Baru-baru ini viral di laman sosial satu insiden kemalangan melibatkan penunggang motorsikal yang jatuh berpunca jaketnya tersangkut pada rim motor. Dalam keadaan hujan renyai, baju/ jaket hujan yang dipakai tanpa dizip dengan sempurna boleh membahayakan nyawa penunggang.
Perkongsian yang diceritan oleh saksi, Puan Fatin Khalidah Mohamad Kholim yang berada ditempat kejadian sewaktu kemalangan tersebut berlaku, boleh dijadikan pengajaran dan iktibar terutamanya buat para penunggang motorsikal.
Berikut perkongsian tersebut;
PENGAJARAN DISEBALIK MUSIBAH ORANG LAIN
Harini nak share accident yang jadi live depan mata kami semalam. Tujuan post ini dibuat adalah sebagai peringatan dan diambil ikhtibar atas apa yang berlaku.
Dalam video ni, boleh nampak baju jaket yang dipakai mangsa, menjadi POTENTIAL THREAT/FATAL pada mangsa, tersangkut dan menyebabkan mangsa hilang kawalan. Jaket tersangkut pada tayar motor and membelit leher mangsa menyebabkan saluran pernafasan mangsa blocked. Mangsa nampak memang 50-50 masa husband and pakcik first tu datang tolong. Mangsa sedar beberapa minit kemudian berkat bantuan orang awam bantu cpr. Alhamdulillah ramai rakyat Malaysia yang prihatin. Ramai sangat yang berhenti tolong payungkan.
Based on apa yang saya saksikan sendiri semalam, how mangsa struggle. Boleh dikatakan pakai jaket/raincoat backward atau kebelakang tanpa dizip boleh membahayakan nyawa anda!
Baca Doa Mulakan Perjalanan
Dan jangan lupa baca doa setiap kali memulakan perjalanan. Alhamdulillah Allah lindung kami sekeluarga berkat baca doa setiap kali kereta mula bergerak. Kalau motor tu terpelanting pada kereta kami, pun tak tahu lagi apa nasib kami. Syukur pada Allah juga kerana izinkan kereta kami berhenti, tak terlanggar mangsa walaupun struggle husband kawal kereta masa tu.
Ads
Mujur masa kejadian, husband yang drive and cepat-cepat bertindak keluar tolong. Hayyan Anaqi pun duduk dalam carseat dia mase tu. Kalau jadi kat diri sendiri sorang-sorang, dengan kalut, berdebar, jadi blank tak tahu nak buat apa. So pada family and kawan-kawan yang menggunakan motor ke tempat kerja or mana-mana, please pakai baju tu betul-betul and proper. Malang tu tak berbau. Sekelip mata je boleh jadi.
Semoga Allah lindungi perjalanan kita semua sekeluarga walau kemana jua destinasi yang dituju. Semoga mangsa selamat dan dikurniakan kesembuhan secepatnya oleh Allah. Amin ya rabb.
Ads
P/S : Ambulans sampai beberapa minit selepas kejadian and mangsa dikejarkan ke hospital. Video di mute sebab suara mummy petir sangat masa terkejut.
Disclaimer: Video tidak berniat mengaibkan hanya untuk diambil pengajaran. Diizinkan share hanya untuk diambil pengajaran, bukan membawang. Mungkin semalam hari mangsa diuji, hari kita tak tahu lagi. Moga sentiasa dalam rahmat, perlindungan dan kasih sayang Allah.
Ads
Gambar sumber google. Video dari dashcam kereta kami.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat para penunggang motor, jadikan insiden ini sebagai satu pengajaran. Semoga lebih berhati-hati jika memakai baju/ jaket hujan, pastikan ia dizip sempurna dan tidak terlalu labuh hingga boleh menyebabkan kemalangan dan membahayakan diri.
Kyrgyzstan menjadi pilihan Nur Atiqah untuk cuti musim panas pada tahun ini. Melalui pembacaannya sebelum ini, ramai penggembara memilih untuk meneroka Asia Tengah, kerana keindahan alam semulajadi dan juga sejarahnya. Ikuti kisah percutian Nur Atiqah.
Saya seorang yang sangat gemarkan alam semulajadi. Jiwa saya lebih kepada mencari sesuatu yang tenang, relaks dan sukakan cabaran. Jadi saya selalu melihat peta dan mencari tempat-tempat yang kurang dilawati dan diterokai.
Disebabkan saya tinggal di Beijing, China, jadi untuk melintas sempadan antara China-Kyrgyzstan melalui Laluan Sutera “Silk Road” adalah sangat dekat, 5,000 km dari Beijing melalui jalan darat.
Oleh itu, saya tergerak hati untuk mengembara ke beberapa negara Asia Tengah, iaitu, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Selain dari itu, sebelum memulakan pengembaraan ini, saya memang berhasrat untuk melihat cara hidup masyarakat Islam di rantau ini, bagaimana mereka mengamalkan agama itu sendiri selepas dijajah bertahun-tahun oleh Soviet Union.
Sepanjang hampir 2 bulan saya mengembara di rantau ini, ada yang berdua, ada yang bersama rakan-rakan yang dijumpai ketika di jalanan, dan ada juga sebagai pengembara solo. Saya luangkan banyak masa di Kyrgyzstan berbanding yang lain.
Uniknya Kyrgyzstan dari segi geografi, budaya dan masyarakatnya membuatkan saya mengubah plan asal yang pada mulanya hanya mahu melihat beberapa tempat sahaja dek kekangan masa yang dihadapi, tetapi plan berubah sebaik sahaja tiba di negara ini.
Alam semulajadinya membuatkan saya berasa sangat rugi jika tidak diterokai dan dinikmati, tambahan pula masyarakatnya yang sangat mesra dan menyambut baik orang luar membuatkan saya lebih terpesona.
Di utara Kyrgyzstan berhampiran Kazakhstan, saya bersama rakan dari Malaysia berkhemah di Jety Oguz, kawasan pergunungan yang terletak pada 2,200 m dari paras laut di selatan Tasik Karakul yang terkenal dengan keindahan gunungnya yang dipanggil “Seven Bulls Rocks”.
Kami berkhemah selama 2 hari 1 malam di sini di tepi sungai menghadap mercu tanda Jety-Oguz. Keindahan alam semulajadi disini ternyata menghilangkan rasa lelah perjalanan dari Bishkek, ibu negara Kyrgyzstan yang mengambil masa 7 jam untuk tiba.
Masyarakat disini juga masih menghuni ‘yurt’ dan mengembala kuda, yak, biri-biri dan lembu, pemandangan yang tidak dapat dilupakan.
Semasa di Osh, Kyrgyzstan, saya berkenalan dengan beberapa orang tempatan melalui aplikasi Couchsurfing, dan terus membuat plan bersama mereka untuk berkhemah di Sary-Chelek Nature Reserve, Jalal-Abad.
Perjalanan 300 km mengambil masa 6 jam untuk tiba ke destinasi. Tasik Sary-Chelek ini terletak di pergunungan pada ketinggian 1,873 meter di atas paras laut. Tidak dinafikan, ini antara pengalaman terindah saya berkhemah disini.
Bertemu dengan beberapa pengembara lain dari Poland, Sweden, Rusia dan Perancis bersama-sama membuat unggun api dan berkongsi cerita dan plan pengembaraan masing-masing sambil ada yang menunggu untuk mengambil gambar milky way pada tengah malam di hadapan tasik.
Tentang makanan, saya jenis tidak memilih dan suka mencuba segala yang baru, jadi makanan di rantau ini pada saya sedap dinikmati. Samsa atau samosa antara makanan yang paling banyak saya makan disini, sangat sedap.
Sashlik iaitu daging yang dibakar dengan arang seperti satay juga tidak terkecuali, manis daging dan berjus itu memang tidak dapat dilupakan.
Semasa tinggal di backpacker’s hostel di Kyrgyzstan, saya sempat menikmati makanan tradisi masyarakat Kyrgyz, daging kuda dan susu kuda yang di ragi iaitu Kymyz bersama pemilik hostel.
Kami berkongsi bermacam cerita mengenai budaya masyarakat Kyrgyz, termasuklah cerita pengembaraan saya di Asia Tengah.
Sejujurnya, saya tidak mempunyai plan yang terperinci sepanjang hampir 2 bulan merantau.
Saya hanya mengingat lokasi peta negara tersebut dan menggunakan aplikasi Maps.me, membaca pengalaman pengembara lain di blog-blog, mencari di Google serta bertanya dengan kenalan tempatan atau pengembara lain tentang hidden gems di Kyrgyzstan.
Ternyata cara ini lebih serasi dan menarik dengan diri dan objektif saya, yang sukakan cabaran dan mahu keluar daripada kepompong zon selesa.
Tidak dinafikan terdapat kekurangannya dengan cara yang saya gunakan, tetapi saya belajar lebih banyak perkara terutama dalam berkomunikasi dengan masyarakat Kyrgyz yang rata-rata bercakap bahasa Rusia dan Kyrgyz.
Sesat adalah perkara biasa, saya tidak menganggap itu sebagai penghalang perjalanan saya, bahkan kadang-kadang saya akan terjumpa tempat yang lebih menarik sepanjang perjalanan yang tersesat itu.
Lagi pula tempat yang dituju itu sememangnya tempat yang tidak pernah dilawati, sesat itu hanya terma bila kita tidak sampai ke destinasi yang nak dituju. Jadi saya biarkan diri tersesat dengan sengaja, banyak yang dapat diteroka.
Paling penting jangan panik, rasionalkan minda, dan nikmati perjalanan dengan bahagia! Sesungguhnya Allah bersama kita bila kita mengingati Dia, itu pesan ibubapa saya.
1-Asia Tengah menggunakan abjad Rusia, jadi penting untuk anda tahu huruf-huruf tersebut untuk memudahkan anda membaca papan tanda destinasi.
2-Pada musim panas bulan Julai hingga Ogos, suhu di rantau ini agak tinggi dan udaranya kering, pernah saya alami suhu setinggi 42 ˚C, sediakan air mineral sentiasa.
3-Tentang urusan kewangan, ATM disini menerima Visa/Mastercard. Internet di Kyrgyzstan sangat murah dan meluas rangkaiannya, bayangkan semasa saya berada di Lenin Peak Base Camp juga masih ada signal 4G!
4-Selain itu, tiada tips yang spesifik pada saya, kecuali ‘expect the unexpected’, sentiasa relaks dan tidak panik. Jika anda mencari keselesaan dan kemodenan, negara ini bukanlah destinasi terbaik. Tetapi jika anda mencari ketenangan dan uniknya ciptaan Tuhan serta cabaran, di sinilah antara syurga yang perlu diteroka.
Foto: Nur Atiqah, (IG/FB/Twitter/Youtube: @atiqahhenderson)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mahu seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah peribahasa yang boleh diberikan kepada Muhammad Azamirudin Ismail ini. Dalam usia yang masih muda dan mempunyai masalah ketidakupayaan yang tidak mengizinkan, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdikari dalam meneruskan kehidupan.
Mendalami kisah anak muda yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mungkin boleh menyuntik semangat buat mereka yang mempunyai masalah kelainan upaya. Apatah lagi, dalam usia 25 tahun, dia membuktikan kepada keluarga, saudara mara dan kawan-kawan yang dia mampu berdikari.
Bagi Azamirudin, dilahirkan dengan insan kurang upaya adalah satu anugerah istimewa untuknya. Malah, sesiapa sahaja tidak dapat lari daripada ujian Yang Maha Esa.
“Tidak dinafikan, kehidupan sebagai OKU mungkin merasa malu bila berdepan dengan situasi sekeliling dan pandangan sesetengah pihak tentang diri kita. Namun, kita tidak boleh mengharapkan persepsi ini berlarutan. Kita perlu berani mencuba kebolehan dan kemahiran yang ada bagi membuka pandangan masyarakat melihat keadaan dan kehidupan OKU yang sebenar,” kata Azamirudin dengan semangat.
Walaupun pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan ini tetapi Azamirudin beruntung kerana dia mendapat sokongan dan dorongan moral daripada keluarga untuk menyuntik keyakinan diri dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dan berjaya.
“Bagi saya, sebagai seorang OKU, kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada keluarga, malah harus berdikari dan tidak terlalu banyak bergantung kepada mereka
“Alhamdulillah, sekarang ini saya lebih banyak menumpukan aktiviti kehidupan seharian dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan perumahan. Jika ada masa lapang, saya akan melakukan aktiviti bebas bersama keluarga, kawan-kawan dan komuniti setempat,” katanya tentang aktiviti harian yang dilakukan.
Walaupun keadaan fizikalnya begini, Azamirudin langsung tidak patah semangat. Sebaliknya, dia telah menceburi bidang keusahawanan sejak berusia 14 tahun lagi dengan menjual pelbagai koleksi jenis ikan hiasan, Ikan Laga.
“Pada mulanya, saya jadikan ia sebagai hobi membela ikan hiasan ini. Tidak disangka ia boleh menjadi sumber pendapatan untuk saya. Kini, saya mempunyai beberapa produk perniagaan lain seperti menjual perlbagai kasut kanak-kanak dan dewasa,” katanya yang menjalankan perniagaan di pasar malam atau pasar tani yang berdekatan dengan perumahannya.
Bukan itu sahaja, Azamirudin turut menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan daripada pihak NGO atau persendirian kepada kawan-kawan yang senasib. Malahan, dengan bakat yang ada, Azamirudin mengisi masa menyertai kumpulan Buskers (Kapok Buskers) melalui persembahan nyanyian di kawasan Sungai Petani.
“Sama ada mingguan atau bulanan, saya dijemput untuk menyampaikan beberapa buah lagu dan ceramah motivasi kepada pengunjung yang hadir. Secara tidak langsung, kumpulan Buskers telah memberi ruang untuk saya sebagai OKU menonjol diri di khalayak masayarakat.
“Dengan kehadiran saya sebagai OKU dalam membuat persembahan, sedikit sebanyak menjadi perhatian dan pembakar semangat kepada golongan belia untuk melakukan tugas-tugas amal seperti ini,” katanya yang turut menjadi Presiden Kelab OKU daerah Kuala Muda Kedah.
Walaupun keadaan fizikal Azamirudin tidak seperti orang yang normal tetapi dia bersyukur dengan pencapaian yang diperolehinya.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga dengan apa yang saya capai setakat ini. Berkat doa dan dorongan ibu yang banyak membantu untuk saya terus berusaha dan berikhtiar menjadi yang terbaik dalam hidup ini.
“Buat kawan-kawan OKU di luar sana, yakin dan berusahalah untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Teruskan mencuba dalam apa jua bidang mengikut kehendak dan keupayaan diri bagi memastikan matlamat dan kejayaan menjadi milik kita suatu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dahulu, dialah paling rapat, peneman dan teman berbual setiap kali ibunya sibuk menyiapkan tempahan kuih muih. Dialah juga orang pertama yang akan merasa masakan ibunya.
Memori-memori inilah yang akan dikenang dan tidak dapat dilupakan bagi seorang ibu, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48 tahun, terhadap anak keduanya, anak yang paling rapat, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 19 tahun.
Kini, anak manja dalam keluarga ini hanya terlantar di katil, tidak mampu berbuat apa-apa dan perlu diuruskan oleh keluarganya. Semua ini akibat kemalangan yang berlaku empat tahun lalu.
Menurut Raja Rasiah, kemalangan itu berlaku pada 16 November 2015, semasa Mohd Amier Firdaus atau dipanggil Abe Ngoh berusia 15 tahun.
“Saya boleh katakan Abe Ngoh seorang anak yang baik. Habis sahaja sekolah, dia akan terus pulang ke rumah dan kebanyakan masanya dihabiskan di rumah.
“Namun, dua hari sebelum kejadian tersebut, Abe Ngoh ada menunjukkan kelainan dengan berpakaian serba baru, sehinggakan saya sendiri tertanya-tanya dengan gayanya itu.
“Pada hari kejadian itulah, Abe Ngoh meminta izin pada saya untuk keluar bersama kawan-kawan ke tempat perkelahan di Telaga Bijih, Batu Gajah. Tanah Merah. Mereka menaiki dua buah motosikal. Sampai di tempat itu, Abe Ngoh hanya membasuh muka dan terus mengajak kawannya pulang. Katanya, dia ingin pulang untuk makan nasi di rumah,” cerita Raja Rasiah tentang kejadian itu.
Cerita Raja Rasiah lagi, semasa dalam perjalanan pulang itu, motosikal yang dinaiki oleh Abe Ngoh berselisih dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan. Bagi mengelakkan kemalangan, motosikal Abe Ngoh melencong ke bawah jurang.
“Bila terjatuh, kawan Abe Ngoh merangkak naik ke atas untuk meminta bantuan kerana sebuah lagi motosikal sudah meluncur ke hadapan. Cukup menyedihkan dalam tempoh dua jam, kawan Abe Ngoh cuba meminta bantuan orang yang lalu lalang tetapi tidak ada seorang pun yang sanggup berhenti untuk menghulurkan bantuan. Ini kerana tempat kejadian itu adalah kawasan yang agak sunyi dan ramai orang tidak berani untuk berhenti di situ.
“Sehinggalah, ada seorang pakcik yang sanggup berhenti selepas melihat kawan Abe Ngoh menangis. Dalam tempoh menunggu bantuan itu, Abe Ngoh sudah tidak sedarkan diri.
“Mereka di hantar ke klinik berdekatan. Namun, selepas membuat pemeriksaan, doktor meminta mereka di rujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan. Melihat keadaan Abe ngoh yang tidak sedarkan diri, dia dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut. Pada masa itulah, kawan-kawan Abe Ngoh menelefon saya untuk memberitahu kemalangan yang menimpanya,” kata Raja Rasiah mengingatkan detik-detik itu.
Di HUSM, Abe Ngoh dirawat selama empat bulan dan dalam tempoh itulah, dia langsung tidak sedarkan diri.
“Saya, suami dan anak-anak berkampung di hospital itu, kebetulan cuti sekolah dan sukar untuk saya dan keluarga berulang alik. Kereta menjadi tempat tidur kami anak beranak. Mungkin tiada rezeki kami, kereta kami telah dicuri ketika menjaga Abe Ngoh. Semua barang di dalam kereta lesap.
Bagai jatuh di timpa tangga. Selepas mendapat kebenaran untuk membawa pulang Abe Ngoh ke rumah, sekali lagi Raja Rasiah dirundung sedih kerana dihalau oleh tuan rumah sewanya. Maklum sahaja selama empat bulan, dia tidak balik ke rumah dan tidak mampu membayar sewa rumah.
“Semua barang kami diletakkan di luar rumah dan ada barang kami di curi. Hanya yang tinggal barang-barang lusuh sahaja. Saya menumpang seketika di rumah kakak ipar di Tanah Merah. Lagipun, duit simpanan kami habis digunakan sepanjang berada di HUSM,” katanya dengan nada sedih.
Bukan sahaja tiada tempat untuk berteduh, anak yang cukup disayangi terlantar sakit dan duit simpanan pula habis digunakan. Raja Rasiah seolah-olah bermimpi dan hilang segalanya dalam sekelip mata. Pernah satu masa, dia dan keluarganya tidak mampu membeli telur walaupun berharga RM2.
Dia tersentap dan perlu bangkit untuk membina hidup baru. Mujurlah dengan kudratnya itu, dia mencari rezeki dengan menerima tempahan kuih muih dan mendapat rumah hasil permohonannya dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Tanah Merah.
Di rumah itulah, dia dapat menjaga Abe Ngoh dengan lebih baik dan dengan sedikit wang yang dikumpul, dia bersama suami membuka gerai makan di depan rumah dengan menjual mi celup dan masakan panas bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak setahun lalu.
“Dengan rezeki berniaga inilah, anak-anak saya dapat ke sekolah dan membeli keperluan untuk Abe Ngoh,” katanya lagi.
Berbalik kisah anak keduanya ini, Abe Ngoh yang sudah terlantar empat tahun, Raja Rasiah dapat melihat perubahan dan perkembangan Abe Ngoh.
“Dari sehari ke sehari, saya lihat keadaan dia semakin uzur. Mungkin kerana saya menyekat pengambilan susu khas yang perlu diambilnya setiap hari. Kalau dahulu, Abe Ngoh akan minum susu khas sebanyak lapan skop setiap empat jam sekali.
“Kini, saya terpaksa kurangkan kepada lima skop sahaja. Saya terpaksa buat begini kerana tidak mampu untuk membeli susu. Sekurangnya satu tin mampu bertahan selama tiga hari,” katanya yang bergilir-gilir dengan anak perempuan untuk memberikan susu pada Abe Ngoh.
Tambah Raja Rasiah lagi, walaupun dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun perbelanjaan untuk tampung kos beli susu khas dan lampin pakai buang untuk Abe Ngoh tidak mencukupi.
Jika sebelum ini, Abe Ngoh tidak menunjukkan tindak balas. Kini, ada sedikit perubahan, di mana dia akan terkejut apabila dengar bunyi yang kuat. Tetapi bila terkejut atau batuk pun dia boleh kena sawan.
“Bila dia terkejut itulah, saya akan cepat-cepat memeluknya supaya sawan tidak menyerang,” katanya lagi.
Ketika ditemubual melalui telefon, sempat penulis bertanya tentang perkara yang sangat dirindui semasa Abe Ngoh sihat sahulu.
Dengan nada sedih, Raja Rasiah mengatakan dia rindu saat-saat Abe Ngoh menjadi teman berbual semasa dia menyiapkan tempahan kuih muih. Dia rindu untuk melihat Abe ngoh merasa masakannya. Dia rindu untuk melihat Abe Ngoh datang dan baring di lengannya. Dia rindu untuk mendegar permintaan Abe Ngoh supaya dipotongkan kuku dan dibersihkan telinganya.
“Dia anak yanga baik, manja dan tidak pernah menyusahkan ibu bapanya. Dia sanggup berusaha mencari duit poket untuk membeli barang yang diinginkan,” katanya dengan nada sebak.
Ditanya keadaan Abe Ngoh yang hanya mampu terlantar itu, apa yang diberitahu oleh doktor adalah kerana dia terlalu lama dibiarkan tanpa rawatan semasa kemalangan tersebut sehinggakan oksigen habis dan tidak dapat disalurkan ke otak.
“Doktor memberi tempoh selama enam bulan untuk Abe Ngoh kembali sihat. Jika lebih daripada tempoh ini, semuanya atas keajaibanNya.
“Saya tahu, dalam tempoh empat tahun ini tiada perubahan yang berlaku pada Abe Ngoh. Tetapi saya tetap berharap dan tidak henti berdoa agar Abe Ngoh sedar kembali. Walaupun tidak sempurna, sekurangnnya dia dapat bercakap dan kenal ahli keluarganya,” katanya penuh pengharapan.
*Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2. Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.
*Raja Rasiah turut mengalami masalah jantung dan kebas tangan kanan. Manakala suaminya, Mohd Hijazi Ismail, 56 tahun, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.
*Bilik yang menempatkan Abe Ngoh sangat kecil dan muat untuk dirinya sahaja. Cuba berusaha untuk besarkan bilik tetapi masih terbengkalai.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bertengkar sebelum jadi kes bunuh, akhirnya isteri, ibu dan anak berlumuran darah. Saksi kejadian dalam kes lima sekeluarga maut di kawasan perumahan Cerating Damai.