Hati-hati jika selama ini ada tabiat suka berselfie kerana terdapat kajian menyatakan ia salah satu tanda miliki penyakit mental! Selfie yang merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar untuk tujuan dimuat turun ke laman sosial seperti facebook, instagram dan twitter, kini menjadi fenomena di seluruh dunia pelbagai peringkat usia. Baik yang dewasa, remaja mahupun golongan kanak-kanak.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, penyelidikan berkenaan perbuatan itu di negara ini tidak banyak dilakukan dan ia masih perlukan kajian ilmiah sebelum diklasifikasikan penyakit kerana dibimbangi rakyat di negara ini terjebak amalan itu secara berlebihan hingga boleh mendatangkan kemudaratan sama ada kepada kesan fizikal ataupun mental seseorang.
Tanda ‘Mental Disorder’
“Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, pakar psikiatri dari seluruh dunia mengklasifikasikan swafoto sebagai satu ‘mental disorder’ terutamanya yang mendatangkan kemudaratan.
“Setakat ini terdapat kajian dijalankan di United Kingdom dan India terhadap 225 golongan muda melalui selfitis behaviour skill bagi melihat tahap keseriusan mereka berselfie,’ katanya.
Terdapat 3 Jenis Kategori
Beliau yang juga Pengarah Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) berkata, melalui kajian itu, lebih 65 peratus daripada 225 orang berkenaan mengalami masalah selfitis behaviour scale (SBS) yang dikategorikan sebagai selfitis borderline, selfitis akut dan selfitis kronik.
Ads
“Selfitis borderline bermaksud mereka yang berselfie sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan tidak memuat naik gambar dalam media sosial.
“Manakala selfitis akut dikategorikan mereka yang berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial, selfitis kronik pula mereka yang berswafoto lebih daripada enam kali sehari dan memuat naik gambar dalam media sosial,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan ketiga-tiga selfitis itu, selfitis akut dan kronik akan mendorong individu itu melibatkan diri dalam aktiviti swafoto bahaya.
“Mereka juga dikaitkan dengan penyakit mental seperti kemurungan atau tekanan dan personaliti kepada umum.
“Mengikut kajian dibuat juga mendapati mereka yang berumur belasan hingga 20 tahun sering terlibat dengan gejala itu, bagaimanapun semakin meningkat usia dorongan ke arah perbuatan swafoto semakin berkurangan,” katanya.
Miliki Ciri ‘Narsisistik Personaliti’
Dalam pada itu, beliau menyifatkan berswafoto juga mempunyai kaitan dengan ‘narsisistik personaliti’ bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit psikiatri seperti anxiety disorder, dan ketagihan.
Ads
“Kita tidak pasti sama ada hubung kait ini berkaitan punca atau akibat berswafoto itu sendiri. Bagaimanapun jika dilihat perbuatan berswafoto itu kemungkinan seseorang itu sudah ada penyakit atau kesan daripada sibuk berselfie akan menyebabkan komplikasi penyakit mental.
“Contohnya, bagi mereka yang mempunyai masalah penyakit was-was atau kurang berkeyakinan berkaitan penampilan, maka mereka akan berselfie kerana mahu memastikan diri kelihatan sempurna dalam alam maya,” katanya.
Rusdi berkata, berswafoto juga dikaitkan dengan individu yang bangga dengan diri sendiri, mengharapkan pujian orang ramai.
Ads
Hati-hatilah dalam berselfie iya.Berselfie itu tak salah namun biarlah berpada-pada dan janganlah sehingga memudaratkan diri mahupun mengabaikan sensitiviti. Cuba semak mak-mak dalam kategori yang mana.
Wanita ini, Puan Dhuha Rashidialami pengalaman berpantang yang menakutkan. Selepas tamat tempoh 44 hari, perjalanan emosinya lebih sayu untuk dihadam kisahnya.
“Kau bacalah. Baca karangan panjang ni untuk sekali ini. Kisah benar yang aku alami satu masa dulu. Ambil ikhtibar dari pengalaman aku. Tolong SHARE supaya jadi panduan buat suami atau isteri dan seluruh keluarga sokongan.”
Tahun 2012 aku lahirkan Nour yang comel. Seberat 2.1kg saja. Memang ada orang yang tak berani nak pegang Nour waktu tu sebab kecik sangat. Waktu mengandungkan Nour pun aku dah mula lalui ujian demi ujian. Air ketuban pecah pun sebab terlalu aktif ke sana ke mari menghadapi banjir waktu tu. Habis ruang tamu kena masuk air. Alihkan barang yang mana boleh. Ikutkan due lagi 2 minggu lebih.
Aku bersalin tanpa ada guide. Kira macam tak dapat ‘personal touch’ lah dari orang pengalaman. Berbekalkan nasihat emak yang jauh. Aku google tips sewaktu mengandung, sewaktu bersalin dan waktu berpantang. Baca pengalaman orang yang dah pernah bersalin. Ada lah orang kata pengetahuan sikit sebanyak kan.
Bagi perempuan kali pertama bersalin ni, memang akan rasa kekok dengan perubahan tu . Mana taknya sekelip mata je lahirnya insan baru yang menjadi tanggungjawab baru suami dan isteri.
Dari tak biasa berjaga malam untuk tengok baby. Kena lah berjaga malam sebab nak menyusukan, tengok kencing berak dia. Cek perut kembung. Kalau baby yang ada masalah ? Lagi kena pantau.
Bukan setakat itu je. Masalah kesihatan ibu lagi. Masalah kesihatan bayi yang kita tak jangka. Anak tak pandai ‘latch’ betul waktu menyusu. Bila anak tak pandai menyusu, ibu kena sabar banyak sebab nak pastikan anak dapat susu. Perut kembung. Anak meragam. Kena tuam lagi. Ibu pulak dah mula sengal-sengal bisa dalam badan. Fuh!!
Tekanan demi tekanan mula terjadi. Walaupun macam aku cakap tadi. Dah study sesiap dah kan. Tapi pengalaman orang tetap takkan sama dengan pengalaman yang bakal kita lalui.
Waktu macam ni lah emosi ibu berpantang sangat mudah terganggu. Orang yang paling penting untuk beri sokongan waktu-waktu macam ni tentulah suami. Suami ni macam watak utama untuk bantu isteri kuat semangat.
Nour warded selepas beberapa hari bersalin. Waktu tu Aidil Adha. Hampir seminggu kat hospital. Kena jaundis yang agak teruk. Bayangkanlah di hospital, terpaksa pangku dia bila waktu nak menyusu disebabkan oleh kesukaran menyusu dengan baik.
Duduk kat hospital dengan badan menggigil sejuk. Walaupun pakaian berlapis-lapis. Suami tak boleh masuk selalu dalam ward khas. Jalan ke bilik air pun macam kaki rengkot. Orang siap tanya lagi, awak ceaser ke macam teruk sangat je jalan macam tu. Tak lah. Normal. Baby pun kecik. Tapi sebenarnya bila aku fikir balik, yang lebihnya adalah rasa trauma. Ya TRAUMA.
Kata Dr. Grace Lim, pengarah anestesiologi obstetrik di Hospital Wanita Magee daripada Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh, aku baca, trauma sakit waktu proses bersalin ni lah satu perkara penting kena ambil kira sebab boleh menjadi kesan kepada psikology si ibu kalau tak tangani dengan baik.
Sakit proses bersalin tu, sakit contraction tu maksudnya. Dari bukaan 2 sampai 9 tu. Kena faham bebetul.
Trauma proses bersalin ni ditambah dengan kesukaran selepas melahirkan menambahkan aku punya stress. Suami pun dalam penat tu kena juga berkorban datang hospital, bawa apa barang yang aku kirim, untuk kurangkan segala rasa tak selesa.
Kami pergi tengok Nour kat ward khas rawatan baby bila dia terpaksa dimasukkan ke sana. Tengok doktor nurse gelabah semacam pun buat aku berdebar. Anak sendiri kan. Aku rasa dapat ke aku tengok lagi Nour untuk hari esok. Sayuuuu semacam.
Perasaan sayu hiba yang datang tu bukan dibuat-buat. Buka sengaja cipta untuk mengada-ngada. Aku takde mak bapak yang tolong bagi sokongan waktu tu. Takde adik beradik yang datang hospital bagi sokongan.
Suami je yang ada. Tu pun nurse tak bagi masuk dalam, hanya ada waktu tertentu je. Bila tengah malam, rasa nak pergi tandas, aku masuk bilik air, kepala rasa pening. Memang fikiran terawang-awang. Penat kat hospital. Tidur duduk.
Waktu kat hospital tu lagi aku dah terfikir bukan-bukan. Bila kat bilik air macam ada bisikan-bisikan. Suara-suara macam bersembang kat pasar. Terawang-awang. Cepat-cepat aku selesaikan urus diri. Pergi duduk semula kat katil. Pergi tempat yang ada orang. Seram.
Bila keluar wad balik rumah keadaan jadi makin teruk.
Suami pulak kena mengajar belah malam. Kelas atas kerjasama kami sendiri waktu mulakan hidup lepas kawin. Habis kelas jam 10.
Waktu sorang-sorang ni lah memang datang macam-macam gangguan yang lagi dahsyat. Waktu siang rasa okey . Bila lepas Asar atau maghrib je mula rasa resah. Sampailah membawa ke tengah malam sampai subuh.
Banyak kali aku menangis. Tekanan demi tekanan aku rasai waktu itu yang sebenarnya lebih banyak lagi tapi tak perlu aku ceritakan terlalu banyak. Orang berpantang ni memang mudah lemah semangat.
Tak mampu bergerak aktif. Malas nak susahkan orang. Tapi tak mampu nak buat sendiri makanya makan hati lebih banyak dari menyelesaikan masalah. Bila dah pendam perasaan. Ditambah lagi dengan cepat sentap dan mudah terasa. Itu yang emosi terus menjadi –jadi.
Aku menangis pun bukan sebab apa. Waktu tu fikir suami tak ambil berat lah apalah tau. Padahal suami dah buat banyak benda. Sediakan air mandian. Memasak. Mengemas. Macam-macam lagi lah.
Cuma yang masalahnya, bila terlalu fikir sangat orang tak faham, orang tak peduli, tiada siapa hiraukan, lepas tu ditambah lagi dengan rasa gagal menyusukan anak. Memang emosi rasa tak puas hati. Rasa susah. Sedih. Kecewa. Sukar. Berat. Memang boleh jadi depression.
Pernah terjadi, aku terlelap. Tiba-tiba aku terkejut. Aku rasa Nour hilang. Aku cari-cari mana Nour. Padahal ada je aku tengah riba kan dia. Sedih sangat. Aku ingat lagi.
Lagi menyampah apa tau ? Bila ada orang datang ke rumah, konon nak melawat mak dan baby ni ha, tapi yang dibaginya ayat-ayat yang menakutkan.
“Ko jangan nak bersila ke nak bersimpuh ke, kaki tu biar melunjur je, pakai bengkung ketat-ketat, haaa…nanti luka bersalin lambat sembuh nantiiiii.. mak hakak cukup marah tau kalau hakak ni bersila, esoooookkkk.. jangan buat main tau, suami kau pun boleh cari pompuan lain.”
Kau rasa nak lempang ke nak penampo ? Tolonglah orang yang melawat ibu berpantang. Amatlah tak sesuai nak bagi nasihat sampah macam ni. Jaga pertuturan. Bagi semangat yang positif. Bagi dorongan. Doakan yang baik-baik. Waktu tu aku yang stress jadi makin stress. Emosi aku berganda-ganda terganggu.
Lama-lama bertempek lagilah kesedihan-kesedihan baru. Mudah terfikir. Mudah sedih. Mudah menangis. Satu hari tu, aku rasa sedih sangat. Aku sedih sebab rasa susahnya menyusukan anak. Aku alami masalah mastitis. Kau google jelah benda apa tu. Bila suami balik kerja , rasa tak tahan , aku menangis tiba-tiba. Aku rasa down sangat.
Cepat-cepat suami tenangkan aku. Apa yang aku nak cakap kat sini, bila berlaku situasi isteri down waktu pantang, suami memang kena beri sokongan. Sokongan bukan setakat pujuk. Suruh sabar. Suruh istighfar je.
Tapi sentuh tangan isteri. Terus peluk isteri. Baca ayat suci selawat semua kat ubun-ubun isteri. Pegang tangan isteri erat-erat supaya semangatnya pelan-pelan naik balik. Supaya isteri tak rasa down sehingga membawa kepada kemurungan yang teruk. Jangan biar sebab ia boleh jadi bahaya untuk psikologi ibu.
Bila aku tak tahan sakit, terus kitorang pergi beberapa kali ke hospital ambil sample nanah. Tunggu kat emergency pun dari tengah malam sampai subuh. Ya Allah sangat derita waktu tu. Memang masing-masing berkorban waktu. Akhirnya , Nour terpaksa menyusu dengan kakak aku dalam tempoh aku dalam rawatan. Sebab itu lah Nour ada mama dan papa.
Namun, ujian aku bukan takat tu je. Ada lagi keadaan yang aku alami jadi lebih dahsyat.
Satu malam tu , aku menahan sakit lagi. Ditambah dengan Nour meragam entah apa yang tak kena. Merengek macam gelisah. Menangis tak sudah-sudah. Ayat Quran dah memang pasang selalu. Pintu bilik pulak terbuka luas menghadap ruang tamu atas dan menghadap tangga.
Tiba-tiba aku dengar bunyi rengekan orang minta tolong sambil menangis. Cepat-cepat aku panggil adik aku yang ada kat bilik lain. Kebetulan diorang ada datang. Buat semangat. Suami tengah mengajar malam waktu tu.
Entah macamana aku ternampak seorang tua yang gemuk putus sebelah kakinya mengesot dari tangga bawah naik ke atas. Dalam rasa panik tu, aku jerit sekuat hati, aku jerkah makhluk ni.
Yang aku ingat dia cakap , “Tolonglah kesian dekat keluarga aku, kesian lah dekat adik aku, dia sakit, tolonglah keluarga aku.” sambil tu aku nampak makhluk tua ni mengesot nak masuk bilik aku.
Aku pun marah lah. “Kau jejak badan kau dalam bilik ni, kau memang cari pasal, jangan ganggu aku , jangan ganggu anak aku,”. Ya Allah. Kalau aku jenis penakut dan ikuuuttt je. Aku tak tak tahulah apa yang benda ni akan suruh aku buat. Dah lah aku tengah sakit , down, berpantang pulak tu. Kekuatan yang aku dapat malam tu semuanya dengan petunjuk Allah.
Walaupun aku nampak kuat untuk ‘melawan’ gangguan ni, aku tetap manusia biasa . Aku seorang wanita berpantang waktu itu. Orang tengah berpantang ni kau kena tahu semangat dalamannya lemah. Gangguan yang berulang kali macam ni buatkan aku lebih tertekan. Tak tidur malam !
Setiap malam tentulah kami tak dapat tidur nyenyak. Aku letih. Suami aku pun letih. Pada satu malam tu, entah macamana aku rasa teramat stress. Perasaan ni dah bercampur baur. Ye lah ada je hal tak habis-habis. Penat. Tak cukup tidur. Sakit. Bila semua perasaan tu aku pendam. Tak pandai pulak nak luah. Makin lama makin tak tahan.
Waktu tu suami tengah tidur. Nour terjaga malam dan aku lembik sangat rasa. Lagi aku dengar dia menangis, lagi aku stress. Aku jadi tak boleh dengar tangisan dia. Runsing. Rimas.
Entah macamana aku menjerit dan aku campak Nour kat sebelah aku. Suami aku terkejut dan terjaga dari tidur terus ambik Nour yang menangis. Dia peluk Nour. Sedih sangat bila kenang situasi ni.
Aku ingat aku cakap “ aku tak nak budak ni, aku rimas, aku runsing, aku penat, pergi bawak dia jauh-jauh.” Sambil tu jugak suami aku tenangkan aku. Aku tau dia juga sangat tabah lalui benda ni.
Kau faham tak perasaan aku ni , kawan ?
Bila aku tengok perkembangan Nour sekarang aku rasa sangat bersyukur. Bila tengok video waktu kecil dia, aku je yang rasa apa naluri keibuan aku rasa.
Tapi .. tapi.. tapi , walaupun keadaan tu semua boleh berlalu pergi. Tiada lagi gangguan. Tiada lagi rasa runsing. Rupanya, bekas-bekas saki baki masih tersimpan didalam. Emosi dalaman masih tak terubat. Sampai lah aku mendapat masalah anxiety disorder yang teruk.
Tengok gunting rasa nak ambil. Tengok pisau rasa seram nak pegang. Waktu potong sayur kat dapur pun, terfikir bukan-bukan. Aku dah mula rasa aku tak normal. Aku takut masak. Aku takut makan. Aku takut masuk kereta. Aku takut sorang-sorang. Aku takut tidur. Aku takut angkat telefon. Aku lebih suka menyendiri. Aku fikir esok aku mati. Aku duduk atas sejadah menangis sebab takut.
Sangat tak normal. Aku bagitahu suami dan jumpa doktor pergi hospital klinik. Sampai last tu aku terfikir nak jumpa doktor psikiatri. Dah mula buat ujian anxiety online. Survey doctor pakar.
Pernah aku jumpa doktor. Ada yang gelakkan aku. Kata aku tiada penyakit. Pergi buat check jantung sebab asyik ditekan-tekan waktu tidur. Pun normal. Akhirnya, Allah takdirkan aku terjumpa seorang bekas pesakit anxiety. Aku mula mendapat jawapan demi jawapan.
Aku jadi mudah tertekan. Mudah marah. Mudah tak puas hati. Selalu merungut. Itu semua kejap terkawal kejap kacau bilau. Rupanya trauma tersembunyi tu masih ada. Sampai mengandungkan Elham pun berlaku ujian dan dugaan. Aku jatuh bilik air waktu dah sarat mengandung.
Memang sakit sangat sebab hentakan. Lepas tu waktu Elham dah 4 bulan, pun ada tergelincir depan peti ais sebab tak perasaan air jernih kat lantai.
Pernah aku jadi tak tahan , aku stress. Tertekan. Rasa berat. Aku hancurkan mainan diorang. Aku menyendiri. Aku rasa teruk. Aku rasa gagal. Anak anak jadi takut.
Bila tengok anak-anak menangis. Aku rasa tak gunanya diri aku ni. Sampai bila aku nak macamni. Aku tak boleh putus asa. Aku push diri aku.
Aku cakap kat diri aku. Dhuhaaaa ! Bangkit !!!
Bangkit ! Bangkit ! Bangkit !
Orang tidak tahu bagaimana dan kenapa aku bangkit dan memilih untuk berani. Sehingga segala perlian dan sindiran orang aku malas ambil peduli lagi. Sebab ialah aku pernah kehilangan sebuah JIWA. Tinggal aku masih dianugerahkan sebuah NYAWA.
Satu hari tu, ada seorang lelaki bertubuh sederhana berjubah putih datang dalam mimpi aku. Solat kat sebelah dan suruh aku baca ayat Al-Quran. Dia ajar aku baca Surah Al-Mulk.
Pernah aku mimpi, aku nampak diri aku yang dah mati, tunggu nak kena mandi. Aku dapat rasa diri aku kaku. Tapi tak mampu berkata-kata. Bila aku bangun dan masih ada nyawa lagi. Aku rasa tiada kesempatan untuk berputus asa. Allah bagi peluang lagi.
Pernah satu masa lalu, aku sakit misteri. Tengoklah gambar aku tu. Muka sugul. Pucat teruk. Dua jam lebih ustaz bantu aku yang macam nyawa ikan. Waktu tu ada satu suara yang mengajak aku untuk mati sekali. Tapi macam ada kekuatan dalaman dan keberanian entah apa maksudnya. Peluang nyawa untuk berbakti.
Dari situ, aku terus mencari penawar. Mula mencari diri. Diri yang sejati. Aku mencari siapa aku.
Sampai saat kemuncaknya, aku terjumpa dengan insan yang diizinkan Allah untuk sampaikan kasih sayang Allah melalui terapi penyembuhan hati. Beliau adalah Coach Nora Zyan. Bukan sekali dua. Tapi berkali-kali. Sehinggalah aku jumpa kembali sinar dalam diri. Menggali potensi diri.
Berjumpa beliau bukan satu kemegahan. Tetapi ia semata-mata bukti Allah Maha Pengasih. Allah Maha Penyayang. Allah Maha Pencinta. Allah Maha Menerima Taubat HambaNya. Segalanya atas kuasaNya. Tiada Tuhan melainkan Allah.
Sebab itu aku rasa aku patut menghargai anugerah-anugerah Allah yang hadir dalam hidup aku. Begitu juga kau kawan, hanya dengan mensyukuri dan menghargai boleh bantu kau jadi orang yang tabah dan terus kuat. Allah sayang kau, sebab itu Allah uji begitu dan begini kisah hidup kau.
Bila terbaca kisah ibu yang alami gangguan sehingga meragut nyawa darah daging sendiri apa kau rasa? Tentu sekali tiada jawapan yang pasti mengapa perkara macamni boleh terjadi.
Ada yang faham,benarkah faham. Ada juga yang mendoakan. Ada yang sedih. Ada yang rasa takut. Ada yang geram. Ada juga yang marah. Ada yang tak fikir dulu sebelum cakap terus mengutuk.
Sesiapapun hakikatnya tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui oleh individu yang alami situasi begini. Yang utamanya ialah tiada siapa juga yang tahu dari mana titik mula gangguan perasaan itu hadir dalam diri seseorang yang alami masalah ini.
Orang yang tidak ada pengalaman dalam hal gangguan dan tekanan memang boleh memberi pendapat dan nasihat. Kalau nak elak benda ni berlaku, rajin-rajin beristighfar lah, rajinkan solat lah, rajinkan baca Quran lah, dekatkan diri dengan Allah dan bermacam nasihat baik-baik. Ia memang tidak salah.
Namun, nasihat ini bukan jawapan paling tepat untuk situasi khusus bagi wanita yang alami masalah postpartum depression atau anxiety .
Istighfar, baca Quran dan lain-lain tu boleh dikatakan hanya penyembuhan lapisan luaran semata-mata. Yang perlu di betulkan sebenarnya ialah lapisan yang lebih dalam disebalik amalan-amalan di lapisan luar yang ditulis tadi.
Ada pulak yang bunyinya macam ugutan. Ingat sikit, kita ni ada agama. Berdosa tau tak. Oh, yang tidak lalui senang saja berkata-kata. Tapi, ia sebenarnya bukan semudah itu.
Aku sendiri pernah lalui betapa dahsyatnya perasaan yang entah dari mana ia datang. Bisikan-bisikan yang gila. Suara-suara yang memanggil. Kisah berpantang yang menakutkan dan menyedihkan.
Tanpa aku minta. Tanpa aku sedar perasaan itu tumbuh dalam diri. Sehingga Allah beri aku petunjuk jalan untuk pulihkan diri. Bangkit dari kelesuan dan kecelaruan hidup.
Walaupun kisah kita tak sama, tapi ingat, apa saja bentuk-bentuk ujian Allah berikan pada kita, semuanya untuk membuktikan kita hanyalah seorang hamba Nya. Yang satu masa nanti, roh ini perlu kembali kepadaNya.
Pesanan aku :
1. Orang di sekeliling yang terlibat dalam ujian-ujian yang datang tiada seorang pun yang bersalah kerana mereka hanyalah watak yang hadir di sepanjang nyawa masih ada.
2. Buat lelaki , cuba lah buat isteri berasa tenang hidup bersama. Kerana ketenangan dan ikhlas tidak boleh ditunjuk, tapi ia hanya dapat dirasa. Ia bukan ditunjuk dengan wang harta atau benda. Tetapi sesuatu yang dapat dirasa.
3. Buat wanita. Bukan semua orang sesuai untuk kau luahkan masalah. Kalau sudah tahap suami pun bukan tempat sesuai, carilah insan yang betul untuk kau luahkan sesuatu yang tertahan didalam hati. Jangan dipendam sampai jadi penyakit.
4. Tiada penyembuhan dalaman selain kau belajar mengenal hakikat diri. Bila kau kenal siapa diri kau yang sebenar, kau akan tahu siapa yang ciptakan kau. Kau akan kenali Allah umpama itulah kali pertama kau jumpa Dia.
5. Disaat kau rasa tiada tempat untuk bersandar. Ingatlah. Bahawa, ianya benar. Kerana Allah beri kau ujian untuk kau ‘bersandar’ dan bergantung kepadaNya semata.
Dari sinilah jua terwujudnya Khaliframe™ “Dari hati ingin bahagia untuk membahagiakan”
Jadilah wanita kesatriaan mencari cinta Tuhan.
Kau temui keajaiban. Biiznillah.
Nota : Puan Dhuha Rashidi juga sentiasa berkongsi kisah inspirasi dirinya di facebooknya.
Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.
Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3).
Namun adakah kita benar-benar memahami kenapa wujudnya hari Nuzul Al-Quran dan mendakap penuh isi ayat al-Quran setiap hari? Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian Ainizal Abdul Latif ini…
Allah telah jelaskan bahwa hati manusia itu akan menjadi keras seperti orang-orang ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), KENAPA, kerana mereka membaca kitab dan menghafalkannya, tapi mereka tidak mengerti sama sekali isi kitab tersebut.
Mereka tidak peduli, mereka tidak menggunakan kitab tersebut untuk melembutkan hati mereka, untuk ‘berbicara’ dengan Allah. Mereka tidak memiliki apa yang seharusnya mereka dapatkan dari kitab itu.
Rasulullah SAW bersabda, “Para ahli kitab itu tidak mendapatkan manfaat (dari kitab ini) sama sekali. Mereka memiliki Taurat dan Injil tapi tidak mendapatkan manfaat apapun”.
Para muslim akan menjadi seperti mereka. Kaum muslimin akan datang kepada para imam dan berkata,
“Pak imam, aku diserang demam, ayat manakah yang harus aku bacakan?”
“Pak imam, anak perempuan ku akan menikah, surah manakah yang harus dibacakan setelah selesai upacara nikah?”
“Doa yang mana dari Al Quran yang harus aku bacakan ketika aku sedang mencari pekerjaan?”
Hanya itukah erti Al Quran bagimu? Kamu katakan mahu mencari berkah dalam semua hal, apakah Al Quran memberikan barakah kepada upacara dan perayaanmu?
Untuk itukah Al Quran diturunkan?
Apakah Al Quran turun supaya kau dapat meminta seseorang membacakannya dalam acara pernikahanmu? Lalu ia datang dan membacakan Al Quran kemudian meletakkan selendang di atas kepala pengantin perempuan?
Atau Al Quran turun agar kau dapat memiliki hiasan dinding besar yang bertuliskan ayat di dalam rumahmu? Hiasan dinding besar Surah Al-Ashr di dalam rumah yang kau pasangkan di samping TV puluhan inchi?
Untuk itukah Al Quran diturunkan?
Supaya kau dapat menggantungkan tulisan Ayat Kursi di sisi cermin keretamu? Kerana kereta mu tidak memiliki ‘air bag’ sebagai pelindung?
Untuk itukah Al Quran diturunkan?
Apa yang terjadi?
Apa telah kita lakukan pada Al Quran selama ini?
Apa yang telah kita buat sampai mengubah fungsinya?
Ini adalah hal yang teramat penting.
Allah menurunkan petunjuknya melalui Al Quran. Telah banyak orang yang menitiskan darah agar dapat mengubah hidupnya sesuai dengan petunjuk isi kitab.
Tapi sekarang Al Quran hanya menjadi sebuah kitab yang di bacakan di upacara-upacara. Ini membuat hati hancur dan menyakitkan.
Kita membalut kitab ini, dan mencetaknya di atas kain sutera, lalu kita mengadakan pameran seni Al Quran.
Kita merayakan anak-anak kita yang berhasil menghafalkan Al Quran ketika kecil, tetapi kita tidak menangis ketika anak-anak itu menginjak dewasa dan tidak tahu dan faham apa yang mereka bacakan.
Mereka tetap tidak faham dan kita tetap meraikannya. Setiap tahun. Anak-anak itu diberi tanggungjawab memimpin solat terawikh tapi mereka tidak faham apa yang mereka bacakan. Lalu apa yang kalian harapkan dari para makmumnya?
Lelaki yang memimpin solat pun tidak faham yang dibacakan.
Ada yang tidak kena dengan semua ini. Ini tidak normal, seharusnya keadaan tidak seperti ini. Tapi kitalah yang telah membuatnya.
Dan anak-anak kita, ketika kita membangun hubungan palsu dengan Al Quran, anak-anak itu menghafal Al Quran dan tujuan besarnya hanyalah, “Aku akan memimpin solat terawikh tahun ini”.
Al Quran bukanlah sebuah piala. Al Quran bukanlah bertujuan agar kau mendapatkan hadiah ketika membacakannya. Bukan itu.
Aku bertemu dengan beberapa anak muda yang menghafal Al Quran dan mereka mencari tempat (masjid) untuk memimpin solat terawikh kerana bulan Ramadhan akan tiba.
Dan mereka berkata, “Berapa mereka akan bayar saya? Masjid yang ini berapa? Hadiah apa yang akan saya dapat dari masjid itu?”
Mereka malah membicarakan apa yang akan mereka terima atau berapa upah yang mereka akan dapat jika mereka boleh memimpin solat.
Ini harus menjadi perhatian kita. Inikah yang telah kita lakukan dengan Al Quran? Kita yang melakukan ini bukan orang lain. Jangan salahkan pemerintah. Kitalah yang melakukan ini pada kitab Allah.
Tidakkah kau berpikir Allah akan meminta kita bertanggungjawab tentang ini semua? Bagaimana seharusnya fungsi Al Quran itu?
Dulu para penghafal Al Quran disebut juga dengan Hamilat Quran. Pembawa Al Quran. Kerana mereka mengerti bahwa mereka sedang membawa tanggung jawab yang besar.
Dan aku tidak menuding tanggungjawab ini terhadap anak-anak yang menghafal Al Quran, ini bukan salah mereka. Ini salah kita kerana tidak mengajarkan lebih jauh daripada menghafal sahaja.
Hari ini, apa tanggung jawab kita untuk membetulkan fungsi sebenar, untuk apa tujuan Al Quran diturunkan?
Peristiwa Nuzul Al-Quran yang dikatakan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW., bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M, ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapalah yang tak kenal dengan pasangan usahawan jenama kosmetik D’Herbs Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman, 30 dan Datin Sri Nur Shahida Mohd Rashid,32. Rupanya selain hebat berbisnes, pasangan bahagia ini juga pandai memasak di dapur, malah turutk memiliki restoran sendiri iaitu Romah Makan Terlajak Laris.
Semalam, Dato’ Sri Aliff Syukri atau lebih dikenali dengan tagline ‘abang terlajak laris’ ada berkongsi video resipi Siakap Stim Limau Ala Thai dilaman instagramnya.Menu tersebut disediakan bersama isteri tersayang untuk hidangan berbuka puasa.
Ikan Siakap
Daun limau purut
serai
halia
bawang putih
sos ikan
cili padi
garam
limau nipis
serbuk pati limau
1.Kukus ikan siakap dalam periuk pengukus.
2.Masukkan daun limau purut,serai dan halia, biarkan selama 15 minit.
3.Kemudian cincang bawang putih, cili padi.
4.Masukkan bahan-bahan yang dicincang tadi kedalam sos ikan.
5.Masukkan pula serbuk pati limau kedalam sos tadi dan kacau sebati.
6.Perahkan pula dengan limau nipis dan masukkan sedikit garam.
6.Akhir sekali masukkan kedalam ikan yang telah dikukus dan letak sekali hirisan limau nipis.
Jadi kalau mak-mak nak rasa Ikan Siakap Stim Limau Dato’ Sri Aliff Syukri dan Datin Sri Shahida ni,bolehlah cuba resipi ini untuk hidangan berbuka puasa nanti.Tak perlu dah makan dekat restoran ala thai, boleh buat sendiri di rumah je!
Baru-baru ini tular kisah ibu tunggal berasal dari Sabah, Nur Syuhada Naquiyyah, 33, yang memilih untuk keluar dari rumah keluarganya dan kini tinggal di...