Demi menyelamatkan nyawa anak bongsu, hilang rasa takut dan tidak kisah dirinya digigit tebuan tanah. Namun, sudah suratan takdir, anaknya tidak dapat diselamatkan kerana bisa cepat merebak ke seluruh badan.
Luluhnya hati bila kegembiraan untuk pulang ke kampung menjadi tragedi hitam dalam keluarga Mohd Khalid. Apalah daya bagi anak yang berusia 5 tahun apabila dirinya diserang tebuan tanah. Pada kejadian itu, mereka sekeluarga sedang bersiap sedia untuk pulang ke rumahnya di Ipoh.
Menurut Mohd Khalid, ketika kejadian, mereka yang tinggal di Pengkalan Ria, Ipoh, bersiap untuk pulang selepas bercuti di rumah ibu, Jumaat lalu.
Sebelum kejadian, dia yang berada di kawasan rumah kira-kira 20 meter dari tempat anaknya bermain. Tiba-tiba, dia didatangi anak sulungnya Nur Adelya Qaisara, 10, memaklumkan adiknya diserang tebuan yang keluar dari sarang di bawah rangka pelantar jeti terapung terbiar di kawasan berkenaan.
“Saya berlari ke kawasan permainan dan terkejut melihat seluruh badan arwah dihurung tebuan sebelum menariknya. Saya cuba sambil menghalau serangga itu daripada badannya sebelum arwah pengsan.
Ads
Saya tak nampak warna pakaian yang arwah anak pakai. Seluruh tubuhnya dipenuhi dengan tebuan,” kata Mohd Khalid Omar, 40, bapa kepada Eidrish Mohd Khalid, 5, yang maut disengat puluhan tebuan tanah.
Ketika kejadian murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) An-Nur, Ipoh, Perak itu dikatakan bermain di sebuah taman permainan bersama dua kakaknya kira-kira 20 meter dari rumah neneknya di Kampung Tok Jembal, di sini, jam 5.40 petang.
Kejadian itu turut menyebabkan dua kakak arwah, Nur Adelya Qaisara, 10, dan Nur Aiyris Dania, 7, yang turut disengat serangga berbisa itu dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Mohd Khalid berkata, Eidrish disahkan meninggal dunia jam 11.40 malam tadi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala dua kakaknya masih menerima rawatan di wad sama.
Turut Menerima Rawatan
Mohd Khalid yang mengusahakan restoran di bandar Ipoh berkata, dalam kejadian itu, dia turut menerima rawatan di hospital selepas terkena sengatan serangga berkenaan ketika menyelamatkan arwah anaknya.
Ads
“Saya tidak sangka berlaku tragedi ini ketika percutian kami kali ini, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, arwah sangat gembira pulang ke kampung neneknya dan kali terakhir pulang pada Mei lalu.
Katanya, kepulangannya kali ini adalah untuk bercuti selain membawa keluarga mentua mencandat sotong.
“Kami bertolak dari Ipoh bersama keluarga mentua secara berkonvoi membabitkan empat kenderaan dan tiba di sini pada Jumaat.
Ads
“Kami bercadang untuk pulang jam 6 petang semalam tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan kejadian ini.
“Lagipun dua anak saya masih berada di wad dan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil. Kematian adiknya juga sudah diberitahu kepada dua kakaknya dan mereka sempat melihat arwah di hospital,” katanya
Mingguan Wanita : Takziah buat keluarga Mohd Khalid. Bermain-mainlah di syurga wahai adik Eidrish.
“Kami mula dari Iqra, masih merangkak-rangkak membaca” Mia Ahmad kongsi momen belajar Quran bersama suami. Pelakon Mia Ahmad menerusi perkongsian di akaun rasmi Instagramnya baru-baru ini berkongsi momen bersama-sama suami, Mohd Izham Tarmizi memasuki kelas membaca Al-Quran yang bermula dari Iqra.
Tidak bermaksud mahu bermegah, pemilik nama sebenar Samihah Ahmad Baderi itu hanya sekadar perjalanan sempena bulan Ramadan penuh barakah ini.
“Kami Mula Dari Iqra, Masih Merangkak-Rangkak Membaca”
Mia dan Izam dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sayf Issa, 4 dan Iris yang kini berusia dua tahun.
Suami Mia, Mohd Izham merupakan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim.
Menurut Mia sepanjang berkahwin dirinya dan suami tidak pernah membayangkan akan melalui momen berdua belajar al-Quran.
“Saya dan suami bersama-sama mempelajari kelas Al-Quran sejak dua tahun lalu. Perkongsian ini bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan, namun sekadar perjalanan kami sempena bulan mulia ini.
“Dan juga sebagai menghargai @kopiah_afik_ni dalam kesabaran dia mengajar kami. Terima Kasih ustaz. Saya juga hanya nak kongsi tak pernah saya bayangkan kami akan ada momen berdua belajar al-Quran bersama.
“Walaupun dah boleh baca, kami mula dari iqra tau sebab tahu masih merangkak-rangkak nak membaca. Saya ni mudah terhibur jadi selalu la rasa nak tergelak bila turn suami baca.
Beri Inspirasi Kepada Keluarga Di Luar Sana
“Apa yang pasti perjalanan dan momen ini adalah memori terindah dalam perkahwinan kami. Saya tahu, mungkin ada segelintir pihak di luar sana tidak mahu tahu pun.
“Namun saya berharap perkongsian ini dapat memberi insipirasi kepada keluarga di luar sana menuju Jannatul Firdausi.
Lebih Baik Selepas Ramadan
“Saya doakan kita semua dapat menjadi orang yang baru dan orang yang lebih baik selepas bulan Ramadhan ni Insya-Allah,” katanya.
“Tahniah Buat Mia & Suami” Warganet
Menerusi ruangan komen ramai yang memberi kata-kata positif atas usaha yang dilakukan oleh Mia dan suami tercinta.
Adik beradik terkahwin sesama sendiri angkara ayah, peguam syarie dedah bahaya kahwin senyap-senyap. Ramai suka mengambil risiko bernikah secara senyap di Selatan Thailand dan luar negara.
Ada banyak sebab mengapa situasi ini terjadi. Antara kebiasaannya ialah, cinta tak direstui keluarga, isteri pertama tak beri kebenaran berkahwin, sudah mengandung luar nikah termasuk hal-hal lain.
Terkahwin Sesama Adik Beradik
Peguam syarie, Tuan Fahmi Ramli telah mengupas BAHAYA kahwin senyap-senyap di luar negara seiring dengan kisah drama Lelaki Itu yang kini sedang trending di kaca tv. Ikuti sebab kenapa kahwin secara senyap tidak digalakkan dalam Islam dan sudut perundangan syariah negara. Juga kisah apa akan jadi jika perkahwinan itu dikurniakan anak.
Ikuti kupasannya.
Siapa tonton drama TV3 tajuknya Lelaki Itu lakonan Dato Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura, dan ramai lagi. Trending juga drama ni sekarang. Tapi ye la, ada juga orang cakap jarang dah tengok drama di TV. Takpe, kita sama. Saya pun layan kat online saja.
Drama ni menarik dengan pelbagai isu kekeluargaan yang biasa dikendalikan oleh Peguam-peguam Syarie dan mungkin ada dikalangan anda yang membaca ini juga tahu perkara ini berlaku dikalangan anda.
Saya tak nak ulas tentang curang ke, faraid ke, Fazura kena pukul tapi boleh bertahan banyak kali dengan suami sebelum fasakh dalam kes tersebut.
Saya tertarik dengan isu Perkahwinan Adik-beradik sebapa antara Khairullah (Aedy Asyraf) dan Batrisya (Hannah Delisha). Ini isu besar yang semua orang patut buka mata dan tahu kenapa saya paling tak suka orang kahwin senyap-senyap.
Mereka pasangan muda yang berkahwin lari (di London sebab belajar disana tak dapat restu keluarga perempuan), dapat tahu yang mereka adalah adik-beradik Sebapa (satu bapa, lain ibu). Emosi satu hal, yang lebih berat kalau dah beranak-pinak lagi jemmmm.
Peguam Syarie Dedah Anak Dalam Kandungan Dikategorikan Anak Sah Taraf Tetapi…
Ada beberapa isu yang saya akan terangkan.
Macam mana boleh jadi Poligami senyap-senyap?
Cara orang nak poligami ni sebenarnya secara betul, pihak lelaki perlu memfailkan permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah dan dapatkan kebenaran Hakim bukan kebenaran isteri pertama. Jadi, boleh jadi isteri pertama datang untuk bersetuju atau mungkin tak setuju dan lalui proses bicara.
Teapi, kalau si suami tu tipu alamat rumah isteri pertama, dan kemudian notis dihantar ke alamat yang salah atau suami guna apa jua helah untuk tidak memberitahu isteri, kes mungkin berjalan secara sebelah pihak jika penyampaian saman telah disempurnakan.
Ini yang kadangkala terjadi di Mahkamah. Isteri tak tahu suami ada naik Mahkamah dan dapat perintah Poligami. Tapi perlu ingat, memberi maklumat atau keterangan palsu adalah dikira kesalahan dan boleh dikenakan hukuman Denda atau Penjara atau kedua-duanya.
Apa yang selalu terjadi bab kahwin senyap ni?
Paling common, nikah di Sempadan Thailand dan balik Malaysia tak buat Pengesahan di Mahkamah Syariah. Ada juga yang balik Malaysia buat pengesahan, tapi isteri tak dimaklumkan.
Saya selalu cakap sebelum ini, kesan yang paling teruk kahwin senyap ni, adalah kepada WANITA. Betul, jujur saya cakap. Kalau tak buat pengesahan, kesannya pada wanita dari segi pusakanya, dari segi kelahiran anak yang tak boleh dinasabkan kepada bapanya dan pelbagai lagi.
Macam mana boleh tak tahu satu bapa?
Dalam drama itu, tak tahulah bagaimana Nabila Huda kahwin senyap-senyap dengan Dato Adi Putra tu. Katanya kahwin atas sebab kesiankan nasib Nabila kemudian terus tinggalkan tanpa berita dah cerai atau tidak.
Kalau mereka berkahwin secara sah, cuma tak diberitahu, mungkin anak-anak yang kahwin akan dapat tahu mereka adik-beradik bila diminta Sijil Nikah ibu ayah di Pejabat Agama. Samalah kalau Nikah Siam pun, pejabat agama akan mintak buat pengesahan di Mahkamah dulu sijil nikah mak ayah.
Masalah timbul bila anak-anak yang kahwin ni pun kalau kahwin senyap-senyap di luar negara tanpa melalui prosedur perkahwinan luar negara. Asal cukup Rukun jer nikah ni. Tapi tak semak pun Syarat Sah Nikah.
Tambah pula yang tak siasat latar belakang family. Terus berkenalan, bercinta dan nak kahwin saja. Sebab tu Islam suruh taaruf betul-betul sebelum nikah.
Apa perlu buat kalau dah ‘terkahwin’ dan tersetubuh tanpa sengaja?
Kalau dah berkahwin, mereka tak boleh sebut cerai sebab cerai hanya untuk orang yang nikahnya sah. Tapi, kalau pernikahan sebegini berlaku, namanya Nikah Fasid, iaitu pernikahan yang tidak sah dari segi syarat sah nikah.
Haram hukumnya seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Ada pertalian darah dan nasab disitu. Kalau diteruskan juga, sepanjang hidup akan terus hidup dalam perzinaan.
Jadi, mereka perlu buat Permohonan Faraq Nikah di Mahkamah Syariah, iaitu mohon untuk membatalkan perkahwinan ini, dan mohon ampun serta bertaubat atas ketidaksengajaan isu ini.
Bagaimana kalau ada anak atau cucu hasil pertubuhan yang tidak sah ini?
Anak yang lahir daripada perkahwinan tidak sah ini tidaklah dianggap sebagai Anak Tak Sah Taraf. Tapi, namanya adalah Anak Wati’ Syubhah atau persetubuhan yang diragui.
Dari sudut undang-undang dan Hukum Syarak, anak-anak itu boleh dibin atau binti kepada bapanya serta mewarisi pusaka dan perwalian kerana mereka dianggap sebagai Anak Sah Taraf.
Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003
Sek. 114. Persetubuhan syubhah
Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.
Kesimpulan:-
Saya perlu juga memberi kredit kepada Penerbit dan Pengarah Drama ini kerana membawa satu penceritaan yang boleh memberi nilai ilmu kepada masyarakat. Bosan juga kalau drama asyik cintan cintun saja. Masyarakat tak belajar sesuatu.
Pengajaran paling besar yang saya nak follower semua belajar adalah ‘Jangan Kahwin Senyap-senyap’. Kalau boleh jangan terfikir langsung nak buat macam tu. Fikirkan kesan jangka panjang.
Kalau ada yang baca ni dah terkahwin senyap-senyap, jangan tunggu pasangan dah mati baru nak buat pengesahan. Menyesal nanti.
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
“Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kieda Crepe akui terlampau ikut emosi, “sudah biasa terima kecaman. Tindakan menunjukkan wajah pelanggan yang mengeji makanan crepe dijualnya serta memulangkan semula wang pelanggan membuatkan pemilik Kieda Crepe menerima kutukan dari orang ramai.
Ramai beranggapan tindakannya salah kerana selain berkongsi wajah pembeli, dirinya juga ikut teremosi dengan ugutan mahu menyaman serta ekspresi wajah yang semakin membuatkan netizen mengecamnya.
Kieda Crepe Akui Terlampau Ikut Emosi
Terkini di media sosialnya, Kieda atau nama sebenarnya Khalieda Yusra memuat naik permohonan maaf dan mengakui terlalu mengikut emosi dalam menangani isu pelanggan yang mengeji makanan dijualnya.
Menulis,
“Alhamdulillah, Kieda terima setiap satu kritikan untuk Kieda jadi jauh lebih baik.Lapang dada kieda terima semua-Nya. Insha Allah dan terima kasih semua sudi nasihat Kieda dengan baik untuk Kieda jadi lebih baik.
Tindakan Kieda yang berkongsi wajah pembeli yang mengecam crepenya menerima kecaman dari netizen yang beranggapan caranya itu salah
Memohon pengertian bahawa tidak perlu menghina makanan jika tidak kena dengan selera, Kieda turut mengakui tidak mudah membangunkan perniagaannya sehingga ke tahap ini.
“Cumanya Kieda harap lepas ni, andai tak kena selera jangan sampai kita menghina dan mengeji umpama tiada kebaikan. Dan jangan fitnah dengan ayat Kieda “game”kan customer Kieda sedangkan kamu tak tahu macam mana Kieda nak perjuangkan naikkan branding Kieda Crepe.
Mohon Maaf Dan Jelaskan Sudah Biasa Terima Kecaman
Jelasnya, ia mungkin sekadar crepe bagi orang tapi dari hasil jualan crepe inilah dirinya dapat membantu orang lain juga.
“Mungkin sekadar “CREPE” tapi sangat banyak hasil yang Kieda dapat bantu orang dengan crepe ni.
Mengakui terlalu mengikut emosi, Kieda menjelaskan tindakan menghina makanan itu datangnya dari pekerja kedai crepe juga dan pastinya ia tindakan tidak baik.
“Salah Kieda sebab terlampau ikut emosi. Sebab Kieda sangat kecewa sedangkan kamu juga pekerja kedai crepe. Kamu mesti tahu struglenya boss kamu naikkan branding cari sale untuk membayar gaji kamu. Maafkan Kieda, maafkan Kieda sebab buat semua kecewa dengan Kieda. In sha Allah, moga semua ni jadi pengajaran hebat buat Kieda. Sekali lagi , kieda mohon maaf sebab terlalu ikut emosi.
Apa pun, kerosakan telah terjadi dan ia membuatkan ramai mengecam tindakannya yang memalukan pelanggan yang mana sebagai peniaga makanan kita seharusnya berlapang dada dengan kritikan semua orang kerana cita rasa orang berbeza-beza.
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
“Biarlah hukuman mati itu dikekalkan. Tak ada kekhilafan dalam hukuman sebelum ini. 8 tahun kami sekeluarga menderita menantikan keenam-enam tertuduh melalui detik itu.
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri pelik bekas suami tuntut rumah jadi harta sepencarian, "sesen tak bayar tolong drill langsir saja. Seorang wanita tampil meluahkan rasa terkejut dan kecewa...