
Isi Kandungan
ToggleSekali sekala, kalau keluar makan atau terjumpa barang kesukaan suami, tak salahpun belanja suami untuk gembirakan dia.
Selalunya, isteri mengharapkan suami gembirakan hatinya. Tapi bagaimana pun nak gembirakan hati suami. Mungkin inilah salah satu caranya, jangan berkira untuk belanja suami. Percayalah, dengan cara ini boleh membuatkan rezeki isteri bertambah-tambah.
Antara perkongsian daripada Nor Zaleha Hasan Basri ini untuk isteri yang nak rasa rezeki berlebih-lebih, cubalah amalan ini.
Baca Artikel Menarik Di Sini: Suami Berilah ‘Duit Poket’ Untuk Isteri Simpan & Belanja Walaupun RM10, Jangan Lokek!
Info Lebih Menarik DI SINI
Belanja Suami, Rezeki Bertambah
Khas untuk Isteri yang nak rasa rezeki terlebih-lebih (Dengan Izin Allah Taala)
Jangan berkira-kira dengan suami. Meskipun yang layak Isteri menerima belanja dari suami.
Jangan berkira dengan mak ayah atau mak ayah mertua. Ikram mereka seikhlasnya walaupun dalam kocek tinggal berapa keping je.
Jangan berkira dengan anak-anak. Gembira mereka, rezeki kita Insya Allah akan hadir lebih & lebih lagi.
Jangan berkira dengan adik beradik pun. Biarpun adik beradik gajinya lebih dari kita.
Jangan berkira dengan saudara mara dekat mahupun jauh. Usaha call, usaha tanya, usaha juga ikram mereka.
Jumpa sahabat dalam kesusahan, bantulah. Tidak dari wang ringgit, cukup untuk bertanya keadaan.
Tidak semua ada wang yang banyak untuk diberi, cuma kita ada kudrat. Gunalah & infaklah kudrat tersebut kerana Allah Taala.
Ramai susah nak bangun tengan malam. Namun kalau kita cuba juga usaha, di situ sudah ada pahala berganda. Sebab nak bangun malam, nak doa untuk suami/isteri, anak anak, mak/ayah, adik beradik, saudara mara, sahabat — agar diampunkan dosa mereka dari akil baligh sehinggalah ke hari Allah Taala ambil nyawa mereka.
Cubalah.
Tak semua pun, cubalah buat salah satu.
Bila buat jangan harapkan apa apa.
Ikhlas kan sahaja & yakin Allah Taala akan pulangkan semula. Tidak di dunia, lagi banyak & kekal di akhirat sana.
Waktu sekarang, tak dibayar semula dekat dunia pun takpe dah — semua duk berkejaran kumpul saham pahala untuk nak masuk Syurga.
Kalau kita rasakan amalan kita dah cukup, dah confirm Syurga itu kita punya — abaikan je dekat atas.
Mingguan Wanita : Bila kita tak berkira, Insya Allah, rezeki sentiasa ada. Percayalah.
Sumber: Nor Zaleha Hasan Basri
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dapatkan Dos Pertama Vaksin, Pesakit Mental Juga Perlukan Peneman

Isi Kandungan
ToggleIsteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.

Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan.
NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Sumber/Foto : Husna Adnan
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Segalanya Demi Anak Istimewa, Edry & Keluarga Bakal Berpindah Ke Eropah

Demi perkembangan dan masa depan anak istimewanya, anggota KRU, Edry Abdul Halim, 42, bakal membawa keluarganya memulakan hidup baharu di Eropah bagi membolehkan anak ketiganya yang menghidap autisme menerima pendidikan terbaik.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga selepas Emery yang bakal mencecah usia 10 tahun masih belum boleh bertutur dan ia dilakukan untuk membantu perkembangan anaknya itu.
“Selama ini, kerja saya mengajar orang lain. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak saya tumpukan perhatian penuh kepada anak istimewa sendiri. Demi masa depannya, kami sekeluarga sedia berhijrah, mungkin untuk setahun dua dahulu.
“Saya dan isteri belum putuskan lagi lokasinya, tetapi di Eropah. Bukan tiada pusat pendidikan yang bagus di sini, namun kemudahan untuk kanak-kanak autisme di sana lebih lengkap.
“Sepatutnya kami bertolak bulan depan, sehari selepas Konsert Gergasi KRU 25. Disebabkan puasa dan raya sudah dekat, kami tangguhkan pemergian selepas Aidilfitri,” katanya.
Terdahulu, pada acara sama, KRU yang turut anggotai dua abangnya, Datuk Norman dan Yusry membuat pengumuman untuk membubarkan kumpulan itu secara rasmi pada hari terakhir konsert iaitu 6 Mei ini.
Persembahan mega selama tiga malam sempena ulang tahun ke-25 penubuhan KRU akan diadakan di Istana Budaya turut menjadi konsert selamat tinggal mereka.
Edry berkata, mereka sepakat bersara kerana sudah tiada apa lagi yang mahu dikejar, selain ingin menumpukan perhatian terhadap komitmen masing-masing.

“Kami tidak pernah merancang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada nyanyian selepas 25 tahun bersama, tetapi sudah tiba masanya kami berundur. Saya sendiri ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga terutama Emery.
“Dari segi bisnes, kami tetap usahakan bersama-sama dengan bantuan teknologi. Segala tugasan penerbitan dan sebagainya akan tetap diteruskan seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang menyokong KRU sejak 25 tahun lalu,” kata bapa kepada empat cahaya mata Emil Edry,18 Edylia Edry,15 dan Emery Edry,10, dan Elya Edry,8.
Selamat berhijrah ke luar negara Edry dan keluarga, semoga segala perancangan untuk anak dipermudahkan dan berjalan dengan sempurna.
Sumber: Bharian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Tak Boleh Tengok Rumah Bersepah, Suami Jangan Perlekeh Sifat Suka Mengemas Isteri

Isi Kandungan
ToggleMemang setiap wanita suka akan kekemasan rumah. Malah segelintir wanita tak boleh tengok rumah bersepah, jadi suami jangan perlekeh sifat suka mengemas isteri.
Ia bukan dibuat-buat tetapi memang fitrah seorang wanita gembira dan tenang bila rumah mereka di dalam keadaan kemas, bersih serta teratur.
Kadang-kadang mereka sanggup tidur lambat atau bangun lebih awal untuk pastikan rumah dikemas sebaiknya sebelum isi rumah celik mata.
Ikuti perkongsian Mohd Fhais Salim dan ketahui mengapa wanita atau isteri kerapkali bersikap begitu:
Wanita Tak Boleh Tengok Rumah Bersepah
Ada sebab kenapa wanita tak boleh nampak rumah bersepah sepah!
Dia boleh jadi sakit mata, serabut, sesak dan tak tenteram jiwanya.
Segelintir daripada mereka, mana boleh nampak benda bersepah- sepah macam ini, walaupun dari sudut akal dia faham fitrah kanak-kanak memang begini.
Tetapi dari sudut emosi dia tetap akan rasa rimas dengan kesepahan. Itulah wanita!
Fahami lah wanita begini,
– mereka bukan overreacting
– wanita bukan sengaja hendak cari salah
– mereka bukan nak tunjuk bagus
– wanita bukan suka marah marah
– mereka bukan besar-besarkan isu kecil
Tapi bagi wanita soal kekemasan dan kebersihan rumah ni sememangnya isu besar di jiwa mereka!
Baca Juga Di sini:
Rumah Atas Air Serba Sederhana, Kekemasan Pemilik Tu Buat Orang Kagum
Lubang Laluan Air Mesin Basuh Lebih Kemas & Cantik
FORMULA Cara Kiraan Jahit Tali Pengikat Langsir, Barulah Elok Kemas Tergantung!
Suami Jangan Perlekeh Sifat Suka Mengemas Isteri
Lelaki rumah bersepahlah macam mana pun, dia boleh lagi lepak atas sofa layan movie.
Wanita tak boleh, jangan kata hendak tengok movie, hendak duduk atas sofa itu pun jiwa dia boleh berantakan mata lihat rumah sepah sana sini.

Selagi rumah tak kemas, selagi tu la dia akan dalam mode nak mengemas saja kerjanya.
Kasihanilah pasangan kita, jangan perlekeh sifat suka mengemas mereka itu ya.
Itulah sebabnya, sekali sekala kalau kita tolong dia buat kerja rumah bersih dan kemas dia punya senyum lebar, boleh sampai ke telinga!
~ Mohd Fhais Salim ~
#fahamiWanita
Mingguan Wanita : Fahamilah sikap isteri wahai suami, biarkan mereka hidup dengan tenang. Rumah yang kemas itu sebenarnya terapi buat mak-mak.
Sumber: Mohd Fhais Salim
JOM SERTAI GRUP TELEGRAM BANGKIT WANITA MW
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita – https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Instagram Mingguan Wanita – https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Twitter Mingguan Wanita – https://twitter.com/MingguanWanita
Telegram : https://t.me/bangkitwanitaMW
Youtube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI