Kanak-kanak dipukul dengan tukul masih kritikal, suspek disahkan ada rekod dadah & halusinasi. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di Jelawat, Bachok, Khamis lalu masih berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Kanak-Kanak Dipukul Dengan Tukul Masih Kritikal, Suspek Disahkan Ada Rekod Dadah & Halusinasi
Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.
Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata anaknya hanya menunjukkan sedikit tindak balas ketika pertama kali tiba di hospital.
“Semalam, anak saya adalah gerakkan sedikit kepalanya macam nak beritahu ‘minta tolong’. Doktor maklumkan keadaannya sangat kritikal dan memerlukan pemantauan berterusan,” katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, sebelum kejadian, dia menjemput anaknya pulang dari sekolah bersama seorang lagi anak suspek berusia lapan tahun. Namun, Muhammad Ammar meminta untuk tinggal di rumah bapa saudaranya bagi bermain dengan sepupunya.
“Masa tiba di rumah abang ipar saya itu untuk hantar anaknya, saya tanya anak saya, dia minta duduk di rumah itu sebab nak bermain dengan sepupunya. Saya tinggal dia di situ dan ke Kota Bharu atas urusan kerja, sebelum ini jarang saya tinggal dia di sana,” jelasnya.
Badrul berkata, sekitar jam 4.30 petang, kakaknya yang merupakan isteri suspek memaklumkan bahawa anaknya telah dipukul dengan tukul hingga parah.
Ads
Dia bergegas ke rumah berkenaan dan mendapati anaknya dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik stor kecil.
”Ketika kejadian, kakak beritahu dia sedang tidur manakala dua anaknya bermain di ruang tamu manakala seorang lagi anak mereka berusia 14 tahun sedang mandi,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu turut meluahkan rasa terkejut kerana abangnya itu tidak pernah menunjukkan sikap agresif sebelum ini.
“Abang ipar saya ini baik sahaja dengan anak-anak saudara dan tak pernah pun berkelakuan agresif,” katanya.
Ads
Selepas kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun melarikan diri menaiki motosikal sebelum ditemukan meninggal dunia di sebatang pokok ru di Pantai Melawi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman mengesahkan suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi ketika kejadian.
“Suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, polis turut menahan isteri suspek berusia 36 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ads
Mayat suspek dihantar ke HPUSM untuk proses bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.
Berapa ramai pemandu dari kalangan kita yang kalih dahulu pandang arah belakang kenderaan atau persekitarannya sebelum membuka pintu kereta. Rata-ratanya pemandu buka pintu dengan tangan kanan terus keluar dari kenderaannya. Tahu tak kalau pemandu amalkan buka pintu dengan tangan kiri ia boleh selamatkan nyawanya sendiri.
Sebenarnya cara buka pintu pemandu dengan tangan kini ini adalah satu teknik yang dinamakan ‘Dutch Reach’. Teknik inilah yang dikesan dapat selamatkan nyawa pemandu dari dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.
Sebab itulah pentingnya untuk pemandu melihat dahulu apakah halangan yang mungkin melintasi sebelum membuka pintu kenderaan.
Ini Cara Teknik Dutch Reach Selamatkan Nyawa Pemandu
Ianya habit selamat yang diajar di sekolah memandu di negara Belanda.Sebabnya jika pemandu buka pintu dengan tangan kiri secara automatik tubuh badannya akan bergerak untuk memandang ke arah belakang. Dengan ini pemandu akan dapat melihat halangan yang bakal datang ke arahnya.
Kaedah ini menjelaskan semakin jauh tangan anda mencapai tombol pintu kereta, semakin selamat untuk anda.
Ditegaskan sekali lagi, sekiranya anda di tempat duduk pemandu dan mahu keluar, gunakan tangan kiri untuk membuka pintu berbanding tangan kanan.
Dengan itu, secara automatik kepala anda akan perpusing ke arah pintu dan mata anda akan terarah melihat halangan bergerak yang menuju ke kenderaan anda.
Cara ini juga membolehkan anda melihat sama ada kenderaan lain atau pejalan kaki mendekati kenderaan anda dari arah belakang.
Mengguna pakai kaedah ini dan menjadikannya amalan boleh mengelak dari kemalangan yang diakibatkan oleh kecuaian.
Mudah saja kan caranya wahai pemandu Malaysia. Cuma perlu set dekat kepala yang selepas ini bukalah pintu kenderaan dengan tangan kiri anda. Taklah anda keluar tergesa-gesa tanpa sedar rupanya ada bahaya sedang menanti di belakang anda.
Jadikanlah tindakan ini satu habit.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebak membaca perkongsian ibu ini, Nachik Cikna, 22 yang diuji ‘kehilangan’ anak bongsunya menjelang Aidilfitri yang lalu. Anak ketiganya itu, Nur Ramadhani Solehah dilahirkan pada 21 Mei 2020, dan meninggal dunia pada 23 Mei 2020. Cuma dua hari sempat arwah bersama ibunya.
“First time tengok mama, pukul 12.30 malam. Tapi sekejap je tengok mama, terus tutup mata dan tidur.” Luah ibunya sayu. Ketika, ibu ini mahu menggerakkan suaminya bangun sahur (di bulan Ramadan), dia lihat anaknya itu dah sejuk kaku, tak bernafas, bibir biru.
“Mama tak tahu apa punca. Mudahnya awak pergi tinggalkan mama. Mama sayang awak dunia akhirat. Jumpa mama di syurga nanti sayang. Mama sayang awak sayang, sayang sangat-sangat.
Perginya awak di akhir Ramadan.. Allah. Tak tahu nak luah gane lagi.. Ya Allah.. mampu ke aku kuat.” kongsinya pada hari anaknya menghembuskan nafas yang terakhir.
Katanya lagi, anak ketiganya sempat menghisap susu ibu sedikit sebelum meninggal dalam tidur. Tidak sama sekali, anaknya meninggal lemas mahupun tersedak susu. Ibu ini cuma sedar anaknya sudah tiada selepas 3 ke 4 jam pemergian bayinya itu.
“Arwah tidur terbaring comel je dengan tersenyum manis.”
Selesai Beraya Dengan Bidadariku
1 Syawal lalu, ibu dan ayah membawa bersama baju raya yang sudah dibeli siap-siap untuk anak bongsunya itu ke tanah perkuburan.
“Selamat hari Raya Sayang Mama Mama Bawak baju Raya Awak ni ALHAMDULLILAH.. Selesai beraya dengan Bidadariku, sayu hiba dikenangkan Dan mama cuba kuat dan bangkit. Mama Redhoo awak pergi, pergi lah dengan tenang sayang. Tempat awak di Syurga. Waktu mama taip ni dengan tulus ikhlas, supaya kenangan dan gambar ini takkan hilang. Mama usaha senyum happy go lucky macam biasa di hadapan orang ramai. Iya, mama usaha sembunyikan apa yang mama rasa, apa yang mama lalui.Mama terlalu sayang dan rindu bidadari syuga mama. Mama bersyukur dan redho kerana dipilih Olehnya. Tenang lah di sana. TUNGGULAH MAMA DI SYURGA BIDADARIKU.”
Kesunyian pantang tanpa Anok.. Allah jer yang tahu hati ini.
Lalui Hari Berpantang Tanpa Anak Di Sisi
Selepas pemergian Nur Ramadhani, ibu ini tetap perlu melalui rutin berpantang sebagaimana ibu bersalin yang lain. Perlu juga ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, “pergi klinik cukup 35 hari, sayu tengok orang timbang baby. Aku timbang diri sendiri. Allah.. kuatkan lah hatiku ini.”
Malah, ketika itu ibu ini juga terpaksa pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat dan rawatan akibat bengkak susu.
“Susu badan terlalu banyak, jadi bengka sokmo. Tak tahan.. Allahu. Terpaksa gi kecemasan. Koho pam koho banyok. Tapi nak pam jadi tak leh tahan sebok. Macam-macam tubik dalam pale. Harap dapat la ubat keringkan susu.. Allah.”
Biar pun pemergian Nur Ramadhani sudah sebulan lebih berlalu, momen terakhir bersama bayinya itu tetap menjadi kenangan yang sukar luput dari ingatan.
Anak-anak yang masih perlukan kasih belaian ibu, Dhiya dan Dania
Andai Semua Ini Hanya Mimpi
“21 Jun, genap sebulan hari ini Ramadhani pergi. Sekejapnya masa berlalu. Andai semua ini hanya mimpi, Allah.. Dada ini terlalu serbak RINDU, RINDU yang tak pernah rasa sebelum ni.
Ya Allah, rindu tak tahu nak ungkap. Mengandungkan 9 bulan. Lahir ke dunia 2 hari dan pergi begitu mudah. Hanya mampu peluk cium baju terakhir arwah. Semoga tenang di sana sayang mama. Al Fatihah.”
Bagaimana pun, ibu ini tetap perlu kuat menghadapi kenyataan demi dua orang cahaya mata, Dhiya dan Dania yang masih perlukan perhatiannya.
MW :Al Fatihah.. semoga si comel Allahyarham Nur Ramadhani Solehah ditempatkan di taman-taman syurga bersama orang-orang yang beriman dan ibunya terus kuat berdepan ujian hebat ini.
Sumber/Foto : Nachik Cikna*Artikel diterbitkan dengan keizinan penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Dia anak saudara yang saya sayang, membesar dengan tangan saya jadi bila arwah pergi memang berat untuk saya terima.”
Demikian luahan penuh emosi Samad Saad, 48, bapa saudara kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, pendaki yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, Muallim, Perak pada 16 Oktober lalu.
Kisah Samad Saad menarik perhatian ramai selepas beliau berkongsi video di TikTok yang memaparkan barangan peribadi milik Mustaqqeem Mansoor yang telah dibersihkan dan dijemur di halaman rumah. Dalam video itu, kedengaran suara Samad yang tersekat-sekat menahan sebak, sementara tangannya kelihatan menggigil ketika memegang pinggan plastik dan sudu milik arwah.
Menurut laporan Harian Metro, Samad Saad berkata beliau amat rapat dengan Mustaqqeem Mansoor kerana pernah menjaganya sewaktu anak saudaranya itu masih bersekolah. Justeru, pemergian arwah memberi kesan mendalam buat dirinya.
“Hanya Allah SWT saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika membersihkan barangan arwah kelmarin. Waktu basuh, saya terbayang betapa terseksanya arwah sebelum dia meninggal dunia kerana baju hujannya ada kesan darah manakala tapak kasut serta tumitnya sudah rosak,” katanya.
Beliau menambah, melihat kesan tersebut membuatnya tertanya-tanya bagaimana Mustaqqeem Mansoor bertahan dalam keadaan hujan lebat dan kesejukan di puncak Gunung Liang Barat.
Barang Peribadi Mustaqqeem Mansoor Jadi Kenangan
Menurut Samad Saad, kebanyakan barangan milik arwah telah diserahkan kepada adiknya, Muzammeer Mansor, 33, untuk disimpan sebagai kenangan. Namun, beliau menyimpan sepasang selipar Jepun milik arwah sebagai tanda ingatan.
“Saya hanya ambil selipar Jepun dia saja… saya ambil sebab nak ingat dia, nak pakai pergi masjid dan surau. Tak ada siapa boleh sentuh kerana ia cukup sentimental bagi saya,” katanya lagi dengan nada sebak.
Detik Terakhir Sebelum Pemergian Mustaqqeem Mansoor
Mengimbau detik terakhir bersama Mustaqqeem Mansoor, Samad Saad berkata mereka sempat berjumpa pada 4 Oktober lalu di majlis perkahwinan keluarga. Arwah kelihatan ceria ketika itu, namun siapa sangka ia merupakan pertemuan terakhir mereka.
“Saya tak pernah ambil gambarnya tapi hari berkenaan, saya ambil gambar arwah dengan isteri serta sepupunya dan minta dia hantar kepada ibunya. Nampak dia suka gambar itu cuma kami tak sempat bergambar bersama,” katanya.
Tambahnya lagi, setiap kali hujan turun, beliau berasa fobia kerana membayangkan bagaimana keadaan anak saudaranya ketika mendaki dalam kesejukan melampau di Gunung Liang Barat.
Tragedi Pendakian Gunung Liang Barat
Pada 10 Oktober lalu, Mustaqqeem Mansoor bersama lapan rakan dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian ke Gunung Liang Barat melalui laluan Bukit Fraser, Bentong. Namun, mereka dilaporkan tidak pulang seperti dijadualkan, menyebabkan isteri mangsa, Nur Faratin Mohd Othman, 31, membuat laporan polis.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan JBPM, polis dan APM digerakkan, sebelum mayat Mustaqqeem Mansoor ditemui pada jam 3.30 petang di puncak gunung. Hasil siasatan mendapati punca kematian adalah akibat hipotermia (kesejukan melampau).
Samad Saad menutup perbualan dengan doa agar roh anak saudaranya dicucuri rahmat dan tenang di alam sana. “Saya doakan arwah damai di sana… dia anak yang baik dan kami akan sentiasa kenang dia.”