Khabar yang baru diumumkan oleh kerajaan Perlis ini, sedikit sebanyak mengubat kerinduan buat warganya yang ingin menunaikan solat di masjid, khususnya Solat Jumaat. Sejak pelaksanaan PKP, penangguhan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah telah dikuatkuasakan di semua surau dan masjid di Malaysia.

Tetapi mereka yang ingin menyertai solat ini perlu mematuhi beberapa syarat seperti yang telah ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan seperti yang dititahkan oleh baginda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Laporan Sinar Harian, memaklumkan kerajaan Perlis memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan kembali di negeri itu.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Menurutnya, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang belum pulih sepenuhnya.

“Beberapa peraturan telah disediakan untuk masjid-masjid di negeri ini mendirikan solat Jumaat selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ia adalah hasil pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” titah baginda menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, antara peraturan berkenaan adalah jumlah jemaah termasuk imam/khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

“Masjid tidak dibuka kepada awam sebaliknya, mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat adalah dari kalangan pegawai-pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

“Setiap yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran,” titah baginda.

Jumaat Depan, Perlis Luluskan Kebenaran Solat Jumaat Bersyarat Tidak Lebih 12 Orang
Jemaah masjid di Karachi, Pakistan menunaikan solat di masjid sewaktu pandemik Covid 19 sedang melanda dunia

Menurut baginda, individu yang berumur 60 tahun dan ke atas serta yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema juga tidak dibenarkan hadir.

“Individu yang mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir.

“Jemaah perlu menjaga penjarakan sosial termasuk semasa solat (sekurang-kurangnya dua meter). Individu yang hadir juga wajib memakai topeng muka termasuk ketika menunaikan solat.

“Para jemaah mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri dan tempoh masa bermula azan hingga selesai solat Jumaat adalah 15 minit sahaja,” titah baginda.

Baginda juga mengingatkan jemaah bahawa tiada kontak fizikal dibenarkan seperti berjabat tangan di masjid sama ada sebelum atau selepas solat.

“Setelah selesai solat semua yang hadir hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid.

“Solat diutamakan untuk dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka seperti di anjung masjid dan pengerusi masjid bertanggungjawab untuk memastikan semua syarat yang dinyatakan dipatuhi.

“Masjid yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua syarat terbabit adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat,” titah baginda.

SUMBER : SINAR HARIAN 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI