Bukan mengharapkan anak lelaki memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sepanjang hidupnya, tetapi menjadikan dia manusia yang serba boleh.
Tetapi sekurang-kurangnya dia boleh menukar tayar, boleh memanggang daging, mencuci pakaian, memotong rumput di halaman rumah dan macam-macam lagi.
Jadi untuk mendidik anak lelaki yang tahu buat kerja rumah dan boleh menyenangkan isterinya suatu masa nanti, mak-mak boleh renungkan perkongsian Puan Nurul Ilyani ini…
Kalau Sayang Anak Lelaki, Didik Buat Kerja Rumah
Lelaki tiada common sense, suami tiada common sense, tiada empati, ada cara sebenarnya mahu betulkan, dengan syarat suami sanggup turunkan ego dan buat kerja rumah.
Sebenarnya common sense datang dengan pengalaman. Tanpa pengalaman, tiadalah common sense. Contoh: Kalau anak lelaki kita memang dibesarkan dengan suasana mendorong dan bertanggungjawab di rumah, maka pengalaman itu akan tersimpan dalam memori.
Apabila sampai masa, berumahtangga, secara spontan, dia tahu apa yang perlu dilakukannya di rumah untuk ringankan beban isteri. Secara spontan dia faham dan ada empati kepenatan menjaga dan mengurus rumah lebih-lebih lagi jika si anak lelaki ada pengalaman menjaga adik-adik.
Sebaliknya, jika anak lelaki dilayan bagai raja sejak kecil, makan berhidang, pinggan berbasuh, baju tersedia, bilik dikemas, jadilah dia raja hingga berumahtangga.
Ads
Tip 1
Apa yang anak perempuan kena buat, anak lelaki pun kena buat.
Bukan mahu lelaki pikul semua tanggungjawab (kena kerja, kena urus rumah) kita mahu wujudkan rasa empati apabila berkeluarga nanti.
Basuh kain, cuci pinggan, kemas rumah. Semua kena buat. Baru dia faham perasaan ibunya, isterinya, adiknya. Bonus, tahu tak, aktiviti begini meningkatkan skill koordinasi.
Koordinasi kerja penting masa anak mahu kerja. Mana kena siapkan dulu, mana yang boleh tunggu. Organizing skill atau lebih besar softskill.
Ads
Suami saya training buat kerja rumah yang banyak setiap hari, belajar susun kerja yang menimbun di rumah selama setahun sebelum beliau naik pangkat. Kami panggil lifeschooling.
Beliau perlu improve softskill untuk naik pangkat supaya prestasi lebih baik. Lepas setahun, beliau jadi calon best executive (Tapi tak menang). Kemudian hujung tahun kedua, beliau naik pangkat. Alhamdulillah. Kesannya, beliau berubah daripada seorang yang kurang softskill menjadi seorang ‘leader’ di pejabat. ‘Leader’ muda, masa jadi pengurus, beliau berusia dalam 27 tahun. Untungnya, beliau adalah suami dan ayah yang multi-skill dan multi-tasking. Suami saya masih boleh handle rumah apabila balik pejabat pada hari saya tidak sihat.
Tip 2
Didik anak lelaki pikul banyak tanggungjawab
Apa yang anak lelaki perlu tahu adalah tanggungjawab mengetuai, melindungi, menjaga kehormatan ahli keluarganya.
Ads
Ada kes, anak lelaki lepas tangan pada ibu bapa apabila sudah berkeluarga. Kewangan pun tidak disumbang. Semua serah pada adik-beradik perempuan. Yang jaga, yang hantar hospital, yang bagi sumber kewangan. Dari kecil perlu didik dengan memikul tanggungjawab yang banyak supaya terbiasa dengan BANYAK TANGGUNGJAWAB apabila dewasa.
Tanggungjawab pada ibu bapa, pada isteri, pada anak, pada masyarakat. Kalau dari kecil jadi raja, semua mak ayah buatkan, hidup jadi mudah. Apabila besar, dapat tanggungjawab, terkial-kial.
Kuncinya di sini,
+ perpada-pada layan anak lelaki jadi RAJA.
+ ibu pun jangan rasa susah mahu libatkan anak buat kerja rumah walaupun rasa kecah sinki bila dia basuh pinggan, walaupun rasa penat, asyik kena cakap
-cakap, dorong-dorong, tidak boleh putus asa.
+ peranan lelaki dewasa dalam keluarga sebagai role model. Kalau ada ayah, jadi ayah yang ada ruh ‘leader’. Kalau ada pakcik, jadi pakcik yang ada ruh ‘leader’. Pendek kata, biar role model itu orang yang dia nampak selalu.
Benar,
Ummu Ilham
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kebanyakan isteri sekarang bekerja demi membantu ekonomi keluarga. Walau isteri bekerja, ada situasi yang suami tak boleh sentuh perihal wang gaji isteri. Sebabnya keperluan memberi nafkah tetap jadi tanggungjawab suami.
Ini yang diulas oleh Dr Hasiba Kamaruddinyang mana ilmu ini telah disampaikan oleh Pn Siti Shamsiah, ketika beliau mendengar topik pagi di IKIM FM.
Yang mana ada 7 nafkah wajib suami penuhi selagi wanita yang tinggal disisinya masih bergelar isterinya.
Begitupun, beliau turut berkongsi kisahnya semasa menjadi isteri yang bekerja. Bilakah masa wang gaji itu boleh disentuh untuk bantu suami. Ada 4 situasi yang dikongsikan oleh Dr Hasiba.
Topik IKIM.fm pagi ini mengenai Undang – Undang Keluarga Islam di Malaysia sangat kena dengan perkara yang saya hendak tulis sejak beberapa minggu lepas.
Pn Siti Shamsiah, Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Syarak IKIM menjawab soalan pendengar yang ingin meminta cerai kerana campur tangan mertua yang menyebabkan suaminya tidak membayar nafkah kepadanya.
Pn Siti menekankan pendengar itu perlu menyelesaikan hal nafkah itu terlebih dahulu dan kemudian uruskan masalah mertua. Penceraian bukan penyelesaiannya. Pn Siti menyambung lagi bahawa suami WAJIB menyediakan perkara – perkara utama kepada isteri iaitu:
Tak kira lah lah sewa atau beli, asalkan mengikut kemampuan suami. Saya pernah mendengar ceramah Prof Harlina Siraj yang menceritakan kalau suami mampu beli rumah teres sahaja untuk isteri, ia jauh lebih baik dari rumah banglo atas bukit yang dibeli isteri.
Prof Har pernah bercerita tentang kisah dia masa mula – mula berkahwin dulu. Dia akan senaraikan shopping list dan setiap kali hujung bulan, dia akan ambil shopping list itu dan pergi shopping barang dapur.
Maknya melihat saban bulan Prof Har berbuat demikian sehinggalah suatu hari maknya berkata, “Salah ni apa yang Har buat. Makan minum ini tanggung jawab suami. Biar dia buat.”
Sejak hari itu, suami Prof Har mengambil alih tugas itu dengan duitnya sendiri dan beliau masih ingat bagaimana besarnya hati suaminya menceritakan kejayaannya membeli barang dapur untuk keluarga, “Abang dah beli telur satu tray. Elok-elok semua telur tu abang pilih. Ikan pun segar – segar.”
Bila melihatkan bahagianya suaminya bila menceritakan itu semua, Prof Har tidak mahu lagi mengambil hak itu dari suaminya. Prof Har sambung, “Kalau suami puan – puan mampu beli kangkung dan ikan kembung, makan lah itu. Berkat insyaAllah.”
Ini mungkin peluang untuk suami sama – sama memelihara aurat isteri.
Kalau isteri sakit, suami perlu bawa isteri berubat dan membiayai perbelanjaan ini. Kalau zaman sekarang, takaful untuk isteri dan anak – anak itu semua sebenarnya perlu disediakan oleh suami.
Wanita memang tidak asing dengan perhiasan. Suami perlu menyediakan perhiasan untuk isteri. Hud Saleh selalu membeli barang – barang untuk saya berhias tapi tricknya adalah mesti mengikut taste dia,
“Isteri ini adalah perhiasan untuk suami. Mestilah saya beli perhiasan mengikut taste saya supaya menyejukkan mata dan hati saya. Baru sayang dapat pahala, saya pun dapat pahala.”
Isteri, kalau suami mampu beli Zhulian, pakailah. Jangan minta Tiffany pula.
Kalau isteri biasa ada pembantu rumah sebelum berkahwin, suami mesti menyediakan pembantu untuknya selepas berkahwin.
Zaman sekarang ini kalau suami tak mampu, cukuplah sediakan wang untuk penjagaan anak, belanja panggil part time maid dan paling penting sekali pembantu semasa dia berpantang selepas melahirkan anak.
Selain itu, suami perlu juga memberi nafkah wang walaupun sedikit untuk isteri setiap bulan. Kalau mampu RM10 pun, itulah yang perlu diberikan.
Beritahu pada isteri, “Ini yang abang mampu, kalau ada rezeki lebih, abang akan tambah.” Isteri, hargailah keikhlasan suamimu itu.
Pn Siti memberitahu bahawa ini adalah ajaran Islam dan kita patut mengikutnya. Sebab apa? Supaya ada KEBERKATAN dalam rumah tangga. Bila ada keberkatan, harmoni dan sejahteralah rumah tangga itu.
Habis tu bila nak guna duit isteri yang bekerja?
Saya pernah mendapat soalan ini dari adik – adik yang lebih muda. Lebih – lebih lagi dalam era kedasyatan ekonomi zaman sekarang.
Saya pun pernah bekerja dulu. Bahkan gaji saya memang lebih tinggi dari Hud. Dulu lah. Tapi kami tetap mengamalkan ajaran di atas itu. Duit saya jarang sangat disentuh.
Pun begitu, duit – duit isteri bekerja masih boleh diperlukan dalam situasi begini:
Duit saya semasa bekerja dulu biasanya digunakan untuk perbelanjaan begini – kereta kena sagat, bumper kena langgar motor, tangki air rumah pecah lalu merosakkan atap. Memang jumlahnya besar tapi one-off. Bak kata saya, barang 20 tahun sekali.
Isteri boleh berbelanja duit sendiri untuk perbelanjaan pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga. InsyaAllah perbelanjaan begini menggembirakan. Isteri biasanya tak kisah mengeluarkan duit untuk berlibur begini.
Duit isteri boleh digunakan untuk beli hadiah pada suami. Saya jarang beli hadiah pada Hud sebab saya tak tahu nak beli apa.
Tapi kalau saya boleh kongsikan hadiah yang tidak pernah saya lupa beri setiap tahun pada dia adalah satu bahagian korban.
Setiap tahun bila tiba raya korban, saya akan ambil dua bahagian dan satunya diniatkan untuk dia. Guna duit saya sebagai hadiah untuk Al Qawam saya yang sentiasa berusaha menyediakan pelbagai benda untuk saya sepanjang kami berkahwin.
Haa masa ini isteri boleh guna duit sendiri untuk tampung makan – minum keluarga sebab duit suami mungkin sudah habis.
Perlu bijak membaca hati suami bila dia nampak kedekut untuk keluarkan duit di akhir bulan tu, faham – fahamlah. Guna duit kita pula.
Yang penting, awal – awal tu beri hak pada suami untuk menjalankan tanggung jawab dia memberi nafkah kepada keluarga.
Prof Har pernah bercerita yang dia selalu buka dompet suaminya sembunyi – sembunyi. Jika tinggal duit seringgit – seringgit dalam tu, dia akan masukkan not RM50. Itulah hadiah untuk suami. Ringankan beban untuknya di masa yang betul.
Kesimpulannya, bagaimana teruknya ekonomi sekarang, jangan campur adukkan gaji isteri dan suami kemudian rancang perbelanjaan keluarga dari situ. Ini bukan cara yang Islam anjurkan.
Biarkan suami urus dulu kewajipan yang dia perlu tunaikan, kemudian barulah isteri datang membantu.
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Mentaliti dan persepsi bahawa kerja rumah adalah tugasan orang perempuan, iaitu isteri dan ibu perlulah diubah.Tidak sepatutnya tugasan ini dibebankan dan digalas sepenuhnya oleh orang perempuan tanpa penglibatan suami dan anak-anak.Sebenarnya kerja-kerja rumah ini boleh dilaksanakan dengan membuat jadual secara harian mahupun mingguan, supaya setiap seisi keluarga,turut merasai tanggungjawab dalam melakukan kerja-kerja rumah. Perkongsian menarik ini dikongsikan oleh Ahmad Affzan Abdullah sebagai panduan.
Satu ketika, aku tengah makan. Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak.
“Baca ni,” katanya.
Aku tengok saja. Lepas makan aku tanya dia, “Artikel apa tu?”
Dia pun tunjuk pada aku. Artikel itu dalam Bahasa Inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat saleh. Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok TV. Puas dia panggil semua buat bodoh saja.
Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak,
“Dah, dah. Pergi tolong mak kamu tu.”
Kemudian dia terfikir, kenapa bila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai ‘tolong’ ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.
Bukankah rumah ini rumah kita bersama? Kita guna tandas bersama. Ruang tamu bersama. Mengapa kita tidak menganggap bahawa ini kerja kita bersama juga?
Aku mengangguk-angguk sambil membaca artikel itu.
Betul, biasanya kita ini ambil mudah.Bila kerja-kerja di rumah saja, secara automatik kita kaitkan dengan tugas orang perempuan, iaitu ibu kita atau isteri kita.
Kenapa mentaliti kita begitu?
Pinggan, ramai yang lepas makan hanya letak saja dalam sink. Yang lebih teruk, tinggal saja atas meja makan.Maka ibu atau isterilah yang mengutip sampah sarap ini tadi dan membawanya ke dapur
Tandas, semua guna untuk buang segala kotoran dalam badan. Bila mangkuk tandas dan lantai sudah berdaki, semuanya buat tak tahu. Masing-masing beranggapan nanti ibu atau isteri yang akan sental.
Kipas dan aircond, semua nak guna waktu kepanasan. Namun bila berhabuk, masing-masing lebih rela bersin dan terbatuk berbanding ambil inisiatif untuk buang habuk yang terkumpul. Semuanya tunggu ibu atau isteri yang buat.
Beginikah cara kita hidup bersama di dalam rumah? Di bawah satu bumbung?
Maka kami pun buat jadual. Duty roster.
Ada tugas harian, ada tugas mingguan. Semua wajib laksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang telah ditetapkan.
“Supaya masing-masing ada rasa kebertanggungjawaban. Supaya anak dan suami tahu, rumah ini tanggungjawab bersama untuk pastikan ia bersih, kemas dan sihat untuk didiami.”
“Bukan kerja orang perempuan saja. Bukan tugas ibu atau isteri saja.Kita semua buat sepah, kita semua kena kemas.Bergilir-gilirlah. Masing-masing akan rasa cuci pinggan, sidai baju, cuci tandas, sapu sampah, cabut rumput dan lain-lain.”
“Tidak ada ruang untuk anak-anak rasa seperti tuan atau bos.Tidak ada ruang untuk suami atau isteri menyuburkan ego. Barulah kita boleh hargai setiap sudut rumah yang kita diami.”
Kita nampak ruang tamu kemas, kita tersenyum dan kata pada diri, itu kita yang kemas sama-sama.Kita nampak tandas bersih, kita juga rasa puas hati kerana kita pun terlibat dalam memastikan tandas itu harum dan tidak jijik.Kita akan geram bila ada ahli keluarga cuba sepahkan barang. Sebab kita tahu betapa lecehnya nak kemas balik.Baru kita tahu apa yang ibu dan isteri kita rasa selama ini.
Rumahku syurgaku. Selalu orang sebut, namun tak ramai yang berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama. Hanya mengharap ia jadi syurga secara tiba-tiba?
Semoga Allah sentiasa menaungi keluarga kita dengan rahmah dan maghfirah-Nya, dan rumah yang kita diami itu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan ketenangan.
Ahmad Affzan Abdullah.
Pelukis Kaligrafi Eksklusif
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.