Memulakan tugas sebagai seorang pendidik pada tahun 2010 dan wanita ini ditugaskan mengajar di SMK St George’s, Georgetown,Pulau Pinang untuk tempoh dua tahun. Beliau kemudian ditugaskan ke SMK Bandar di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2012. Dilahirkan dengan nama unik iaitu Clarakartini Abd Hamid, wanita berusia 45 tahun ini punya pendapat sendiri apabila mendepani ragam pelajar kelas belakang.

Bertugas disebuah sekolah yang mempunyai hampir 1000 murid keseluruhannya dimana untuk setiap tingkatan pula dibahagikan kepada 12 ke 13 kelas. Manakala dalam setiap kelas pula sekitar 30 ke 35 pelajar ditempatkan di dalamnya. Bayangkan bagaimana beliau mendepani ragam pelajar yang pelbagai sepanjang rutinnya selaku seorang guru subjek Fizik dan Sains.

Menurutnya lagi setelah hampir 10 tahun bertugas sebagai seorang guru, beliau semakin arif dengan ragam pelajar-pelajarnya. Ada yang cemerlang akademik dan ada juga yang pencapaian akademiknya skala biasa-biasa sahaja. Walaupun begitu, tugasnya sebagai guru tidak menjadikan cemerlang atau tidak pencapaian seseorang pelajar itu satu penanda aras bentuk layanan yang wajar diberikan kepada mereka.

“Sebagai guru, saya memandang semua pelajar-pelajar seperti mana kasih seorang ibu kepada anaknya. Memang diakui ada pelajar yang nakal dan juga biadap. Walaupun mereka bersikap begitu, mereka masih menghormati guru. Sebenarnya apabila diperhalusi satu demi satu, lazimnya pelajar-pelajar yang bermasalah ini ada isu lain yang berlaku di rumah…menyebabkan mereka akan ‘buat perangai’ apabila di sekolah.

“Kenakalan mereka bersebab…kadang-kadang mereka sengaja mencari masalah kerana mahukan perhatian daripada guru-guru. Ada anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga bermasalah, terabai dan selaku guru, peranan kitalah seharusnya membantu mereka kembali fokus kepada pelajaran.

“Saya tidak pernah memandang kedudukan kelas sebagai cara menyantuni pelajar. Secara peribadi pesan saya kepada pelajar kelas belakang, saya percaya mereka boleh berjaya. Cuma kita perlu tahu cara untuk menarik minat mereka. Manakala untuk pelajar di kelas hadapan, jangan sesekali memandang rendah kawan-kawan di kelas hujung.

IKLAN

“Jangan ada sifat bongkak, bangga diri dan jangan sombong dengan kedudukan kita. Setiap orang punya jalan cerita yang berbeza, kelas belakang atau kelas depan ianya bukan kayu pengukur kejayaan seseorang pelajar di masa hadapan,”pesan beliau menolak sifat favouritsm dalam mengendalikan pelajar-pelajarnya.

Jangan pandang rendah pelajar kelas belakang – CIKGU CLARAKARTINI
Ketika menziarahi Arvin, anak muridnya yang ditimpa kemalangan tahun lalu

Kasih Cikgu ‘Mummy’

Selain berkongsi sisi juangnya selaku seorang pendidik, keperibadian beliau dan sikap prihatin Clarakartini membuatkan wanita asalan Klang, Selangor ini dianugerahkan gelaran Duta Perpaduan Negeri Kedah 2019. Ada kisah istimewa disebalik anugerah tersebut, hubungannya dengan bekas anak muridnya A Arvin punya cerita menarik untuk dikongsikan.

IKLAN

“Sebenarnya hubungan kami sebagai guru dengan pelajar ada yang berkekalan sehingga mereka meninggalkan sekolah. Ada juga yang sebaliknya. Sama seperti pelajar lain, saya melayan sebaik mungkin pelajar-pelajar tanpa ada diskriminasi dan juga warna kulit.

“Hubungan saya dengan Arvin selaku guru Sains bermula apabila saya mengetahui latarbelakang hidupnya yang sebatang kara. Sepanjang persekolahannya di sekolah kami, dia menumpang dirumah teman rapatnya untuk memudahkannya ke sekolah kami. Sebelum itu dia menetap disebuah rumah anak yatim dan kerana jarak sekolah serta kesukaran untuk ke sekolah, beliau menumpang di rumah kawannya.

“Sama seperti pelajar lain yang kesusahan, sudah menjadi sifat seorang guru kami akan membantu mereka semampunya. Sebenarnya bukan hanya saya yang prihatin dengannya, guru-guru di sekolah juga ada membantunya. Arvin beruntung kerana ada teman-teman sekelas yang cakna dengan keperluannya. Ada yang suka rela mengutip RM1 seorang demi mencukupkan RM50 untuk membantunya membayar keperluan sepanjang menumpang di rumah kenalannya.

IKLAN

“Mungkin kerana sudah terbiasa dengan saya, Arvin memanggil saya ‘mummy’. Walaupun berulang kali saya menolak dipanggil sebegitu, Arvin menganggap saya umpama ibunya dan menghormati saya dengan panggilan itu. Sebagai seorang guru, saya terbiasa membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan warna kulit, mungkin dengan bantuan kecil ini memberi makna luar biasa manfaatnya buat orang seperti Arvin,”kongsinya mengenai anugerah istimewa yang diterima sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019.

Hubungan harmoni ini berlangsung baik dan mendapat sokongan daripada suami dan tiga anaknya yang memahami. Ketika menerima perkhabaran gembira mengenai anugerah istimewa ini, Arvin pula menjadi mangsa kemalangan langgar lari melibatkan kereta dan motosikal yang ditunggangnya beberapa hari sebelum beliau menerima anugerah ini. Impak daripada kemalangan itu, kaki kiri Arvin terpaksa dipotong.

“Ujian yang menimpa Arvin cukup besar buatnya. Janji saya padanya akan terus menyantuninya dan menjaga kebajikannya. Dia tidak menetap bersama saya tetapi kami masih berhubung. Saya juga kini membantunya menguruskan beberapa isu berkaitannya memandangkan dia kini masih dalam proses pemulihan,”kongsinya mengenai perkhabaran terkini mengenai Arvin yang ditimpa musibah itu pada Oktober tahun lalu.

Jangan pandang rendah pelajar kelas belakang – CIKGU CLARAKARTINI
Cikgu Clarakartini bersama sebahagian pelajar-pelajarnya

Jadi cikgu perlu ikhlas

Ditanya apa pesanannya buat mereka yang berkongsi profesion sama sepertinya. Berikut adalah kenyataan ikhlas dari Cikgu Clarakartini yang boleh dijadikan panduan.

“Jadi cikgu kena ikhlas, jangan ada unsur berat sebelah dan jangan mengharap tiap sumbangan kita dibalas dengan pujian. Berkhidmatlah dengan jujur dan anggaplah tiap perbuatan kita adalah satu dakwah kecil dalam usaha mendidik anak bangsa,”ujarnya ringkas.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI