Isteri Suka Tolak Markah Suami, Petanda Dirinya Berpura-pura Bahagia?

Saya tidak pasti bagaimana untuk memulakan penulisan saya kali ini. Saya harus memilih perkataan dalam ayat-ayat terbaik kerana nota kali ini agak sensitif. Mungkin cara terbaik ialah dengan bertanya soalan ringkas begini, ‘Adakah anda bahagia dengan rumah tangga sekarang?’ atau sedang berpura-pura bahagia?

Ya, hanya anda yang tahu. Anda kata bahagia tetapi jujurnya anda tahu ada sesuatu yang tidak kena. Seperti anda memandu. Kereta itu masih bergerak tetapi sebenarnya kereta itu ada masalah.

Dulu Lain Sekarang Lain

Mungkin tayar kurang angin, mungkin enjin sudah lama tidak diservis, mungkin itu atau mungkin ini. Anda tidak tahu apa masalah kereta itu tetapi anda pasti tidak seperti pada ketika hari pertama anda memilikinya.

Perlahan-lahan anda mula membaca kerana terdetik dalam hati ‘Adakah aku sebenarnya sedang pura-pura bahagia?’

Isteri Suka Tolak Markah Suami, Petanda Dirinya Berpura-pura Bahagia?

Mari kita teruskan dengan analogi kereta tadi. Anda beli kereta baru dan tahu betapa seronoknya memandu kereta baru itu. Sekarang anda rasa berbeza. Anda membandingkan perasaan itu dengan keadaan yang pernah anda rasa dahulu.

IKLAN

Teringat betapa dulu segala-galanya indah. Hidup penuh gelak ketawa. Pantang anda tersepak batu, pasti batu itu dibaling jauh-jauh oleh suami. ‘Oh romantiknya Encik Suamiku’. Sekarang tidak begitu. Suami berjalan di depan dan anda jauh mengekor di belakang. Sah kalau anda tersungkur tersepak batu pun harus dia tidak tahu.

Betul anda reda tetapi ada kesayuan di situ. Anda mengharapkan, keadaan dahulu berulang semula. Anda rindukan romantik itu. Sekiranya anda selalu teringat suasana ‘bulan madu’ lima tahun dahulu tetapi suami hampir setiap malam bergebang dengan rakan-rakan sehingga larut pagi, mungkin ‘bahagia’ itu perlu anda bina atau kejar semula.

Harapan

Setiap pasangan yang berkahwin, bermula dengan anggapan dan harapan yang begitu sempurna. Sebagai isteri memang wajib anda mempunyai harapan itu kepada lelaki yang anda serahkan diri kepadanya.

Bukan salah anda kerana segala bukti kelihatan begitu asli waktu bercinta dahulu. Namun setelah rumah tangga memasuki usia tiga tahun, satu demi satu harapan dan anggapan anda itu runtuh. Dulu dia romantik tetapi kenapa tidak sekarang?

IKLAN

Kalau dia betul-betul sayang macam mana dia boleh lupa hari ulang tahun perkahwinan anda? Anda sentiasa mengharap dia memenuhi anggapan anda tetapi tidak begitu.

Walaupun anda kata reda tetapi perasaan itu semakin bertingkat-tingkat dalam hati. Dalam keadaan ini adalah berisiko, anda mengharap suami boleh membaca suara hati anda. Itu bukan kemahiran lelaki. Jadi fahami dia. Beritahu anda mahu dia tolong buangkan sampah di dapur.Insya-Allah barulah dia faham dan dia akan sukarela buat kerana dia sayangkan anda dan bukan kerana anda menyuruhnya.

Tolak Markah

Saya tahu satu kelebihan isteri ialah menyimpan markah apa yang suami buat. Sayang sekali markah lebih kerap ditolak apabila dia tidak buat apa yang anda fikir dia patut buat. Anda rasa dipinggirkan kerana dia selalu pulang lewat kerana bekerja mencari rezeki.

Banyak betul markah dia yang anda tolak tetapi bagaimana dia berusaha mencari rezeki sepenuh daya itu? Anda terlupa dia tidak ada isteri dia cawangan lain dan memang anda pasti sangat yang dia memang keluar melakukan tiga jenis kerja yang berbeza untuk menyara keluarga.

IKLAN

Oleh itu, jika anda selalu sanggup menolak markah kebaikannya yang anda selalu tidak nampak, maka besar kemungkinan anda tidak bahagia. Isteri yang bahagia sentiasa merasa suami ada di sisi walaupun sebenarnya jauh dan tidak dapat pulang kerana bekerja.

Perkahwinan Satu Pengorbanan…

Perkahwinan adalah pengorbanan. Anda berkorban untuk kekal cantik untuk suami. Anda diet, anda masuk kelas Zumba, anda pergi spa dan buat macam-macam. Saya akui ramai isteri merungut segala pengorbanan itu seperti sia-sia. Kononnya suami tidak hargai.

Saya tidak boleh jawab sama ada isteri yang begitu bahagia atau tidak tetapi isteri yang tidak peduli lagi dengan rupa paras dan bentuk badannya untuk suami pasti bukan isteri yang bahagia. Sudahlah dia tidak bahagia, suaminya pula menderita mata dan jiwa.

Sekarang perlahan-lahan fikir. Adakah anda bahagia atau perlu menyemak semula apa yang sedang berlaku?

Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training And Consultation, juga penulis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI