“Kalau tak bersuara, tak bermaksud tak sokong,”.Itu pendirian Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin apabila diajukan mengenai kempen Blockout yang kini hangat diperkatakan di kalangan selebriti Malaysia.
Gerakan Blockout 2024 yang tercetus baru-baru ini nampaknya berjaya menguasai segenap media sosial. Kempen yang berasal dari luar negara itu merupakan salah satu cara menunjukkan sokongan terhadap negara Palestin.
Kempen yang juga sudah sampai ke Malaysia itu turut mempunyai laman Instagram sendiri bagi tujuan memberi informasi terhadap netizen tentang selebriti tempatan yang perlu diboikot atas dasar berdiam diri berkaitan kekejaman di Palestin atau pun bekerjasama mempromosikan produk-produk yang didakwa memberi sumbangan terhadap Zionis.
Jangan Cepat Menghukum
Bagi Ratu Rock, Ella pula, dia meminta netizen tidak cepat menghukum selebriti yang didakwa menyokong produk jenama pro-Israel dan tidak bersuara mengenai kekejaman dilakukan tentera Zionis.
Sehubungan itu, Ella turut menyarankan mereka meneliti terlebih dahulu sama ada selebriti yang tersenarai dalam gerakan ‘Blockout 2024’ itu benar-benar terbabit secara langsung dengan produk pro-Israel ataupun tidak sebelum memboikot.
“Selidik dulu sebelum melemparkan tuduhan sebab tidak mempedulikan Palestin mungkin sebab mereka ada sebab tersendiri,” ELLA AMINUDDIN.
Untuk rekod, edisi Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota Edisi Utara di Pulau Pinang sebelum ini, Ella pernah mendedikasikan keseluruhan konsert tersebut untuk memperingati situasi di Palestin.
“Kalau tak bersuara, tak bermaksud tak sokong Palestin. Saya juga berharap netizen tidak pukul rata dengan menganggap selebriti yang tidak berkongsi penderitaan rakyat Palestin dalam media sosial tidak bermaksud mereka tidak prihatin dengan isu Gaza,” katanya.
Pada masa yang sama, Ella mendedahkan dia sanggup menolak tawaran lumayan beberapa jenama mewah antarabangsa yang mempunyai hubung kait dengan Israel.
“Ya, saya tolak beberapa tawaran jenama fesyen dikaitkan dengan Israel walaupun bayaran lumayan. Saya lakukan ini semua kerana prinsip saya dan pastikan produk saya wakili ada matlamat bersifat kemanusiaan sejagat.
“Saya juga minta pasukan teliti tawaran terlebih dulu sebelum terima sebarang tawaran,” ujar Ella.
Ads
Terdahulu, penyanyi berusia 57 tahun ini berkongsi khabar gembira dengan para peminat dengan membawakan Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia dibawakan khas oleh Hitman Solutions dan RockQueen. Konsert berkenaan akan berlangsung di Dewan Plenari, KLCC pada 9 Ogos depan.
“Wanita kena jadi mahal, bukan berlumba-lumba buka aib sesama kita” itulah luahan dari usahawan selebriti Datin Thalia Baiduri.
Perbuatan mendedahkan aib seseorang kepada khalayak atas pelbagai alasan adalah tidak dibenarkan dalam ajaran Islam. Bukan sahaja aib diri sendiri, malah perbuatan menyebarkan aib orang lain adalah berdosa dan dilarang sama sekali dalam agama.
Datin Thalia yang pernah berlakon dalam drama Cinta Dalam Hati bergandingan bersama Remy Ishak juga memberi pesanan sebagai seorang wanita perlu menjaga maruah dalam setiap tindakan yang dibuat.
Datin Thalia berkata demikian berhubung isu hangat yang sedang diperkatakan membabitkan pendedahan seorang wanita dari Singapura dalam episod curang pelakon Aliff Aziz.
Wanita itu turut mengaitkan beberapa nama selebriti lain termasuk Ruhainies, Sophia Albarakbah dan Meerqeen. Beberapa penggiat seni termasuk Erma Fatima dan Zed Zaidi turut berang dengan isu yang disifatkan memalukan dan memburukkan nama industri hiburan tempatan.
Dek kerana isu itu juga Datin Thalia menitipkan pesan agar golongan wanita di luar sana agar menjaga darjat diri dan tidak bergaduh kerana seorang lelaki.
Perkongsian tersebut dikongsi ketika sesi langsung yang diadakan di laman sosial TikTok miliknya @thalia.baiduri baru-baru ini ketika bersembang bersama pengikutnya.
“Sebagai orang yang pernah dalam industri dan saya juga seorang wanita saya harap tak payah kita bergaduh untuk satu buaya atau kumbang.
“Wanita kena jaga value awak, awak semua cantik, kenapa kita nak gaduh sesama kita wanita dan buka aib sana buka aib sini.
“Macam rendah sangat darjat kita, kita wanita kena jadi mahal, bukan berlumba-lumba buka aib sesama kita, Astaghfirullah takut saya,” ungkap Datin Thalia.
Ungkapan Datin Thalia itu turut mendapat persetujuan dari netizen yang menyokong bahawa wanita perlu ada nilai dan harga diri tersendiri.
“Setuju Tin (Datin), kita (wanita) ada nilai,” kata Sim Ahza.
Datin Thalia juga mengakui cinta juga akan membuat seseorang itu buta dan membuat tindakan yang tidak sepatutnya namun penyesalan pasti akan dirasai di kemudian hari.
“Memang cinta itu buta, kita semua dan saya pun pernah muda, contoh macam mak kita halang jangan keluar dengan orang itu, kita nak juga sebab darah muda yang dihalang itulah yang dibuat.
“Percayalah cakap saya nanti kemudian sesalan akan datang dan kita tahu kenapa mak kita halang,” ujar ibu kepada empat cahaya mata itu.
Thalia yang juga pengusaha produk makanan tambahan untuk kecantikan Dolly Milk dan jenama fesyen Talia berkata, industri hiburan Malaysia juga kecil dan tidak perlu bergaduh sesama artis.
“Industri kita kecil, pusing -pusing akan jumpa muka yang sama, lebih baik berhenti bercakap yang bukan-bukan,” kongsinya lagi.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Siapa isteri-isteri geng Syatilla angkat tangan. Setuju tak? Memang suami berat mulut dan tak rajin borak bila dalam kereta suara isteri je macam dj radio tak berhenti bercakap. Hihihi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bayi hidap penyakit paru-paru kronik dihadiahkan sebuah kereta, mudahkan ulang alik ke hospital. Baru ini tular di media sosial sepasang suami isteri membawa anak kecil mereka menaiki motosikal dengan memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Ahad lalu.
Asbab tertulisnya rezeki seorang anak, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang mengidap paru-paru kronik, rezeki keluarga ini melimpah ruah termasuk mendapat perhatian dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga itu.
Dan sejak semalam, jika sebelum ini hanya motor menjadi pengangkutan utama ke hospital, hari ini Mohd Aariz sudah tidak perlu berpanas lagi kerana ada insan yang baik hati menghadiahkannya sebuah kereta.
“Alhamdulillah, rezeki anak saya terus melimpah sehinggakan ada yang sanggup menghadiahkan kereta terpakai untuk kami, semalam, ” kata Mohd Azlan Ishak, 35.
Dipetik dari FB Daniel Firdaus, pengusaha automatif ini meluahkan rasa syukur kerana proses penyerahan kereta jenis Proton Persona kepada Mohd Azlan Ishak, 36 berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah selesai proses penyerahan kereta Persona kepada En Lan serta isteri. Harap sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi anaknya yang menghidap paru-paru kronik. Allahu, besar ujian Encik Lan, tapi Encik Lan tetap kuat,” tulisnya. Bapa bayi 11 bulan pernah datang sebelum ini tapi belum cukup duit.
Dalam pada itu, Daniel juga memaklumkan yang Azlan telah mengunjungi premis miliknya sebelum ini untuk mencari kereta terpakai dengan harga sekitar RM1,000 hingga RM2,000 bagi membolehkan dia membawa anak ke hospital ketika waktu hujan.
Susulan daripada itu, pengusaha tersebut meminta bapa kepada bayi berkenaan memilih sahaja kereta terpakai yang dia rasa bersesuaian sehingga membuatkan suami isteri itu menangis sebak.
Menerusi video yang dikongsi, dapat dilihat yang bapa kepada bayi berkenaan begitu sebak ketika memperoleh kereta tersebut sambil memeluk mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membantu mereka sekeluarga.
Dia juga berdoa supaya pengusaha berkenaan terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan selepas ini.
Memetik laporan Harian Metro, Mohd Azlan turut mengucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu menghulurkan sumbangan sehingga kini mencecah lebih RM100,000.
“Saya tak pernah minta pada sesiapa sebelum ini walaupun pernah ada RM12 dalam tangan hinggakan ada juga yang mengecam saya dan isteri namun saya tak ambil kisah sangat.
“Kalau tidak kerana ada yang tular gambar kami tiga beranak di media sosial baru-baru ini mungkin agak susah kami untuk menguruskan kehidupan memandangkan saya baru sembuh dari demam campak dan tidak dapat bekerja,” katanya.
Mohd Azlan yang juga pembantu pelantar ikan di Kuala Kedah berkata, rumahnya di Taman Kota Nelayan juga tidak putus dikunjungi orang ramai temasuk pempengaruh media sosial, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang datang membantu.
Anak tidak sah taraf alami pelbagai impak emosi dan psikologi terutama selepas mengetahui tentang status diri mereka. Anak tidak sah taraf, atau anak yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan, sering menghadapi pelbagai cabaran psikologi yang boleh memberi impak jangka panjang terhadap perkembangan emosi dan sosial mereka.
Memetik artikel dari Sinar Harian, Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Norezzati Md Hanafiah berkata, kesan itu bergantung kepada pengalaman individu, dinamik keluarga dan sistem sokongan di sekeliling mereka.
Menurutnya, anak tidak sah taraf mungkin bergelut dengan krisis identiti dan mereka berisiko mengalami kesukaran memahami perasaan sendiri di samping mengadaptasinya dengan norma dan tanggapan masyarakat.
“Ada ketika, mereka dibelenggu dengan perasaan malu atau keliru tentang latar belakang keluarga. Selain itu, stigma yang dikaitkan dengan tidak sah taraf memberi kesan kepada rasa yakin dan harga diri. Mereka turut berasakan diri tidak diterima atau dihakimi akibat dibelenggu dengan tanggapan masyarakat.
“Situasi sebegini secara tidak langsung menyebabkan anak tersebut berasa tidak layak berada dalam masyarakat atau kurang rasa dihargai berbanding rakan-rakan lain,” katanya.
Sebelum ini pelakon dan pengacara, Myra Natasya mendedahkan bahawa dia sebenarnya merupakan anak luar nikah kepada personaliti radio popular, Halim Othman.
Mengulas lanjut, Norezzati berkata, ramai anak tidak sah taraf lebih memilih untuk merahsiakan kebenaran daripada diketahui umum.
“Kesan daripada itu, anak tersebut akan berlawan dengan diri sendiri sekali gus mengalami tekanan, kebimbangan atau kemurungan. Lebih memburukkan lagi apabila mereka berasa malu atau rendah diri seterusnya menjadi penghalang integrasi sosial.
“Dalam bidang pendidikan dan kerjaya pula, mereka mungkin menghadapi halangan disebabkan tanggapan serong tersebut. Kesan jangka panjang, mereka bergelut untuk mengakses sumber atau peluang yang tersedia,” katanya.
Jelas beliau, walaupun anak tidak sah taraf diasak dengan cabaran yang mendatang, jika dilihat daripada satu sudut berbeza, perkara itu memberikan ruang kepada mereka untuk membina daya tahan yang lebih bagus bagi menghadapi alam dewasa.
Ujarnya, dengan sokongan dan sumber yang betul, mereka boleh mengatasi kesukaran dan berkembang maju walaupun dibelenggu oleh stigma serta tanggapan serong masyarakat.
Kesan Psikologi pada Anak Tak Sah Taraf
Berikut adalah beberapa kesan psikologi yang biasa dialami oleh anak tak sah taraf:
1. Rasa Rendah Diri dan Tidak Berharga
Anak tak sah taraf mungkin mengalami rasa rendah diri dan tidak berharga kerana stigma sosial yang dikaitkan dengan status kelahiran mereka. Mereka mungkin merasakan diri mereka tidak setanding dengan rakan sebaya yang lahir dalam ikatan perkahwinan yang sah.
2. Masalah Identiti
Masalah identiti adalah isu utama yang sering dihadapi oleh anak tak sah taraf. Mereka mungkin keliru mengenai identiti mereka, terutama jika mereka tidak mengetahui atau tidak rapat dengan bapa kandung mereka. Ketidakpastian mengenai asal-usul boleh menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak stabil dalam pembentukan identiti diri.
3. Isu Emosi dan Kelakuan
Anak tak sah taraf mungkin lebih terdedah kepada masalah emosi seperti kemurungan dan kebimbangan. Mereka juga mungkin menunjukkan kelakuan yang bermasalah seperti pemberontakan, kesukaran dalam mengawal emosi, dan masalah disiplin di sekolah. Ini adalah akibat daripada tekanan emosi yang mereka alami.
4. Ketidakstabilan Sosial
Anak tak sah taraf mungkin menghadapi kesukaran dalam membina hubungan sosial yang sihat. Mereka mungkin merasa sukar untuk mempercayai orang lain dan membina hubungan yang akrab. Rasa malu atau takut diejek oleh rakan sebaya juga boleh menghalang mereka daripada bergaul dengan bebas.
5. Cabaran dalam Pendidikan
Prestasi akademik anak tak sah taraf mungkin terjejas akibat daripada masalah emosi dan kelakuan yang mereka alami. Kurangnya sokongan emosi dan sosial boleh menyebabkan mereka kurang bermotivasi dan berprestasi rendah di sekolah.
6. Stigma Sosial
Stigma sosial terhadap anak tak sah taraf masih wujud dalam masyarakat kita. Mereka mungkin menghadapi diskriminasi dan ejekan daripada rakan sebaya dan juga masyarakat. Stigma ini boleh menyebabkan mereka merasa terasing dan tidak diterima dalam komuniti.
Langkah Membantu Anak Tak Sah Taraf
1. Sokongan Emosi
Penting untuk anak tak sah taraf mendapat sokongan emosi yang kukuh dari keluarga dan rakan-rakan. Keluarga terdekat perlu memberikan kasih sayang, perhatian, dan memahami perasaan mereka.
2. Pendidikan dan Kesedaran
Meningkatkan kesedaran dalam masyarakat mengenai hak-hak dan kebajikan anak tak sah taraf adalah penting untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi. Pendidikan kepada ibu bapa dan guru mengenai cara mengendalikan isu ini juga boleh membantu.
3. Kaunseling dan Terapi
Menyediakan akses kepada kaunseling dan terapi boleh membantu anak tak sah taraf menangani isu emosi dan psikologi mereka. Terapi individu atau kumpulan boleh memberikan ruang untuk mereka meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan.
4. Pembangunan Diri
Membantu anak tak sah taraf untuk membina keyakinan diri melalui aktiviti pembangunan diri seperti sukan, seni, dan kemahiran hidup boleh memberikan mereka rasa pencapaian dan meningkatkan harga diri.
Anak tak sah taraf memerlukan perhatian dan sokongan yang khusus untuk memastikan mereka dapat berkembang dengan baik dan menjadi individu yang sihat dari segi emosi dan sosial. Masyarakat perlu memainkan peranan dalam menyediakan persekitaran yang positif dan inklusif untuk mereka.