Ibu

Bunyi agak kasar tetapi tulisan pelakon Ozlynn yang juga isteri kepada pelawak dan penyampai radio Era, Johan di Instagram miliknya sempena hari ibu memang menusuk hingga ke kalbu. Ya, macam yang kita sendiri tahu, syurga bagi seorang anak sebenarnya di bawah tapak kaki ibu.

Jadi beringatlah, tidak redanya ibu dengan sikap keji anak-anaknya, hanya mengundang kemurkaan Allah SWT. Selagi kita tidak diredai ibu, selama itu jugalah kita hidup dalam kemurkaan dan kederhakaan terhadap Allah SWT.

Kalau boleh peluklah ibu kita sementara masih ada dan jangan ambil kesempatan pada mereka kerana anda tak akan pernah tahu bila anda akan kehilangan mereka. Hargai ibu kita selagi dia masih bernafas.

Tetapi andai ada anak-anak menantu yang berasa kehadiran ibu akan menyusahkan kehidupan kelak, jemput buka mata dan hati dengan perkongsian Ozlynn ini.

Untuk kami setiap hari adalah hari ibu. Setiap hari kita harus berterima kasih pada mak kita. Sebab setiap hari mak kita kerja tak berhenti, dari celik mata sampai nak pejam mata still dok memikir esok nak masak apa, anak aku balik pukul berapa, laki aku ok ke.. ah sume la mak kita pikir!

Tapi adakah kita fikir pasal mak kita setiap hari? Jangan kata setiap hari kadang ada anak yang suka pergunakan mak untuk kepentingan diri.

Uishhh.. ada yek.. itu belum yang dok pekik kat mak sampai jiran-jiran dok intai kat tingkap. Ya, ada kejadian nih.. memang ada. Barangkali kita lupa yang mak kita ni bertarung nyawa masa nak lahirkan kita.

Sekarang boleh la kita nak idong tinggi, esok-esok bila mak dah tak ada siapa yang nak tolong kita lagi? Sebab seburuk mana kita, yang akan menerima kita tetap mak kita.

So jangan derhaka pada mak kita, seburuk mana pun dia tetap yang sumbat mulut kita masa kecik. Jangan suka buruk sangka pada mak sendiri. Sebab setiap doanya mengiringi perjalanan hidup kita.

Jangan sampai putusnya doa seorang ibu dan dikesempatan ini aku ingin ucapkan selamat hari mak pada mak-mak aku dan semua yang menyambut hari mak di seluruh dunia.

Ketahuilah amat besar pengorbanan kalian dalam kehidupan semua, hanya Allah yang mampu membalas jasa dan pengorbanan kalian.

Jangan pernah menyesali setiap apa yang berlaku kerana balasanNya amat indah di SANA nanti. Terima kasih buat puan rozidah binti jumari dan puan Nurhayati lim binti Abdullah.

#notahakak Layan Baik Kepada Ibu

Seperti yang kita tahu, Islam mengajarkan umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu. Segala jasa dan pengorbanan yang ibu curahkan sejak anaknya berada di alam rahim sehingga ia dilahirkan adalah besar dan tidak ternilai.

Ibu yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anaknya sehingga dewasa. Malah kaum ibu ini sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anaknya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23 dan 24 yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Islam memberi amaran keras kepada mereka yang gagal melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab sebagai anak terhadap ibunya, menderhaka atau membiarkan ibu yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.” (Riwayat an-Nasai)

Jadi, marilah kita membudayakan amalan memuliakan dan menghormati ibu. Menzahirkan kasih sayang terhadap ibu sepanjang hayat kita. Memberi kasih sayang kepada mereka, bukan sekadar memberi hadiah, tetapi menyerahkan seluruh jiwa dan raga kita kepada ibu.