
Di sebalik kejayaan sesebuah organisasi, ada insan-insan yang saban hari berjuang di meja kerja, di tapak projek, mahupun di bilik mesyuarat. Namun tekanan, keletihan melampau dan masalah kesihatan mental sering kali menjadi ancaman senyap yang melemahkan tenaga kerja.

Menyedari hakikat itu, Pusat Kesihatan, Fisioterapi dan Rehabilitasi Bersepadu (IDEAL) bersama perusahaan sosial Thrive Well melangkah setapak ke hadapan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di IDEAL Bangsar baru-baru ini.
Fokus Kesihatan Fizikal & Mental
Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, menegaskan bahawa kesejahteraan pekerja perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tubuh badan, tetapi juga ketahanan psikologi.
“Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan ketidakhadiran pekerja, mencegah burnout, serta meningkatkan produktiviti. Pekerja yang sihat adalah tulang belakang sesebuah organisasi yang berjaya,” katanya penuh keyakinan.
Bagi Ellisha Othman, Pengarah Urusan Thrive Well, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
“Syarikat korporat perlu lebih peka terhadap kesejahteraan pekerja. Melabur dalam program kesihatan fizikal dan mental bukan sekadar menjaga pekerja, tetapi juga menyediakan organisasi untuk lebih tahan menghadapi cabaran ekonomi global,” ujarnya.

Majlis menandatangani MoU turut disaksikan wakil daripada syarikat korporat ternama seperti PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings dan Energise Sdn. Bhd. Kehadiran mereka menandakan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh budaya kerja yang sihat di Malaysia.
Penanda Aras Baharu
Kerjasama antara IDEAL dan Thrive Well ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi diyakini bakal menjadi penanda aras baharu dalam kesejahteraan korporat. Ia menegaskan bahawa kesihatan pekerja adalah satu pelaburan strategik kerana dari tubuh yang sihat dan jiwa yang stabil, lahirlah produktiviti, inovasi dan kejayaan jangka panjang.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita Perlu Tahu, Kepentingan Saringan Awal Kanser Mampu Selamatkan Nyawa!

Dalam bidang kesihatan wanita, pengesanan awal dan pemeriksaan berkala tidak boleh dipertikaikan kepentingannya, terutama jika berkaitan dengan kanser serviks atau juga disebut sebagai pangkal rahim.

Kanser serviks merupakan ancaman dalam diam yang menjejaskan wanita di seluruh dunia namun pengesanan awal adalah kunci utama rawatan yang berjaya dan hasil yang lebih baik. Di Malaysia, ia adalah kanser keempat yang paling kerap dikesan dalam kalangan wanita dan yang kedua paling sering menyerang wanita berumur 44 tahun ke bawah.
Dapatan yang membimbangkan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk dijelaskan tentang mustahaknya langkah-langkah kesihatan yang proaktif, melanggar pantang larang, dan melazimkan pemeriksaan secara rutin.

Menurut Dr Thangesweran Ayakannu, Pakar Perunding Onkologi Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, bercakap tentang kepentingan saringan kanser dalam kalangan wanita, terutamanya bagi kanser serviks/ pangkal rahim. Beliau juga berkongsi nasihat kepada wanita Malaysia untuk memperkasakan mereka demi mencapai kesihatan ginekologi yang optimum.
Jenis kanser ginekologi semakin meningkat
Dr Thangesweran Ayakannu menyenaraikan tiga kanser ginekologi utama: kanser rahim, kanser serviks/ pangkal rahim dan kanser ovari sebagai penyakit yang paling digeruni oleh wanita. Kanser serviks/ pangkal rahim adalah salah satu bentuk kanser ginekologi yang paling biasa, malah di Malaysia, 12.9% kanser wanita disebabkan oleh kanser serviks/ pangkal rahim.

Menurut laporan Daftar Kanser Kebangsaan tahun 2011-2016, kanser rahim dalam kalangan wanita meningkat daripada 3.8% antara 2007-2010 kepada 4.6% antara 2011-2016.
“Sebagai penjagaan kesihatan profesional kami telah menyaksikan peningkatan kanser rahim. Ini mungkin disebabkan terutamanya oleh ketidakseimbangan hormon akibat obesiti. Ketidakseimbangan ini adalah antara faktor penyumbang kanser yang menjejaskan organ seperti rahim, payudara, dan ovari.”
Peranan Vaksin HPV
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO), virus “human papillomavirus” (HPV) ialah jangkitan seksual yang biasa menyerang kulit, kawasan kemaluan dan tekak. Jangkitan HPV yang berterusan pada serviks/ pangkal rahim (bahagian bawah rahim atau rahim, yang membuka ke bahagian dalam faraj – juga dipanggil saluran kelahiran) jika tidak dirawat, menyebabkan 95% kanser serviks/ pangkal rahim v.
“Virus HPV ialahjangkitan meluas yang menjejaskan hampir semua orang, lelaki dan wanita adalah punca utama kanser serviks/ pangkal rahim. Antara tindakan pencegahan yang paling umum adalah vaksinasi untuk virus HPV, yang dapat mengurangkan risikonya dengan ketara dengan menjadikan jenis virus yang paling berbahaya sebagai sasaran. Namun, vaksin HPV tidak boleh dianggap pengganti ujian “pap smear” sebagai kaedah saringan kanser ginekologi yang terbukti berkesan,” ujar Dr Thangesweran Ayakannu lagi.
Rawatan Kesuburan dan Risiko Kanser
Oleh sebab salah satu risiko utama kanser ialah hormon yang tidak seimbang atau yang sering turun naik, dan fungsi utama ubat keseburan untuk rawatan kesuburan adalah untuk merangsang ovari secara berlebihan. Oleh sebab itu, mungkin ada kebimbangan mengenai peningkatan risiko kanser pada wanita yang sedang atau telah menjalani rawatan kesuburan.

Bercakap tentang kebimbangan itu, Dr Thangesweran Ayakannu berkata, “Ubat kesuburan, terutamanya yang mambantu merangsangkan ovari, menimbulkan risiko, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dengan kerap. Namun, ia amat penting bahawa wanita yang telah menjalani rawatan kesuburan untuk memantau tisu ovari mereka dengan teliti melalui ujian ultrasound, dan ujian darah, terutamanya selepas kitaran rawatan IVF atau kesuburan yang kuat dan kerap.”
Tambahnya, “Ketidaksuburan didapati menjadi salah satu faktor risiko penting untuk kanser ovari. Namun, hubungan antara ubat kemandulan dan kanser ovari perlu ditangani dengan mengambil kira faktor-faktor lain seperti umur, indeks jisim badan, pariti, faktor genetik (iaitu sejarah keluarga untuk kanser ovari), dan etiologi ketidaksuburan, bersama dengan tempoh pemantauan yang lebih panjang.”
Kepentingan Pemeriksaan Kanser
Dr Thangesweran Ayakannu juga menekankan betapa pentingnya pemeriksaan awal kanser untuk wanita Malaysia. Katanya, “Pengesanan awal sangat penting dalam memerangi kanser serviks/ pangkal rahim. Pemeriksaan yang kerap memperkasakan wanita untuk mengendalikan kesihatan mereka, membolehkan kami mengenal pasti potensi masalah sejak dari peringkat awal lagi.”
Di Malaysia, di mana nuansa budaya kadang-kadang menghalang perbincangan terbuka tentang kesihatan wanita, ianya amat penting untuk mengecai pantang ini dan membuat pemeriksaan awal adalah langkah yang sangat penting. Ia meningkatkan hasil rawatan dan mengubah naratif tentang kesejahteraan wanita.
Dr Thangesweran Ayakannu menambah, “Melalui memupuk kesedaran dan mendorong tingkah laku proaktif ke arah kesejahteraan, kita boleh bergerak ke depan secara kolektif sehingga menjadikan kanser serviks / pangkal rahim bukan sahaja boleh dirawat tetapi juga boleh dicegah.
Pencegahan melibatkan pengesanan awal perubahan sel melalui vaksin HPV, pemeriksaan pelvis biasa, ujian DNA HPV setiap empat tahun dan pap smear setiap tiga tahun. Diagnosis tahap akhir, yang dapat dicegah dengan tindakan ini, adalah sesuatu yang ingin kami hindari.”

Mengetahui Risiko Anda dan Pentingnya Mengelola Kesihatan dan Kesejahteraan Ginekologi Anda, Dr Thangesweran Ayakannu berkongsi pandangan yang berharga, menguraikan langkah penting untuk wanita mengurus kesejahteraan mereka secara proaktif. Ini termasuk:
- Kenali Tubuh Anda, Hancurkan Pantang Larang: Memahami tubuh sendiri adalah langkah pertama ke arah pemerkasaan. Pantau kitaran haid anda, waspada dengan ketidakaturan, dan dapatkan bantuan awal kerana ia membantu. Jangan abaikan tanda-tanda ini.
- Komunikasi yang Jelas dan Pemeriksaan Pelvis Berkala: Apabila anda membuat pemeriksaan kesihatan, mustahak untuk memaklumkan sejarah perubatan anda semasa berjumpa doktor. Pemeriksaan pelvis secara berkala juga boleh membantu kesihatan ginekologi anda secara keseluruhan dan memberikan maklumat penting kepada profesional penjagaan kesihatan.
- Penilaian dan Pemeriksaan Risiko: Pemeriksaan risiko memberi panduan kepada profesional penjagaan kesihatan untuk menentukan ujian saringan yang betul. Rawatan terbaik terhasil ketika kita dapat mengesannya awal.
- Mengenali dan Menangani Gejala dan Faktor Risiko: Bagi wanita yang paling mengenali tubuhnya, penting untuk tidak mengabaikan gejala yang anda alami walaupun anda mungkin menganggapnya normal. Sebagai contoh, pendarahan selepas menopaus atau pendarahan pasca-menopaus bukanlah sesuatu yang biasa tetapi mungkin satu tanda amaran awal kanser endometrium.
Pengesanan awal bukan sekadar pilihan tetapi satu tanggungjawab bersama. Bimbingan pakar Dr Thangesweran Ayakannu menekankan kuasa perubahan yang dimungkinkan dengan pengesanan awal, komunikasi yang terbuka, dan pemeriksaan secara rutin. Dengan melanggar pantang larang dan memupuk budaya kesedaran, kita membuka jalan untuk masa depan ketika kanser serviks/ pangkal rahim bukan sahaja boleh dirawat tetapi boleh dicegah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dua Perisa Ais Krim Magnum Pikat Selera Dua Selebriti Tempatan

Magnum, peneraju aiskrim terkemuka, teruja mempersembahkan inovasi terbaharunya: Magnum Mango Yoghurt Parfait dan Magnum Chocolate Luxe yang telah dilancarkan baru-baru ini.
Setia kepada komitmen jenama untuk menawarkan kenikmatan yang tiada bandingan, kedua-dua keluaran baharu ini membawa detik indah yang berterusan, tidak kira di siang yang gemilang mahupun malam yang memukau.

Pengembaraan Citarasa yang Mengasyikkan
Magnum Mango Yoghurt Parfait menyatukan aiskrim yoghurt yang lemak berkrim dengan sos mangga yang memikat, disaluti lapisan coklat putih yang tebal bersama crumbles vanila yang rangup. Gabungan rasa manis dan segar ini menjiwai semangat musim panas dalam setiap gigitan, membawa anda terus ke ‘syurga tropika’ dengan simfonsi rasa dan tekstur yang unik.
Sementara itu, Magnum Chocolate Luxe mewakili kenikmatan sejati, dan direka khas untuk memuaskan keinginan manis anda terutama pada larut malam. Aiskrim coklat yang mewah, disertakan dengan pusaran sos coklat yang lazat, dan dilapisi coklat Belgium Magnum yang tebal serta kepingan biskut mentega rangup, menjadikan setiap kunyahan letusan rasa yang hebat. Aiskrim ini menyerlahkan komitmen teguh Magnum terhadap seni kulinari dan kualiti.

“Di Magnum, kami sentiasa mengangkat seni kenikmatan dengan mencipta pengalaman aiskrim yang unik dan membelai deria anda. Berinspirasikan kontras antara siang dan malam, Magnum Mango Yoghurt Parfait dan Magnum Chocolate Luxe bukan sekadar aiskrim biasa; ia menawarkan pengalaman kenikmatan yang sofistikated,” kata Pengurus Besar Aiskrim untuk Unilever Malaysia dan Singapura, Maggie Tay.
Meraikan Keindahan Siang dan Malam di Magnum Escape Oasis
Magnum kembali mencuri tumpuan dengan acara eksklusifnya di Boathouse pada 30 Oktober 2024, yang diubah menjadi syurga pantai yang menakjubkan. Dari suasana santai dengan kelapa segar dan payung pantai di siang hari, sehingga suasana malam yang penuh magis di bawah sinaran bintang, Magnum terus menghidupkan komitmen jenamanya untuk mencipta detik kenikmatan yang terbaik.

Kehadiran barisan selebriti terkenal seperti Meerqeen, Siti Khadijah, Qiu Wen dan Lucas Lau menambah elemen glamor dan keterujaan kepada acara tersebut, memperkukuh lagi kedudukan Magnum sebagai simbol kenikmatan sejati.
Selain dua keluaran baharu Magnum, para tetamu di Magnum Escape Oasis juga dapat menikmati The Jackson Wang Pleasure Edition Milkshake — minuman kegemaran duta Magnum, Jackson Wang. Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik seperti DIY coklat bon bon, stesen pembuatan gelang peribadi, serta persembahan langsung dari siang hingga malam turut memeriahkan acara ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menikmati Magnum Mango Yoghurt Parfait dan Magnum Chocolate Luxe, kini boleh didapati di pasar mini, pasar raya, kedai serbaneka, stesen petrol, dan platform e-dagang di seluruh negara.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Kanser Tahap Empat Tak Halang Saya Berjaya” – Nor Shamira Buktikan Kekuatan Wanita Tiada Batas

Di sebalik tubuh yang lemah dan jasad yang sedang berjuang melawan penyakit, Nor Shamira Irwani Farid, 24, membuktikan bahawa semangat seorang wanita tidak pernah bisa dipatahkan.

Graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini melangkah penuh tabah ke pentas konvokesyen untuk menerima Anugerah Emas Naib Canselor daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, satu pengiktirafan yang menjadi saksi kekuatan jiwa luar biasa seorang wanita.

Shamira disahkan menghidap kanser Limfoma Hodgkin pada 19 Ogos lalu, hanya 10 hari selepas menamatkan latihan industri. Tidak lama kemudian, pada 17 September, dia menerima perkhabaran yang menggoncang jiwa, kansernya telah merebak ke hati, paru-paru dan limpa, menjadikannya tahap empat. Namun di sebalik kesakitan, semangatnya tidak pernah luntur.
“Pada awal rawatan, saya perlu jalani kemoterapi dan dimasukkan ke wad. Ketika itu saya reda, dan saya fikir tak akan mampu hadir ke majlis konvokesyen,” katanya dengan nada tenang namun penuh kekuatan.
Namun, takdir berkata sebaliknya. Dengan tubuh yang masih lemah dan rambut yang mulai gugur, Shamira tetap memilih untuk hadir. Bukan sekadar untuk menerima segulung ijazah, tetapi untuk menyampaikan pesan kepada seluruh wanita bahawa perjuangan tidak pernah sia-sia.
Berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, ini kali pertama Shamira dibenarkan keluar jauh dari rumah sejak memulakan rawatan. Anak bongsu daripada tiga beradik ini bukan sahaja diuji kanser, malah turut menghidap bipolar jenis dua, dan menerima rawatan psikiatri sepanjang pengajian.

Namun semua itu tidak menghalangnya daripada meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94. Bukti kecemerlangan yang lahir daripada jiwa kental seorang pejuang.
“Saya sedar ada ketulan kecil di leher sejak 2022, tapi saya abaikan kerana sibuk belajar. Awal tahun ini ketulan makin besar dan banyak, akhirnya disahkan kanser darah selepas beberapa ujian biopsi,” kongsinya.
Shamira yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang kerja sosial perubatan berkata, kekuatannya datang daripada doa ibu bapa, keluarga, rakan dan pensyarah yang sentiasa menjadi tulang belakang.
“Penyakit bukan penghalang untuk berjaya. Saya masih dalam rawatan kemoterapi kitaran ketiga dengan baki tiga lagi rawatan. Tapi saya pegang tiga perkara — keazaman, doa dan sokongan. Itulah kunci untuk terus berdiri.”
Semoga semangat Shamira menjadi inspirasi buat seluruh wanita bahawa walau diuji badai dan luka, kita tetap mampu melangkah megah, kerana harapan itu tidak pernah mati.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

