Selalunya brownies mempunyai tekstur seperti kek dan dibakar didalam loyang yang besar. Rupanya mak-mak juga boleh buat brownies yang dijadikan biskut. Cara nak buat pun mudah, tak rumit malah tak perlukan bahan-bahan yang banyak pun. Boleh cuba resipi brownies cookies yang dikongsikan oleh Puan Noran Nordin ni, malah boleh jadikan salah satu koleksi untuk biskut raya nanti.
Berikut perkongsian tersebut;
“Tu dia,berkedut seribu!! Sementara tunggu anak balik dari kelas tuisen, saya siapkan dulu mengukis! Kembang semangkuk jadinya! pakai loyang sekut lidah kucing jer!”
Bahan-Bahan:
350 gm dark chocolate
100 gm butter
3 biji telur
200 gm icing ( boleh kurangkan sikit)
Esen vanilla
200 gm tepung gandum + 2 sudu besar serbuk koko
Cara Membuat:
1. Cairkan coklat dan butter. Sementara tu gaulkan gula dan telur guna wisk je.Masukkan esen vanila dan gaul sebati hingga gula hancur.
2. Ayakkan tepung dan serbuk koko..masukkan adunan coklat ke dalam bekas telur tadi, gaul sebati.
3. Masukkan adunan tepung sikit demi sedikit ke dalam adunan telur dan coklat.
4. Sementara tu panaskan oven pada suhu 150 C.
5. Paipkan adunan pada makaron mat, letak kacang almond atau apa yang di sukai atasnya.
6. Bakar pada 140/150 selama 20-30 minit.(Ikut oven masing-masing ye).
Siap, Selamat mencuba!
MW: Menariknya perkongsian resipi ini, jadikan brownies rangup seperti biskut. Cara nak buat pun mudah sangat dan tak perlukan bahan-bahan yang banyak. Mak-mak mesti cuba buat sendiri di rumah nanti.
Sumber: Noran Nordin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Fungsi Baking Soda & Baking Powder, Ini Cara Sebenar Penggunaannya Barulah Resipi Menjadi!
Ramai yang keliru dengan fungsi Baking Soda dan Baking Powder, serta tidak tahu cara sebenar penggunaannya. Lebih-lebih lagi, jika jarang-jarang membuat kek mahupun mengadun biskut, serta tak biasa dengan bahan ini silap pilih ia mengakibatkan kek atau biskut yang diadun tidak menjadi.
Mungkin warna serbuknya putih kelihatan sama tapi sebenarnya kedua-dua bahan ini mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza. Kedua-dua baking soda dan baking powder adalah agen penaik yang bermaksud apabila keduanya ditambah ke dalam bahan-bahan untuk dibakar, ia akan menghasilkan karbon dioksida dan menyebabkan doh naik.
Baking Soda
Nama kimia baking soda adalah sodium bikarbonat. Apabila bahan ini dicampur dengan kelembapan dan bahan berasid, tindak balas kimia yang berlaku akan menghasilkan buih-buih karbon dioksida yang akan mengembang dalam suhu oven, menyebabkan hasil bakeri turut mengembang atau naik.
Contoh bahan berasid termasuklah yogurt, coklat, buttermilk, madu dan sebagainya. TIndak balas kimia antara baking soda dan bahan-bahan lain berlaku sebaik sahaja ianya dicampur, jadi anda perlu membakarnya serta merta, atau produk bakeri/pastri anda tidak akan naik.
Baking Powder
Baking powder mengandungi sodium bikarbonat dan juga bahan-bahan lain seperti agen pengasid (krim tartar) serta agen pengering (selalunya kanji).
Terdapat 2 jenis baking powder, iaitu single-acting dan double-acting.
Jenis single-acting diaktifkan oleh kelembapan, jadi resipi yang menggunakan bahan ini perlu dibakar sejurus ia dicampur. Baking powder jenis double-acting mempunyai tindak balas kimia dalam 2 fasa, dan boleh dibiarkan sebentar sebelum dibakar.
Penggunaan double-acting baking powder akan membebaskan gas tertentu pada suhu bilik, namun sebahagian besar gas berkenaan terbebas selepas suhu doh di dalam oven meningkat.
Menentukan Penggunaan Baking Powder Atau Baking Soda Dalam Resipi
Sesetengah resipi menggunakan baking soda, sesetengah resipi yang lain menggunakan baking powder. Bahan mana yang perlu digunakan bergantung kepada bahan-bahan lain yang digunakan di dalam resipi.
Matlamat utama adalah untuk menghasilkan produk berkualiti yang sedap dan mempunyai tekstur yang enak. Baking soda adalah sejenis alkali (basic), jadi produk hasil penggunaana bahan ini sedikit pahit kecuali terdapat bahan berasid lain yang digunakan. Baking soda selalunya digunakan dalam resipi cookies.
Baking powder pula mengandungi kedua-dua bahan berasid dan beralkali, dan atas sebab ini, rasa hasil bakar secara keseluruhan adalah lebih neutral.Resipi yang menggunakan baking powder selalunya memerlukan bahan yang neutral rasanya, seperti susu. Baking powder adalah bahan asas dalam pembuatan kek dan biskut.
Pengganti Kedua Bahan Ini Dalam Resipi
Baking soda boleh digantikan dengan baking powder, namun kuantiti yang digunakan adalah lebih banyak dan akan memberi kesan terhadap rasa. Sebaliknya, baking powder tidak boleh digantikan dengan baking soda.
Baking soda itu sendiri kurang dari segi tahap asidnya untuk membuatkan sebiji kek kembang mahupun naik. Namun, anda boleh membuat baking powder anda sendiri sekiranya anda mempunyai baking soda dan krim tartar.
Caranya, campurkan 2 bahagian krim tartar untuk setiap bahagian baking soda (Kadar 2:1 untuk krim tartar:baking soda).
Jadi tunggu apa lagi, jom ke dapur untuk membakar kek, biskut dan cookies!
Semoga bermanfaat, kongsiakan juga buat wanita lain yang gemar membuat kek & biskut!
Rujukan: realsimple.com, thoughtco.com via iluminasi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tiada Masa, Boleh Cuba Teknik Masak & Simpan Lauk Frozen Ini, Tahan Sampai 3 Bulan!
Tiada masak nak masak hari-hari? Ada suri yang bekerja dari jam 8 pagi sampai 6 petang. Di rumah ada anak-anak, suami malah mak ayah yang berusia perlu dimasakkan setiap hari. Terkejar-kejar masa nak sediakan juadah makan malam.
Belum campur emosi penat dan masa yang terhad nak beli bahan basah. Ini perkongsian daripada Cik Puan S Kamalinda Lynn, cara nak menjimatkan masa memasak. Dengan cara menyiapkan terlebih dahulu lauk-pauk dan difrozenkan.
Ini cara saya masak untuk ibu ~ Frozenkan!
Oleh kerana saya selalu tak dapat sediakan juadah tengah hari (samada masak atau beli) kerana kerja, saya terpaksa guna inisiatif begini. Cari 1 masa yang sesuai dan masak untuk bekalan 1 minggu terus. Nah, kasi penuh icebox! Ibu pilih je nak makan lauk apa.
Mulanya ibu memang kurang setuju dengan cara ni tapi bila saya buat juga dan ajar dia cara penyediaannya, sekarang dia pula senaraikan lauk untuk saya siapkan (I ok jer)
Bukan ibu tak mampu masak sendiri lagi, tapi kesian tengok dia habiskan masa kat dapur dari muda sampai tua ni.. haih!
Kelebihannya
* Sekarang banyak masa sikit untuk rehat sebab tak perlu ‘bersilat’ kat dapur hari-hari. Tinggal tumis sayur atau celur ulam jer.
* Dalam masa 3 setengah jam untuk siapkan semua ni. Jimat masa sesangatlah kalau nak dibandingkan setiap hari masuk dapur.
* Cara ni juga bagus dan mudahkan untuk budget beli barangan basah. Beli barang ikut senarai sebab dah tau nak masak apa.
~ayam black pepper~kari tongkol~lemak cili api ayam~lemak cili api telur~pindang selar~asam pedas jenahak~paprik ayam~sambal sotong~ sambal telur rebus~masak kicap ayam~tomyam seafood sayur~taucu lemak jenahak~
Panduan Penyediaan & Memanaskan Lauk-pauk Frozen
Saya hanya sediakan seperti masak biasa sahaja. Tetapi saya cuma masak serentak sekali pelbagai jenis
1. Rancang menu untuk dimasak
2. Beli bahan masakan mengikut kesesuaian menu
3. Oleh kerana masakan Melayu menggunakan bahan asas yang lebih kurang sama maka, lebih memudahkan proses masakan tersebut. Contoh bahan asas tumis ialah bawang merah, bawang putih, halia, serai, kunyit hidup. Maka, penyediaan ini boleh dilakukan serentak.
4. Masak juadah seperti biasa namun penggunaan sayur adalah terbatas. Saya hanya guna sayur lobak merah dan bunga kobis sahaja itupun masukkan di waktu hampir siap supaya nanti bila proses reheat tak lembik sangat.
Lauk pauk boleh masak macam biasa, kecuali sayur half cooked.
5. Simpan dalam bekas yang sesuai, lebih baik letakkan label supaya tahu jenis masakan apa untuk setiap bekas. Dah beku nanti memang tak boleh cam. Letak tarikh juga.
6. Cara panaskan saya memang suruh ibu panaskan atas api atau kukus sahaja. Keluarkan dari bekas plastik dan panaskan dalam kuali atau bekas pengukus.
7. 1 bekas, 1 lauk memang makan untuk sekali makan sahaja. Jadi portionnya memang kecil. Untuk lauk tengah hari, 2 orang makan sahaja.
Nota
Simpan Di peti beku (freezer). Maksimum boleh tahan sampai 3 bulan, Tapi biasanya saya 1-2 minggu dah habis.
Baca Sini : 7 Jenis Idea Pes Homemade Jimatkan Masa Suri
Sumber/Foto: S Kamalinda Lynn (MAHN) via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Aneka Hidangan Ayam Ala Thai Penuh Aroma Dan Rasa, Boleh Cuba!
Aneka hidangan Thai memang mempunyai peminat yang ramai. Betul tak? Sebab ia kaya dengan aroma dan rasanya yang tersendiri.
Aneka Masakan Thai Sedap
Tak lama lagi hari raya haji dan ramai yang menjalankan ibadah korban. Ketika ini stok daging lembu dan kambing akan banyak bila saudara mara dan jiran tetangga bersedekah. Semua masakan berasaskan daging korban.
Ha…Sebelum kita pulun makan daging, kita layan dulu masakan berasaskan ayam. Cubalah aneka hidangan ayam Thai ini. Konfim sedap.
KEPAK AYAM PANGGANG ALA THAI
BAHAN-BAHAN:
10 ketul kepak ayam
4 sudu makan sos Thai
3 sudu makan sos ikan atau secukup rasa
2 sudu makan kicap pekat manis
1 sudu makan minyak bijan
6 ulas bawang putih – cencang halus
4cm halia – cencang halus
4 helai daun limau purut – hiris halus
1 sudu makan gula atau secukup rasa
2 sudu teh serbuk lada hitam
2 sudu teh serbuk cili Thai
Minyak untuk menumis secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk, gaul kepak ayam dengan kesemua bahan dan perap semalaman simpan di dalam peti sejuk untuk mendapatkan rasa yang lebih optimum.
- Untuk memasak ayam, susun ayam di dalam loyang pembakar serta sapukan sedikit sos perap pada kepak ayam. Bakarlah di dalam ketuhar selama 30-45 minit menggunakan api atas bawah. Masaklah lebihan sos perap di dalam kuali sehingga agak pekat. Bolehlah ditambahkan sos cili Thai dan sos ikan jika perlu.
- Dari masa ke semasa lebih kurang 15 minit, sapukan sos tersebut pada kepak ayam agar kepak masak cantik dan berkilat serta menambah perisa pada kepak ayam. Sedia dinikmati panas. Garam tidak perlu masukkan kerana pelbagai jenis sos sudah ada rasa masin.
GULAI AYAM SIAM
BAHAN-BAHAN:
1/2 ekor ayam – potong 6-8 ketul
250ml santan pekat
250ml air
6 biji terung kampung – belah dua
1 biji bawang besar – kisar
4 ulas bawang putih – kisar
3cm lengkuas – hiris dan kisar
3cm kunyit – hiris dan kisar
6 tangkai cili padi hijau – kisar
2 batang serai – hiris halus dan kisar
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
2 helai daun limau purut – carik
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Tumis semua bahan iaitu bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, cili padi hijau, serai, daun limau purut, serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam hingga wangi dan pecah minyak.
- Kemudian masukkan ayam dan air secukupnya, kacau sebentar dan biarkan sehingga kuah mereneh dan ayam agak empuk dan masak.
- Setelah ayam agak empuk, masukkan terung kampung dan akhir sekali santan pekat. Masaklah sehingga kuah agak memekat kemudian tutupkan api. Siap untuk dihidangkan.
Resipi lain ada di sini:
Bebola Ayam Bersayur Rangup, Garing Dan Sedap, Konfim Makan Licin!
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
COCONUT LIME CHICKEN
BAHAN-BAHAN:
½ ekor ayam – potong kecil
125ml santan pekat
125ml air
4 tangkai kacang panjang – potong 3cm panjang
6 tangkai cili padi hijau – hiris
2 helai daun limau purut – hiris halus
1 biji bawang besar – hiris
4 ulas bawang putih – hiris
1 sudu makan sos ikan atau secukup rasa
1 biji jus limau nipis
1 sudu teh gula tau secukup rasa
1 sudu teh serbuk pati ayam
2 batang daun ketumbar – hiris kasar
Minyak masak secukupnya
1 tangkai cili merah – hiasan
1 batang daun bawang – hiasan
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan hirisan bawang besar dan bawang putih hingga terbit bau wangi.
- Kemudian masukkan isi ayam, daun limau purut, sos ikan, jus limau nipis, gula, serbuk pati ayam, santan pekat dan air, kacau sebentar. Masaklah sehingga kuah mereneh dan agak pekat.
- Kemudian masukkan hirisan kacang panjang dan daun ketumbar. Masaklah selama lebih kurang 5 minit, kemudian tutupkan api. Siap untuk dihidangkan.
Kredit: Rasa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI