Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sekali lagi diuji apabila isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor hari ini.
Menurut laporan M’star, permohonan tersebut difailkan pada jam 2.30 petang dan sebutan kes berlangsung di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim. Difahamkan, proses itu hanyalah sebutan awal dan belum ada keputusan lanjut mengenai status perkahwinan mereka.
Ads
Faisal atau mesra disapa Mickey oleh peminat bola sepak, mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019. Hasil perkongsian hidup selama lebih enam tahun itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan.
Ads
Setakat ini, punca perceraian masih belum diperincikan, manakala kedua-dua pihak juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung permohonan berkenaan.
Ads
Sebagai pemain utama Selangor FC dan tonggak penting skuad kebangsaan, perkembangan mengenai rumah tangga Faisal tentunya menjadi perhatian umum. Peminat bola sepak tempatan kini menanti penjelasan lanjut berhubung situasi yang dihadapi oleh bintang berusia 27 tahun itu, yang sebelum ini turut mendapat simpati ramai selepas insiden disimbah asid pada Mei lalu.
Di sebalik kejayaan sesebuah organisasi, ada insan-insan yang saban hari berjuang di meja kerja, di tapak projek, mahupun di bilik mesyuarat. Namun tekanan, keletihan melampau dan masalah kesihatan mental sering kali menjadi ancaman senyap yang melemahkan tenaga kerja.
Menyedari hakikat itu, Pusat Kesihatan, Fisioterapi dan Rehabilitasi Bersepadu (IDEAL) bersama perusahaan sosial Thrive Well melangkah setapak ke hadapan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di IDEAL Bangsar baru-baru ini.
Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, menegaskan bahawa kesejahteraan pekerja perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tubuh badan, tetapi juga ketahanan psikologi.
“Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan ketidakhadiran pekerja, mencegah burnout, serta meningkatkan produktiviti. Pekerja yang sihat adalah tulang belakang sesebuah organisasi yang berjaya,” katanya penuh keyakinan.
Bagi Ellisha Othman, Pengarah Urusan Thrive Well, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
“Syarikat korporat perlu lebih peka terhadap kesejahteraan pekerja. Melabur dalam program kesihatan fizikal dan mental bukan sekadar menjaga pekerja, tetapi juga menyediakan organisasi untuk lebih tahan menghadapi cabaran ekonomi global,” ujarnya.
Majlis menandatangani MoU turut disaksikan wakil daripada syarikat korporat ternama seperti PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings dan Energise Sdn. Bhd. Kehadiran mereka menandakan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh budaya kerja yang sihat di Malaysia.
Kerjasama antara IDEAL dan Thrive Well ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi diyakini bakal menjadi penanda aras baharu dalam kesejahteraan korporat. Ia menegaskan bahawa kesihatan pekerja adalah satu pelaburan strategik kerana dari tubuh yang sihat dan jiwa yang stabil, lahirlah produktiviti, inovasi dan kejayaan jangka panjang.
Pelakon muda berbakat besar, Anna Jobling, bukan sahaja dikenali kerana wajahnya yang manis dan lakonannya yang bersahaja, tetapi juga kerana satu sisi personaliti yang jarang dikongsi, minatnya mengumpul barangan kemas. Bagi Anna, setiap perhiasan bukan sekadar aksesori, tetapi memiliki kisah, emosi dan memori tersendiri.
“Bila saya melihat cincin atau rantai lama dalam koleksi saya, saya teringat momen yang mengiringinya. Ada yang hadiah, ada yang saya beli untuk menghargai diri sendiri. Semua itu jadi penguat semangat,” ujar Anna penuh makna.
Menariknya, bukan sahaja Anna menyimpan koleksi peribadi, malah rakan karib serta peminat setianya juga mengetahui tentang minatnya itu. Tidak hairanlah, hadiah yang sering diterima olehnya adalah barangan kemas! Bagi Anna, setiap pemberian tersebut bukan sekadar simbol persahabatan atau tanda penghargaan, tetapi kenangan berharga yang akan kekal bersama dirinya.
“Bila seseorang hadiahkan barangan kemas, saya rasa sangat dihargai. Ia bukan sahaja indah untuk dipakai, tapi ada cerita di sebalik setiap pemberian itu. Saya akan sentiasa ingat siapa yang memberi dan dalam suasana apa ia diterima,” katanya dengan senyuman lembut.
Saya memang seorang pengumpul emas. Daripada kecil lagi saya suka, bila dah besar lagi bertambah suka.
Nombor satu, sebab saya memang minat emas. Kedua, emas boleh dijadikan pelaburan, harga sentiasa naik tak akan menurun.
Saya selalu nasihatkan kawan-kawan saya untuk melabur kepada emas walaupun saiznya (perhiasan) kecil.
Selain menerima hadiah dan mengumpul koleksi istimewa, Anna juga menyimpan sebuah hasrat peribadi untuk suatu hari nanti menghasilkan koleksi barangan kemas rekaannya sendiri.
Minat mendalamnya terhadap dunia perhiasan membuatkan Anna mahu melangkah lebih jauh, bukan hanya sebagai pemakai, tetapi juga sebagai pereka yang mampu meninggalkan sentuhan uniknya.
“Kalau ada rezeki, saya mahu hasilkan koleksi barangan kemas sendiri. Sesuatu yang mencerminkan diri saya, elegan tapi tetap moden. Ia mungkin jadi cara saya berkongsi sebahagian daripada jiwa saya dengan orang lain,” ujar Anna penuh harapan.
Kebetulan, kecintaan Anna terhadap barangan kemas bertaut indah dengan pelancaran kempen perkahwinan terbaharu Tomei, jenama barang kemas terkemuka negara. Bertemakan Her Vintage Vow, kempen ini menjadi penghormatan kepada kekuatan lembut wanita, warisan budaya serta perjalanan mereka menuju hari bahagia.
Mengangkat falsafah bahawa janji cinta tidak hanya diungkapkan dengan kata-kata, perhiasan pula menjadi simbol nyata kepada kasih yang abadi. Bagi Tomei, perhiasan adalah satu deklarasi personaliti, cerminan siapa diri wanita itu, dan bukan semata-mata pelengkap tradisi.
Menurut Ketua Transformasi Tomei, Ng Yi Jia, “Her Vintage Vow bukan sekadar koleksi perhiasan, tetapi simbol janji cinta dan keperibadian. Kami mahu setiap pengantin merasakan bahawa diri mereka diraikan dengan cara paling tulen melalui gaya yang benar-benar mencerminkan siapa mereka.”
Kempen Bridal 2025 ini memperkenalkan empat koleksi utama yang menjadi nadi kepada Her Vintage Vow iaitu Diamond Collection, Yellow Diamond, Pearl Collection dan Diamond Cut.
Sebagai wajah utama kempen ini, Anna melihat koleksi Tomei sebagai lanjutan minatnya sendiri. Setiap helaian rantai, cincin, dan subang memberi inspirasi untuknya mengekspresikan diri dengan lebih autentik.
“Bagi saya, perhiasan ada roh tersendiri. Ia bukan sekadar cantik di tubuh, tapi memberi keyakinan dari dalam,” kongsi Anna.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Tomei Wedding Fair bakal berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, dari 3 hingga 16 September 2025.
Pengunjung bukan sahaja dapat meneroka keseluruhan koleksi Bridal 2025, malah menyertai sesi Style Talk bersama Anna Jobling dan kolaborasi khas dengan Tangsi Tujuh yang mengangkat perspektif baharu perkahwinan Nusantara moden.
Lebih menarik, acara ini turut menawarkan pengalaman Sanrio Pop-up Experience dengan pelbagai tawaran istimewa dan hadiah eksklusif seperti Sanrio Blind Box edisi baharu dan 999 Hello Kitty Sports Medal Gold Wafer.
Inkues bagi menentukan punca kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, memasuki fasa baharu apabila kumpulan peguam mewakili ibunya melantik seorang pakar bebas untuk meneliti 21 dokumen dipercayai mengandungi tulisan tangan milik arwah.
Menurut peguam keluarga, Rizwandean M. Borhan, permohonan sudah dikemukakan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar yang dilantik dibenarkan hadir menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen tersebut.
“Masih terlalu awal untuk menilai isi kandungan dokumen itu selepas pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia selesai memberi keterangan hari ini. Dokumen terbabit merangkumi diari, cebisan kertas, buku teks sekolah dan pelbagai catatan lain. Namun, sehingga kini belum ada pengesahan sama ada kesemuanya benar-benar ditulis oleh arwah atau pihak lain.
“Kami bagi pihak ibu Zara melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini selain akan membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar (dilantik) kami dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Zara Qairina hari ini.
“Buat masa ini, ia hanya contoh ‘spesimen’ dan identiti penulis belum dapat dipastikan. Justeru, kami mahu pakar tulisan tangan bebas turut diberi peluang membuat pemeriksaan,” jelasnya selepas prosiding di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Beliau menambah, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan untuk menentukan masa dan lokasi pemeriksaan agar pakar yang dilantik dapat meneliti dokumen berkenaan secara terperinci.
“Lebih baik kita berhati-hati dan tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan,” tegas Rizwandean.