Jika ada simptom, hari ketiga bergejala paling sesuai buat RTK antigen di rumah untuk mengetahui sama ada mak, ayah positif atau negatif virus Covid19.
Sekiranya mak, ayah ingin melakukan RTK antigen pada hari pertama bergejala, tidak ada masalah. Tetapi ujian perlu diulang lagi pada hari ketiga. Tindakan ini adalah sebaik-baiknya mengikut Dr Arisman.
Jika Ada Simptom
Saya puji masyarakat kita kebanyakan sudah bijak mengambil inisiatif sendiri atau langkah paling berhati-hati dengan melakukan ujian kendiri RTK di rumah sebaik sahaja gejala muncul hari pertama.
Rata-ratanya datang ke klinik beritahu “Saya dah buat RTK pagi tadi di rumah, negatif doktor.”
Alhamdulillah. Tahniah untuk diri anda sendiri yang melakukannya. Ini step yang sangat membantu kami frontliner kesihatan khususnya dalam mengawal penularan wabak Covid musim Omicron khususnya.
Tetapi jika berjumpa saya di klinik, saya pasti akan selalu nasihatkan kepada pesakit-pesakit yang timbul gejala saluran pernafasan atau demam untuk periksa ulang ujian kendiri air liur atau swab pada hari KETIGA bergejala.
Jika ujian negatif dan demam masih tidak reda, maka datang semula berjumpa doktor. Perlu risau ada banyak lagi penyakit lain di luar sana, misalnya denggi, influenza, pneumonia dan lain-lain.
Buat RTK Antigen Di Rumah
Ada juga pesakit yang jawab “Saya dah buat RTK dah doktor, 5 hari lepas tapi negatif.”
Saya jawab semula, “tapi encik punya gejala baru mula kelmarin. Ujian 5 hari lepas dah tak boleh pakai dah. Encik kena buat ujian yang baru untuk lihat ada virus Covid atau tak pada sakit sekarang.”
Ads
Sekiranya anda kontak rapat, sama ada mempunyai simptom atau tidak, ikuti garis panduan ini. Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia..
Mingguan Wanita : Pastikan stok RTK antigen sentiasa ada di rumah, jika tiada sekalipun, mudah dibeli di mana-mana farmasi berdekatan. Sama-sama kita jaga kita. Nak mudah beli sahaja ONLINE.
Allahu, mengucap panjang dengan kejadian pembuangan mayat bayi yang baru berlaku ini. Menurut laporan, bayi tersebut diperlakukan dengan menyayat hati, ditutup mulut, dibalut dengan selimut dan dimasukkan ke dalam beg sekolah serta mayat bayi tersebut di buang ditempat pembuangan sampah.
Seorang remaja perempuan dan teman lelakinya yang masing-masing berusia 17 tahun ditahan susulan penemuan mayat bayi dalam lori sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18, Putrajaya dekat sini, semalam.Turut ditahan, bapa kepada remaja perempuan itu yang berusia 43 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketiga-tiga suspek direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Katanya, remaja perempuan itu direman empat hari sehingga Isnin depan, manakala bapa dan teman lelakinya direman dua hari sehingga esok.
“Siasatan mendapati bayi perempuan tersebut dilahirkan pada Rabu lalu kira-kira jam 11.30 pagi oleh suspek.
Menurutnya suspek remaja perempuan tersebut bertindak menutup mulut bayi itu dengan tuala dan membalut badannya dengan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah.
“Suspek kemudian memasukkan beg sekolah tersebut ke dalam plastik sampah yang diikat dan diletakkan di luar rumah bersama sampah yang lain.Plastik sampah yang mengandungi bayi tersebut telah dibuang oleh bapa suspek ke rumah sampah dikawasan perumahan mereka,” katanya.
Kredit Foto: The Star Online
Mayat Bayi Dibedah Siasat
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.Suspek berdepan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Roslina Atan di talian 019-2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584 atau 585 atau pun menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
“Kita juga menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak remaja mereka supaya tidak terbabit dengan gejala negatif dan anasir yang tidak baik,” kata Mazlan lagi.
Semalam, seorang pekerja Alam Flora menemui mayat bayi berkenaan ketika memasukkan sampah ke dalam lori sampah dari tempat rumah sampah di Blok D kuarters penjawat awam terbabit.Polis yang menerima laporan kejadian itu pada jam 9.27 pagi menghantar sepasukan anggota polis bagi menjalankan siasatan.
MW: Pesanan buat mak ayah, jangan terlampau memanjakan anak-anak dan pantaulah pergaulan mereka. Ambil peduli jika terdapat sebarang perubahan fizikal pada anak.Remaja mungkin tak panjang akal untuk berfikir yang mana baik dan buruk pada masa hadapan, tapi peranan kita sebagai mak ayah seharusnya bertindak lebih matang dan rasional. Doakan yang baik-baik buat keluarga ini.
Setiap anak yang hebat dan berjaya bukan hanya tekun dan pandainya dia belajar di sekolah. Tak perlulah kita bermegah atas usaha dan kejayaan yang diperolehi. Sebaliknya, semua kejayaan ini adalah berkat doa mak ayah yang kita ada.
Segala nikmat yang anak perolehi ini adalah kerana reda mak ayah yang tak pernah putus mendoakan untuk anak-anaknya. Sebagai mak ayah, merka tidak sanggup melihat anak-anak derita dan sebolehnya inginkan anaknya berjaya.
Malah, sebagai anak, kita janganlah takbur atau tinggi diri. Berkat doa mak ayah kita menjadi orang yang dikagumi. Jangan mudah lupa diri, tanpa mereka kita tak akan berada di puncak kejayaan sekarang ini.
Apa yang dikongsikan oleh Muhammad Adam Harith cukup berkesan dan memberi pengajaran buat kita semua. Ingat satu perkara sahaja, kita bukanlah orang yang hebat tetapi doa mak ayah yang berkat itu.
Pernah tak dengar ayat ni? Mesti pernah kan. Tapi pernah tak ambik masa, renung dan fikir?
Percaya tak? Semua doa yang baik diucapkan oleh setiap mak dan ayah setelah kelahiranmu ke dunia ini yang dinanti dengan penuh keterujaan. Penuh kesabaran dan penuh bahagia.
Setelah kelahiranmu ke dunia ini, kata kata dan doa sentiasa di bibir mereka supaya kamu menjadi anak yang soleh. Orang yang berjaya dunia akhirat dan menjadi seorang yang dibanggakan. Besarnya harapan mereka terhadapmu.
Tapi sayang, ada sesetengah daripada kita, setelah dia berjaya dan menginjak dewasa, jasa ibu dan ayah tidak lagi dikenang. Malah dia menganggap mak dan ayah yang telah tua itu sebagai satu beban kepadanya.
Allahu. Kejam sungguh kamu wahai anak. Semasa kamu kecil, kamu ditantang dengan penuh kasih sayang, Penuh cermat dan lemah lembut. Kenapa ketika kamu dewasa, sudah punya harta dan kerjaya, mak ayah kamu ketepikan begitu saja?
Doa Tak Pernah Putus
Ingat wahai anak. Semua kejayaanmu, kemewahanmu dan segala pencapaianmu adalah berkat dari doa ibu dan ayahmu yang tak pernah putus. Semua ini, semenjak kamu dilahirkan sehingga dewasa.
Anak, keberkatan dalam setiap rezekimu adalah dari doa ibu dan bapamu yang tak pernah jemu mendoakanmu tanpa kau tahu. Keredhaan Allah jua datang setelah mendapat meredhaan dari kedua orang tuamu.
Jadilah anak yang berjaya seiring dunia dan akhirat. Membahagiakan mak bapamu sebagaimana mereka telah menjagamu sejak kecil dulu.
Dahulukan mereka dalam setiap urusanmu. Insya Allah urusanmu akan dipermudahkan. Berkatkan rezekimu dengan mengingati mereka dalam setiap gajimu.
Percayalah, mereka tak minta dan berharap, cukuplah sekadar mereka tak dilupakan. Mereka cuma nak diingati dan dihargai. Kamu adalah hasil didikannya.
Anak, hebatnya kamu pada hari ini kerana mempunyai ibu bapa yang hebat. Hargai mereka jika masih ada. Doakan mereka jika telah tiada.
Ig : adamharith.co
MW: Tak perlulah rasa megah diri atas kejayaan yang ktia ada sekarang ini. Kita tak akan berjaya tanpa mereka. Siapalah kita tanpa mereka, mak ayah yang disayangi.
Mungkin masa kecil kita pernah lalui masalah kutu kepala. Selak saja helaian rambut, mulalah nampak telur dan kutu yang merayap pada kulit kepala. Belum lagi gatal-gatal yang membuatkan kita sentiasa ingin menggaru kepala.
Masalah serangan kutu kepala ini bukanlah sesuatu perkara biasa. Orang dewasa pun boleh dijangkiti apatah lagi pada kanak-kanak. Namun, bagaimana keadaan ini boleh berjangkit dan rawatan yang sesuai untuk kanak-kanak.
Tidak jalan selain mendapatkan rawatan yang sebaiknya di klinik untuk mematikan serangkan kutu kepala. Biasanya pengambilan ubat kutu boleh membantu. Antara perkongsian daripada Faizatul Iman Makpol, pegawai Farmasi HKL tentang pencegahan masalah ini.
Apakah Kutu Kepala
Kutu kepala adalah sejenis serangga atau parasit yang menghisap darah dari kulit kepala sebagai sumber nutrisi untuk terus hidup.
Bertentangan dengan kepercayaan orang awam bahawa jangkitan kutu ini terjadi disebabkan kebersihan diri yang tidak dijaga, jangkitan ini sebenarnya tersebar melalui sentuhan dan perkongsian barang peribadi.
Kutu betina menghasilkan bahan melekit yang melekatkan telur pada rambut. Telur kutu ini menetas selepas 8 hingga 9 hari. Kutu yang belum matang dipanggil nimfa akan mengambil masa 3 hingga 4 minggu untuk menjadi kutu dewasa.
Serangan kutu kepala menyebabkan kegatalan dan berasa seperti ada sesuatu yang merayap-rayap di kulit kepala, leher dan telinga. Selain itu, telur kutu yang berwarna putih-kuning juga dapat dilihat dengan mata kasar apabila helaian rambut diselak.
Ubat Kutu
Serangan kutu kepala lazimnya menular dalam kalangan kanak-kanak yang berada di pusat jagaan atau prasekolah. Mereka yang terkena jangkitan kutu ini harus mengasingkan diri dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan parasit ini.
Terdapat dua jenis ubat kutu iaitu ubat am atau ubat over the counter (OTC) yang tidak memerlukan preskripsi dan jenis ubat terkawal yang memerlukan preskripsi doktor.
Pyrethins dan permethrin adalah contoh ubat OTC yang boleh didapati di premis farmasi.
Pyrethins hanya boleh membunuh kutu hidup sahaja tidak termasuk telurnya. Ubat ini selamat digunakan bagi kanak-kanak 2 tahun ke atas.
Seandainya pesakit mempunyai alahan terhadap bunga kekwa, elakkan dari menggunakan ubat pyrethins kerana ubat ini adalah sebatian kimia yang diekstrak dari bunga kekwa.
Permethrin pula selamat untuk digunakan bagi kanak-kanak berusia kurang 2 bulan dan boleh digunakan untuk membunuh kutu hidup dan telurnya.
Rawatan kedua disyorkan selepas 9 hingga 10 hari rawatan pertama dengan pyrethins dan permethrin untuk membunuh kutu yang baru menetas.
Bagi ubat preskripsi untuk rawatan kutu, pesakit perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Antara ubat preskripsi yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
• Losen benzyl alcohol 5% selamat digunakan untuk bayi berusia 6 bulan ke atas dan juga warga emas namun losen ini hanya dapat membunuh kutu hidup sahaja. • Syampu malathion 0.5% pula boleh digunakan untuk membunuh kutu hidup dan sebahagian telur kutu. Syampu ini tidak sesuai untuk digunakan oleh wanita hamil dan ibu yang menyusu. Jauhi sumber haba seperti pengering rambut semasa menggunakan produk ini kerana syampu malathion adalah bahan yang mudah terbakar. • Gamma Benzene Hexachloride 0.1% lotion boleh membunuh kutu hidup dan sebahagian telur kutu namun tidak boleh digunakan oleh pesakit yang mempunyai sejarah sawan.
Cara Menggunakan Ubat Kutu
1. Guna ubat kutu mengikut arahan yang terdapat pada kotak atau label. Gunakan mengikut kuantiti yang betul kerana ubat yang digunakan untuk merawat kutu adalah racun serangga dan boleh mendatangkan bahaya jika tidak digunakan dengan teknik yang betul atau digunakan secara berlebihan.
2. Gunakan sikat kutu bergigi halus untuk menghilangkan kutu dan telur daripada rambut selepas rawatan. Rawatan perlu diulangi selepas 8 hingga 9 hari untuk membunuh kutu yang telah menetas sejak rawatan pertama.
3. Semua ubat yang disenaraikan di atas hendaklah dijauhkan daripada mata. Jika terkena mata, harus segera dibilas.
4. Jangan menggunakan jenis ubat kutu yang berbeza pada masa yang sama melainkan diarahkan berbuat demikian oleh doktor dan ahli farmasi.
Jika pesakit mengalami tanda-tanda radang kulit seperti kemerah-merahan, bengkak, pedih, gatal-gatal dan sakit, hentikan penggunaan ubat tersebut. Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk rawatan alternatif.
Sebelum memulakan rawatan kutu kepala, pastikan pesakit memaklumkan kepada doktor tentang keadaan kesihatan atau alahan yang mungkin dialami, ubat-ubatan yang diambil, status kehamilan atau menyusu, dan sebarang informasi penting tentang kesihatan pesakit.
Penularan jangkitan kutu boleh dielakkan dengan melakukan langkah-langkah pencegahan.
a) Kanak-kanak boleh diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti yang melibatkan sentuhan dari kepala ke kepala.
b) Pastikan mereka tidak berkongsi barangan peribadi seperti tudung, topi, cadar dan sarung bantal. Basuh pakaian, cadar dan sarung bantal menggunakan air panas.
c) Barang yang tidak boleh dibasuh dengan air panas seperti mainan dan anak patung boleh disimpan di dalam plastik kedap udara selama dua minggu.
d) Berus, sikat dan aksesori rambut juga perlu direndam dalam air panas selama 5 hingga 10 minit sebelum dikeringkan dan digunakan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dr Afifah berharap Nubhan dapat bekerjasama memaklumkan kisah perceraian kepada anak-anak. Baca luahan penuh, perkembangan mahkamah dan isu emosi anak dalam kes Nubhan cerai.