Di Malaysia, ramai wanita memilih untuk tidak ambil tahu tentang tanda- tanda awal kanser payudara kerana terlalu takut untuk mengetahui risiko atau kebenaran jika mereka benar-benar telah terkena kanser.
Menurut Pakar Bedah Am, Payudara dan Bariatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Kirubakaran Malapan, Kanser payudara bermula apabila sel di dalam payudara mula tumbuh tanpa kawalan.
Sel ini biasanya akan membentuk tumor dan ia hanya boleh dilihar melalui x-ray atau dirasa seperti benjolan.
Tumor boleh mendatangkan kanser dan membiak ke dalam tisu lalu merebak ke kawasan tubuh badan yang lain.
Kanser payudara hampir selalu terjadi pada wanita, tetapi lelaki juga boleh mendapat kanser ini. Sel di setiap bahagian badan boleh menjadi kanser dan merebak ke kawasan lain.
Jadi ia sangat penting untuk anda pantau dan tahu tanda-tanda awal kanser payudara untuk memastikan ia dapat dikawal dan tidak merebak.
Berikut antara simptom-simptom yang wanita perlu ambil tahu:
1-Sakit menusuk pada dada
2-Benjolan pada payudara
3-Benjolan di ketiak (lymph nodes)
4-Keluar lelehan cairan dari puting atau darah
5-Berat badan turun secara mendadak ketika di tahap yang sudah serius
Ads
Faktor-Faktor Risiko Kanser
1-Obesiti atau mengamalkan high fat diet (diet tinggi lemak).
2-Faktor genetic BRCA : bagi faktor keturunan, kehadiran gen BRCA1 dan BRCA 2 atau sesiapa yang memiliki gen yang tidak normal, biasanya hanya menyumbang 5-10 peratus daripada kes kanser (peratus yang rendah).
3-Tidak pernah menyusukan bayi
4-Tidak pernah mengandung
5-Mengalami haid yang awal sekitar umur 8 hingga 9 tahun
6-Merokok
7-Mengamalkan minuman alkohol
Ads
8-Mengamalkan pil perancang kehamilan
9-Menopaus awal
10-Makanan dan gaya hidup
Apa Wanita Perlu Buat Untuk Mengesan Kanser Payudara?
Dr Kirubakaran Malapan, Pakar Bedah Am, Payudara dan Bariatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
Dr Kirubakaran menasihatkan wanita agar melakukan langkah-langkah berikut:
Ads
-Mengambil tahu mengenai aktiviti-aktiviti atau info mengenai kempen kesedaran mengenai kanser payudara.
-Membuat ujian saringan. Ujian saringan terdiri daripada ujian mammogram khusus untuk wanita 50tahun keatas. Tetapi kini, had umur telah diturunkan kepada 45 tahun.
-Ujian ultrasound payudara untuk wanita yang beumur 30 tahun ke atas sehingga 40 tahun.
-Jika bawah 30 tahun, kita akan mempraktikkan BSE atau basic self-examination tetapi perlu tahu bahawa BSE ini hanya ujian asas dan sebagai langkah permulaan untuk dilakukan di rumah. Ujian yang lebih tepat untuk mengesan kanser payudara adalah melalui biopsi. Hasil ujian adalah 100 peratus betul.
Tip Mengelak Kanser
Dr Kirubakaran menasihatkan agar wanita sentiasa melakukan perkara berikut bagi mengelak kanser.
1-Amalkan diet yang sihat dan seimbang.
2-Melakukan senaman.
3-Jangan lupa minum air.
4-Lakukan pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan mammogram atau ultrasound. Jangan tunggu sehingga sakit dan jangan abaikan pemeriksaan jika sedar atau rasa sesuatu kelainan pada payudara atau pada keseluruhan badan.
Pemeriksaan kesihatan awal berupaya untuk mencegah sesuatu penyakit sebelum melarat. Oleh sebab itu terdapat pelbagai program kesedaran kesihatan mengenai kanser payudara dijalankan untuk memberi amaran dan peringatan awal kepada wanita agar lakukan ujian saringan bukan untuk mengubati, untuk diagnos untuk mengetahui adakah terdapat tanda-tanda kanser atau tidak.
Jika payudara anda menunjukkan perubahan yang ganjil ,anda harus segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Saat anda lelah menangung sakitnya datang bulan, sudah tentu seseorang wanita tidak rela disentuh suami ketika datang bulan. Haid adalah fasa cukup emosi bagi seseorang wanita.
Oleh hal yang demikian Islam melarang hubungan intim ketika datang bulan. Malahan tahukah anda hubungan kelamin ketika datang bulan juga mendatangkan risiko kepada wanita dan lebih mengejutkan juga memberi kesan pada suami. Mengapa hubungan intim berbahaya ketika haid?
Hubungan intim bukan sahaja menyakitkan wanita sebaliknya hubungan kelamin ketika haid secara tidak langsung akan meningkatkan risiko anda mendapat jangkitan seksual.
Saat datang bulan, leher rahim anda akan terbuka dan dalam masa yang sama akan membuka ruang untuk bakteria masuk dan membiak.
Penyakit seperti hepatitis lazimnya akan lebih mudah merebak sekiranya anda melakukan hubungan intim. Apatah lagi di saat cairan ( darah haid) keluar lebih banyak daripada kebiasaan.
Faraj memang agak sensitif dan mudah terkena jangkita jika tidak kena caranya. Ketika haid, kadar pH meningkat disebabkan kadar pH dalam darah haid juga tinggi. Situasi ini menyumbang kepada pembiakan kulat dengan lebih cepat.
Oleh sebab itu jika anda menjalinkan hubungan cinta saat ini, anda cenderung terkena jangkitan kulat faraj dan impaknya akan menjadi lebih parah.
Ketika datang bulan, dinding faraj setiap wanita akan membengkak dan ianya merupakan proses semulajadi. Seterusnya lapisan dinding rahim akan gugur bersama darah haid.
Tahukah anda darah ini berpotensi untuk membiakkan bakteria, seterusnya menyumbang pada jangkitan pada saluran kencing.
Selain wanita, lelaki juga tidak terkecuali mengalami kesan daripada menjalinkan hubungan intim ketika pasangan sedang haid. Lazimnya darah dari faraj dan rahim boleh masuk ke dalam zakar dan tidak dinafikan menjadi tempat penyebaran kuman dan bakteria.
Seperti mana wanita , lelaki juga akan mendapat jangkitan saluran kencing atau jangkitan pada prostat apabila terdapat bakteria yang merbak di kawasan intim.
Di samping itu, seks ketika datang bulan juga mampu mendedahkan golongan lelaki kepada risiko pembuluh darah tersumbat. Ketika berlakunya gerakan alat hubungan intim, zakar akan menusuk dan membuatkan gelembung udara masuk ke pembuluh darah.
Akhirnya membuatkan pembuluh darah tersumbat dan berlakunya kematian mendadak.
Hubungan kelamin dihalang ketika datang bulan sudah pasti mempunyai sebab-sebab tertentu. Darah haid akan keluar dengan banyak mengikut individu.
Hari pertama hingga ketiga adalah aliran darah agak banyak dan jika hubungan intim berlaku ketika ini, ianya akan menyumbang kepada pendarahan yang teruk daripada kebiasaannya.
Kesimpulannya, elakkan diri anda dan pasangan daripada menjalankan hubungan intim ketika haid kerana terdapat kesan-kesan negatif jika hubungan intim diteruskan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ini cerita teladan yang boleh dijadikan panduan mak-mak. Kegigihan seorang wanita yang taat pada suami dan berjaya dalam mendidik anak-anaknya. Sampailah akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan sujud. Itulah sujud terakhir ibu anak 5 setelah disahkan menderita kanser.
Mingguan Wanita terpaksa merahsiakan identiti dan nama wanita ini demi permintaan rakan baiknya yang sudi berkongsi kisah. Nama beliau juga MW letakkan bukan nama sebenar. Moga bermanfaat kisah wanita yang taat pada suami, keluarga serta agamanya.
Seperti yang diceritakan kepada penulis oleh rakan baiknya, arwah Siti Sabariah sejak zaman sekolah merupakan seorang rakan yang bersikap lurus dan jujur. Dia juga seorang pelajar pintar dan berjaya menghabiskan pembelajarannya di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Selepas tamat belajar, Siti Sabariah bekerja sementara di negara itu. Pada waktu itulah dia bertemu suaminya, Amir Azmi. Pulang saja ke tanah air masing-masing mengambil keputusan untuk bernikah, akhirnya impian mereka termakbul.
Pada awal perkahwinan Siti Sabariah dan suami hidup agak susah. Dengan duit tak berapa nak ada, mereka sudah dikurniakan seorang cahaya mata. Setapak demi setapak, mereka berdua membina hidup. Selepas 10 tahun bernikah, barulah suaminya berjaya membina perniagaan.
Walaupun masing-masing sibuk bekerja, wanita ini tak pernah jemu mendidik dan mengawasi perkembangan lima orang anaknya. Siti Sabariah juga tidak pernah merungut sepanjang membantu suaminya menambah pendapatan. Dia bekerja dengan seikhlasnya.
Ketika usianya menjangkau 55 tahun, tatkala sebahagian anak sudah berkerjaya dan sebahagian lagi sedang melanjutkan pelajaran di IPTA, Siti Sabariah disahkan mengidap kanser payudara peringkat empat.
Sebaik tahu dirinya sakit, wanita hebat ini tidak pernah mengeluh malah sering berdoa agar Allah mengambil nyawanya dalam keadaan serba baik. Dia juga tidak mahu melakukan rawatan kemoterapi dan berserah keadaan kesihatannya kepada Yang Maha Esa.
Siti Sabariah bersara lebih awal dan mahu menghabiskan sisa baki hidupnya di rumah. Tiga tahun dia bertahan melawan penyakitnya itu. Di rumah Siti Sabariah merupakan pembimbing dan penasihat kepada anak-anaknya. Suaminya juga cukup kagum dengan ketabahan yang ada dalam diri isteri kesayangannya.
Umur Siti Sabariah tidak panjang selepas genap tiga tahun setengah menderita kanser, akhirnya dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika meninggal dunia, Siti Sabariah tidak terlantar sakit.
Sebaliknya dia sedang bersujud. Saat kepergiannya itu cuma disedari anak bongsunya apabila melihat ibunya begitu lama bersujud. Dipanggil ibunya dan ketika itu baru disedari ibunya sudah tiada lagi.
Hajatnya untuk meninggal dalam keadaan baik telah termakbul dan Allah memberikan bahagian itu kepada wanita mulia ini kerana sikapnya yang begitu baik. Ibu ini juga sangat istimewa kerana bukan saja sukses dalam pelajaran malah dalam membesarkan anak-anaknya.
Siti Sabariah berjaya mendidik anak-anaknya menjadi orang yang berjaya. Arwah juga sangat taat pada suaminya. Peninggalan arwah sangat memberi kesan kepada keluarga dan juga masyarakat sekeliling.
Dalam mengharungi kesakitan arwah tidak pernah merungut dengan segala dugaan yang diberikan oleh Allah kepada dirinya. Rakan arwah ini turut mengalirkan air mata tatkala meluahkan kisah ini kepada penulis.
Semoga roh arwah Siti Sabariah aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nora Danish baiki diri sepanjang Ramadan, tak mahu buat solat dengan tergesa-gesa. Semakin manis dan dilihat semakin banyak berkongsi perkara yang baik.