Kerja rumah memang tak tak pernah habis. Ada sahaja perkara yang nak kena buat. Bila banyak sangat kerja rumah, kadang-kadang mak pun penat dan boleh jadi garang dengan anak. Kiranya dalam satu hari memang tak cukup untuk mak-mak habiskan semua. Kadang-kadang hari minggu yang sepatutnya masa mak-mak berehat akan digunakan untuk menguruskan kerja rumah.
Kerja rumah yang bertimbun ini, belum lagi dicampur dengan karenah anak yang macam-macam peel, lebih-lebih lagi anak yang ramai. Mahunya, ‘naik hantu’ mak-mak. Mungkin ini jugalah yang menyebabkan mak-mak mula menjadi garang. Suara yang lemah lembuh dah tukar jadi ‘tarzan’.
Kadang-kadang, keadaan ini boleh tertekan bukan hanya dengan kerja rumah yang banyak dan peel anak-anak yang membuatkan mak-mak jadi garang. Tetapi, ia boleh jadi garang atau mak rasa kecil hati bila suami dan anak-anak tidak membantu sedikit sebanyak kerja rumah.
Senang cerita, bila suami dan anak-anak ada rasa tanggungjawab dalam membantu mak dan urus kerja rumah, semua ini akan jadi lebih mudah dan senang. Mak-mak tiadalah rasa nak ‘garang’ 24 jam dan tak adalah merajuk atau kecil hati dengan suami.
Seperti perkongsian daripada Insyirah Soleha ini. Pendapatnya, anak-anak kena ada rasa tanggungjawab dan kena didik dari kecil dalam uruskan kerja rumah. Tak kira anak lelaki atau perempuan, kena sama-sama tolong.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Tiada Istilah CUTI Buat Mak-Mak. Kerja Rumah Tetap Jalan. Hargailah Pengorbanannya
Jangan Dimanja Anak Lelaki. Usah Harapkan Anak Perempuan Saja Buat KERJA RUMAH
Info Lebih Menarik DI SINI:
Garang – Satu Ragam Orang Perempuan
Lama tak berbual panjang dengan seorang kakak, beliau baru bersalin jadi saya tidaklah mahu mengganggu rehat dan kalutnya beliau dengan anak-anak.
Tapi semalam, kami ambil masa sama-sama berkongsi cerita. Beliau pun bercerita kehidupannya bersama anak-anak, kami sama-sama ketawa bila berbual pasal ragam orang perempuan yang sangat kompleks.
“Bila fikir-fikir betullah kan.”
“Sebenarnya benda tu kecil pada suami, tapi pada kita ianya besar. Jadi merajuk sebab kita anggap besar tapi suami anggap kecil. Lepas tu merajuk.”
“Paling best, suami tak tahu pun kenapa isteri merajuk.” Hehe.
Bila emosi kucar kacir, anaklah yang jadi tempat lepaskan emosi.
“Makin ramai anak, makin terasa garang. Tak tahu macammana nak bagi tak garang dengan anak-anak.”
Beliau kongsikan kebaikan-kebaikan suami membantu urusan rumah tangga dan anak-anak.
Memang saya pun dapat rasa betapa syukurnya beliau dengan kebaikan suaminya. Alhamdulillah.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Surah Ar Ruum ayat 21.
Subhanallah.
Suatu muhasabah pada kami, kebaikan yang banyak jangan dileburkan dengan kekurangan yang boleh dibaiki mahupun emosi mengatasi ihsan.
Kurangkan ‘Garang’
Saya kongsikan kepadanya, apa yang berlaku pada saya sekarang, dah kurang garang dan anak-anak pun akui hal yang sama.
1. Faktor usia, dah tua tak larat nak garang-garang. Cakap tak jalan juga, cuit suami suruh guna suara seorang bapa. Kadang, ambil juga rotan, libas pada tilam atau kerusi nak bagi bunyi libasan rotan. Trick sangat.
2. Anak yang lebih besar diberi peranan dan tanggungjawab untuk bantu urusan rumah.
Sejak usia 5 tahun, suami dah biasakan anak sulung sendukkan nasi sendiri. Ajar anak senduk nasi. Jadi sekarang di usia 8 tahun, dah boleh diharap untuk sendukkan nasi, hidangkan lauk, selepas makan basuh pinggan, lap meja makan, kalau ada baki makanan terus simpan di peti ais.
Selepas mandi, sidai tuala. Pakaian kotor masuk dalam bakul.
Memang boleh dikatakan setiap hari perlu ulang skrip yang sama.
“Lepas mandi, sidai tuala.”
“Sebelum mandi, baju kotor masuk dalam bakul.”
“Lepas makan, basuh pinggan.”
Anak-anak pun bukan malaikat, ada masa mengelat juga.
“Alaaa penat la asyik kena buat kerja rumah.”
Suami selalu jawab,
“Kalau anak tak bantu ibu bapa, ibu bapa lagi penat. Anak yang soleh suka bantu ibu bapa.”
Jadi, buat juga lah walau kadang berperang perasaan. Ya, nak tak nak kena juga latih anak-anak.
3. Balik sekolah biasanya anak sulung akan tawarkan diri nak mandikan adik yang umur 15 bulan. Awal-awal memang saya pantau sepenuhnya tapi sekarang dah tahu macammana dia mandikan adik dan boleh lepas 50%.
Saya pun tahu adik teruja sangat bila abang ajak mandi sebab bawa mainan macam-macam nak main sambil mandi.
Masa anak sulung mandikan adik yang kecil, saya ambil peluang sediakan makan malam atau lipat baju.
4. Beri tanggungjawab pada anak-anak. Rasa bertanggungjawab pada ibu dan adik-adik, sedikit sebanyak akan membuat hati anak akan lembut dan berbuat ihsan.
Dari usia kecil diberi tanggungjawab, bila bertambah usia mereka, akan diberi tanggungjawab urusan rumah sedikit demi sedikit.
5. Anak-anak lelaki, memang lebih susah buat kerja rumah berbanding anak perempuan tapi ia bukanlah alasan untuk kita beri semua kerja kepada anak perempuan.
“Biarlah penat mengulang ayat yang sama sekarang, 20 tahun akan datang kita tak perlu ulang lagi ayat yang kita ulang sekarang.”
Begitulah pesan dari sahabat-sahabat yang anak mereka lebih besar.
Sentiasa Sabar Dan Bersyukur
Jadi, macammana nak kurangkan garang?
Saya tak ada jawapan.
Situasi setiap orang berbeza. Maka cara mereka juga tidak sama. Semoga kita semua mampu untuk jadi orang yang sabar dan syukur berdepan dengan makhluk halus setiap hari.
Bila penat, berehat.
Anak-anak tak pernah minta untuk mendiami rahim kita, tetapi kita yang minta dengan Tuhan untuk dikurniakan anak-anak dalam kehidupan kita.
Anak-anak tak mampu untuk memilih ibu dan ayah mereka, tetapi sebagai ibu dan ayah kita mampu mencorak anak-anak.
Amalkan dengan doa Nabi Ibrahim a.s.
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku keturunan yang soleh.
Ummu Amir,
Tak ada yang sempurna melainkan Dia.
MW: Dengan keadaan sekarang ini, mak-mak turut sama mencari rezeki untuk keluarga. Jadi, anak-anak kena beri tanggungjawab juga supaya besar nanti dia faham apa yang dilakukan sekarang ini.
Sumber: Insyirah Soleha