Pelakon Izara Aishah ternyata lembut hati dalam menunaikan permintaan seorang suami orang untuk membahagiakan isterinya dengan sudi berkongsi tutorial dalam menggayakan selendang.
Ia susulan permintaan suami tersebut bertanyakan gaya tutorial yang dipakai oleh pelakon ini dalam gambar satu sesi fotografi baru-baru ini.Ini kerana isterinya ingin mencuba gaya yang sama pada hari raya nanti.Memang nampak manis dan sopan gaya tersebut.
Susulan permintaan ikhlas suami tersebut buat isteri tersayang, Izara Aishah yang juga pemilik nama sebenar Nik Izara Aishah, 30 ini rasa ‘terpanggil’ untuk menunaikan hasrat tersebut.
Penampilan terkini yang manis bertudung labuh, Izara mengakui dia masih dalam proses belajar menggayakan hijab dengan sempurna dan kemas.
Gaya pelakon yang pernah membintangi drama Ombak Rindu The Series ini ternyata cukup sopan selepas berhijrah mengenakan hijab. Malah cukup lemah lembut dalam berkongsi video tutorial selendang yang digayakan.
Ads
Ibu kepada Irisa Alaia, 2 ini berkata selendang yang digayakan adalah jenis bidang besar dan ditempah khas, namun boleh juga cuba selendang saiz biasa untuk menggayakan stail yang digayakannya. Gaya ini juga memerlukan pin tudung yang banyak untuk lebih kemas.
Berikut video penuh Tutorial ‘Shawl’ Gaya Izara Aishah seperti yang dikongsikan.
Mingguan Wanita: Baiknya hati Izara Aishah tunaikan permintaan suami ini untuk membahagiakan isterinya. Malah memang nampak manis dan sungguh sopan penampilan terbaru Izara selepas berhijrah ini. Moga kekal istiqamah.
Besar sungguh jasa pengorbanan mendiang Cikgu Catherine yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri demi niat menyelamatkan rakan serumahnya dalam tragedi kebakaran yang berlaku di kuarters guru awal pagi tadi. Tragedi menyayat hati ini mengorbankan seorang guru, Catherine Janet Tiwi, 25, yang terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya, Syuhadah Azhari, 27.
“Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana,” kata Afifah Azhari, kakak kepada penghuni yang terbabit dalam tragedi kebakaran kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, di Mulu, di sini, awal pagi tadi.
Kakak kepada Syuhadah menyatakan yang adiknya melecur 20 peratus di bahagian muka dan badan itu, cukup tersentuh hati apabila dimaklumkan mendiang terperangkap ketika cuba menyelamatkan adiknya itu.
“Mendiang pada awalnya sudah selamat keluar tetapi masuk semula untuk menyelamatkan adik, mengakibatkan dia yang terkorban,” katanya melalui catatan di laman Facebook (FB) miliknya.
Katanya lagi, Catherine adalah rakan serumah adiknya yang amat baik.
“Adik selalu sering bercerita kebaikan mendiang Catherine kepada saya.Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana,” katanya.
Afifah berkata, adiknya sudah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan, bagaimanapun, adiknya itu masih lemah dan trauma.
Anggota Bomba Tak Sangka Anak Sendiri Terkorban
Sementara itu, luluh hati seorang bapa apabila menerima panggilan rakan setugasnya yang memaklumkan anak perempuannya terkorban dalam kebakaran di kuaters kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu, pagi tadi. Pegawai Bomba Kanan II Tiwi Nios, 53, berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, hampir setiap hari beliau menerima panggilan kecemasan terutamanya membabitkan kebakaran.Namun, panggilan dari pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, kira-kira jam 6 pagi tadi, hampir menyentap semangatnya.
“Saya tergamam seketika apabila diberitahu anak perempuan saya, Catherine Janet, yang terkorban dalam kejadian itu.
“Pada mulanya saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya dengar, namun akhirnya saya menerima hakikat kerana selama ini saya sering melihat kejadian serupa dan tidak sangka ia berlaku terhadap anak saya pula,” katanya.
Sebaik sahaja menerima maklumat itu, Tiwi yang bertugas di BBP Bau berusaha mendapatkan tiket penerbangan ke Miri untuk melihat sendiri keadaan anaknya yang rentung dalam kejadian itu. Beliau berkata, Catherine, 25, anak keduanya itu adalah satu-satunya perempuan dari empat beradik.
“Anak saya itu baru sahaja balik semula ke sekolah tempatnya bertugas pada Jumaat lalu selepas beliau menyelesaikan urusan untuk menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di Kota Samarahan.
“Sebelum balik ke Miri, beliau cukup ceria namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya sambil memaklumkan anaknya itu baru dua tahun bertugas sebagai guru.
Hadiri Kursus Di Mulu
Katanya, sebagai anak perempuan tunggal, Catherine memang cukup rapat serta manja dengan ibunya dan kira-kira jam 6 petang semalam, beliau menghubungi ibunya itu untuk bertanya khabar.
“Isteri saya kata, sepanjang perbualan mereka, Catherine kedengarannya cukup ceria dan bergurau dengan ibunya. Tak sangka, itulah perbualan terakhir mereka,” katanya.
Difahamkan, Catherine yang bertugas di SK Penghulu Baya Mallang menginap bersama beberapa rakan setugasnya di SK Batu Bungan, kerana mereka sedang menghadiri kursus di Mulu. Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dua unit kuarters sekolah berkenaan yang dihuni lapan individu termasuk mendiang, musnah sepenuhnya, menyebabkan dua melecur manakala yang lain dapat menyelamatkan diri.Mendiang ditemui rentung ketika operasi pemadaman dilakukan pihak bomba pada jam 6.34 pagi tadi.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga mendiang Cikgu Catherine, semoga diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
Hanya Tuhan saja yang tahu betapa peritnya andai dikhianati dan dicurangi oleh orang yang kita sayang. Begitu yang terjadi kepada gadis ini, masih menahan derita di jiwa akibat dicurangi tunang seminggu sebelum nikah.
Luahan hati ini gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia 30 tahun dan seorang penjawat awam. Saya masih bujang. Hati saya tertutup untuk bercinta lagi selepas putus tunang ketika baru tamat belajar. Seminggu sebelum ijab kabul, dia tiba-tiba memutuskan pertunangan. Rupa-rupanya dalam diam, tunang saya (ketika itu) telah bercinta dengan perempuan lain juga sehingga terlanjur. Ia merupakan tamparan hebat buat diri saya kerana dia cinta pertama saya. Sukar untuk saya melupakan kenangan pahit manis kami bersama.
Tak Memilih
Orang sering kata saya terlalu memilih termasuk saudara mara saya sendiri. Kata mereka, saya ada rupa dan kerja yang stabil, takkan tak ada lelaki yg sudi. Tapi kenapa sampai sekarang saya masih belum juga berkahwin.
Terus terang, saya sedih kerana tanggapan begitu kerana saya bukan memilih. Tapi ia berkait soal hati saya yang masih terluka walaupun hampir lima tahun peristiwa itu berlalu.
Minggu pertama Ramadan, saya dan lima sahabat baik berbuka bersama di sebuah hotel. Mereka datang dengan suami dan anak masing-masing. Hanya saya yang masih bujang. Walaupun kawan- kawan faham keadaan saya dan tak pernah guriskan hati, tapi saya sendiri yang terasa. Alangkah bahagianya mereka kerana sudah memiliki keluarga mereka. Ada suami sebagai tempat bermanja dan anak-anak sebagai penyejuk hati. Tapi, diri saya juga yang masih keseorangan.
Tepis Duka
Puan, bagaimana saya lupuskan terus rasa sedih dan kecewa saya ini? Saya juga nak ada keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi saya anak sulung daripada empat beradik. Semua masih belum berkahwin. Saya syukur kerana mak ayah dan adik-adik faham situasi saya. Tapi saya sedar saya perlu move on namun setakat ini saya belum mampu…
Mungkin di mata orang, saya kelihatan gembira, seolah-olah tak berbekas langsung dengan cakap-cakap orang sekeliling. Tapi saya juga manusia biasa, punya hati dan perasaan. Jauh di sudut hati, saya sering kali rasa sedih dengan pandangan orang lain terhadap diri saya yang seolah-olah terlalu memilih dalam mencari pasangan hidup.
Sudah pasti pada usia begini saya ingin memiliki suami dan seterusnya memiliki anak-anak sebagai pelengkap hidup. Tapi tiap kali saya cuba buka pintu hati untuk menerima mana-mana lelaki, saya tak mampu. Saya takut dikecewakan lagi…
Gadis pendam kecewa
Ipoh perak.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum saudari yang dirahmati Allah.. Perasaan sedih , luka dan kecewa adalah lumrah dan boleh berlaku kepada ,mana-mana manusia. Sedih, luka, kecewa adalah penyakit rohani. Seperti penyakit jasmani, penyakit rohani boleh diubati. Cara bagaimana untuk mengubati ada pelbagai cara dan bergantung kepada kekuatan dalaman seseorang.
Ada ubat tertentu untuk mengubatinya. Semua manusia ada hak untuk bersedih dan kecewa, Namun perasaan itu perlu diatasi bagi membolehkan kita untuk terus hidup dengan lebih bermakna dan menikmati kehidupan yang Allah berikan kepada kita.
Tak Mungkin Kembali
Saudari yang dirahmati Allah. Secara logiknya, jika kita terus menerus memikirkan perasaan kecewa dan luka, adakah sesuatu atau keadaan akan berubah menjadi lebih baik? Atau adakah dengan cara melayan kesedihan dan kekecewaan itu boleh mengembalikan apa yang dihajatkan?
Saudari telah mengalami kekecewaan akibat dicurangi itu hampir lima tahun. Adakah luka itu telah terubat dengan melayan perasaan kecewa dan sedih itu? Saudari yang mengalaminya…hanya saudari yang boleh menjawab – adakah kehidupan saudari lebih ceria atau cepat terasa dalam hal mencari jodoh dalam hidup, khususnya apabila bertemu dengan rakan-rakan yang telah punya keluarga sendiri.
Saudari yang dirahmati Allah. Banyak juga kes lain yang saya temui yang kecewa dan terluka yang berpanjangan boleh membawa penyakit-penyakit yang lain seperti insomnia, tidak bermaya untuk hidup, dan boleh juga membawa kepada stres, darah tinggi, jantung dan sebagainya.
Lakukan Perubahan
Jika saudari mahu melupakan luka yang melanda saudari, maka saudari perlu buat perubahan pada diri. Saudari menyebut bahawa saudari terluka kerana perbuatan teman lelaki lima tahun yang lalu.
Dan luka itu belum sembuh sehingga saudari menutup pintu hati untuk menerima lelaki lain dalam hidup. Cuba saudari lihat dari sudut yang lebih positif. Ditakdirkan saudari berkahwin dengannya seperti yang dirancang, tidakkah kecurangan sebegini boleh berlaku? Dalam masa hampir untuk ijab kabul pun dia boleh curang kepada saudari hingga berlaku perzinaan, adakah lelaki sebegitu yang diidamkan? Sebenarnya Allah sayangkan saudari…sebab itu saudari tidak dijodohkan dengannya, mungkin ada hikmahnya seperti yang saya sebutkan di atas. Cuba renung…
Warna Kehidupan
Saudari yang dirahmati Allah. Hidup kita ni perlu kepelbagaian untuk mewarnainya agar lebih ceria dan lebih bermakna. Tidak semestinya apa yang hilang itu tidak baik bagi saudari, malah hikmah yang saudari tidak tahu nantinya. Saudari perlu belajar untuk melupakan kekecewaan dalam hidup…jangan dibiarkan dalam tempoh masa yang lama. Sekarang ni pula jodoh sukar ditemui, apatah lagi kalau sudah lanjut usia.
Jika ada pemuda yang diperkenalkan oleh saudara mara, atau rakan, atau saudari sendiri yang kenal, beri peluang pada diri. Jangan terlalu rigid, bersifat terbuka dan terima seadanya. Asalkan lelaki itu mendirikan solat, punya pekerjaan walaupun tidak setaraf saudara, dan bertanggungjawab serta terpelihara akhlaknya itu sudah memadai. Rupa tu asalkan tidak cacat, maka sudah boleh dijadikan calon suami.
Berlandaskan Agama
Kalau orang kata memilih mungkin ada betulnya, mungkin juga sebaliknya. Namun, kita memilih ikut agama kata, bukannya bukan hati kita yang berkata-kata kerana hati kita punya nafsu yang mahu itu, mahu ini, tidak mahu itu dan tidak mahu ini.
Syarat yang kita letakkan mungkin juga kita tidak sedar kadang-kadang kehendak itu di luar kemampuan kita. Justeru, beri peluang pada diri, jangan terlalu rigid, terlalu sensitif dan bersikap intovert. Cuba banyakkan pergaulan, bercakap dan lakukan banyak aktiviti yang boleh menceriakan kehidupan. Jangan diikut rasa hati yang sedih dan luka kerana itu adalah mainan syaitan.
Belajar menjadi ceria, ikuti aktiviti luar, riadah, kalau jika minat berniaga, boleh terlibat dengan para usahawan. Atau aktiviti yang boleh memotivasikan dan menceriakan diri. Diri saudari yang menentukan saudari akan ceria atau tidak, bahagia atau derita, kecewa atau suka, sedih atau gembira.
Maka tukarkan minda dan perasaan yang negatif kepada yang positif mulai hari ini. Akhir sekali, jangan lupa penuhi doa setiap hari agar Allah mempertemukan jodoh yang baik buat saudari. Insya-Allah, saudari akan bertemu jodoh yang boleh memenuhi kehidupan, bukan memenuhi perasaan. SELAMAT MENCUBA!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Beberapa hari lepas, Stacy ada berkongsi posting sedang menjahit dan menyiapkan baju raya untuk famili.Dalam posing terkini, Stacy ada memuatnaik gambar mereka sekeluarga memakai baju raya yang telah pun siap dijahit oleh Stacy sendiri untuk dipakai pada pagi raya.
Namun perkara yang mencuri perhatian adalah pengalaman lucu dan memori manis yang dikongsikan oleh Stacy sendiri sewaktu dalam proses menyiapkan jahitan baju-baju raya tersebut. Punyalah tekun Stacy menjahit, sehinggakan tak perasan kainnya terpotong pendek, Baju melayu terlupa letak poket dan macam-macam lagi.
Berikut perkongsian tersebut;
“Selamat hari raya aidilfitri semuaa.. Salam mohon maaf diampun segala salah silap yang ada. Inilah hasil tangan baju Raya kami tahun ini.Pengalaman yang sangat best dan lucu tapi yang penting dapat pengalaman best tu.”
“Baju kurung saya ni jadi singkat sebab si chichal kecik tu. Kita sudah asingkan kain yang sudah digunting pastu dia boleh kacau pula.Mami terpotong pendek dan sempit sebab ingatkan itu kain untuk beyya.Pastu pengalaman baju eshaal pula mau 2 ke 3 kali alter sebab badan dia kecik sangat hahahaha.”
“Tapi yang paling best baju si akim, Sibuk dia ingatkan tikam tulang belut di leher tu sampai mami lupa buat poket baju melayu. Semalam tengah masukkan duit raya baru perasan tiada poket baju dia adoii..punya kecewa. Macam baju kurung lah juga dady pakai cuma tiada skirt.”
“Beginilah kalau hasil tangan amatur, yang penting pengalaman lah kan?habis rumah atuk diorang penuh bling-bling tu sebab jatuh-jatuh hahaha..Tu lah ying,I dah cakap jangan suruh I jahit..hansull jadinyaa hahahaha..Selamat hari raya semuaaa!!”
Sementara itu, menerusi posting Akim pula, suami Stacy ini meluahkan penghargaan buat isteri tersayang. Menurutnya, meskipun ada kekurangan tapi ketekunan Stacy yang amat dikagumi dan akan menjadi memori manis Hari raya mereka berdua.
“Selamat hari raya semua, inilah baju yang dijahit oleh isteri tercinta, sebuah tugasan yang diselesaikan oleh isteri saya, betapa tekunnya dia menjahit walaupun tak pernah pun jahit baju kurung dan baju melayu ni. Walaupun ada kekurangan yang menjadikan ia memori untuk kami berdua kenang dan ingatkan, tapi kekurangan itulah yang buat aku terima kau wahai isteriku.”
“Ketekunan kau itulah yang membuat aku memilihmu. Bukan baju yang sempurna yang aku mahukan, yang aku mahu adalah kau dan keluarga kecil kita. Semoga engkau menjadi isteri yang sentiasa patuh pada suamimu. Dan aku berdoa semoga Allah sentiasa memberikan kurnia padamu wahai isteri.”
Mingguan Wanita ucapkan tahniah buat Stacy kerana berjaya juga buat baju raya untuk satu famili. Biarlah ada kekurangan, masih amatur dan tak cantik mana pun, tapi pasti puas hati kerana ia baju-baju yang yang dibuat dengan sepenuh hati dan kasih sayang buat suami dan anak-anak tercinta.Usaha, kerajinan dan ketekunan Stacy dalam menyiapkan baju raya ini wajar dipuji dan dicontohi.
Datuk Aaron Aziz terkejut & kecewa! Sebelum ini heboh tentang konflik antara keluarga Aaron dan pempengaruh media sosial, Sharina Richiei ianya bermula selepas tular...