Ini cerita teladan yang boleh dijadikan panduan mak-mak. Kegigihan seorang wanita yang taat pada suami dan berjaya dalam mendidik anak-anaknya. Sampailah akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan sujud. Itulah sujud terakhir ibu anak 5 setelah disahkan menderita kanser.
Mingguan Wanita terpaksa merahsiakan identiti dan nama wanita ini demi permintaan rakan baiknya yang sudi berkongsi kisah. Nama beliau juga MW letakkan bukan nama sebenar. Moga bermanfaat kisah wanita yang taat pada suami, keluarga serta agamanya.
Besarkan Anak-anak Tanpa Rungutan
Seperti yang diceritakan kepada penulis oleh rakan baiknya, arwah Siti Sabariah sejak zaman sekolah merupakan seorang rakan yang bersikap lurus dan jujur. Dia juga seorang pelajar pintar dan berjaya menghabiskan pembelajarannya di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Selepas tamat belajar, Siti Sabariah bekerja sementara di negara itu. Pada waktu itulah dia bertemu suaminya, Amir Azmi. Pulang saja ke tanah air masing-masing mengambil keputusan untuk bernikah, akhirnya impian mereka termakbul.
Pada awal perkahwinan Siti Sabariah dan suami hidup agak susah. Dengan duit tak berapa nak ada, mereka sudah dikurniakan seorang cahaya mata. Setapak demi setapak, mereka berdua membina hidup. Selepas 10 tahun bernikah, barulah suaminya berjaya membina perniagaan.
Ads
Walaupun masing-masing sibuk bekerja, wanita ini tak pernah jemu mendidik dan mengawasi perkembangan lima orang anaknya. Siti Sabariah juga tidak pernah merungut sepanjang membantu suaminya menambah pendapatan. Dia bekerja dengan seikhlasnya.
Ketika usianya menjangkau 55 tahun, tatkala sebahagian anak sudah berkerjaya dan sebahagian lagi sedang melanjutkan pelajaran di IPTA, Siti Sabariah disahkan mengidap kanser payudara peringkat empat.
Sebaik tahu dirinya sakit, wanita hebat ini tidak pernah mengeluh malah sering berdoa agar Allah mengambil nyawanya dalam keadaan serba baik. Dia juga tidak mahu melakukan rawatan kemoterapi dan berserah keadaan kesihatannya kepada Yang Maha Esa.
Ads
Siti Sabariah bersara lebih awal dan mahu menghabiskan sisa baki hidupnya di rumah. Tiga tahun dia bertahan melawan penyakitnya itu. Di rumah Siti Sabariah merupakan pembimbing dan penasihat kepada anak-anaknya. Suaminya juga cukup kagum dengan ketabahan yang ada dalam diri isteri kesayangannya.
Sujud Terakhir Ibu Anak 5
Umur Siti Sabariah tidak panjang selepas genap tiga tahun setengah menderita kanser, akhirnya dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika meninggal dunia, Siti Sabariah tidak terlantar sakit.
Sebaliknya dia sedang bersujud. Saat kepergiannya itu cuma disedari anak bongsunya apabila melihat ibunya begitu lama bersujud. Dipanggil ibunya dan ketika itu baru disedari ibunya sudah tiada lagi.
Ads
Hajatnya untuk meninggal dalam keadaan baik telah termakbul dan Allah memberikan bahagian itu kepada wanita mulia ini kerana sikapnya yang begitu baik. Ibu ini juga sangat istimewa kerana bukan saja sukses dalam pelajaran malah dalam membesarkan anak-anaknya.
Siti Sabariah berjaya mendidik anak-anaknya menjadi orang yang berjaya. Arwah juga sangat taat pada suaminya. Peninggalan arwah sangat memberi kesan kepada keluarga dan juga masyarakat sekeliling.
Dalam mengharungi kesakitan arwah tidak pernah merungut dengan segala dugaan yang diberikan oleh Allah kepada dirinya. Rakan arwah ini turut mengalirkan air mata tatkala meluahkan kisah ini kepada penulis.
Semoga roh arwah Siti Sabariah aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kanser payudara merupakan penyebab utama kematian kanser di kalangan wanita Malaysia. Sebenarnya kanser boleh dirawat jika wanita dapat mengesan dan menyedari tanda-tanda tersebut dengan lebih awal.Adalah amat penting bagi seorang wanita melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan terutama di kalangan mereka yang berumur 20 tahun ke atas.Ini kerana pemeriksaan yang berkala dapat mengesan kejadian kanser payu dara di peringkat awal dan memudahkan rawatan yang lebih berkesan.
Tanda paling awal ketika kanser payudara merebak adalah terdapat ketulan disekitar payudara. Tapi perlu anda tahu ada sebahagian wanita yang memang mempunyai ketulan dan boleh jadi itu bukan kanser.Sebaiknya apabila anda mendapati ketulan terus berjumpa doktor.
Biasanya cecair ini tidak mempunyai warna atau jernih dan boleh agak kental artinya kanser masih dalam peringkat awal dan masih boleh diubati dengan cepat
BIla payudara anda mengeluarkan cecair berwarna merah seperti darah atau boleh juga berwarna coklat artinya kanser sudah dalam tahap berbahaya dan mesti segera mendapatkan rawatan.
Ada perbezaan dari segi warna kulit payudara seperti kelihatan merah atau gelap di salah satu sisinya.Tanda ini mempunyai tanda khas iaitu bila disentuh akan terasa hangat namun pada berdekatan yang disentuh saja. selain itu boleh juga terdapat bengkak di bahagian yang berwarna merah tadi.
Sementara faktor lain sebagai tanda kanser payudara adalah terasa gatal pada bahagian puting.Selain itu kulit disekitar payudara juga akan mengelupas dan ini sangat sakit. Pada tahap ini sebaiknya segera mendapatkan rawatan kerana kulit adalah bahagian yang sangat peka apalagi bila terjadi pada bahagian payudara.
Biasanya bentuk payudara memang akan mengalami perubahan saiz bila anda masih dalam masa remaja ke arah dewasa. Tapi bila perubahan saiz pada satu bahagian payudara berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab boleh jadi itu adalah tanda kanser.
Selain itu, salah satu bahagian payudara mengalami perubahan saiz dan bentuk dari yang yang dahulu agak tegang kemudian menjadi kendur kebawah.
Bila anda sedang masa haid atau hamil payudara memang biasanya akan terasa sakit dan beberapa waktu kemudian rasa sakit tersebut pasti akan hilang. Sebaiknya anda tengok pada bahagian yang sakit tersebut.Bila rasa sakit tidak hilang dan saiz payudara anda terus membesar boleh jadi adalah tanda kanser payudara, jadi apa yang harus anda lakukan?
Bila merasakan keadaan yang sangat tidak wajar seperti puting masuk ke bahagian dalam haruslah berhati-hati. secara normal puting akan menonjol keluar pada semua wanita dan jika ini terjadi adalah dengan segera berjumpa dengan doktor.
Setiap wanita yang mempunyai umur banyak pasti akan menghadapi kedutan di semua bahagian kulit termasuk payudara. Tapi bila anda masih muda namun memiliki sebuah kedutan di bahagian payudara anda harus waspada.Biasanya kedutan ini akan terasa amat kasar pada bahagian tertentu sahaja dan juga berwarna sedikit hitam.
Jika anda menghadapi dari satu atau semua tanda kanser payudara di atas cara yang paling betul adalah dengan segera berjumpa dengan doktor agar mendapatkan rawatan yang betul.
Kanser biasanya memakan masa 15 – 20 tahun untuk terjadi tapi ada juga yang terjadi dalam masa yang kurang daripada itu. Cara paling mudah untuk mengetahui kanser adalah dengan Blood Test untuk Cancer Marker.
Sayangi diri, tolong sampaikan maklumat ini pada wanita yang disayangi.
Di Malaysia, ramai wanita memilih untuk tidak ambil tahu tentang tanda- tanda awal kanser payudara kerana terlalu takut untuk mengetahui risiko atau kebenaran jika mereka benar-benar telah terkena kanser.
Menurut Pakar Bedah Am, Payudara dan Bariatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Kirubakaran Malapan, Kanser payudara bermula apabila sel di dalam payudara mula tumbuh tanpa kawalan.
Sel ini biasanya akan membentuk tumor dan ia hanya boleh dilihar melalui x-ray atau dirasa seperti benjolan.
Tumor boleh mendatangkan kanser dan membiak ke dalam tisu lalu merebak ke kawasan tubuh badan yang lain.
Kanser payudara hampir selalu terjadi pada wanita, tetapi lelaki juga boleh mendapat kanser ini. Sel di setiap bahagian badan boleh menjadi kanser dan merebak ke kawasan lain.
Jadi ia sangat penting untuk anda pantau dan tahu tanda-tanda awal kanser payudara untuk memastikan ia dapat dikawal dan tidak merebak.
1-Sakit menusuk pada dada
2-Benjolan pada payudara
3-Benjolan di ketiak (lymph nodes)
4-Keluar lelehan cairan dari puting atau darah
5-Berat badan turun secara mendadak ketika di tahap yang sudah serius
1-Obesiti atau mengamalkan high fat diet (diet tinggi lemak).
2-Faktor genetic BRCA : bagi faktor keturunan, kehadiran gen BRCA1 dan BRCA 2 atau sesiapa yang memiliki gen yang tidak normal, biasanya hanya menyumbang 5-10 peratus daripada kes kanser (peratus yang rendah).
3-Tidak pernah menyusukan bayi
4-Tidak pernah mengandung
5-Mengalami haid yang awal sekitar umur 8 hingga 9 tahun
6-Merokok
7-Mengamalkan minuman alkohol
8-Mengamalkan pil perancang kehamilan
9-Menopaus awal
10-Makanan dan gaya hidup
Dr Kirubakaran menasihatkan wanita agar melakukan langkah-langkah berikut:
-Mengambil tahu mengenai aktiviti-aktiviti atau info mengenai kempen kesedaran mengenai kanser payudara.
-Membuat ujian saringan. Ujian saringan terdiri daripada ujian mammogram khusus untuk wanita 50tahun keatas. Tetapi kini, had umur telah diturunkan kepada 45 tahun.
-Ujian ultrasound payudara untuk wanita yang beumur 30 tahun ke atas sehingga 40 tahun.
-Jika bawah 30 tahun, kita akan mempraktikkan BSE atau basic self-examination tetapi perlu tahu bahawa BSE ini hanya ujian asas dan sebagai langkah permulaan untuk dilakukan di rumah. Ujian yang lebih tepat untuk mengesan kanser payudara adalah melalui biopsi. Hasil ujian adalah 100 peratus betul.
Dr Kirubakaran menasihatkan agar wanita sentiasa melakukan perkara berikut bagi mengelak kanser.
1-Amalkan diet yang sihat dan seimbang.
2-Melakukan senaman.
3-Jangan lupa minum air.
4-Lakukan pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan mammogram atau ultrasound. Jangan tunggu sehingga sakit dan jangan abaikan pemeriksaan jika sedar atau rasa sesuatu kelainan pada payudara atau pada keseluruhan badan.
Pemeriksaan kesihatan awal berupaya untuk mencegah sesuatu penyakit sebelum melarat. Oleh sebab itu terdapat pelbagai program kesedaran kesihatan mengenai kanser payudara dijalankan untuk memberi amaran dan peringatan awal kepada wanita agar lakukan ujian saringan bukan untuk mengubati, untuk diagnos untuk mengetahui adakah terdapat tanda-tanda kanser atau tidak.
Jika payudara anda menunjukkan perubahan yang ganjil ,anda harus segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Assalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.
Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Gaji lebih RM10,000, namun nafkah yang diterima isteri hanya sekitar RM100 hingga RM200. Lebih menyedihkan, setiap kali meminta wang membeli beras, gas memasak atau...