ramlee menerusi talian 013-8607572 bagi membantu siasatan.
Air mata seorang ayah tumpah lagi di bumi Kemaman. Dalam sekelip mata, senyum dan tawa anak yang dikasihi pergi dibawa arus tenang kolam yang menyimpan duka mendalam.
Begitulah perit yang dirasai oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permasuri, Datuk Abd. Halim Jusoh, apabila anak keduanya, Nurhazwani Abd Halim, 34 tahun, disahkan meninggal dunia akibat lemas di sebuah resort di daerah itu petang semalam.
“Saya kehilangan seorang anak yang penuh kasih sayang dan sangat cakna terhadap keluarga,” ujar beliau dengan nada yang bergetar menahan sebak.
Menurut Abd. Halim, ketika kejadian sekitar jam 5.30 petang, beliau dan isteri sedang melayani cucu di kolam kanak-kanak berhampiran, manakala arwah dan suami berada di kolam dewasa. Segalanya berlaku terlalu pantas.
“Menantu saya cuma berpaling seketika… tidak sampai seminit. Bila dia menoleh semula, anak saya sudah tenggelam ke dasar kolam.
Dia segera menyelam dan menarik keluar, cuba berikan bantuan pernafasan dengan dibantu kakitangan resort,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman.
Walau pun usaha menyelamat dijalankan, takdir telah tertulis. Nurhazwani, yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang, Selangor selepas proses bedah siasat selesai petang tadi. Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris turut hadir menziarahi keluarga mangsa.
“Saya sempat memegang tangannya hingga ke hujung nafasnya. Allah lebih sayangkannya… Saya reda. Dia anak yang baik, lembut tutur katanya, dan tidak pernah lupa bertanya khabar walau jauh di mata,” ujar si ayah, menahan tangis yang pecah di dada.
Bagi Abd. Halim dan keluarga, kehilangan itu terlalu berat, bukan sekadar pemergian seorang anak, tetapi hilangnya sepotong jiwa yang menjadi nadi kasih dalam keluarga.
“Setiap panggilan dan pesanan suara dia kini jadi kenangan yang tak terganti. Semoga Allah menempatkan arwah di kalangan orang beriman,” tuturnya perlahan.
Abai Zayn Rayyan atau tidak, nasib Ismanira akan ditentukan esok sama ada dilepas atau disabitkan kesalahan. Kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang menjadi tumpuan masyarakat bakal mencapai kemuncaknya esok sama ada ibu arwah, Ismanira Abdul Manaf bakal dituduh atau dilepaskan sama ada berlaku pengabaian ke atas mangsa.
Nasib Ismanira, 30 akan ditentukan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh yang sudah mendengar keterangan keseluruhan saksi di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya esok.
Memetik laporan Berita Harian, sebelum ini, pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 18 September lalu dan dibalas oleh pihak pendakwaan pada 1 Oktober yang antara lain menghujahkan keterangan Ismanira bukannya satu penafian kosong semasa wanita itu membela diri.
Malah, keterangan menunjukkan apa yang dikatakan wanita itu adalah konsisten, selain tidak membuat fikiran ‘after thought’ (terkemudian) semasa memberi penjelasan.
Sementara itu, pasukan pendakwaan berhujah bahawa keterangan mengikut keadaan menunjukkan semasa Allahyarham Zayn Rayyan berada di bawah jagaan Ismanira, tertuduh mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan.
Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dikemukakan terhadap Ismanira, manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suami Ismanira, Zaim Ikhwan.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Aktivis kemanusiaan Ardell Aryana mendakwa dirinya pernah menerima ugutan sebaik pulang daripada menjayakan misi kemanusiaan bersama Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.
Namun, jauh daripada berundur, Ardell Aryana tetap nekad meneruskan perjuangan membela suara rakyat Palestin meskipun ada pihak yang cuba menakut-nakutkannya.
“Orang kecam saya, tapi tidak beri kesan pun. Ada sampai yang hubungi pengurus saya, sanggup tawar RM5,000 semata-mata nak tahu lokasi saya berada.
“Mereka marah dan paksa untuk dapatkan maklumat saya. Tapi saya tak kisah dan tak takut dengan ugutan itu,” katanya dalam siaran langsung di TikTok malam tadi.
Tambah Ardell, keberaniannya itu didorong oleh semangat untuk terus menyebarkan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Gaza.
“Saya bukan tak buat siaran langsung sebab takut pada Israel, walaupun saya tahu mereka tengok ‘live’ saya.
“Jangan patah semangat, teruskan berkongsi dan ‘repost’ mengenai Palestin. Kita ada perjuangan seterusnya selepas ini.
“Saya nampak tekanan daripada suara kita buat mereka takut. Kita berani kerana kita benar,” katanya.
Dalam sesi yang sama, Ardell Aryana turut menjelaskan perkembangan terkini dirinya selepas memilih untuk menyepi seketika sebaik kembali ke tanah air pada 7 Oktober lalu.
“Berat badan saya memang menyusut banyak. Kalau jumpa saya sekarang memang kecil.
“Saya tak aktif di media sosial sebab jaga emak saya. Saya minta maaf sebab diam dan buat semua risau. Saya okay saja.
“Lebam sebelum ini pun sikit saja, bahu bukan patah, cuma tisu koyak. Badan saya lembik sedikit, tapi saya tak nak susahkan sesiapa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ardell berkata, buat masa ini dia belum bersedia untuk berkongsi pengalaman sepenuhnya mengenai pelayaran misi kemanusiaan berkenaan.
“Malam ini saya tak cerita lagi pasal bot (misi kemanusiaan GSF). Saya cuma nak kongsi saya dalam keadaan baik. Biar saya pulih betul-betul dulu dan bagi emak saya sihat sikit. Emak saya baru saja jalani pembedahan potong kaki,” ujarnya.
Dalam siaran langsung itu juga, Ardell menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan akibat komplikasi penyakit kencing manis.
“Rupa-rupanya emak tunggu saya balik untuk buat pembedahan. Saya tak pernah ada pengalaman uruskan orang sakit, apatah lagi mandikan kaki yang dah dipotong. Tapi kali ini, saya sendiri yang bersihkan.
“Alhamdulillah, saya dapat uruskan semuanya. PU Rahmat banyak bantu saya dari hospital sampai ke tanah perkuburan.
“Emak bukan hanya ada kencing manis, tapi saraf kaki mati dan ada sakit jantung. Sekarang sebelah kaki lagi dah mula hitam,” katanya dalam nada sebak.
Ardell Aryana menambah, ibunya kini tidak mampu makan dan minum, malah sering meracau disebabkan keadaan kesihatan yang lemah.
“Saya sebenarnya tak kuat, tapi emak saya yang kuat. Doakan emak saya,” katanya.
Dalam pada itu, Ardell turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa orang ramai yang menantinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Oktober lalu.
“Dari hari saya balik, saya belum sempat ucap terima kasih kepada semua. Ini ‘live’ pertama saya selepas misi.
“Saya terharu sebab ramai datang ke lapangan terbang, ada yang beri saya al-Quran secara peribadi, sampai tiga naskhah. Alhamdulillah,” katanya yang meraih lebih 15.3 juta tontonan menerusi siaran langsung itu.
Ardell Aryana atau Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, antara 23 aktivis kemanusiaan dari Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
Aktivis wanita lain yang turut serta ialah Datin Seri Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee dan Ilya Balqis.
Namun, misi tersebut tidak kesampaian apabila bot dinaiki mereka telah dipintas oleh tentera rejim Zionis dan kesemua aktivis ditahan buat sementara waktu sebelum dibebaskan serta selamat tiba di tanah air pada 7 Oktober lalu.
Opah Strawberi tampil memohon maaf selepas tular isu membalas komen netizen dengan perkataan kasar. Usahawan terkenal itu mengakui kesilapan dan berjanji lebih berhati-hati dalam komunikasi selepas ini.