Saban hari isteri gunakan kudrat untuk bekerja demi bantu suami menampung belanja, sampai hati suami berkira untuk membantu buat kerja rumah.
Sebaiknya, setelah melihat pengorbanan isteri, apa salahnya sebagai tanda menghargai bersama-samalah bekerjasama dan saling membantu uruskan rumah tangga dan anak-anak.
Bersyukur kalau mak-mak dikurniakan pasangan yang memahami, setelah sama-sama penat bekerja, tiba di rumah saling membantu. Alhamdulilah. Namun ada juga suami yang agak berkira kalau mahu membantu suami. Betul tak?
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtarini dan hadam baik-baik ya:
Sampai Hati Suami Berkira Buat Kerja Rumah
Ramai yang berkira dengan pasangan untuk buat kerja rumah. Terutama suami. Iyalah, tiba-tiba kau nak kena basuh kain, lipat baju, gosok baju anak atau kena mandikan bayi.
Sedangkan dalam masa yang sama isteri sedang siapkan kerja lain, contohnya memasak. Masa itu juga lampin anak sudah penuh. Mengembung dengan kencing dan busuk dengan bau najis. Dibiarkan sampai isteri selesai masak.
Anak tak selesa. Menangis dan merengek. Datang ke ayah dia, pujuk pujuk tak jalan juga akhirnya kena marah. Padahal anak minta dibersihkan.
Selalu jadikan?
Isteri Gunakan Kudrat Bekerja Bantu Suami
Ya tuan-tuan, kita jenis nak semua kerja rumah isteri yang buat. Anggap kau dah bekerja cari duit ribu-ribu, urusan anak kau letak tepi. Semua kerja rumah kau serah pada isteri. Pandai-pandailah isteri buat semua.
Ads
Sampai kadang kau lupa, isteri itu juga baru balik kerja. Dah gaji kau rasa tak cukup. Kau pun izinkan dia kerja. Setiap bulan tampung juga belanja sikit-sikit.
Kawan-kawan, kalau isteri tak berkira untuk guna kudrat dan masa dia untuk bekerja dan bersama-sama kita membina keluarga, takkan kita berkira untuk buat sedikit kerja rumah.
Masa dua-dua ada di rumah, kerja rumah kita bahagi-bahagi lah. Bukanlah sampai perlu buat pembahagian dan perjanjian, tidak. Tapi kesedaran sendiri. Common sense orang kata.
Waktu isteri memasak, dia perlukan masa untuk sediakan semua dalam kadar segera. Kau juga yang nak makan. Waktu itu, anak-anak ada dan perlukan perhatian. Siapa nak ambil tugas ni? Kau lah.
Saling Membantu Bukan Berkira
Selesai waktu makan, pinggan mangkuk dan periuk kuali semua belum bercuci. Anak kecil dah mula cari mak dia, nak apa pun tak tahu. Yang penting anak nak mak dia waktu itu.
Ads
Siapa yang nak basuh semua tadi dan kemaskan sikit dapur? Kau lah.
Kadang ada malam yang isteri kau sakit-sakit badan dan pening akibat penat bekerja. Ubat dia tidur awal lah. Baju kerja kau tak bergosok lagi. Eh, baju kerja dia pun belum siap. Apa salahnya kau ambil baju untuk kerja esok, kau gosoklah.
Sedara sekalian, begitulah hidup rumah tangga. Dua-dua bersatu membentuk rumahtangga. Kalau mampu, kau gajikan lah pembantu rumah.
Kalau tak mampu, kau buatlah sama-sama. Itu sahaja solusi sebuah rumah tangga.
Begitulah.
Firdaus Mokhtar,
Suami juga.
MW: Jalan terbaik, mak, ayah lakukan kerja rumah bersama-sama. Jangan berkira iya barulah bahagia rumah tangga, bila mak, ayah saling membantu.
Isteri walau sebesar mana pun rintangan dalam rumah tangga, tetap akan cuba bertahan. Sentiasa ada di belakang suami, saat susah dan senang.
Namun, kesabaran isteri juga teruji dengan sikap suami. Makin lama makin menipis dengan sikap baran suami. Sikap itu makin memuncak di waktu PKPB ini. Ikuti luahan rasa isteri itu kepada MW.
Assalamualaikum puan. Saya ibu kepada empat orang cahaya berusia 10, 13, 16 dan 17 tahun. Saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Syukur, saya masih ada kerja dan pendapatan untuk kelangsungan hidup di saat pandemic Covid-19 yang ramai hilang kerja.
Suami juga bekerja di sebuah syarikat swasta dan selepas PKPP diumumkan, dia juga bekerja dari rumah. Hanya beberapa hari dalam seminggu dia ke pejabat.
Apa yang ingin kongsikan dan minta sedikit pandangan puan, sikap suami. Suami seorang yang panas baran. Sejak awal kahwin lagi saya memang tahu sikapnya itu dan sanggup menerima dirinya seadanya. Saya juga sentiasa berdoa agar dirinya akan berubah.
Ternyata sikap orang teramat sukar untuk berubah. Namun saya tetap bertahan walau pun sikapnya itu makin menjadi-jadi. Sebabnya dia tak pernah pukul saya dan anak-anak walau pun dia baran. Hanya barang rumah ada yang akan pecah. Pintu rumah juga pernah rosak keran ditumbuknya. TV pernah rosak bila dibaling remote kerana anak-anak berebut siaran.
Tapi saya tetap sabar. Namun sikapnya itu makin menjadi-jadi bila usia lewat 40-an kini. Hal remeh akan jadi besar. Pantang salah ditengking dan diherdik. Bukan saya saja bahkan anak-anak. Biasanya saya hanya diam kerana tak ingin panaskan keadaan. Akhirnya saya menangis sakit hati.
Bila anak-anak makin besar, mereka dapat lihat layanan ayah mereka pada saya. Tapi saya sentiasa ingatkan anak-anak supaya jangan dilawan ayah mereka. Bersabar saja. Hanya anak lelaki sulung saya yang sering merungut di depan saya. Katanya dia bersabar demi saya. Tapi kalau ayahnya sanggup ‘naik tangan’ dia akan bawa saya lari.
Bila PKPB bermula kembali (saat e-mel ini saya hantar ke MW), saya risau kerana suami akan banyak masa di rumah. Tentu ada saja yang tak kena. Kalau tak saya, anak-anak akan jadi mangsa kemarahannya. Hinggakan anak-anak lebih rela berkurung dalam bilik daripada bersemuka dengan ayah mereka.
Sehingga beberapa hari lepas, saya dimarah teruk kerana terlambat masak sedangkan ketika itu saya memang tak sihat. Dia pun tahu yang saya tengah sakit kepala. Diamuknya, habis periuk dilempar ke luar rumah. Saya juga dimaki hamun di depan anak-anak dan buat pertama kali, saya menjawab dan suami hampir menampar saya.
Saya terperanjat dan hanya mampu menangis. Tak sangka anak sulung saya melihat dari jauh. Selepas ayahnya beredar dia datang kepada saya dan mengajak saya tinggalkan rumah dan bawa adik-adiknya bersama. Katanya dia takut satu hari nanti ayahnya akan pukul juga saya. Bahkan katanya, dia tak kisah kalau saya nak bercerai dengan suami!
Saya tahu anak saya itu makin hilang sabar dengan sikap ayahnya itu. Namun saya tetap pujuknya dengan lembut. Saya nak dia bersabar bersama saya. Puan, saya sayangkan suami saya walaupun dia panas baran dan saya sentiasa menjeruk rasa sepanjang perkahwinan kami. Bagaimana saya nak cuba redakan perasaan sedih saya ini? Apa yang boleh saya lakukan untuk redakan panas barannya itu?
Isteri Terluka, KL
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Baran atau mudah marah dan melenting adalah satu tindakan agresif dari seorang pelaku. Ia boleh mengeluarkan serangan fizikal, kata-kata yang menyakitkan hati, atau serangan terhadap barangan yang berada di persekitarannya.
Baran ini sebahagian besar diwarisi, dan juga proses sosialisasi daripada keluarga yang membiarkan sifat baran itu menjadi “habit” atau pelaziman kepada tingkah lakunya. Pelaziman ini akan membentuk karakternya sehingga dewasa. Dan apabila terbentuk sekian lama, maka karakter atau perangai tersebut agak sukar untuk diubah.
Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri. Panas baran, ‘kepala angin’ atau ‘naik hantu’ berlaku kerana kesukaran menangani perasaan marah yang menyebabkan seseorang itu hilang malu sehingga sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan sukar apabila berhadapan dengan suami yang panas baran. Perkara sekecil kuman pun boleh jadi besar. Sikap panas baran memang sukar untuk diubah. Namun mungkin puan mampu mengubah diri puan untuk menanganinya.
Daripada apa yang puan ceritakan, saya dapat melihat puan seorang yang amat sabar dalam menangani baran suami. Kalau dari sudut Islam, puan adalah isteri yang solehah kerana ujian seorang isteri biasanya datang daripada karenah suami. Jika dapat bersabar dengan kerenahnya, amatlah besar pahalanya. Mungkin beberapa panduan ini boleh membantu puan untuk mendapat ketenangan dan keadilan buat diri puan.
Seperti yang puan sedia maklum, bukan mudah untuk mengubah suami untuk berubah tingkah lakunya. Jika puan tidak mulakan untuk mengubah diri puan, maka puan akan berada dalam kesengsaraan seperti yang puan rasai kini. Maka perubahan itu perlu datang dari puan.
Ada seorang ibu bertanya, kenapa anak jadi biadab? Saya bertanya, siapa yang membiarkan anak menjadi biadap terhadap kita? Saya juga pernah ditanya oleh seorang suami, bagaimana nak atasi isteri yang suka queen control? Saya bertanya semula kepadanya, kenapa membiarkan diri di”control”?
Maka kalau ditanya macam mana nak hadapi suami baran yang selalu suka tengking dan pukul? Saya bertanya, siapa yang membiarkan diri ditengking dan dipukul? Bukankah diri sendiri ada maruah, ada harga diri.? Kenapa biar orang lain tengking dan pukul sesuka hati. Bukankah diri sendiri yang bergelar isteri adalah amanah Allah ? Selama bertahun dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapa, tidak lah tertekan seperti mana yang dihadapi apabila telah berumah tangga.
Justeru, jika puan mahukan kebahagiaan, dan mahu suami berubah, maka puan sendiri perlu berubah. Dari sini yang bertanya akan terhenti sejenak, kenapa orang yang hampir dengan kita jadi begitu. Salah dia kah atau salah diri kita yang tidak mampu membentuk dirinya untuk jadi lebih baik?
Justru, dari sini, puan bahawa kita tidak mampu mengubah orang yang kita sayangi, orang yang hampir dengan kita, tetapi kita mampu mengubah diri sendiri yang nantinya insya-Allah mampu pula mengubah orang yang hampir dengan kita.
Luahan Hati ini dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami ni, kalau dia dah berkehendak akan sesuatu, isteri tak berdaya lagi nak haling. Termasuklah dalam soal poligami atau ‘buka cawangan baru. Kalau tak boleh secara terang, dia akan buat secara diam-diam. Percaya tak?
Ada lelaki yang sejak awal lagi sudah ‘pasang niat’ dan berhasrat untuk berkahwin lebih daripada satu. Sebabnya, hanya dirinya sendiri yang tahu. Ada yang pada awal perkahwinan dah bagi hint pada isteri akan hasratnya itu. Ada juga yang memang ‘diam’ saja hingga akhirnya dia bertindak bila tiba masanya.
Bab ini memang wanita sukar nak faham. Tak macam wanita. Bila dah berlakunya pernikahan, insya-Allah pada suami akan diserahkan segala kasih sayang. Berbeza dengan lelaki. Hati mereka ada banyak ruang untuk dikongsikan dan didiami oleh beberapa orang wanita!
Memang benar, dalam Islam poligami dibenarkan dan Rasulullah s.a.w sendiri turut memiliki lebih daripada seorang isteri. Sebab itu, ramai lelaki kalau soal poligami akan sentiasa jadikan alasan ‘hendak ikut sunah Rasulullah’. Tapi, bab lain kenapa tak pula diikut dan dicontohi?
Sebenarnya kalau betul pun suami hendak berpoligami, bertindak dengan wajar. Pertama, bnerterus terang dengan isteri walau pun itu perkara paling pahit dan payah nak dilakukan. Ramai lebih rela kahwin diam-diam hingga ke luar negara daripada berterus terang dengan isteri pertama.
Kenapa ye? Alasan suami pun banyak. Ada yang cakap, tak nak lukakan hati isteri. HELLO! Sah-sah hati isteri dah terobek dek perangai suami itu. Tak adalah maknanya bagi alasan ini. Selain itu, sebenarnya lelaki malas nak konflik katanya. Tapi, bayangkan kalau isteri tahu sendiri?
Ada kalanya lelaki suka bertindak tekad tanpa memikirkan dulu apa natijahnya. Memang berpoligami hak suami, tapi apakah isteri tiada hak untuk tahu? Bertahun-tahun berkongsi susah senang bersama, dilupakan pengorbanan isteri begitu saja?
Tidakkan mereka terfikir, perkara itu satu perkara yang tak boleh ditutup. Lambat laun akan diketahui juga. Jadi, kenapa tak nak berterus terang dari awal?
Rasanya lebih ramai wanita yang tak sanggup berpoligami berbanding yang rela. Suami kalau betul-betul hormat dan sayang isteri, kena berterus terang dengan isteri sebelum kahwin lain. Mungkin perang besar akan berlaku tapi dalam masa yang sama sebenarnya suami menghormati isteri kerana dalam hal itu, masih sanggup berterus terang biarpun tahu risiko yang menanti.
Memang isteri akan marah, sedih dan sebagainya. Namun dia tetap rasa sedikit bersyukur suami tak membelakangi dirinya. Pada saat itu, isteri sebenarnya diberikan pilihan. Walau pun pahit namun demi sayang dia sanggup izinkan. Atau dia pilih untuk berpisah kerana tak sanggup berkongsi kasih. Itu terpulang pada penilaian isteri waktu itu.
Banyak sebab lelaki hendak berpoligami. Ada yang menjadikan zuriat sebagai alasan, nafsu, selain kerana jatuh cinta buat sekian kalinya walau pun usia dah senja!
Namun, jangan sesekali menjaja kelemahan diri isteri untuk meraih cinta baru! Sebagai suami, patutnya jaga aib isteri. Kalau pun isteri ada kekurangan daripada kaca mata suami hingga perlu ‘kahwin lagi’ untuk mencari bahagia daripada persepsi diri mereka, namun dia taka da hak nak jaja buruk isteri. Seolah-olah meletakkan punca suami kahwin lain kerana isteri yang banyak kekurangan. Tak patut tu. Macamlah suami tu serba sempurna!
Lelaki, walau pun dilayan bak ‘raja’ oleh isteri, kalau hatinya sudah berpaling arah, memang tak makan pujuk. Jadi, isteri tak perlu terlalu kecewa hingga timbul stres.
Untuk suami, berlaku adillah kalau memang pilih jalan poligami. Segalanya bergantung pada. Kalau dapat dicorakkan dan dibimbing dengan baik, tak mustahil madu-madu dapat hidup harmoni!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam satu hari mesti ada saja anak yang akan buat ‘perangai’. Itu kalau seorang, kalau anak ramai, macam-macam peel ada. Gaduh dan marah dengan adik-adik yang lain. Sampai satu tahap, mesti salah seorang yang akan menangis.
Kadang-kadang, anak yang suka marah sebab dia perlukan perhatian daripada mak ayah. Namun, mak ayah jangan pula biarkan anak terus dalam keadaam seperti itu. Kena ada cara untuk mengajar atasi kemarahan anak-anak itu.
Macam mak ayah sendiri, memang marah kalau anak buat perangai. Begitu juga dengan anak-anak, sifat ini berlaku kerana terikut-ikut cara mak ayah. Jadi, lepas ini, mak ayah kena ada cara yang betul untuk ajar anak ye. Jangan biarkan anak terus dalam keadaan marah, bimbang timbul masalah lain.
Perkongsian daripada Faizatul Iman ini, boleh membuka mata mak ayah di luar sana untuk mengajar kaedah terbaik dalam mengatasi anak yang suka marah-marah.
Rupanya marah pun ada peraturan. Ini lah yang perlu kita aplikasikan dan ajar kepada anak-anak. Ilmu baru yang saya dapat daripada Puan Maznah Ibrahim. Katanya marah itu tidak salah kerana ia adalah satu perasaan spontan apabila sesuatu dirasakan ancaman.
Ajar anak-anak untuk melabelkan perasaan mereka, sehingga mereka dapat meluahkan perasaan marah, kecewa, dan kecewa. Isi penting untuk diingatkan kepada anak-anak. “Marah adalah okey” “Tidak apa-apa untuk merasa marah namun;”
Tidak boleh cederakan diri, cederakan orang lain, rosakkan barang di sekitar dan tidak boleh menyerang secara lisan atau fizikal
Contoh ayat untuk kita yang sedang marah, dan perlu untuk kita ambil masa untuk redakan kemarahan.
“Ummi juga sangat marah macam adik. Ummi pergi ke dalam bilik dulu untuk tenangkan diri sebab ibu tak nak cederakan sesiapa. Adik boleh teruskan keluarkan marah adik disini. Bila dah selesai, datang pada ibu.”
Katanya lagi, dengan ini anak tahu
1. Apa yang anak boleh buat
2. Dimana ibu dia berada
3. Anak tahu ibu dia mahu dia selamat
4. Ibu ada masa untuk bertenang
Kadang kala, tingkah laku agresif berpunca dari pelbagai perasaan tidak selesa, seperti kesedihan atau rasa malu. Oleh itu, bantulah anak kita meneroka kenapa mereka berasa marah.
Contohnya:
Mungkin mereka merasa sedih kerana janji tidak ditunaikan, tetapi mereka bertindak balas dengan marah kerana lebih mudah atau menutup rasa sakit yang mereka rasakan.
Kaedah terbaik untuk mengajar anak-anak bagaimana menangani kemarahan dengan bermula macam mana cara marah yang betul ditunjukkan oleh ibu bapanya:
Kanak-kanak perlu mengetahui cara yang sesuai untuk mengatasi kemarahan mereka. Daripada diberitahu,
“Jangan pukul kawan,”
Jelaskan apa yang dapat anak lakukan ketika mereka merasa kecewa atau marah dengan lafazkan menggunakan kata-kata bahawa kita marah atau kecewa atau jauhilah kawan tersebut ketika merasa marah.
Bincang dan buat anak berfikir “Apa yang dapat abang lakukan selain daripada memukul untuk redakan kemarahan abang ni?” Ianya dapat membantu anak kita mengenal pasti strategi yang mungkin bermanfaat.
Kita juga boleh membuat alat penenang yang dapat digunakan ketika mereka marah. Isi kotak dengan barang-barang yang dapat menenangkannya, seperti buku mewarnai dan krayon untuk menconteng, losyen yang berbau harum, atau muzik yang menenangkan. Melibatkan pancaindera anak dapat menenangkan fikiran dan badan.
Begitulah,
Marah is okey, namun jangan jadi tabiat suka marah marah.
MW: Marah itu perasaan spontan. Ajar anak kawal marah dan mak ayah pun kena kawal diri juga.
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kanak-kanak lelaki didakwa dipaksa minum air cili di sebuah taska di Kluang. Kes kini disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.