Bukan mudah bagi seorang wanita untuk melalui pengalaman tempoh mengandung selama 9 bulan. Pelbagai kesusahan dan pengorbanan yang perlu dialami sepanjang tempoh ini. Perkara yang sama turut dirasai dan dikongsikan oleh selebriti Yatt Hamzah,38 didalam akaun instagram beliau baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Haryati Hamzah ini ada berkongsi keterujaan dan kegembiraan bakal menimang cahaya mata ketiga di laman sosial instagram beliau. Selebriti ini juga ada berkongsi harapan, kesusahan dan pengorbanan yang ramai wanita mengandung alami buat pengikut akaun beliau.
Memasuki usia kandungan mencecah 33 minggu dan dijangka bersalin pada penghujung Mac nanti. Bayi tersebut merupakan anak kedua Yatt dan suaminya, Mohammad Zulfadhli Khairuddin, 28.Sebelum itu, pasangan ini dikurniakan cahaya mata, Suci Humaira Iqlima yang kini berusia 15 bulan. Malah, Yatt juga mempunyai seorang anak perempuan iaitu Suci Hanania Malika, 8, hasil perkahwinan terdahulu, dengan Abdul Mutalib Shukor.
Berikut antara yang dikongsikan oleh selebriti ini;
“Ya Allah happynya dapat baby lagi, kali ni yg ke-3. Alhamdulillah. Ya Allah tambahkan ganjaran pahala dan kebaikan buatku sebagai ibu. Lahirnya seorang anak insyaAllah bakal Daie hafizah, alimah, anak solehah dan cemerlang dunia akhirat. Tahniah buat para ibu.
Rahmat di sebalik kesusahan seorang ibu hamil dan bersalin. Saat hamil selalu pening, mual & muntah. Suami gosok-gosoklah belakang isterimu. Isteri sakit, suami kurangkanlah kesakitan isteri. Beri sentuhan. Sebenarnya kasih sayang itu membuat anak dalam perut juga bersama ibu ayahnya.
Peranan Suami
Wanita hamil kadang-kadang tak boleh tidur malam. Susah nak tidur sebab sakit pinggang & bisa satu badan. Latihan agar boleh jaga anak bila dah lahir. Isteri kadang-kadang tak larat nak bersama suami, kadang-kadang bad mood. Suami pujuklah dengan picit-picit urut isterimu. Berikan hadiah. Sentuh perut isteri, sediakan mental untuk isteri melayan anak-anak nanti.
Ads
Paling syahdu dukung or papah isteri bila dia tak larat or lepas bersalin untuk ke bilik atau ke mana-mana. Saling memahami, menyayangi, bermaafan. Masing-masing banyak berdoa dan berzikir.
Semua akan merasai belas kasihan dan sayang pada wanita hamil kerana anak-anak dalam perut itu perlukan kasih sayang.
Hebat wanita. Biasanya orang tak suka jika ada benda membebankannya. Tetapi ibu senyum, ketawa bila anak sepak perutnya. Rasa ada pergerakan dalam perut satu nikmat buatnya. Ibu jika terjatuh atau sakit, yang dirisaukan ialah kandungannya. Bukan dirinya yang ingin diselamatkan.
Ads
Diampunkan Segala Dosa
Allah masukkan perasaan sayang dalam hatinya. Indahnya menyayangi melupakan segala kesakitan dan keperitan. Itulah cinta yang ikhlas. Bahagia. Ramai suami benar-benar jatuh cinta bila isterinya hamil. Paling jatuh cinta saat isteri bersalinkan anak. Melihat betapa sakit dan susahnya untuk mendapatkan seorang anak.
Allah sebut kisah wanita bersalin dalam Al-Quran. Betapa ianya dihargai..mengandung 9 bulan lebih & menanggung kesakitan bersalin.
Wanita bersalin diampunkan semua dosanya. Uratnya banyak putus. Kesusahan bersolat, buat baik ketika hamil, bekerja dan saat menjaga anak-anak. Ini Syurga. Semoga Allah anugerahkan kita semua anak soleh solehah. Amin Ya Allah.
Team Mingguan Wanita mengucapkan semoga dipermudahkan segala urusan Yatt ketika melalui proses bersalin nanti. Semoga ibu dan bayi berada dalam keadaaan sihat dan selamat hendaknya. Buat para suami, semoga lebih menghargai pengorbanan isteri dalam mengandungkan dan melahirkan zuriat buat keluarga.
Mindset sesetengah mak ayah itu macam dah ditanam siap-siap, kalau nampak ‘kepala dua pusar’ saja terus dicop, DEGIL lah budak itu. Memang susah nak dengar cakap orang lah nanti bila besar. Benarkah?
Persoalan ini diterangkan sejelasnya oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-founder and Principal Consultant, Parent Connect Consultancy (Certified Positive Parenting Educator (parent Practice UK)).
“Sudah lama saya tertarik untuk meneroka pendapat dan kepercayaan tentang anak yang mempunyai dua pusar (double hair whorl) yang menjadi pegangan dalam masyarakat sejak sekian lama.
“Apabila seorang ayah meminta pendapat saya tentang kepercayaan ini, saya terpanggil untuk membuat sedikit kajian tentang kebenaran kepercayaan tersebut.
Apakah Kaitannya?
Adakah anak anda mempunyai dua pusar?
Atau anda sendiri mempunyai dua pusar di atas kepala?
Jika ya, adakah anda seorang yang sukar dikawal ketika kecil atau adakah anda sering diberikan label dan tanggapan negatif oleh orang tua-tua kerana pusar anda?
Jika anda mempunyai dua pusar adakah anda sering masuk keluar pejabat guru disiplin ataupun mungkin sering masuk keluar penjara?
Jika tidak, alhamdulillah. Ternyata kedua ibubapa anda mendidik anda dengan baik sekali walaupun anda mempunyai dua pusar.
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua.
Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi.
Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini.
Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut.
Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata.
Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
Ibu bapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak.
Apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.
Mana-mana mak ayah yang ada anak-anak sedang membesar takkan lari dari berhadapan situasi anak berebut permainan. Yang mana dalam proses bertarik-tarik itu akan berakhir dengan tangisan.
Ibu 3 orang anak lelaki dan serorang perempuan ini, Siti ‘Aisyah Rozalli yang juga Occupational Therapist berhadapan situasi yang sama.
Cara menyelesaikan permasalahan perebutan permainan anak-anak yang beliau kongsikan ini boleh ibu ambil contoh. Lebih COOL .. dalam masa yang sama bertegas sampai anak dengar kata dan boleh bincang baik-baik.
Anak bergomol, berbincang dan berbaik dilakukan secara natural ikut sifat semulajadi anak dengan tindakan penyelesaian bijak mak dan ayah.
Anak saya 4 orang. Kecil-kecil semuanya. Thufayl baru masuk 5 tahun 3 bulan, Imdad bulan ni 3 tahun 11 bulan, Husam baru sahaja 2 tahun 5 hari dan Aufa Hani dah 2 bulan.
Kesimpulannya saya ada 2 preschooler, 1 toddler dan 1 infant di rumah.
Jadi, anda rasa saya ada masa untuk pening?
Anak-anak preschoolers saya masih belajar tentang berkongsi. Kalau bawa pergi beli permainan, mereka akan pilih permainan yang berbeza.
Tapi, bila sampai rumah, sentiasa akan ada adegan bergaduh kerana si abang mahu permainan seperti si adik, atau si adik mahu permainan seperti si abang.
Tu belum cerita yang toddler tu turut serta dalam sesi pergaduhan sebab “nak tambah lauk”. Tu belum cerita style anak-anak lelaki bergaduh yang kadang-kadang boleh kecut perut kita melihatnya.
Walaupun sering berlaku adegan berebut permainan di rumah, kami tetap akan biar mereka pilih permainan sendiri. Walaupun mereka akan sentiasa pilih permainan berbeza yang akan menjadi sebab perebutan di rumah, kami tetap tidak akan pilihkan permainan yang sama untuk mereka.
Kenapa?
Kami mahu mereka belajar bertanggungjawab dengan pilihan masing-masing.
Kami mahu mereka belajar untuk pilih dengan lebih berhati-hati lain kali.
Dan memberi peluang anak-anak untuk pilih sendiri, akan membantu mereka belajar untuk lebih berdikari dalam membuat keputusan.
Aminnn…… Semoga Allah bantu.
Kami lihat bergaduh itu sebagai peluang.
Ya, penat. Lagi-lagi kalau mereka bergaduh pada waktu kami baru pulang kerja, pada hari-hari yang jadual kami padat, hari-hari yang kami perlu berehat, hari-hari yang kami perlu bekerja di rumah.
Tapi, kami berusaha supaya kami sentiasa menenangkan antara satu sama lain. Menguruskan anak-anak terutamanya bab perilaku memang mencabar, perlukan senjata, perlukan kekuatan mental, emosi dan perlukan perancangan strategik (macam nak perang pula ya).
Kami ajar anak-anak kami untuk berbincang. Perkataan “bincang” adalah perkataan yang biasa didengar di rumah kami.
Abang-abang preschooler sudah mula pandai berbincang. Terutamanya Thufayl. Kadang, pandai pula dia manipulasi adiknya.
“Imdad, permainan Thufayl ni best. Imdad nak tukar?” tanya Thufayl sambil menayang-nayang permainannya.
Kalau Imdad termakan pujuk rayu, biasanya mereka akan ada mutual agreement untuk tukar suka sama suka.
“Thufayl! Tu kan Imdad yang beli!!” jerit Imdad lepas sedar yang permainan dia juga hebat.
Biasanya mula dengan jeritan, dan diklimakskan dengan tarikan, pukulan, hempapan, rampasan.
Kami akan biar mereka bincang dan resolve sendiri. Kebelakangan ini, semakin pandai mereka selesaikan pergaduhan sendiri. Tiada konsep beralah. Tapi, dua-dua berjaya mendapatkan persetujuan bersama.
Kalau pergaduhan masih tidak kelihatan tanda-tanda selesai selepas mereka bergasak beberapa minit, kami akan mula ambil bahagian. Ayah mode standby. Mama mode kaunselor.
“Thufayl, Imdad. Mama kira sampai 5, kalau tak selesai lagi berebutnya, mama ambil dua-dua sekali permainan tu“.
Ayah standby.
Masih bergaduh. Meraung, menangis, merampas.
Kiraan 5 bermula.
“5! Ok dah. Bak sini dua-dua permainan tu.”
Preschoolers berdua tu akur. Kerana mereka dah biasa. Mereka dah tahu. Walaupun mama ambil permainan mereka, mereka akan dapat balik. Tipu dan “trick” anak-anak adalah sesuatu yang tak kan kami lakukan. Begitu juga menafikan hak emosi mereka yang sedang excited dengan permainan baru yang mereka perolehi. Kami usaha untuk tak nafikan hak itu.
Permainan di’pass’ pada mama.
“Dua-dua datang depan mama. Duduk bersila sama-sama. Lutut Thufayl kena lutut Imdad. Tangan pegang! Sebelah tangan lagi dekat mulut. Mama’s turn untuk cakap.”
Ikut.
Dua-dua menghadap mama dengan lutut masing-masing bersentuhan, tangan berpegangan dan sebelah lagi tangan di mulut masing-masing.
Saya explain kembali kronologi pembelian permainan. Thufayl pilih permainan polis. Tapi, sekarang sama-sama berebut permainan bomba yang Imdad pilih.
“Jadi, sekarang Imdad nak yang mana?”
Imdad tunjuk permainan bomba.
“Thufayl?”
Pun tunjuk permainan bomba.
“Kalau macam tu, kita take turn. Boleh?”
Thufayl angguk. Imdad diam. Masih tak setuju. Dia mahu dia punya.
“Imdad main fire engine dulu. Jarum panjang dekat nombor 4, baru Thufayl pula main fire engine. Sekarang Thufayl main polis dulu. OK?”
Imdad ambil permainan bombanya. Thufayl ambil permainan polisnya. Main di tempat yang sama. Selang 5 minit, kedua mereka dah bergelak ketawa. Husam pun dah turut serta.
Jarum panjang di angka 4
“Imdad, Thufayl, jarum dah dekat nombor 4. Nak tukar tak?” saya mengingatkan perjanjian tadi.
“Takpe, mama. Imdad dah bagi Thufayl main fire engine dah. Imdad dah buat police car hebat,” kata Imdad.
Thufayl senyum sambil menghulurkan 1 blok kecil lego pada Imdad.
Anak-anak belajar resolve sendiri konflik mereka bila diberi peluang.
Anak merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai bagi pasangan suami isteri. dan ramai pasangan yang mengimpikan untuk mendapat anak kembar. Rezeki bagi ibu muda ini Siti Habshah Mat Sohod, 29 dan suaminya Kamarul Arifin Razali, 34 dikurniakan 6 orang anak, melalui kelahiran secara single, kembar dua dan kembar tiga! Rezeki sungguh, 3 kali sakit bersalin dapat 6 orang anak sekaligus.
Wanita ini berkahwin pada usia 21 tahun dan suami 26 tahun pada tahun 2009, serta bunting pelamin semasa mengandung anak pertama. Anak-anaknya Taufiq Aniq,8, kembar dua (twin) Lutfiah Hana & Lutfiah Hani,7, kembar tiga (triplet) Lutfiah Aira, Lutfiah Aina & Lutfiah Aini, 3.
Menurut ibu muda yang tinggal di Klang ini, tidak mengamalkan sebarang tip, petua, supplemen atau kaedah untuk mendapat anak-anak kembar. Mungkin ia memang rezeki dan genetik sebelah suaminya yang memiliki ramai keturunan kembar serta adik beradik yang ramai 14 orang.
Menurut wanita ini, beliau dan suami terkejut dan teruja dikhabarkan oleh doktor bakal menerima kembar tiga, memandangkan kelahiran sebelum ini adalah kembar dua.
“Saya terkejut, sebab pergi 2 klinik dua-dua doktor cakap twin. selepas pergi chek up doktor hantar rujukan kepada doktor pakar di hospital untuk scan dalam rahim. Rupanya nampak ada 3 baby.Saya rasa teruja dan suami pun terkejut tak tahu nak cakap apa. Tapi saya tak terlalu berharap sangat untuk dapat anak kembar tiga. Tiada siapa pun yang tahu saya pregnant triplet masa tu. Mak mertua je tahu..sampai dah scan nampak baby masa 6 bulan baru saya bagi tahu keluarga dan mereka semua terharu dan terkejut.”
Salah satu risiko mengandung anak kembar adalah risiko bayi pramatang.Kedua-dua kelahiran kembar twin dan triplet wanita ini dilahirkan secara pramatang. Twin lahir 36 minggu dengan berat 1.9kg dan 2.2kg pada 21 September 2011, manakala Triplet lahir 28 minggu dengan berat 1kg,1.1kg, dan 1.2kg pada 8 Mei 2015, serta 2 bulan perlu duduk nicu dan sebulan dalam incubator. Bagi kelahiran single dan twin dilahirkan secara normal manakala kelahiran triplet melalui pembedahan malah mengalami masalah kesihatan sewaktu dilahirkan.
“Triplet pernah kena petussis kronik masa umur 6 bulan.Jangkitan paru-paru kronik masa baru lahir.Saya juga dulu hampir kehilangan salah seorang triplet saya disebabkan petussis(batuk kering)berjangkit dengan orang yang datang melawat anak saya.Tapi saya tak putus asa berdoa agar Allah lindungi anak-anak saya. Allah dengar segala rintihan dan doa saya.Alhamdulillah mereka semua sekarang membesar dengan sempurna dan tiada sakit berbahaya.Namun saya tetap jaga mereka sebaik mungkin,” ujar wanita ini.
Memiliki anak kembar ada cabarannya yang tersendiri yang perlu tempuhi. Antaranya sewaktu berhadapan masalah kesihatan mereka, susun atur anak-anak didalam kereta, perbelanjaan sekolah dan segalanya yang berganda.
“Cabaran dalam membesarkan anak-anak ini ialah waktu mereka semua tidak sihat,waktu ke semua masuk sekolah,waktu nak pergi bercuti,waktu mereka bergabung explore satu rumah,waktu bawa ke kedai makan,waktu nak susun atur mereka dalam kereta,”
“Waktu demam biasanya mesti semua 6 orang demam skali, mungkin sebab berjangkit.Waktu sekolah pula time nak beli keperluan sekolah, semua nak sama.2 tahun lagi triplet pula sekolah.Perbelanjaan sangat tinggi,”
“Time nak bercuti jenuh kemas baju untuk 6 orang. Nak bawa semua pergi bercuti sangat susah nak handle.Bila nak keluar masuk kereta ayah mereka pening nak susun atur anak-anak.sebab kereta tak muat,”
“Kadang kala bawa anak-anak pergi kedai makan selalu jadi tumpuan sebab meja kami penuh dengan anak 6 orang, baby chair pun ada 3 sekali. Namun, alhamdulillah dapat uruskan mereka semua sendiri dari anak pertama lagi pantang pun sendiri,”ujar suri rumah ini.
Memandangkan anak yang ramai, jarak rapat-rapat dan masih kecil, Habshah membuat jadual tugasan khas setiap hari untuk uruskan anak-anak. Malah membuat ‘pagar’ atau penghadang untuk melindungi keselamatan anak-anaknya bermain dan memudahkan beliau membuat kerja-kerja rumah.
“Memandangkan saya tiada pembantu setiap hari ada jadual tugasan.Jadi tak susah sangat lebih-lebih lagi sejak abang dan kakak twin dah sekolah. Masa mereka 1 hari di sekolah.Jadi saya hanya uruskan triplet je di rumah.Saya ikut jadual tugasan saya setiap hari..Alhamdulillah mudah..lagipun rumah saya di bahagian depan memang suami letak pagar sebab tak nak bagi mereka main benda bukan-bukan lagi-lagi ke bahagian dapur dan tandas,”
“Saya pula memang jenis ambil berat tentang keselamatan anak-anak.Selalu risau banyak benda..mengutip,takut masuk bilik air,takut pergi dapur terkena air panas ke..minyak panas ke..banyak benda yang difikirkan..jadi saya terpaksa buat penghadang ni semua..sebab saya tak dapat nak pantau diorang setiap masa. Masa baby mereka semua main dalam ni..jadi mudah saya buat kerja tak risau..dah siap kerja baru saya keluarkan mereka, “jelas wanita ini.
Ramai orang suka nak anak kembar, tapi ramai yang terlepas pandang dengan kos perbelanjaan, yang double atau triple yang perlu ditanggung. Menurut ibu muda ini, berkenaan dengan kos perbelanjaan membesarkan anak-anak kembar diakui memang tinggi dan berganda-ganda. Seperti belanja sekolah,susu,pampers, tapi alhamdulillah rezeki anak-anaknya sentiasa ada. Perlu bijak berjimat dan ajar anak simpan duit serta tidak mewahkan mereka.
“Saya tak suka mewahkan anak-anak itu salah satu cara saya mengawal bajet. Saya jarang belikan anak-anak apa yang mereka nak, contohnya mainan, gajet,junk food. Sangat jarang saya bagi.Saya akan beli bila saya rasa saya nak beli.Jadi anak-anak pun dah faham dan tak meminta-minta.Saya selalu ajar kalau mereka nak apa-apa saya akan suruh simpan duit.Saya ada sediakan setiap orang 1 tabung,” jelas wanita ini lagi yang suaminya bekerja sendiri dalam bidang renovation dan iron works.
Mengenai perancangan untuk menambah ahli keluarga, menurut Habshah masih tiada lagi dalam perancangan. Beliau dan suami hanya mahu membesarkan anak-anak yang ada sekarang, namun tetap berserah pada kuasa Allah andai diberi rezeki, mereka menerima dengan hati terbuka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!