
Isi Kandungan
TogglePesanan buat mak ayah, hati-hati dalam memilih jenis mainan untuk anak-anak yang masih kecil. Ini kerana siapa sangka mainan anak ini boleh mengundang bahaya pada mereka.
Semalam viral di media sosial, insiden seorang bayi lelaki berusia 9 bulan terpaksa menjalani pembedahan, gara-gara besi yang tayar kereta mainan tertusuk di kepalanya. Cukup mengerikan. Tragedi ini dikongsikan oleh ibu saudara kepada bayi tersebut iaitu Sue Mohamad.
Baca Lagi Di Sini:
Jika Masih Terbenam, Jangan Cabut! Doktor Ini Kongsi Rawatan Awal Bagi Luka Tusukan Objek Tajam
Tertusuk Tayar Kereta Mainan
Dalam posting di Facebook, wanita ini berkongsi perasaan cemas apabila anak saudaranya yang dinamakan Habib mengalami insiden mencemaskan ini.
“Ya Allah..separuh nyawaku hampir hilang tengok kejadian petang tadi. Semua tolong hati-hati jika ada mainan anak kereta, ke buang lah. Jadikan ini pengajaran buat kita. Hari ni petang tadi anak buah saya tertusuk dengan tayar kereta ni.
“Entah macam mana dia main-main terbuka benda tu, lepas tu dia tergolek jatuh atas tayar kereta ni. Malam ni kena tahan wad, doktor dah buat CT scan dan pantau anak buah saya. Harap esok dapat lah buang benda ni.Doakan anak buah saya cepat sembuh ye, Aamiin.”
Selamat Menjalani Pembedahan
Namun demikan menerusi posting terkini, wanita ini berkongsi perkembangan positif keadaan anak buahnya.
“Alhamdulillah Ya Allah, anak buah saya dah selamat operation. Dah buang benda alah tu (tayar kereta mainan). Sekarang tunggu dia sedar. Terima kasih doa kalian semua hanye Allah yang mampu membalasnya. Mari kita terus doa kesihatan anak buah saya.”ujar Sue.
Buang Mainan Bahayakan Anak
Dalam pada masa yang sama, Sue turut menasihatkan agar ‘memilih’ jenis-jenis alat mainan yang selamat untuk anak-anak kecil. Buang mainan yang boleh mendatangkan bahaya buat mereka.

“Jom kita buang semua mainan yang boleh datang kan bahaya pada anak kita.Kereta semua tu saya buang. Tinggal bola dengan itik je yang ok,lembut. Selain dari tu asalkan keras tak nak. Say ‘No’ pada mainan keras-keras ni.”
“Semoga ibu-ibu di luar sana juga turut berhati-hati. Kadang mainan anak ni kita tak sangka boleh jadi bahaya pada anak-anak kita. Hindarkan anak-anak yang lain dari terkena macam anak buah saya” ujar Sue lagi.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan pengajaran. Buat mak ayah semoga berhati-hati dengan jenis mainan yang dibelikan untuk anak. Pastikan ia selamat dan tak membahayakan mereka.
Sumber: Sue Mohamad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hamil Tiga Bulan Disahkan Kanser, Ibu Teruskan Kandungan Hingga Ternokhtahnya Nyawa

Isi Kandungan
ToggleKata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
“Doktor dah sahkan kanser payudara stage 3. Mohon semua doakan ye. Doktor juga cadangkan supaya kandungan digugurkan untuk jalani rawatan kemoterapi,” tulisnya.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.

Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
#FromJournalistToHouseWife
Sumber/Foto : KHADIJAH MOHAMAD NOR , Acik Bawang Surirumah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Puteri Aishah Positif Covid-19

Pada 9 Mac baru-baru ini, Puteri Aishah bersama pengarah krew produksi dan pelakon lain drama Demi terbang ke Inverness, Scotland. Mereka kemudiannya memulakan sesi penggambaran sehari selepas tiba disana.
Menurut pengarah drama Demi, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro memaklumkan dia bersama kru seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Rahila juga terpaksa menghentikan penggambaran dan pulang selepas diarahkan berbuat sedemikian.

Iman Tang, pengurus kepada Puteri Aishah memuat naik posting mengenai artisnya itu di instagram rasminya @imantang75.
“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakathu..Salam Maghrib. Dia (Puteri Aishah) telah disahkan positif Covid-19 sejam yang lalu. Mohon doakan dia kembali sembuh,”…
MW kemudian menghubungi Iman Tang dan bertanyakan status terkini Puteri Aishah.
“Puteri Aishah terbang ke Scotland pada 9 Mac lalu sebelum Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Dia ke sana bersama pengarah, krew produksi termasuk pelakon lain yang terlibat dalam drama Demi. Keesokkan harinya mereka memulakan sesi penggambaran.
“Mereka tak shoot outdoor, dan tukar lokasi shoot indoor. Sekitar 25 Mac, salah seorang jurukamera dilaporkan sudah empat hari demam. Pengarah juga muntah-muntah dan pelakon Puteri Rayyana Rayqa pun demam dua hari.
“Masing-masing risau dengan keadaan itu. Team produksi dan pelakon lain balik ke Malaysia dan tiba pada 31 Mac baru-baru ini. Sebaik tiba di Malaysia, mereka diminta untuk self-quarantine dan jangan balik ke rumah keluarga.
“Puteri Aishah tinggal sendirian dan menjalani tempoh kuarantin itu. Tetapi sebaik jurukamera dan empat krew produksi telah disahkan positif, saya nasihatkan Puteri segera melakukan ujian saringan Covid-19 drive thru di Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang, 6 April kelmarin. Jam 5.30 petang tadi, result dah keluar dan dia disahkan positif… Kami masih menunggu makluman lanjut dari KKM untuk langkah seterusnya. Doakan Puteri diberikan kesembuhan hendaknya,”terang Iman Tang ketika dihubungi sebentar tadi.

Selain Puteri Aishah, pelakon lain yang turut menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa. Drama Demi diadaptasi daripada novel yang diterbitkan 26 episod bagi siaran RTM.
MW mendoakan Puteri Aishah dan semua yang terlibat dalam penggambaran drama ini diberikan kesembuhan.
Sumber Iman Tang dan Puteri Aishah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selesaikan Masalah, Jangan Lari!

Isi Kandungan
Toggle
Hidup memang tidak sunyi dengan dugaan, masalah tidak pernah gagal bertandang dalam hidup kita. Selagi bernyawa, Allah sentiasa menguji kita sama ada ujian itu besar atau kecil. Sebenarnya ramai yang membawa diri ketika berdepan dengan masalah. Mereka menyendiri, tidak mahu berada dekat dengan keluarga mahupun teman.
Bagi saya cara ini berisiko tinggi. Jangan ‘melarikan’ diri ketika dilanda masalah. Hadapi masalah atau ujian dengan sokongan moral keluarga atau teman baik. Jangan menyendiri kerana kita akan berasa lebih stres dan sunyi.
Ketika ini, kita menjadi sangat emosional. Bahaya kerana tiada orang yang dapat menegur dan memberi semangat pada kita. Kita mungkin boleh bertindak melulu kerana tenggelam dengan masalah dan dibelenggu perasaan sedih serta kecewa.
Jangan Malu
Justeru, mulai hari ini janganlah membawa diri. Selesaikan masalah, jangan malu dan ego untuk meminta bantuan daripada orang sekeliling. Kita tidak akan nampak lemah hanya kerana meminta bantuan. Orang lain juga berbuat demikian, mana boleh hidup sendiri dalam dunia ini. Kita saling membantu dan memerlukan.
Jangan menidakkan peranan keluarga, busuk-busuk pun mereka tetap darah daging kita. Mereka yang akan membantu kita di kala susah dan mendoakan kita bahagia. Luahkan masalah yang dihadapi dan fikir cara terbaik menyelesaikannya. Tapi jangan hanya fikir ye, buat tindakan!
Analisis masalah yang dihadapi, senaraikan beberapa pilihan yang ada. Pilih pilihan yang terbaik. Kita mesti bertanggung jawab dengan keputusan yang dibuat. Bersabarlah berdepan dengan ujian.
Rawat hati dan emosi dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mengadulah kepada Yang Maha Esa. Lakukan aktiviti yang membuatkan kita gembira misalnya hobi berkebun. Sekurang-kurangnya aktiviti riadah ini meredakan stres.

Jangan Hidup Dengan Kisah Silam
Move on! Jangan hidup dengan kisam silam. Perkara lepas jangan dikenang-kenang lagi, jadikan pengajaran. Hiduplah pada masa kini dan jangan lupa merancang masa hadapan.
Kita juga boleh merawat minda yang serabut dengan membaca buku-buku motivasi. Bukan tubuh sahaja perlukan makanan tapi minda juga perlu diberi ‘makan’ dengan ilmu yang memacu kita menjadi insan lebih baik. Insya-Allah.
Jangan jadi insan penakut yang sentiasa melarikan diri daripada masalah. Jadilah insan yang berani berdepan dengan apa juga dugaan. Semakin kita berani dan bersabar, semakin kental jiwa kita. Jangan biarkan masalah menjadi kudis dalam hidup kita.
Orang yang berjaya mengatasi dugaan dalam hidupnya menjadi insan lebih baik. Masalah ini mengajar kita erti sabar, usaha dan tawakal. Usaha sepenuh hati dan tawakal kepada Allah. Mohon doa yang baik-baik, insya-Allah kita akan redha dan Allah lorongkan ke jalan terbaik.
Semoga kita sentiasa diberkati Allah dan tidak tergolong dalam golongan yang hanyut dengan perasaan negatif.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang Semua.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI