Pergi ke pasar beli makanan basah, bukan takat beli.. siang sekali dan letak elok-elok bahan makanan basah tu dalam bekas. Simpan kemas dalam peti ais. Nanti bila isteri nak masak, tinggal rendam bagi cair. Bahagianya hati.. nak memasak pun tenang nanti tak kalut.
Sebab nak isteri jadi mudah beginilah lelaki ini, Ariff Ismail kongsi tip untuk mudahkan para suami bantu isteri mereka. Taklah nanti semua ilmu dapur tu isteri sorang je yang tahu.
Alamak Kena Pergi Pasar
“Abang tolong sayang p market sat, tolong beli ikan temenung sekilo.”
Naaa mimpi ngeri bermula, weh boleh termenung keluar jendela. Ikan temenung tu ikan apa? Haa baru ada akal nak google jenis ikan.
Jangan sebab kita ni lelaki brother kita ambik tahu pasal kereta, motor, pc dan ps4 je. Kena ambil tahu bab bab nak beli ikan, sotong, udang, ketam dan lain lain lagi.
Hari ni dah alang alang temujanji tak jadi, dah sampai pulak area Pasir Penambang. Saya lajak kan sikit perjalanan ke pasar ikan segar. Nak cari hasil laut segar.
Meh saya kongsikan tips nak beli lauk seafood. Macamna nak tahu fresh ke idok ikan itu dan ikan apa yang nak beli.
Ads
Tip Macam Mana Nak Tahu Ikan Dibeli Segar Ke Tak
1. Ambil Tahu Jenis Ikan & Masakan
Ikan ni ada banyak jenis bro, macam manusia gak ada banyak jenis. Ada ikan bersisik, ada ikan kulit licin. Ikan ada misai dan ikan yang leper pun ada.
Tanya cik bini nak masak apa, baru senang nak p beli ikan. Kalau dah dia kata nak buat asam pedas ikan jenahak dan pari adalah pilihan terbaik.
Nak masak lemak cili api, boleh cari ikan sembilang, mayong atau pon ikan parang. Bini nak buat laksa, kena la beli ikan sardin atau ikan termenung. Bukan ikan sardin dalam tin tau, ikan sardin segar.
Dah alang alang p pasar, jangan lah bini suruh beli ikan tu, beli ikan semata. Kita buat budget untuk lauk seminggu. Boleh la beli sotong, udang dan ketam sekali.
2. Pilih Ikan Segar
Nak pilih ikan segar tak susah pon abang abang sekalian. Benda pertama yang kita kena tengok, mata ikan tersebut, tapi ada je ikan yang dah pakai kanta lekap untuk nampak lawa lagi.
Oleh itu, kita pegang badan ikan yang nak beli tu, tengok ikan tu badan masih keras atau dah lembik. Kalau masih keras maknanya segar la tu. Keras yang saya maksudkan struktur ikan tu tau, bukan sebab keras kena ais.
Ads
Boleh juga tengok insang ikan tersebut, haa jadi persoalan macam mana nak tengok insang ikan pari. Ikan pari ni lagi senang tengok lendir pada badan dia, if ada lendir makna baru la ikan pari tu.
Atau kita boleh angkat yang dah potong tu cium, bukan cium kat badan pari macam kita cium bini. Kita ambik bau, kalau ada bau macam hancing tu tak yah la beli ye.
3. Sotong & Udang Segar Pula Ikut Cara Ini
Macam mana nak tahu sotong dan udang tu segar. Ni lagi senang, kalau udang tu warna dah merah, janggut pon dah tanggal makna nya memang tak segar dah. Udang yang segar warna masih putih dan kepala dia tak tertanggal lagi.
Untuk “sutun” pulak, tengok kulit dan kepala sotong sotong tu. Kalau kulit dah tertanggal dan kepala sotong nampak lembik tu petanda dah tak segar. Sotong yang segar bentuk badan masih utuh ibarat model catwalk.
4. Jangan Beli Terlalu Banyak
Nak beli ikan dan lauk basah ni, kena pandai budget. Jangan beli stok sebulan, tu jadi beli segar jadi rasa peti ais gak la jawapan nya. Budget ikut size family kita.
Ads
Duduk pun bertiga jangan lah beli ikan sampai 3 kg, sotong 2 kg dan udang 4 kg. Kita beli untuk stok masak seminggu. Supaya makanan laut yang kita beli kekal segar.
5. Cara simpan
Bila dah beli stok untuk seminggu pastikan simpan dengan rapi. Ikut budget sekali masak. Pek kan ikan ikut jumlah yang nak masak dalam bekas bekas kecil. Bersihkan dulu ikan sebelum kita simpan.
Sama juga dengan sotong dan udang, bungkus dan pastikan dah bersihkan. Masa bungkus tu masuk kan air dan letak sedikit gula dan garam untuk pastikan sotong dan udang kekal segar.
Bila kita dah bersih kan, mudah lah cik bini nak keluarkan dan memasak. Bila dah mudahkan keje bini, dia pon happy la nak masak.
Semoga sedikit perkongsian ni dapat memberi manfaat untuk semua. Nanti saya share kan tips sediakan barang masak untuk mudahkan isteri masak dengan cepat.
Jadi, para suami.. dengarlah nasihat lelaki ini Ariff Ismail. Bila lelaki nasihat lelaki, dia tak main-main punya nasihat. Memang nak minta para suami buat betul-betul lah. Sekali suami langgar pantang ini, ‘tipu isteri’ selamanya berbekas dalam lubuk hati isteri.
“Yang.. abang balik lambat, pi tengok bola dengan member.”
Bila kita cakap macam ni, jawapan isteri,
“Okay abang, jangan balik lambat sangat.”
Jika kita dalam sutuasi ini, nak teruskan dengan niat atau batal kan saja niat kita? Kalau betul nak pi tengok bola, teruskan. Kalau nak kelain batal kan saja niat kita tu brother.
Kaum hawa ni, dia ada kelebihan yang kita kaum adam tak ada. Kita kalau buat salah belakang dia, mesti peratusan nak kantoi tu sangat tinggi.
Panca indera kaum hawa ni padu, kalah kuasa Thanos.
Cuba kita buat muslihat sikit, kata nak pi tengok bola tapi pi tengok wayang, paling paling dia dapat kesan lokasi kita.
Tak pun dia akan keluar ayat, “tengok bola kat mana tu, bukan musim bola dah habis ke?”
Eh! macam mana kaum hawa ni boleh tahu, untuk pengetahuan kaum adam sekalian, untuk memastikan kejujuran kita, mereka sanggup google dan kaji semua perkara berkaitan apa yang kita buat.
Hobi kita boleh jadi hobi depa juga. Tapi cuba kita kaum adam ni, kita sukar untuk sama sama kaji hobi mereka.
Nak ikut depa buat hobi depa pun kita boleh bagi 1001 alasan. Sebab tu lah kaum hawa ni Super Power bab mencari ketidak jujuran lelaki.
Perempuan ni satu je, kalau kita dah kantoi sekali menipu, memang sampai kiamat lah depa tak percaya dah.
Baru jadi “nightmare” kat kaum adam. Mereka ni bukan nak menyibuk, tapi mereka ni bab bab kejujuran ni asas utama.
Lagi satu dengan kaum hawa ni, tak perlu tipu pun, cuba kena guna bahasa dan cara yang betul untuk jelas kan pada mereka. InshaAllah mereka akan faham dan beri kerjasama.
Kesimpulan nya, jujur itu lebih baik dari menipu atau berkata dusta. Kunci kebahagian kita terletak pada kejujuran. InshaAllah cinta Adam Dan Hawa akan mekar ke syurga.
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!