Pagi ini, dunia kewartawanan kehilangan permata yang cukup berharga. Kembalinya Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali ke perkampungan abadi memberi berita duka pada siapa pun yang mengenali akan kebaikan Penasihat Editorial Sinar Harian ini.
Kerana, sepanjang hayatnya baik keluarga mahupun staff bawahannya sedia maklum akan kecintaan sosok lelaki ini yang begitu komited terhadap kerjaya dan profession ‘kewartawanan’nya.
Sehinggakan, beberapa hari sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Allahyarham dalam usia 66 tahun ini masih sempat melunaskan tugasan akhirnya. Biarpun ketika itu Allahyarham perlu berjalan berpaut pada anak sulung ke pejabat, dibantu anak perempuan untuk membaca dokumen, malah isteri memegang tangannya agar mudah untuknya menandatangani setiap helaian dokumen yang perlu dibereskan.
“Dia tak mampu pun nak pegang pen. Ada yang terkena namanya.. ke atas bawah. Begitulah komited dia pada kerja. Dia sayang kerja dia.” Cerita balu Allahyarham, Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan ketika ditemui di kediamannya dekat Bandar Sunway.
Sewaktu hayatnya, kata-kata ini Allahyarham dendangkan pada isteri. “Kerjaya nombor 1, isteri.. tak salah nombor seratus.”
Namun, isteri tak pernah ambil hati, sebab dia tahu suaminya bergurau. Sebab itulah dalam di akhir-akhir hayatnya, Allahyarham masih bekerja. Ke pejabat dihantar isteri, dan balik diambil anaknya. Kata Allahyarham, “Selagi masih mendapat gaji, dia tetap perlu buat tugasnya.”
Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas / Kredit foto : Ahmad Yani Abd Manaf
Dengar Sebut ALLAH, Itulah Perkataan Akhirnya
Kongsi balu Allahyarham lagi, Jumaat malam lalu, mereka sempat mengadakan kenduri tahlil di surau berdekatan kediaman mereka. Demi mendoakan kesihatan suami.
“Jumaat itu, dah nampak sangat lemah. Waktu saya bersihkan dirinya, dia tunduk kepala. Katanya letih. Sewaktu dipakaikan baju dan bawa keluar ke laman pun saya perasan matanya dah tak bersinar, kelabu kelam.
“Bila ditanya sama ada kenal atau tidak anak. Katanya dia kenal. Dan dia minta dipotongkan kukunya. Sepanjang dipotongkan kuku, dia pandang saja anaknya.” Bila mana ditanya nama setiausaha dan majikannya, Dato’ Hussamuddin, Allahyarham juga masih dapat mengingat dengan jelas.
Ads
Cuma, waktu itu kesihatannya semakin merosot. Ubat pun dah tak mampu untuk ditelan, makan pun tiada selera. Selepas maghrib Allahyarham berbaring dan mencari anak-anaknya. Minta mereka ada disampingnya. Mengurut tangannya sekerap mungkin.
“Dalam jam 2 pagi, dia kata panas. Minta dipasangkan kipas. Saya tanya sakit perut ke? Katanya Ok. Dalam 3.51 pagi, dia nampak resah. Masa itu saya pasangkan selawat tafrijiyyah dan saya pun berselawat sama untuknya. Sambil urut, pegang tangannya.”
Selawat itu terus berkumandang di telefon bersambung-sambung pula dengan selawat yang lain. Tiba-tiba telefon terjatuh. Datin Sharifah Nooraiya segera mengangkat telefon dan sambung ‘on’ selawat yang terhenti.
Sampailah jam 4.45 pagi, selawat yang berkumandang terhenti. “Oh! Selawat dah berhenti.” Ujar Datin Sharifah Nooraiya.
Dalam pada isteri berkata-kata, terdengar Allahyarham menyebut ‘Allah’. Dan itulah perkataan akhirnya. Segera, isteri bingkas bangun memeluk suami. Selepas suami mendengus dua kali, nafasnya terhenti.
Waktu itulah, ahli keluarga memanggil ambulans untuk bantuan kecemasan. Apabila tiada respons, Allahyarham dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Namun, Allah lebih sayangkan Allahyarham. Dan akhirnya keluarga redha dan menerima hakikat apabila Allah memanggil kecintaan hati mereka pulang ke perkampungan abadi.
Seorang Suami Yang Baik, Ayah Yang Bertanggungjawab
Siapa pun yang mengenali Allahyarham, pastinya takkan dapat melupakan senyuman simpul yang sentiasa melekat di bibirnya. Gurau senda sudah jadi kebiasaannya. Bagaimana komited di pejabat, begitulah Allahyarham melunaskan tanggungjawab kekeluargaan dengan seimbang.
Kata balu Allahyarham, suaminya seorang ayah yang bertanggungjawab dan suami yang baik. Jika di rumah, masanya adalah untuk isteri dan anak-anak. Malah, Allahyarham juga baik dengan pembantu rumahnya.
“Waktu menantu keguguran, dia menangis.” Dek kerana pengharapan Allahyarham yang begitu ingin menimang cucu sulung. Sekitar Mac lalu, Allah kurniakan hajat Allahyarham apabila direzekikan bergelar datuk.
“Kegembiraan itu tak dapat dinyatakan. Gembira rasa hati sehinggakan dia merasakan cucu dia paling cantik di mata dia. Nampak yang lain dah tak berapa lawa katanya.” Begitulah kehadiran cucu memberi kegembiraan pada Allahyarham.
Rakan-rakan wartawan datang ziarah sewaktu Allahyarham dimasukkan ke hospital.
Hasrat Mahu Jadi Imam Tetap Surau Tak Kesampaian
Sepanjang hayat arwah, bukan saja berbakti pada kerjaya dan famili. Malah, amat bertanggungjawab menjaga kedua ibu bapanya yang sakit.
Ads
“Waktu ibunya sakit tahun 2005, dia jaga ibu yang kena kanser. Selepas ibunya meninggal, tahun 2006, jaga pula ayah sakit selama 13 tahun. Sebab itulah kita akan balik kampung selalu.”
Fokusnya menjaga kedua ayah ibu membataskan waktu antara Allahyarham dan isteri untuk mempunyai waktu khas berdua. Sehinggakan, selepas kedua ibu ayah tiada, isterinya minta agar dapatlah diluangkan waktu untuk mereka.
Rupanya, pemergian ayah ibu seolah meregut semangatnya. Selepas pemergian itulah kata isteri, Allahyarham kerap bermimpikan kedua orang tuanya. Sehinggakan tidak begitu memikirkan kesihatan diri.
“Sampailah tahun lepas, dia jatuh sakit.” Bagaimana pun, Allahyarham Abd Jalil Ali yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang ini menyimpan satu impian mahu menjadi imam tetap di surau dekat kediamannya sebaik berpencen. Namun, hasratnya itu tak kesampaian.
Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya
Kata Datin Sharifah Nooraiya sempatlah juga suaminya menjadi imam ganti untuk beberapa ketika di surau berkenaan.
Difahamkan jenazah perlu menjalani ujian saringan Covid-19, iaitu prosedur operasi standard (SOP). Ujian mungkin mengambil masa antara empat hingga lapan jam sebelum dibenarkan dibawa pulang.
Jenazah akan mandi, dikafankan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya sekitar 9.30 malam dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas dibenarkan dibawa keluar dari hospital.
Al Fatihah.. semoga Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali mengampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan di taman-taman syurga di samping orang-orang yang beriman.
Sejak akhir-akhir ini ramai yang mempersoalkan tentang hak penjagaan anak. Apatah lagi ramai isteri dan ibu di luar sana yang bimbang tentang hal ini. Peguam Syarie, Amirul Akmal memberi penjelasan tentang isu hangat ini.
Ibu Adalah Penjaga Yang Paling Berhak Dari Orang Lain
Malah Amirul juga berpesan agar sebarkan kefahaman ini agar tiada wujud salah faham lagi.
Peguam Syarie Amirul Akmal
“Acap kali hampir setiap masa peti masuk Facebook ataupun Whatsapp di hujani dengan persoalan mengenai hak penjagaan anak yang telah disalahfahami dan disalah ertikan oleh orang awam.
“Antara soalan yang ditanya: “Kalau isteri minta cerai isteri hilang hak jagaan anak ke?” Kalau isteri tak bekerja suami cakap tak layak nak tuntut hak jagaan anak, betul ke tuan? dan pelbagai lagi soalan yang berkaitan hak penjagaan anak dengan seribu macam persoalan yang muncul. Namun terpanggil bagi saya untuk menjelaskan perkara ini bagi memberikan kefahaman terhadap orang awam yang masih terpingga-pingga dengan Undang-Undang Syariah khususnya mengenai perihal hak jagaan anak atau hadhanah.
“Untuk pengetahuan semua menurut seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor menyatakan bahawa ibu adalah penjaga yang paling berhak dari orang lain bagi menjaga anak kecilnya samaada dalam tempoh perkahwinan mahupun selepas berlakunya pembubaran perkahwinan. Oleh demikian, dalam apa jua cara penceraian sekalipun hak jagaan anak ini perlu dituntut di Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendapatkan hak yang telah digariskan oleh undang-undang.
Perihal Pendapatan Ibu Merupakan Suatu Perkara Yang Bukan Utama
“Selain itu,sekiranya seorang ibu tidak bekerja atau tiada mempunyai apa-apa pendapatan sekalipun ia tidak menjejaskan hak mereka dalam menuntut hak jagaan anak ini. Sepertimana yang digariskan dalam seksyen 83 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor mengenai perihal kelayakan-kelayakan yang perlu untuk membolehkan seseorang mendapat hak jagaan anak adalah tidak digariskan mengenai pendapatan ini. Seksyen ini menyatakan bahawa Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika-
“Pertama dia seorang beragama Islam, kedua seorang yang sempurna akal, ketiga umur beliau berkelayakan untuk berikan jagaan dan kasih sayang kepada kanak-kanak itu, keempat beliau seorang yang berkelakuan baik dari segi akhlak islamiah dan yang kelima beliau tinggal di tempat yang selesa yang boleh membentuk tumbesaran yang baik dari segi akhlak dan jasmani. Dalam erti kata yang lain, perihal pendapatan ibu merupakan suatu perkara yang bukan utama dalam melayakkan beliau mendapat hak jagaan anak.
Seorang Perempuan Juga Boleh Hilang Kelayakan Mendapat Hak Jagaan Anak
“Namun begitu, dalam keadaan yang bagaimana seorang ibu itu boleh hilang kelayakan dalam mendapat hak jagaan anak? . Perkara ini telah dijelaskan di dalam seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor di mana seorang perempuan boleh hilang kelayakan untuk mendapat hak jagaan anak bilamana perkara berikut dilakukan oleh beliau.
“Pertama sekali apabila beliau berkahwin lain yang mana perkahwinan tersebut akan menyebabkan kebajikan anak-anak bawah jagaan beliau terjejas. Kedua apabila perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka, dalam perihal ini adakah nusyuz dikatakan sebagai berkelakuan buruk secara terbuka? jawapannya tidak perkara-perkara yang dikatakan melakukan perkara buruk secara terbuka adalah seperti diketahui umum bahwa perempuan itu pelacur dan beliau memang secara terbuka melacur maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai perbuatan buruk secara terbuka.
“Seterusnya yang ketiga bilamana perempuan itu dengan sengaja berpindah dan bermaustatin di tempat lain dengan niat untuk mencegah bapa kanak-kanak itu untuk menjalankan pengawasan yang perlu kepada kanak-kanak itu, tetapi sekiranya isteri yang telah bercerai dan ingin membawa anaknya balik kampung adalah tidak termasuk dalam perihal ini. Yang keempat pula bilamana seorang perempuan itu murtad dengan jelas.
“Yang terakhir adalah bilamana seorang perempuan itu memang sengaja cuai atau mengabaikan atau menganiayai kanak-kanak tersebut contohnya seperti mendera kanak-kanak itu maka hak jagaan kanak-kanak tersebut tidak layak untuk diberikan kepada si pendera itu.
“Namun begitu perkara-perkara ini adalah tertakluk kepada tuntutan yang perlu dikemukakan di mahkamah dan masih ada ruang untuk dihujahkan. Selain itu, hak ini tidak akan lucut serta-merta bagi kes bilamana seorang perempuan itu telah mendapat perintah hak jagaan anak dari Mahkamah Syariah, apabila berlaku mana-mana perkara yang telah dinyatakan diatas maka pihak satu lagi perlu pergi membuat tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mengubah perintah yang sedia ada.
Kanak-Kanak Melebihi Had Umur Boleh Tetapkan Siapa Untuk Menjaga Mereka
“Dalam perihal had umur anak yang layak untuk di mohon hak jagaan anak sepertimana yang digariskan di dalam seksyen 86 adalah sembilan tahun bagi kanak-kanak lelaki dan sebelas tahun bagi kanak-kanak perempuan. Sekiranya kanak-kanak tersebut telah melebihi had umur yang digariskan maka mahkamah akan mempertimbangkan juga kemahuannya dalam menetapkan siapa yang layak untuk menjaga beliau.
“Namun dalam mempertimbangkan perihal hak jagaan anak ini Mahkamah akan memfokuskan kepada kebajikan anak-anak itu sebagai faktor utama dalam menentukan siapa yang layak untuk menjaga anak tersebut. Maka masih ada ruang untuk dihujahkan di Mahkamah selagimana ada ruang yang diberikan oleh undang-undang dan syarak dalam menuntut hak jagaan anak ini.
“Justeru itu kepada wanita-wanita diluar sana tidak perlu gentar dengan ugutan suami dan tidak perlu risau sekiranya tiada pendapatan kerana nafkah anak tersebut adalh di bawah tanggung jawab bapa untuk memberikannya. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu dalam proses penceraian mahupun telah bercerai, maka hak jagaan ini perlu dituntut dahulu di Mahkamah bagi membolehkan Mahkamah menetapkan siapa penjaga yang paling layak untuk menjaga anak itu.
“Oleh itu, kemukakan tuntutan anda di Mahkamah Syariah dahulu, usah khuatir mahupun risau kerana ibu adalah penjaga yang paling layak menjaga anak beliau selagimana tidak dibuktikan beliau hilang kelayakan disisi undang-undang.
“Sebaiknya dapatkan khidmat nasihat peguam tidak kisah peguam swasta mahupun peguam kerajaan sebelum mengemukakan tuntutan anda di Mahkamah Syariah. Semoga penerangan ini dapat membetulkan kefahaman orang awam yang telah tersalah faham dengan teori-teori mahupun konsep-konsep yang tiada asas yang ditetapkan oleh undang-undang dan syarak,” terang Peguam Syarie, Amirul Akmal.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Cinta bertaut melalui facebook, isteri akui jatuh cinta saat terpandang kali pertama. Zahirnya, ramai akan membuat pilihan terbaik saat memilih pasangan namun lahiriahnya masih ramai memilih berdasarkan “kata hati”.
Dan detik paling indah adalah saat ditemukan dengan orang dicintai. Jika hati menyukai, walau apa pun kekurangan pasangan, kita akan bahagia melayari alam rumahtangga itu.
Cinta Bertaut Melalui Facebook
Jodoh telah mempertemukan Nor Aika Masor, 28 tahun dengan cinta hatinya, Muhammad Jafri Daun, 32 tahun.
Pasangan ini masih menanti cahayamata pengikat kasih merekaBulan September 2020 menjadi saksi kisah cinta kedua pasangan ini
Bahkan pertemuan cinta suami isteri ini juga sedikit kelainan di mana Aika mula tertarik dengan suami selepas melihatnya di facebook pada penghujung Disember 2019. Bukan kerana kekurangan anggota suaminya tetapi saat melihat wajah suami, hatinya terus tertaut.
“Dari facebook kami mula berkenalan. Setiap postnya saya komen dan beri kata-kata. Lama-kelamaan kami mula berhubung dan dari situ seakan ada kasih sayang yang timbul antara kami berdua.
“Walau ada kekurangan dirinya kerana dilahirkan dengan masalah di bahagian tangan dan kaki, tapi saya tak pandang semua itu. Saya rasa sayang padanya. Bila kami semakin serius berkawan, saya kata padanya kalau betul datanglah merisik. Alhamdulillah, bulan Jun 2020 dirinya datang merisik dan September itu kami disatukan,” kata Aika ketika dihubungi.
Saat kali pertama terpandang wajah suami, Aika akui hatinya terus terpautJafri mampu memandu kereta sendiri, banyak membantu dalam tugas rumah dan tiada kekurangan terlihat walau dilahirkan tanpa tangan
Isteri Akui Jatuh Cinta Saat Terpandang Kali Pertama
Kata isteri bahagia ini, di sebalik kesempurnaan dirinya dan kekurangan suami, dia tidak pernah meletakkan satu halangan dalam perhubungan kerana tulus mencintai suaminya.
“Keluarga saya juga tak kata apa, apa yang baik buat saya, mereka akan terima dengan baik juga,” katanya yang berasal dari Kampung Tok Jawa, Bachok sementara suaminya berasal dari Machang.
Tambahnya, suami banyak membantunya. “Dia boleh bawa kereta sendiri, banyak bantu saya buat kerja rumah tak ada kekurangan apa pun pada dirinya,” katanya lagi.
Menyara keluarga dengan berniaga burger di hadapan rumah, pasangan ini mula dikenali selepas suaminya memuat naik gambar dan membuat permintaan di page Edit Apa Hari Ini untuk melihat dirinya mempunyai tangan.
Dan ternyata, permintaan pasangan ini mendapat respon positif dari masyarakat semua yang siap mendoakan mereka kekal till Jannah. Bahkan gambar suaminya kelihatan segak dengan anggota yang sempurna
Kata Aika, permintaan suaminya itu u sekadar suka-suka di mana suaminya mahu melihat bagaimana mempunyai anggota tangan. Dan jelas, ia sangat sempurna kejadian selepas di sunting warga net yang baik hati.
Apa yang pasti, semoga keduanya bahagia till Jannah.
Lepas rumah musnah dilenyapkan banjir, Ebby Yus bersyukur paru-paru tidak perlu ditebuk. Pelakon dan pelawak Ebby Yus berasa sangat bersyukur apabila kesihatannya semakin pulih dan doktor pakar memaklumkan paru-parunya tidak perlu ditebuk seperti dirancang sebelum ini.
Lepas Rumah Musnah Dilenyapkan Banjir, Bersyukur Paru-Paru Tidak Perlu Ditebuk
Dugaan demi dugaan menimpa, namun Ebby tetap bersyukur, selepas rumahnya yang masih dalam proses pembinaan di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat lenyap dibawa arus banjir, beberapa hari lalu pula Ebby dimasukkan ke hospital.
Seperti yang diketahui sebelum ini Ebby mempunyai penyakit lemah jantung dan buah pinggang.
Dipetik menerusi laporan Sinar Harian, pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid ini menerangkan ujian imbasan sinar-X yang dibuat menunjukkan paru-parunya semakin pulih selepas lima hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Doktor pakar maklumkan, saya tidak perlu menjalani proses menebuk paru-paru bagi mengeluarkan air.
“Selepas lima hari mendapatkan rawatan, doktor kata paru-paru saya semakin pulih dan saya perlu jalani rawatan susulan selepas ini.
“Cuma saya belum pasti bila dibenarkan keluar hospital,” kongsi Ebby.
Nafi Kepenatan Edarkan Bantuan Banjir
Malah Ebby juga menafikan dia kepenatan ekoran sibuk mengedarkan bantuan banjir sehingga dimasukkan ke hospital.
“Sebenarnya saya ke hospital kerana mengalami cirit-birit, tetapi bila jalani pemeriksaan, doktor lihat paru-paru saya ada air.
“Itu yang saya terus ditahan untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
“Acara Queens Night bersifat tidak bermoral dan berunsur lucah” itulah antara kenyataan yang diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan seperti mana...