Jangan terlalu percaya dengan apa yang kita lihat dengan mata kasar saja. Kita selalu cenderung untuk menilai seseorang menerusi persepsi pertama kita dan dari sudut luaran saja. Apabila seseorang itu bermuka bengis kita mengatakan dia seorang yang jahat, lantas kita tidak ingin bertegur sapa pun dengannya.
Apabila kita melihat seseorang yang sentiasa berwajah manis kita merasakan dia boleh dibuat kawan, lalu kita pun mendampingkan diri dengannya. Benarkah persepsi-persepsi ini? Betulkah wajah seseorang itu melambangkan siapa dia? Bolehkah kita meramal peribadi seseorang itu berdasarkan apa yang kita lihat sahaja?
Mungkin Ada Betulnya Tapi Kita Jangan 100% Yakin
Sesetengah pengkaji ilmu firasat termasuk sesetengah motivator mengatakan hal ini boleh jadi, atas alasan wajah seseorang boleh berengsut pada bidang pekerjaannya, tetapi saya cenderung untuk mengatakan penjahat hari ini sudah tidak bermuka jahat lagi.
Penyangak kolar putih adalah mereka yang duduk di sektor-sektor kerajaan dan swasta dengan jawatan-jawatan tinggi. Mereka bermuka baik, kata-katanya pun penuh berhemah sesuai dengan pendidikan tinggi yang dimiliki, tetapi merekalah yang telah menggelapkan wang berjuta-juta ringgit secara halus.
Jangan Lupa, Ramai ‘Berlagak’ Baik
Penjahat yang bermuka jahat hari ini sudah tidak ramai. Ruang untuk berbuat jahat pun bukan banyak seperti dahulu. Kalau dahulu gerombolan penjahat boleh muncul walau di sebuah pekan kecil tetapi hari ini untuk penjahat bertindak sewenang-wenangnya bukanlah mudah, tetapi mereka yang menyamar baik sedang sebenarnya penjahat tegar memang ramai bukan?
Pernahkah anda bermasalah dengan orang yang memiliki wajah baik sedang sebenarnya menyimpan agenda buruk terhadap diri anda? Tahu-tahu anda telah difitnah, apabila disemak-semak susur galurnya ia berpunca dari dia. Sungguh tidak disangka, wajahnya baik tetapi hatinya bangkai.
Dan pernahkah anda dibantu oleh orang yang bermuka jahat? Tatkala kereta anda rosak, tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang bermuka bengis tetapi dia menawarkan pertolongan. Sudah tentu pada mulanya kita berasa cuak tetapi jika kita tiada pilihan, kita pun takut untuk berkata tidak. Hujung-hujungnya dia memang menolong kita dengan ikhlas. Kita rasa cukup terpukul dengan keadaan itu.
Lagi artikel menarik di sini:
Waspada Tipu Daya Dalam Persahabatan, Konon Ikhlas Tapi Ambil Kesempatan
Tolong Jangan Tipu Isteri, Sekelip Mata Je Nalurinya Boleh Kantoikan Suami
Nak Beli Barang Kemas Kena Ada ILMU EMAS Supaya Tak Mudah Ditipu
Jangan lupa follow MINGGUAN WANITA di instagram
Jumpa Macam-Macam Manusia
Sebagai motivator saya kerap juga didatangi oleh orang yang bermuka manis ini. Bukan sahaja bermuka baik tetapi penampilannya cukup kemas. Tidak kurang yang berpewatakan alim, apabila bertemu memeluk saya hingga berlaga pipi. Bercakap pun penuh tertib dan kelihatan berhati-hati supaya tidak terbabas lidah. Kadang-kadang mereka memetik sepotong dua hadis menunjukkan betapa berilmunya mereka.
Namun, apabila masa berlalu, ada pelbagai cerita tidak enak saya dengar tentang mereka. Dengan semua insiden begini, beranilah saya mengatakan, hari ini mereka yang akan ‘merompak’ duit kita bukanlah mereka yang semestinya memiliki wajah bengis dengan sebilah pisau diacukan di leher kita, tetapi boleh jadi mereka yang bertali leher, memakai kot, berkereta mewah dan bermodalkan kata-kata yang lembut sahaja.
Langkah Awal
Justeru, supaya kita semua tidak menjadi mangsa, mari lihat apa yang boleh kita lakukan sedari awal;
i. Pandang semua orang serupa dan setara
Belajarlah menilai semua manusia sebagai sama. Kita tidak pernah tahu apa yang sebenarnya ada dalam jiwa mereka, kita tidak berhak membuat pesepsi buruk selagi belum terbukti yang mereka itu begitu. Hari ini memang dunia terlebih ramai orang yang nampak sempurna tetapi sebenarnya kejam, zalim lagi rendah sifat-sifat kemanusiaannya.
ii. Bawa sifat kita yang betul sentiasa
Tak payah bina persepsi apa-apa, hanya layani semua orang melalui sifat yang asal pada diri kita. Andainya kita memang seorang yang lembut, kekalkan begitu dengan sesiapa sahaja kita berurusan, namun simpan kewaspadaan kemas-kemas di dalam. Biar orang sangka ‘boleh makan’ tetapi semua taktik jahat tidak jalan. Kerana apa? Kerana kita sentiasa menampilkan sifat yang sememangnya kita – teguh, kukuh, berhati-hati lagi bermotivasi diri tinggi tanpa kompromi.
iii. Jika berpeluang tunjukkan siapa kita
Kalau penjahat sudah tahu mereka tidak akan berjaya buat apa-apa terhadap kita, mereka tidak akan cuba pun. Salah satu kaedahnya ialah bersedia dengan kad nama yang menyenaraikan pelbagai keupayaan kita atau siapa link kita. Penjahat kolar putih pasti kecut jika mereka melihat lambang SPRM di situ. Atau si pemutar belit akan tergeliat lidah melihat persatuan pengguna di mana kita adalah ahlinya.
Dengan ini, semoga kita semua selamatlah sentiasa ya.
Sumber: HM TUAH ISKANDAR al-Haj
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI