Bab-bab melipat kain ini memang bukan semua orang rumah suka nak buat. Tapi dah nama tanggungjawab, kenalah selesaikan juga. Barulah rumah kemas dari keserabutan.
Ini yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee, bila mana dulu dia bersungut asal isteri minta anak-anak bantu buat kerja-kerja melipat kain.
Katanya, kasihan tengok anak-anak. Rupanya, tanggapannya tu salah. Bila isteri terangkan alasan kukuhnya, barulah dia nampak dengan jelas. Kenapa penting ajar anak terutama lelaki melipat kain.
Ads
Ajar Anak Lelaki Lipat Kain Dari Sekarang..
Kata isteri, “kalau mama tak paksa anak-anak lipat kain, sampai ke tua lah kerja mama ni lipat kain. Biarlah teruk macam mana pun dia lipat. Asalkan dia orang tahu tanggung jawab.”
Itulah kata isteri bila saya kata kesian tengok anak-anak kena melipat kain kain dahulu.
Bila fikir, betul juga. Kalau tak dipaksa sekarang, sampai besarlah mereka tak tahu buat kerja.
Ads
Bila tak tahu buat kerja, bukan sekadar menyusahkan diri sendiri, malah akan menyusahkan isteri bila dia kahwin nanti.
Selepas Lipat Kian, Ajar Pula Basuh Pinggan Yang Mereka Dah Guna
Bukan sekadar lipat kain, basuh pinggan pun kami ajar. Biarlah tak bersih pun, asalkan mereka tahu. Lepas makan, kena basuh pinggan. Kalau tak bersih, kamilah yang akan bantu cuci semula.
Sekarang Iman dah relaks lipat baju. Bila suruh lipat, katanya “kacang je.”
MW : Sebenarnya proses ini memang akan ambil masa untuk anak-anak belajar. Mula-mula anak-anak akan merungut, tapi bila dah jadi kebiasaan. Anak-anak mula fikir itu tanggungjawab. Besar kelak akan menyenangkan kerja mak ayah, malah bakal isteri mereka.
Bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!
Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakardari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.
Dunia sekarang semakin aneh.
Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.
Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.
Benarlah kata Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) MA Early, “kanak-kanak walau dalam masjid sekalipun akan tetap menjadi kanak-kanak. Adalah mustahil untuk dia menjadi seperti orang dewasa.”
Jadi, bagaimana sebagai mak ayah mahu melunaskan misi membawa anak ke masjid dengan tenang dan damai. Tanpa perlu mengherdik anak agar duduk setempat. Dan tanpa perlu menahan hati dari melihat jelingan tajam jemaah lain yang berbaur-baur emosi dalam hati mereka itu.
Kerana inilah sifat kanak-kanak, “Dia bersemangat, dia impalsif, dia perlu bergerak, dia belum boleh mengawal diri. Ruang yang luas dan lapang sangat mengujakan bagi dia.”
“Lapar, letih, mengantuk, panas, sejuk, dan bosan akan membuatkan dia meragam.”
Jadi mak ayah, apabila membawa kanak-kanak ke masjid, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk:
1) Menyediakan keperluannya supaya dia tidak lapar dan dahaga.
2) Memastikan keselesaannya supaya dia mempunyai ruang dan tidak kebosanan.
3) Memberi bimbingan kepadanya terlebih dahulu dan dari masa ke semasa supaya dia tahu adab di masjid.
4) Mengajak dan memberi galakan untuk mengikut imam supaya dia dilatih untuk bersolat.
5) Memberi pujian apabila dia berkelakuan elok supaya dia bersemangat untuk terus menjadi baik.
6) Memberi peringatan jika dia tersalah laku supaya dia memperbetulkan kesilapannya.
7) Menegah jika dia keterlaluan supaya dia tahu dia sudah melampaui batas.
ANDAI DIBIARKAN, dia tidak akan tahu bagaimana untuk menghormati masjid dan makmum yang lain.
ANDAI DIHERDIK, dia tidak akan suka untuk datang ke masjid lagi.
Latihlah anak untuk ke masjid dari masa ke semasa supaya dia menjadi biasa. Kebiasaan menjadikan anak lebih tertib dan tenang.
Kanak-kanak akan tetap menjadi kanak-kanak walau di mana sekalipun. Orang dewasa perlu bersikap seperti orang dewasa dalam menguruskan kanak-kanak.
MW: Semoga tip ini membantu memudahkan urusan mak ayah membawa anak-anak ke masjid sepanjang Ramadan ini.
Bulan Ramadan sering kali disambut meriah dengan hidangan enak yang pastinya membuat semua orang teruja dan gembira. Tambahan pula dapat berkumpul bersama saat berbuka tentunya ia sesuatu yang cukup indah.
Mempunyai anak yang masih kecil dan turut berpuasa bersama sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini tentu satu kebanggaan buat ibu dan ayah. Namun sebagai persediaan untuk mengajar anak yang masih kecil untuk berpuasa, MW dapatkan pandangan daripada Pakar Pemakanan Hospital Pantai, Pulau Pinang, Ms Verona Lee Bee Kian untuk ulasan lanjut.
Secara umumnya, kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh dikecualikan daripada berpuasa. Namun, banyak ibu bapa pada hari ini yang menerapkan amalan berpuasa untuk anak-anak sejak dari awal usia. ibu bapa boleh mula menggalakkan anak-anak mereka untuk memulakan berpuasa secara berperingkat, contohnya sebagai permulaan hanya untuk beberapa jam sehari terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan separuh hari dan seterusnya puasa penuh mengikut kemampuan anak anda. Hal ini dilakukan untuk membiasakan anak-anak berpuasa di bulan Ramadan. Ia perlu dilakukan secara berperingkat dan ibu bapa adalah individu yang lebih arif untuk menyesuaikan latihan berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.
Lebih kreatif Menyediakan Hidangan
Ibu-ibu perlu lebih kreatif di bulan puasa ini dalam memastikan anak-anak mengambil keperluan makanan yang seimbang ketika bersahur dan berbuka. Pemakanan yang betul semasa sahur adalah sangat penting untuk kanak mendapat bertahan sepanjang tempoh puasa setiap hari.
Berikan anak-anak anda makanan seimbang yang terdiri daripada makanan yang mencerna secara perlahan, kaya dengan serat seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran, untuk mengekalkan rasa kenyang dalam tempoh lebih lama. Perhatikan juga jumlah makanan yang di makan oleh anak-anak, kerana makan berlebihan boleh menyebabkan masalah kembung dan perut yang tidak selesa. Elakkan juga makan terlalu banyak makanan pedas kerana ia boleh menyebabkan ketidakselesaan perut. Bersederhana adalah kunci utama. Pastikan mereka minum air yang mencukupi dan tidak lupa untuk memakan buah-buahan dan sayuran agar sistem pencernaan mereka tidak terganggu.
Sahur Itu Penting
Ibu perlu pastikan anak-anak bangun untuk makan ketika waktu sahur. Pemakanan yang betul dan seimbang adalah penting untuk memastikan mereka aktif sepanjang tempoh berpuasa pada waktu siang. Berbuka puasa dengan kurma dan air atau susu, diikuti dengan makan malam yang seimbang agar anak-anak kekal bertenaga. Selain itu, pengambilan snek di antara selepas berbuka puasa dan sebelum tidur juga digalakkan. Adalah disyorkan untuk mengambil sekurang-kurangnya dua snek ringan, lebihkan makanan yang lebih cepat mencerna. Sebagai contoh, protein tanpa lemak seperti putih telur, ikan, ayam tanpa kulit, yogurt, karbohidrat berkhasiat seperti buah-buahan, makanan dengan lemak yang baik seperti avokado dan kekacang.
Elak Dehidrasi
Punca yang paling biasa kanak-kanak kehilangan berat badan semasa berpuasa adalah dehidrasi. Ibu bapa perlu berhati-hati jika ini adalah kali pertama anak-anak berpuasa. Jika ibu bapa atau guru-guru di sekolah dapat lihat tanda-tanda dehidrasi atau keletihan seperti pening, keletihan berlebihan, sakit kepala dan kejang, kanak-kanak perlu dinasihati untuk terus berbuka puasa dengan segera dengan meminum air. Mereka perlu diberitahu bahawa dalam situasi sebegini membolehkan mereka untuk berbuka puasa. Jika anak tidak mampu berpuasa, biarlah mereka berbuka dan boleh cuba berpuasa lagi di lain hari. Apabila anak berjaya berpuasa mengikut waktu tertentu, ucapkan tahniah kepada mereka. Walaupun hanya untuk 2-3 jam, walaupun setengah hari. Dengan cara ini, mereka lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa untuk berpuasa.
Selain itu juga, bagi mengelakkan badan mereka terhidrasi, galakkan anak-anak yang berpuasa untuk makan buah-buahan semasa bersahur dan berbuka puasa. Ia merupakan salah satu cara yang baik untuk membantu anak-anak daripada terhidrat. Sediakan air berperisa sihat dengan buah-buahan seperti lemon, anggur, epal atau herba seperti pudina di rumah juga merupakan idea yang baik untuk menggalakkan kanak-kanak supaya mereka banyak minum air.
Selain daripada itu, berikan jus buah-buahan, susu dan sup untuk mengekalkan penghidratan mereka. Dan terakhir, sebagai ibu bapa, jadilah contoh untuk anak-anak dengan mengamalkan minum air secara kerap dan elakkan menyimpan minuman manis seperti minuman kordial atau berkarbonat di rumah walau pun ia digemari oleh anak-anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!