Isteri bila dia biasanya kuat membebel, tetapi tiba-tiba dia senyap, itu tandanya dia ‘tak sihat.’ Jadi, biarlah dia membebel panjang-panjang mana pun, asalkan dia sihat. Tak sakit. Kalau sudah sakit, satu hal pula. Lagi bahaya.
Isteri umpama jantung dalam keluarga. Kalau sakit atau tidak gembira, satu keluarga atau rumah turut menjadi suram. Ramai suami yang tidak faham kenapa tiba-tiba wanita yang dia cintai sebelum melangkah ke fasa perkahwinan itu, yang dulu bukan seorang yang suka membebel dan pendiam tetapi apabila sudah berkahwin, makin lama makin kuat membebel pula.
Isteri Yang Biasa Kuat Membebel Tiba-tiba Senyap
Awas suami. Apabila isteri sudah tidak lagi membebel dan mendiamkan diri, itu petanda bahaya para suami patut tahu. Isteri sudah makan hati dek kerana sesuatu. Senyap seorang isteri boleh sebabkan dirinya ‘makan hati’, rasa tawar hati dan paling bimbang dah tak ambil peduli pasal suami.
Nah, jemput baca perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini.
Isteri bercakap lebih baik daripada isteri senyap. Bila dia bercakap, tak kisah la dia nak marah kita ke, dia nak berleter kita ke, dia nak kata apa saja kat kita, sekurang-kurangnya kita tahu apa yang dimarahkannya, apa yang dileterkannya, apa yang dikatakannya.
Ads
Kalau dia senyap, tetiba dia tak bercakap, kita sendiri pun tak tahu apa yang silap, kat mana yang silap.
Orang perempuan ni, cara dia zahirkan fikiran dia, cara dia luahkan perasaan dia adalah melalui kata-kata…tapi bila dia dah banyak berkata-kata dan kata-kata itu satu pun tak masuk kepala suami dia, maka dia akan FED UP.
Dia tak terus senyap macam tu saja.. Dia akan senyap bila dah banyak kali dia marah, dah banyak kali dia berleter… senyap tu tak bagus untuk dia walaupun pada kita, kita sangat suka isteri senyap.
Senyap isteri tu boleh makan diri dia, buat dia rasa tawar hati dan tak nak peduli suami.
Ads
Berhati-hatilah Wahai Kaum Suami
Masa isteri dah senyap, pujuk rayu ni adakalanya berguna, adakalanya tidak…jadi, take note siap-siap untuk setiap isi kandungan ketika dia marah, ketika dia berleter.
Salah silap kita ada dalam tu sebenarnya. Pastikan dia tak marah untuk benda yang berulang, dia tak berleter untuk benda yang sama…kalau dia dah senyap, minta maaf pun sia-sia.
Dia punya keras tu, makan hari la baru dia akan kembali bersuara.
Ads
Haa.. jadi sila beringat ya encik suami. Kalau nampak isteri senyap tiba-tiba, sila ‘flashback’ tindakan yang anda buat. Mungkin perbuatan atau kata-kata yang buat isteri terusik, maka belajar lah memujuk.
Tip Jadi Menantu ‘Favourite,’ Bijak Ambil Hati Mak Mentua Tapi Bukan Guna Cara ‘Bodek’
Ramai ibu mentua dan menantu perempuan sukar untuk serasi. Hubungan ibu mentua dengan menantu perempuan sering dikatakan rumit. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan tegang. Pantang bersua muka dan berbicara, saling menyakiti antara satu sama lain. Allahu, sedih sangat!
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
Murah hati
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramai isteri kian hilang rasa hormat pada suami. Isteri tidak akan ‘suka-suka’ bersikap begini jika tidak ada perkara yang suami lakukan sehingga isteri bertindak sedemikian. Ia berpunca daripada sikap suami itu sendiri yang menghilangkan rasa hormat isteri kepada sang suami.
Untuk faham lebih lanjut hadamkan perkongsian daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan.
Sesetengah suami menggunakan alasan itu semua takdir untuk menghalalkan perbuatan yang dilakukan, tetapi sebenarnya setiap tindakan manusia adalah pilihan. Jika suami banyak melakukan perkara yang merosakkan rumah tangga dengan sengaja atau mempunyai matlamat tersendiri, maka wajar seorang isteri hilang rasa hormat terhadap suami.
Kagum Wanita Berusaha Sabar & Kekal Kuat Demi Anak-Anak
Saya sangat kagum dengan wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti ini. Mereka berusaha untuk bersabar dan kekal kuat demi rumah tangga serta anak-anak. Namun tidak bermakna, mereka perlu menelan semua tohmahan dan derita yang diberikan suami bulat-bulat.
Saya pernah terbaca luahan seorang wanita yang mengadu tentang suaminya, berkahwin selama lebih 20 tahun tetapi sangat sabar dengan sikap suami yang panas baran, kaki pukul dan lepas tangan akan tanggungjawab terhadap keluarga, bahkan anak-anak pun takut untuk berjumpa setiap kali ayah mereka pulang dari kerja.
Allahu Akbar, telinga yang mendengar pun terasa berat apatah lagi bahu yang memikul ujian tersebut. Namun saya percaya kalian sangat hebat kerana masih bertahan dan bersabar sehingga ke hari ini. Saya doakan semoga dengan berkat kesabaran menjadi asbab hidayah buat suami untuk berubah.
Cari Kebahagiaan Sendiri
Andai tidak berdaya lagi, carilah kebahagiaan sendiri tanpa bergantung kepada suami, dalam masa yang sama banyakkan berdoa kepada Allah, jangan hilang kepercayaan kepada-Nya.
Dalam membina keluarga yang harmoni, cuba mencari titik persamaan antara pasangan. InsyaAllah semua ini boleh menjadi penawar mujarab dalam membina sebuah keluarga, suami isteri menjalani kehidupan yang diisi suka dan duka, saling menghormati serta berkasih sayang sepenuh jiwa, agar akhirnya dapat dibangkitkan di dalam Syurga bersama.
Sumber: Asma’ binti Harun via artikel asal Mingguan Wanita
Suami isteri tanpa sedar melakukan banyak perkara dalam rumah tangga yang menyumbang dosa. Masing-masing menunding jari antara satu sama lain setiap kali ada permasalahan dalam rumah tangga. Hakikatnya kedua-duanya punya kelemahan.
Bercakap tentang dosa-dosa isteri amatlah mudah jika disenaraikan oleh para suami, lidah mereka lancar menyebut satu persatu kelemahan isteri. Selalu suami akan mengadu isteri nusyuz, isteri banyak mengeluh sedikit bersyukur, isteri pengikis, mulut celupar, cemburu, queen control dan sebagainya. Seolah-olah hanya wanita yang menuai dosa dalam rumah tangga.
Bagaimana pula jika para isteri disoal siasat tentang perangai suami mereka? Mesti senarai mereka lebih panjang lagi, satu persatu dosa suami disusun. Masalah suami tak beri nafkah, suami panas baran, kedekut dan pemalas. Ada suami yang tak romantik, suami mata keranjang, suami jahil agama dan segala isu-isu yang membabitkan kelemahan suami.
3 Senarai Dosa Suami Isteri Yang Boleh Bahayakan Rumah Tangga
1. LUAH MASALAH RUMAH TANGGA & KUAT BERAHSIA
Di depan isteri bukan main romantik tapi bila isteri tiada sesuka hati mengurat anak dara orang. Isteri pula jika suami ada di depan mata pandailah jaga pergaulan tapi jika suami tiada mulalah mencari ‘suami orang atau jejaka bujang’ meluahkan segala keluhan pasal rumah tangga dan aib keluarga. Suami gatal isteri pula cari jantan, dosa apalagi yang boleh mengheret mereka ke lembah neraka dunia akhirat selain dosa zina?
Peliknya suami isteri sekarang masing-masing tak boleh tengok telefon pasangan. Jika benar-benar jujur tak perlu kita tutupi apa yang kita sembunyi dalam telefon. Jika benar-benar jujur siapa pun boleh tengok dan baca tanpa kita takut dan risau impak yang akan terjadi. Waspadalah hasutan syaitan, kemungkinan kita bermaksiat amat tinggi jika bersendirian!
Dosa yang dilakukan apabila bersendirian akan meranapkan amalan sebesar gunung yang menjulang tinggi.
RASULULLAH S.A.W BERSABDA: “AKU BENAR-BENAR MENGETAHUI ROMBONGAN-ROMBONGAN MANUSIA DARI KALANGAN UMATKU, MEREKA DATANG HARI KIAMAT NANTI DENGAN MEMBAWA PAHALA SEBESAR GUNUNG TIHAMAH YANG BERWARNA PUTIH AKAN TETAPI ALLAH MENJADIKANNYA DEBU YANG BERHAMBURAN. TSAUBAN (SEORANG SAHABAT NABI) BERKATA: WAHAI RASULULLAH TERANGKANLAH SIFAT MEREKA KEPADA KAMI, TERANGKAN KEADAAN MEREKA KEPADA KAMI AGAR KAMI TIDAK TERMASUK GOLONGAN MEREKA KERANA KAMI TIDAK MENGETAHUI.
Baginda s.a.w bersabda: sesungguhnya mereka itu adalah saudara-saudara kamu dan dari kulit kamu, mereka mengisi sebahagian malam (dengan ibadah) seperti kamu namun mereka adalah orang-orang yang apabila bersendirian mereka melanggar perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.” (hadis riwayat Ibnu Majah di sahihkan oleh syaikh Al-Albani)
2. SAKITKAN HATI PASANGAN & JADIKAN HAMBA
Suami yang menzalimi isteri, mengambil hartanya, memperhambakannya, memukul, hatta memaki dan menyakiti perasaan isteri akan dituntut dosa-dosanya itu di akhirat nanti. Begitu juga isteri yang menyakiti suami, tidak akan terlepas sehalus debu pun dosa yang anda lakukan, ia akan dibayar dengan pahala yang anda kumpulkan.
SEBAGAIMANA SABDA RASULULLAH S.A.W: “TAHUKAH KAMU SIAPAKAH ORANG YANG MUFLIS ITU? PARA SAHABAT MENJAWAB: ORANG YANG MUFLIS ITU ADALAH MEREKA YANG TIDAK PUNYA WANG DAN BARANG. BAGINDA BERSABDA: SESUNGGUHNYA ORANG YANG MUFLIS DI KALANGAN UMATKU IALAH ORANG YANG DATANG DI HARI KIAMAT DENGAN MEMBAWA PAHALA SEMBAHYANG, PUASA DAN ZAKAT TETAPI DIA MENCACI ORANG, MENUDUH ORANG, MAKAN HARTA ORANG, MENUMPAHKAN DARAH ORANG DAN MEMUKUL ORANG. MAKA HAMBA YANG DIZALIMI ITU DIBERI SEGALA PAHALA-PAHALANYA DAN JIKA BELUM HABIS (HUTANG KEZALIMAN) MAKA DOSA-DOSA ORANG ITU DIPINDAHKAN KE ATASNYA KEMUDIAN DIA DILEMPARKAN KE DALAM NERAKA.” (HADIS RIWAYAT IMAM MUSLIM)
Siapakah yang paling banyak kita zalimi di rumah? Bagaimana jika pasangan kita tidak reda, dosa-dosa dalam rumah tangga sememangnya tidak boleh dipandang ringan, ia boleh melemparkan kita ke dalam neraka. Bila kita belum bertaubat, tidak sempat meminta maaf, sentiasa mengulangi kezaliman pada pasangan, bagaimana kita berhadapan dengan Allah di akhirat kelak?
3. TAYANG AURAT & BERI KEBEBASAN PERGAULAN ANAK
Seorang lelaki berbangga di hadapan kawan-kawannya menayangkan bentuk badan anak dara dan isterinya yang membuka aurat untuk mendapat pujian cantik dan seksi. Ibu yang memberi izin anak bujangnya menjemput kekasih sampai ke dalam bilik, meraikan kemaksiatan di rumah atas sebab tuntutan kemodenan dalam pergaulan.
Meraikan hiburan sampai lupa sembahyang, tak ingat al-Quran. Malu berpakaian dan berakhlak Islam, mengagung-agungkan budaya barat dan menutup pintu-pintu hidayah masuk ke rumah. Ibu bapa yang sebegini menanggung dosa anak kerana mengajar mereka buat maksiat.
Tiga senarai dosa suami isteri ini sudah cukup menakutkan, tak payahlah saling menuduh satu sama lain tentang siapa yang paling banyak dosanya, suami isteri kena bertolong bantu menghapus dosa dan menambah pahala. Jika tidak, rumah tangga sentiasa diliputi kejahatan, kerisauan, kebencian dan akhirnya runtuh di tepi jurang neraka, ya Allah lindungilah keluarga kami!