Kalau Isteri Nak Hidup Lebih Tenang, 3 Sikap Suami Ini Tak Perlu Diubah

1534
Kalau Isteri Nak Hidup Lebih Tenang, 3 Sikap Suami Ini Tak Perlu Diubah

Setiap isteri barangkali ada senarai panjang tentang perkara yang dia mahu adu kepada kementerian yang menjaga hal wanita tentang suami mereka.

Sebagai contoh, hati isteri mendidih melihat suami yang masih di depan TV sedangkan jam sudah 1.30 pagi. Rasa seperti anda telah bermadu dengan kelas bola sepak kesayangan dia pula.

Tekak isteri kembang bila nampak kuku tangan suami panjang seperti kuku anak helang. Hitam pula tu. Siapa yang tidak geram. Betul tak?

Ya, sudah tentu perkara seperti ini sangat penting dan kalau boleh setiap suami yang melanggar hal-hal ini sepatutnya dijatuhkan hukuman berat. Ini bukan perkara main-main.

Sebagai contoh dulu rungutan tentang tugasan isteri di rumah yang tidak habis-habis. Entah dari mana tiba-tiba muncul idea supaya suami memberi elaun kepada isteri.

Gegak-gempita sebentar masyarakat membincangkan idea tersebut. Mujur idea itu telah sejuk dan tidak bergerak lagi. Tapi siapa tahu entah esok lusa tiba-tiba kita dengar pengumuman kuat kuasa undang-undang tentang perkara itu.

Kemungkinan itu tidak boleh ditolak.

Kali ini saya kongsikan beberapa perkara yang anda juga barangkali juga geram kepada suami. Namun demi keamanan dunia, lupakan sahajalah.

Silalah gubal hukuman berat untuk menghukum suami jika melakukan perkara-perkara ini, tetapi percayalah kami tidak akan berubah. Anda tentu mahu tahu, bukan?

3 Sikap Suami Yang Isteri Takkan Berjaya Dan Tak Perlu Ubah Pun

 

Kalau Isteri Nak Hidup Lebih Tenang, 3 Sikap Suami Ini Tak Perlu Diubah

Jangan Ubah Cara Suami Memandu

Pertama sekali jangan cuba ubah cara suami memandu kereta. Mungkin suami pernah ringan mulut kata ”Ada awak nampak Papa happy dengan masakan macam ini?”

Tetapi jangan balas pula dengan merungut tentang cara suami memandu kereta. Isteri mungkin terus daftar masuk kelas memasak apabila suami merungut begitu. Izinkan saya bertanya.

Ada anda nampak kemungkinan suami akan masuk balik kelas memandu jika anda membebel dengan cara dia memandu? Tidak, bukan?

Jadi apabila dia memandu jarak jauh sila duduk dengan selesa. Lagi cepat mata mengantuk lagi elok. Sebelum tidur, salam, cium tangan, rendahkan kerusi dan tidur.

Kecuali kalau dia selalu kena saman memandu laju, langgar lampu merah atau pernah terbabas sebab mengantuk maka berhentilah merungut pasal cara dia memandu. Sebab memang rungutan anda itu tidak laku!

Bila Suami Buat Kerja Rumah, Tabahlah Terima Hasilnya

Rumahku Syurgaku! Betul dan sebab itu anda suka rumah yang sentiasa kemas. Cuma masalahnya suami anda jenis penyepah.

Dia hanya perlukan kurang daripada 10 minit untuk menukar ruang tamu yang kemas tadi menjadi seperti tongkang pecah.

Bantal dia baring sambil tengok TV terlepek di situ. Serpihan biskut bersepah. Gelas dia minum tidak dibasuh dan macam-macam lagi.

Anda boleh tegur dan serta-merta dia akan susun semula tapi ikut cara dia. Gelas tadi dia bawa ke singki dan dibasuh tapi ikut cara dia.

Curah air dan letak semula di tempat gelas. Betul tak? Itu pun nasib dia basuh. Selalu juga gelas itu akan tunggu tangan anda juga membasuhnya. Jangan terlalu serius.

Cara dia membasuh gelas itu tidak akan membuatkan anda hilang pangkat di pejabat. Pujuk hati dan bertabahlah.

Elakkan Jadi Pegawai Penyiasat Pada Perkara Tak Munasabah

Dia selalu kerja lebih masa? Balik ke rumah lewat malam? Betulkah dia kerja lebih masa atau ada perempuan lain? Hati tidak tenang dan sebab itu setiap kali dia balik anda tanya macam-macam.

Cemburu tanda sayang tetapi jangan sampai dia bosan. Itulah nasib suami dan ayah yang baik. Bekerja kuat demi keluarga tetapi terpaksa bersoal jawab bila balik ke rumah.

Kecuali anda ada bukti melebihi keraguan yang munasabah maka lebih baik senyum dan sambut dia dengan wajah manis sambil menghulur air minuman yang dia suka.

Sebab Itu Isteri Kena…

Ada banyak lagi yang mahu saya kongsikan tetapi rasanya anda sudah faham. Anda hebat sebab mengubah dasar-dasar negara mengikut apa yang anda fikir baik.

Bagus tetapi redhalah apabila tidak berjaya mengubah suami mengikut kehendak anda. Jangan membazir tenaga fikir anda kenapa suami tidak mahu berubah? Tak berbaloi dan baiklah anda buat perkara lain.

Penulis : Dr Syed Yusainee Syed Yahya, Promind Training And Consultation merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri, majalah Mingguan Wanita